UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Wednesday, December 30, 2009

Part 4 : Naga Sari

Peti sederhana besar berukiran tulisan aneh itu dipandang teliti. Sejak dia menemukan peti tersebut dalam perigi buta itu, dia mula merasakan ada sesuatu yang aneh tentang peti tersebut. Bagaikan ada satu suara yang berbisik di telinganya menyuruh dia membuka peti tersebut. Dia bagaikan dipukau. Suara itu tergiang-giang meskipun ketika itu pelajar-pelajarnya ada berdekatan. Tapi tidak seorang pun yang menampakkan tanda-tanda mendengar bisikan halus itu.
“Tunggu apa lagi Prof, bukalah peti tu,’ suruh Hamdan yang sudah tidak sabar. Yang lain-lain turut mendekatinya. Selepas mereka makan malam dan solat Maghrib, mereka berkumpul semula untuk melihat peti aneh itu.
Profesor Umar mengucap bismillah di dalam hati. Entah kenapa timbul perasaan gementar dalam dirinya, namun perasaan was-wasnya sama banyak dengan perasaan ingin tahu. Sebaik kotak itu dibuka, tak semena-mena singgah udara kencang di sekeliling mereka. Obor yang mereka pancangkan di sekeliling khemah terliuk-liuk diganggu angin yang muncul tiba-tiba. Masing-masing saling berpandangan. Riana dan Sarah memegang tangan masing-masing sambil memeluk tubuh.
“Riana…aku takutlah,” bisik Sarah di telinga Riana. Gadis itu terdiam. Wajahnya turut resah. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan cuaca malam itu.
Angin kencang itu berputar ligat hampir lima minit lamanya sebelum berhenti secara tiba-tiba. Farid dan Amri menarik nafas panjang. Zakaria sudah bangun membetulkan api obor yang ada di antaranya sudah terpadam. Hanya Hamdan yang masih memandang ke arah peti di tangan Profesor Umar. Lelaki itu turut terpaku memandang isi kandungannya. Sebilah keris berhulu merah tua terdapat di dalamnya. Mata keris pula terukir dengan gambar seekor naga berwarna kuning keemasan. Keris itu nampak sudah lama. Di kepala keris, terdapat seutas tali yang terikat dengan sekeping kertas kecil. Boi rawi garate di o moguna nasa. Sikbo..erumu…
“Ini bahasa Nias kuno.” Profesor Umar menarik nafas panjang setelah meneliti isi kandungan kertas kecil itu. Dahinya berkerut. Ada rasa aneh singgah menyusup perlahan di hatinya.
“Apa maksud kata-kata itu Prof?” Soal Farid ingin tahu.
“Saya tak berapa faham bahasa ini. Cuma saya kenal sedikit-sedikit. Tapi saya tahu siapa yang boleh menterjemahkan kandungan kertas ni.” Balas Profesor Umar resah.
“Bungkusan kain kuning tu apa Prof?” Sarah pula bertanya. Profesor Umar menjengah. Dia tidak perasan ada bungkusan kain kuning yang diikat dalam bentuk bunjut di dalam peti tersebut.
Tanpa disuruh, Profesor Umar membuka bungkusan tersebut. “Tak ada apa-apa pun Sarah. Pasir dan habuk saja.” Ujar lelaki itu. Dia segera mengikat bungkusan itu kembali lalu menyimpannya kembali ke dalam peti. Matanya berlari ke wajah Hamdan.
Hamdan yang cuba menyentuh bucu keris tersebut cepat-cepat dihalang. Anak muda itu terkejut. Yang lain-lain turut tercengang dengan gerak geri Profesor Umar yang nampak ganjil malam itu.
“Jangan sentuh Hamdan, kita bawa kotak ni balik ke makmal dulu. Tengok kalau ada apa-apa yang merbahaya pada benda ni. Riana..Sarah..kamu dah ambil sampel tanah dan habuk pada perigi tu?” Lelaki itu mengalihkan pandang ke arah dua anak gadis dalam kumpulannya. Serentak kedua-duanya mengangguk.
“Bagus, jangan lupa buat ujian Fission Track . Kita kena tahu sejak bilakah perigi ini mula wujud di sini. Kita juga harus mengesan asal usul keris ni.” Ujar Profesor Umar memberi arahan.
“Bagaimana dengan gua Bukit Jawa?” Celah Farid pula.
“Kita teruskan kemudian saja. Saya nak kita semua berkemas dan keluar dari kawasan ni esok pagi. Kita terus pulang ke universiti.” Profesor Umar membuat keputusan. Anak-anak muda itu berpandangan sesama sendiri. Timbul rasa hairan dalam diri masing-masing mengenai keputusan yang dibuat oleh lelaki itu. Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu bergegas mahu pulang sedangkan tugas pencarian mereka masih belum tamat? Kesemua mereka hanya membisu, meskipun di kepala masing-masing sudah sarat dengan pelbagai pertanyaan.
Profesor Umar bangun dari tempat duduknya lalu segera melangkah masuk ke dalam khemahnya untuk berehat. Peti tersebut dibawanya bersama. Namun dia sempat mengerling ke arah Hamdan yang masih terdiam di tempatnya.
* * * *
Malam itu tidur Profesor Umar diganggu mimpi aneh. Dia bermimpi dirinya dikepung oleh api yang marak. Dia cuba memboloskan diri dari api itu. Tapi setiap kali dia mencuba tubuhnya berjaya disambar. Badannya terasa sakit dan pedih-pedih.
Dalam mimpinya, dia bertemu seorang perempuan berpakaian serba hitam. Rambutnya panjang mengurai sehingga ke pinggang. Namun wajah perempuan itu gagal dipandang kerana tubuh perempuan itu membelakanginya, berada di hadapan api marak yang mengepungnya.
“Tolong…..tolong saya,” jerit Profesor Umar bagaikan histeria. Saat itu dia benar-benar rasa takut. Silap-silap haribulan api itu bakal membakar rentung tubuhnya. Jika tidak dibakar sekalipun dia pasti mati jika terhidu asap yang banyak. Namun jeritannya hanya dibuat endah tak endah. Tubuh wanita itu tidak bergerak walau seinci pun.
“Tolong saya cik….tolong padamkan api ni.” Rayu Profesor Umar.
“Aku akan padamkan api ini tapi ada syaratnya.” Perempuan itu tiba-tiba bersuara tanpa menoleh. Profesor Umar tergaman. Syarat? Syarat apa?
“Hindarkan Naga Sari dari bungkusan kain di dalam peti itu.” Ujar perempuan itu. Dia terkedu mendengarnya. Naga Sari? Apakah yang dimaksudkan Naga Sari adalah keris berkepala merah itu?
“Baiklah, aku akan buat apa yang kau suruh. Tolonglah lepaskan aku.” Dia bersetuju tanpa berfikir panjang. Sekelip mata api yang mengepungnya ghaib entah ke mana. Dia terpegun. Matanya dilarikan ke arah perempuan berpakaian serba hitam itu. Perempuan itu tiba-tiba memusingkan tubuhnya. Dia menahan nafas. Terkejut melihat wajah perempuan itu buruk sebelah. Sebelahnya lagi tidak terjejas apa-apa. Dia berkalih pandang, tidak sanggup melihat wajah perempuan itu. Bibir perempuan itu mengorak senyum sinis bagaikan tahu apa yang bermain di kepalanya.
“Tunaikan janji kau.” Bisik perempuan itu. Dia terasa lemah. Kata-kata berbaur ugutan itu ditelan dengan debaran di dadanya.
“Kalau aku enggan?” Dia cuba menduga.
“Keengganan kau akan aku balas dengan hukuman setimpal, Umar.” Bisik perempuan itu seraya ketawa halus. Dia menelan liur. Gugup. Wanita itu memanggil namanya, tapi panggilan itu dirasakan seperti panggilan maut. Gerun dan menggentarkan perasaan.
“Profesor….bangun! Bangun cepat!” Tiba-tiba suara perempuan itu bertukar garau. Dia segera membuka mata. Melihat Farid berdiri di hadapannya dengan wajah cemas, dia segera bingkas bangun. Rupa-rupanya dia masih berada di dalam khemahnya. Dia memandang suasana sekeliling dengan wajah bingung. Mimpikah aku tadi?
“Prof, ada sesuatu berlaku kat luar. Hamdan…dia…” Suara Farid terputus-putus. Anak muda itu kelihatan sukar mahu meneruskan kata-kata.
“Kenapa dengan Hamdan, Farid?” Soal Profesor Umar. Cemas.
“Baik Prof tengok sendiri. Dia…dia dah buat sesuatu. Sarah…Sarah dan yang lain-lain.. ..dia..” Farid semakin sukar mencerna perkataan. Tanpa membuang masa, Profesor Umar segera keluar dari dalam khemahnya. Tapi sebaik dia menangkap satu kelibat yang sedang dipegang dan diikat oleh Amri dan Zakaria, dia terpegun. Wajah Hamdan seperti singa buas. Menderam dan merenung ke arahnya dengan mata bersinar-sinar.
Apabila matanya beralih arah, dia terpempan melihat mayat-mayat pekerja upahannya bergelimpangan di sana sini. Isi perut mereka terburai seperti dirodok benda tajam. Ya Allah! Profesor Umar mengucap panjang.
“Prof, Hamdan dah bunuh Sarah.” Tangis Riana yang sedang memangku tubuh Sarah yang berlumuran darah. Profesor Umar terasa mahu pitam. Dia jadi bingung. Apa sebenarnya yang telah berlaku?
“Prof, Hamdan mengamuk tadi. Tiba-tiba dia bunuh semua pekerja-pekerja kita. Sarah nampak lalu menjerit panggil kami semua. Tapi Hamdan meluru lalu menikam Sarah tepat di perut.” Cerita Zakaria dengan nafas termengah-mengah.
Pofesor Umar memandang Hamdan yang sudah lemah longlai. Deraman anak muda itu semakin perlahan. Dia seolah-olah tidak berupaya. Hanya matanya sahaja yang terkebil-kebil kebingungan. Perlahan-lahan Profesor Umar melangkah menuju ke arah Hamdan.
“Hamdan, kenapa? Kenapa kamu bunuh semua orang?” Profesor Umar mengesat peluh renek yang mula membahang di mukanya.
“Dia…dia datang Prof….” Bisik Hamdan dengan nafas tersekat-sekat.
“Siapa? Siapa yang kamu maksudkan?”
“Dia…dia suruh saya bunuh orang-orang tu. Dia yang paksa saya buat. Saya tak berdaya Prof.” Ucap Hamdan lalu menangis.
Kata-kata Hamdan disambut Profesor Umar dengan wajah berkerut. Ingatannya singgah pada mimpinya sebentar tadi. Apakah ‘dia’ yang disebut Hamdan adalah perempuan di dalam mimpinya?
“Keengganan kau akan aku balas dengan hukuman setimpal.” Kata-kata perempuan itu kini berlegar semula di dalam kotak fikirannya. Profesor Umar memegang kepalanya yang terasa pusing. Melihat mayat-mayat yang berlumuran darah di kawasan tapak khemah itu membuatkan jantungnya bagaikan disentap keluar.

P/s : Fission Track
Satu kaedah untuk mengesan tarikh sesuatu peralatan atau perkakas menggunakan radioisotopes carbon-14

Tuesday, December 29, 2009

Happy New Year

Wah tinggal satu hari lagi sebelum menjelang Tahun Baru. Rata-rata aku dah start ditanya apa azam tahun baru. Tak bosan-bosan ke tanya fasal azam ni? Cubalah tanya fasal benda lain plak..hahaha....tapi apa benda lagi yang boleh ditanya selain azam iya tak?

Tahun 2009 ni boleh dikatakan tahun bertuah aku. Bertuah sebab banyak novel aku release tahun ini. Interview aku yang tergendala tahun-tahun lepas sebab pelbagai incident pun dah selesai. Tapi tahun malang pun ya juga sebab kesihatan aku tak berapa baik tahun ni. Salah aku sendiri yang tak jaga kesihatan..asyik sakit sahaja sepanjang tahun. Kekadang tabiat aku, bila rasa macam sihat sikit..aku dah tak ingat dah kat ubat aku. Padan muka!

Tahun 2010, aku tak banyak hasrat. Cuma nak penuhi beberapa hasrat yang tidak kesampaian tahun ini. Hope so aku akan terus mampu menulis karya-karya yang sudi dibaca orang. Aku juga nak jadi orang yang lebih baik dan memahami orang lain, meskipun tidak ada orang yang akan memahami aku. Aku juga nak lawat satu tempat yang dah lama aku wish nak pergi. Selesaikan pinjaman kereta dan rumah kalau ada duit lebih serta kumpulkan simpanan aku untuk hasrat pada tahun 2017 (kalau ada lagi tahun tu)..Itu ajelah kut..simple kan..

Monday, December 28, 2009

Part 3 : Dia Yang Kembali

Ketika yang lelaki sibuk menggali lubang perigi yang dikatakan oleh Profesor Umar, Riana dan Sarah sibuk mengumpul sampel tanah dan abu di kawasan perigi tersebut untuk dibuat kajian.
“Perigi ni dibina dari batu-bata yang bercampur dengan kulit siput dan kerang.” Bisik Profesor Umar sambil sibuk meneliti dinding perigi tersebut.
Farid dan Amri saling berpandangan. Zakaria turut menyentuh dinding perigi yang telah digali hampir separuh oleh pekerja-pekerja itu. Dia turut tertarik dengan perigi tersebut.
“Prof rasa, perigi ni dah wujud sejak zaman lampau?” Tanya Zakaria.
“Iskk tak mungkin kaum hoabinhian sudah ada tamadun untuk membina perigi. Mereka masyarakat pesisir air yang menjadikan sumber air sebagai makan dan minuman. Tak mungkin perigi ni wujud sejak zaman itu.” Sanggah Farid merujuk kepada golongan Hoabinh yang wujud antara 13,000 hingga 3000 sebelum masihi. Farid mengalihkan pandangan ke arah Profesor Umar, bagaikan mahu mencari sokongan lelaki itu.
Profesor Umar tidak melayan perang pendapat kedua anak muda itu. Dia lebih berminat dengan perigi tersebut. Kepala Profesor Umar tidak habis-habis menjenguk ke dalam. Hamdan dan Said sedang berusaha mengorek tanah dan pasir yang terdapat dalam perigi tersebut. Dua jam kemudian Hamdan mula menjerit.
“Ada apa Hamdan?” Tanya Profesor Umar sudah tidak sabar.
“Ada sesuatu kat sini Prof. Kat bawah ni macam ada lapisan penutup di bawah pasir. Sepertinya dibuat dari plat keluli.” Laung Hamdan dari bawah.
“Keluli?” Profesor Umar tergaman. Tanpa bertangguh, dia turut menuruni perigi yang telah dikorek menggunakan tali yang dipegang oleh beberapa orang lelaki. Sebaik kakinya menjejak permukaan, matanya terpandang lapisan besi yang menutupi isi perigi. Melihat ada serbuk-serbuk putih di sekeliling lapisan besi itu, Profeor Umar memberanikan diri mengambil dan menyentuhnya. Serbuk putih itu dibawa ke hidung. Dahi Profesor Umar berkerut.
“Apa dia Prof?” Tanya Hamdan ingin tahu.
“Sulfur.” Ujar lelaki itu. Hamdan dan Said saling berpandangan. Entah kenapa kata-kata lelaki itu membuatkan mereka bingung. Kenapa boleh ada sulfur dalam lubang tersebut?
Profesor Umar meminta kedua-dua lelaki itu menarik pemegang penutup keluli itu ke atas. Tapi tenaga kedua-duanya bagaikan tidak larat mengangkat keluli setebal 3.5 mm. Mereka saling berpandangan.
“Tak bolehlah Prof, susah nak buka,” Rungut Hamdan. Profesor Umar terdiam seketika. Dia cuba memikirkan cara bagaimana mahu membuka penutup telaga tersebut. Akhirnya bibirnya mula mengorak senyum.
“Farid, Zack…tolong ambilkan grenade. Kita akan letupkan lubang perigi ni.” Putus lelaki itu akhirnya. Farid dan Zakaria tergaman mendengarnya. Begitu juga dengan lelaki-lelaki tempatan yang mengiringi perjalanan mereka.
“Profesor, saya rasa lebih kita biarkan saja lubang ni begini. Mungkin ada sebabnya kenapa perigi ni ditutup dengan keluli begini.” Tegah Said, ketua pekerja-pekerja tempatan yang mereka upah. Serentak semua mata memandang ke arah Said.
“Maksud Pak Said?” Zakaria bertanya.
Said memandang anak muda itu dengan wajah resah, sebelum mengalihkan matanya ke arah Profesor Umar. “Saya bukan nak takut-takutkan semua yang ada kat sini. Cuma ambil ikhtibar dari apa yang pernah berlaku dulu. Saya pernah dengar cerita dari datuk saya dulu yang ada sesuatu di kawasan ini yang hanya menunggu masa untuk dijagakan.”
“Menunggu masa untuk dijagakan? Apa maksud kamu Said?” Profesor Umar mengerutkan dahinya. Hairan mendengar kata-kata lelaki itu.
Said terasa serba salah mahu meneruskan kata-katanya. Kemungkinan besar kata-katanya akan dianggap tidak masuk akal, tapi itulah yang didengarinya sejak dia masih kecil lagi. Disampaikan oleh orang-orang tua di kampungnya dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
“Profesor, tentu ada sebab kenapa perigi ni berada di sini dan ditutup dengan keluli. Mungkin ia digunakan untuk menghalang sesuatu dari keluar. Sebaiknya kita jangan usik perigi ni Profesor.” Bisik Said.
“Pak Said dah mengarut ni. Apa yang boleh keluar dari perigi tu? Hantu?” Zakaria ketawa besar. Hamdan dan Farid tersengih-sengih. Kata-kata orang tua itu tidak masuk akal sama sekali.
“Pak Said tak main-main.” Said tetap mempertahankan pendapatnya. Nada suaranya bagaikan tersinggung dengan telatah Zakaria.
Ketawa Zakaria semakin kuat. Dia memang tidak percaya dengan benda-benda yang disebut oleh lelaki itu. Farid di sisi anak muda itu terus menyiku pinggang Zakaria yang masih galak ketawa.
“Insya Allah Said, tak ada apa-apa yang buruk akan berlaku. Saya rasa perigi ni ditutup sekadar untuk mengelakkan bahaya. Jika diukur dari segi kedalaman timbusan perigi ini, mungkin ia berusia sekitar antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.” Ujar Profesor Umar mematikan sangkaan buruk Said.
“Zack…” Mata Profesor Umar mengerling ke arah anak muda itu. Bagaikan memahami apa yang diingini oleh lelaki itu, Zakaria terus mengambil grenade yang sentiasa dibawa oleh Profesor Umar dalam setiap ekspolarasinya. Kadang-kadang ada keadaan tertentu yang memaksa mereka menggunakan grenade dalam penjelajahan mereka, contohnya dalam keadaan sekarang. Grenade itu lalu dicampakkan ke arah Hamdan. Manakala Profesor Umar dan Said naik terlebih dahulu. Kerja-kerja memasang grenade dan menyambungkan ke panel kawalan dibeban ke atas bahu Hamdan kerana anak muda itu sudah biasa.
Lima belas minit kemudian, satu letupan sederhana kuat berkumandang di kawasan itu. Asap dari letupan menyelubungi kawasan tersebut. Profesor Umar dan yang lain-lain segera meluru ke arah lubang yang mula terdedah. Masing-masing sudah tidak sabar mahu menjenguk isinya.
Dari jauh, sepasang mata mengintip gerak geri kumpulan itu. Bibirnya yang pucat dan berkedut melemparkan senyuman gembira. Tangan kanannya memegang satu cota berlambangkan kepala ular berwarna putih. Sebentar sahaja lagi, dan penantiannya selama berpuluh tahun ini akan termakbul. Akhirnya mereka semua dah termasuk dalam perangkap aku! Ketawanya kedengaran.
“Nek, kita balik?” Bisik suara garau di tepi telinganya. Dia berpaling. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an tersengih memandang ke arahnya. Dia membalas senyuman lelaki itu.
“Dah tak lama lagi Faruk. Siapkan persiapan. Dia akan kembali pada kita.” Ujarnya seolah memberi arahan. Faruk hanya mengangguk. Setiap kata-kata wanita tua itu tidak pernah dibantah. Tidak dulu, tidak sekarang dan tidak juga nanti.

Part 2 : Misteri Di Sebalik Perigi

Nota : dah dapat dah tajuk untuk novel thriller ni..tapi tak tahu sesuai ke tidak. Mybe kalau blog baru siap nanti, kisah ini akan dipindahkan ke blog tersebut..

1974 - Lembah Lenggong, Perak.Dia sibuk mengerahkan pekerja-pekerjanya melakukan ekskavasi di kawasan yang telah ditandakan sejak dua jam yang lalu. Dari tanah lapang seluas suku hektar, dia mengecilkan jarak lingkungan sehingga 120 meter persegi untuk memudahkan galian.
Pekerja-pekerjanya mula berhempas pulas membanting cangkul dan penyodok lalu mula menggali tanah satu kaki untuk setiap setengah jam. Dia hanya mengawasi dari jauh. Sesekali panas terik mentari mengundang keresahan. Tubuhnya mula bermandi peluh. Beberapa pelajarnya Hamdan dan Farid turut sama mengawasi kerja-kerja penggalian itu dari khemah kecil di tepi radius galian. Yang lain-lain, Sarah, Riana dan Amri pula ditugaskan menyemak data yang mereka kumpul sejak di Kota Tampan lagi.
Seorang anak muda memakai topi lebar menghampirinya lalu menghulurkan sebotol air masak ke arahnya. Dia menyambut tanpa banyak soal. Air itu diteguk rakus menyusuri anak tekaknya terus ke esophagus dan turun ke perut.
“Thanks Zack.” Dia tersenyum. Zakaria hanya mengangguk lalu berpaling ke arah pekerja-pekerja tempatan yang mereka upah.
“Agak-agak berapa lama lagi Prof?” Soal Zakaria sudah tidak sabar.
“Dah tak lama, Insya Allah.” Jawabnya tenang. Dia mengerti sifat terburu-buru anak muda itu. Dia dulu begitu juga semasa hendak menimba ilmu. Tapi bidang arkeologi memerlukan ketelitian dan kesabaran yang cukup tinggi, Jika tidak sabar, mahu angin satu badan. Jika tidak teliti pula, silap-silap data yang terkumpul akan bercelaru dan mereka semua terpaksa bermula semula di tapak permulaan.
Dia sudah berkecimpung dalam bidang arkeologi sudah lebih sepuluh tahun. Minatnya mengembara dan mengkaji sesuatu membawanya memilih arkeologi sebagai satu cabang ilmu yang paling dicintai.
Dan hari ini dia dan seramai 6 orang pelajarnya telah berada di bumi Lenggong itu sejak sebulan yang lalu, membuat survey serta mengumpul data. Kali ini tugas mereka adalah untuk menjejak tinggalan sejarah serta bukti kewujudan artifak-artifak tinggalan zaman hoabinhian.
Pada asalnya mereka telah memasang khemah di sekitar Kota Tampan. Malah pencarian jejak golongan haobinhian membawa kepada penemuan alat batu, gendang gangsa dan tembikar hasil peninggalan era zaman lampau. Dari Kota Tampan, mereka bergerak pula ke laluan berhampiran Bukit Jawa. Dan sepanjang ke Bukit Jawa, mereka banyak menemukan jejak-jejak haobinhian. Kerana itu dia mengarahkan khemah mereka dibina di situ.
“Prof, ada percanggahan data. Radius ekskavasi yang kita collect ni mempunyai anomali .” Riana, salah seorang pelajarnya tiba-tiba muncul sambil memegang helaian kertas data. Dia mengerutkan dahinya. Salah?
“Sepatutnya kita kena bergerak 30 langkah lagi ke bahagian utara.” Beritahu Riana.
Dia meneliti helaian kertas-kertas yang dibawa oleh Riana. Serentak matanya mendadak berpaling ke arah pekerja-pekerja yang sibuk menggali. “Hentikan kerja-kerja tu. Pindah tempat.” Arah Profesor Umar separuh menjerit.
Pekerja-pekerja itu saling berpandangan sesama sendiri. Lubang yang ditanda itu sudah digali hampir lima kaki, tiba-tiba sahaja mereka diminta berhenti. Ini menimbulkan rasa hairan sebilangan pekerja-pekerja itu. Namun mereka tidak banyak soal, lagipun gaji mereka dibayar lelaki itu.
Namun sebaik pekerja-pekerja itu keluar dari dalam lubang, suara teriakan seorang lelaki kedengaran. Profesor Umar berpaling. Seorang lelaki yang masih tertinggal dalam lubang menjerit-jerit.
“Ada apa Said?”
“Ada sesuatu kat sini Profesor.” Ujar lelaki itu termengah-mengah. Profesor Umar dan Zakaria segera menerpa ke dalam lubang. Farid, Amri dan Hamdan turut meluru ke arah lubang besar di hadapan mereka. Manakala yang lain-lain lebih senang berdiri di belakang. Dari atas, mereka melihat satu lingkaran bulat tertanam di dalam lubang itu.
“Apa tu Prof?” Tanya Zakaria hairan. Namun Profesor Umar tidak terus menjawab. Matanya asyik merenung lingkaran tersebut.
“Saya tak perasan benda ni tadi sebab saya berdiri di atasnya. Tapi tiba-tiba sahaja pasir di bawah kaki saya mendap ke bawah. Saya ingatkan pasir jerlus tadi. Lepas tu saya nampak benda ni.” Cerita Said panjang lebar.
“Apa benda sebenarnya tu?” Soal Farid pula tidak puas hati. Dia melompat ke dalam lubang. Hamdan turut ikut serta. Pekerja-pekerja yang baru keluar tadi juga berkerumun. Masing-masing kelihatan berminat dengan benda yang baru ditemui.
“Bentuknya macam perigi.” Tiba-tiba Profesor Umar bersuara. Kesemua pasang mata tertumpu ke arah lelaki berusia 40 tahun itu. Masing-masing tercengang mendengar kata-kata lelaki itu. Perigi?

Saturday, December 26, 2009

Bila Jodoh Sudah Ditakdirkan..

Hari ni nak review fasal satu cerita taiwan yang baru sahaja habis aku tengok. Kiranya inilah koleksi terakhir yang aku ada dalam simpanan aku yang berjaya dihabiskan sebelum tahun 2010. Cerita yang aku tengok kali ini ialah You' re My Destiny/ Fated To Love U. Aku dah beli lama dah cerita ni tapi baru je tergerak hati nak tengok sebab cerita ni panjang sangat. Lebih dari 30 episod. Aku dah tahu kalau cerita panjang sangat, masa aku yg sibuk akan terbuang lebih banyak dari biasa. Jadi aku ambil keputusan untuk menontonnya sewaktu masih dalam cuti sekolah dan alhamdulillah sempat. Percaya atau tak aku ambil masa 3 hari untuk menontonnya, sampai sekarang ni kepala aku masih lagi pening sebab tak cukup tidur. Tapi cerita ni memang sangat berbaloi untuk ditonton kerana sangat menghiburkan..
You're My Destiny sebuah kisah komedi yang menarik. Of course la ada persamaan dengan kisah-kisah drama taiwan dan korea yang menunjukkan perhubungan antara jejaka kaya dan gadis miskin. Dan ada pula watak lelaki pembantu yang jatuh cinta dengan heroin dan serta watak pembantu wanita yang merupakan awek kepada hero (yang pasti last-last kena tinggal). Tapi lupakan sahaja soal persamaan itu sebab isi ceritanya penuh dengan nilai-nilai kekeluargaan yang menarik.


Kisahnya tentang Ji Cun Xi, lelaki kaya raya yang tak sabar-sabar nak approach awek dia seorang penari ballet bernama Anna Shi. So sebab dia nak melamar Anna, jadi dia dah rancang satu percutian menaiki kapal mewah. Tapi malangnya Anna mungkir janji dan tak naik kapal tu. Chen Xi Yin pula adalah gadis lurus yang turut menaiki kapal yang sama semata-mata sebab nak pulihkan hubungan dengan teman lelakinya. So dengan tak disangka-sangka keduanya terlanjur tak disengajakan. Kenapa tak disengajakan? Haha..yang ni sapa tak tengok kenalah tengok.


Chen Xi Yin kemudiannya tak disangka-sangka pregnant. Dia jumpa seorang lelaki bernama Dylan yang kemudian bagi nasihat otai suruh dia beli alat pregnancy test. Jadi dengan niat tak nak identitinya diketahui jadi dia masuk dalam kedai farmacy dengan muka bertutup dan pakai topi keledar, lalu beli alat tu. Tapi bila dia nak test, tak fasal-fasal dia kena serbu dengan pihak polis yang menyangka dia penjenayah bersiri. Haha yang ni aku memang ketawa pecah perut. Lawak! Siap muka dia masuk TV lagi sebab kena interview dengan wartawan. Satu Taipei tahu dia mengandung kecuali kampung dia di Pulau Jiangmu. Sebab kebetulan hari tu siaran TV kat Pulau Jiangmu tak berapa baik..kikiki..


Bila keluarga Ji Cun Xi tahu hal dia dengan Xin Yi, maka dia kena lah bertanggungjawab dan kahwin dengan Xin Yi. Nak tak nak dia terpaksa kahwin untuk puaskan hati neneknya tapi tanpa pengetahuan orang lain dia buat perjanjian dengan Xin Yin. Selepas Xin Yin lahirkan anaknya, mereka akan bercerai. Xin Yi yang jenis tak suka susahkan orang ikut aje. Dan bermulalah kehidupan Xin Yin yang seratus-peratus berubah ketika tinggal di rumah Ji Cun Xi. Mulanya semuanya baik-baik sahaja. Layanan Cun Xi membuatkan Xin Yi fikir, dia akan menjadi isteri Cun Xi untuk selama-lamanya. Tapi kemunculan Anna telah membuatkan segalanya berubah.Kerana cemburu dengan perhatian yang Cun Xi berikan pada Xin Yi, Anna telah menganiayai Xin Yin dan meracuni fikirannya kononnya selama ini Cun Xi tidak inginkan anak dalam kandungannya. Xin Yi yang sedih, kemudiannya kemalangan dan keguguran. Time ni aku dah nangis dah...sebab kasihan kat Xin Yi dan kasihan juga kat Cun Xi yang hari-hari mencari Xin Yi untuk minta maaf..


Salah faham yang berlaku membuatkan Xin Yi ingin melupakan Cun Xi dan dengan rela hati mengikut Dylan meninggalkan Taipei ke Shanghai dan menjadi murid kepada Nakayama Ryu, seorang guru kesenian yang sangat dihormati. Di sana dia menjadi Elaine yang sangat berbeza dengan Chen Xin Yi yang lurus dan baik hati. Hubungannya dengan Dylan juga bermula meskipun jauh di sudut hati dia masih belum dapat melupakan Cun Xi.


Suka watak Ji Cun Xi (Ethan Ruan) yang walaupun kadangkala mementingkan diri, tapi dalam masa yang sama dia layan Xin Yi dengan baik dan sangat sayang dengan Ji Nian Pi (baby dalam kandungan Xin Yi yang dah siap dah ada nama). Ethan ni kalau sekali imbas tengok sebiji macam Ming Dao hero Prince Frog. Joe Chen yang memegang watak Xin Yi memang salah seorang aktress Taiwan yang aku suka dalam Prince Frog..tapi cerita ni sangat mendalam ertinya tentang bagaimana dua orang yang berbeza disatukan oleh satu kesilapan yang mana kesilapan itu menjadi sesuatu yang cukup manis dan mengharukan dalam hidup mereka. Bayangkan bila aku tengok cerita ni aku selalu tersenyum sendiri, kekadang aku ketawa dengan perangai kedua-dua watak utama ni. Sesaat kemudian aku boleh menangis kerana kesedihan. Cerita begini kalau boleh membuatkan aku melalui ketiga-tiga situasi itu, bermakna ianya sangat berbaloi untuk ditonton. So sweet...

Friday, December 25, 2009

Hadiah Pukul 1.00 Pagi..

Sebuah dialog indah yang dititipkan khas dari sebuah email untuk aku...thanks anonymous yang sering menjadi penghibur hatiku lewat emailnya setiap pukul 1.00 pagi...ya sekarang ini aku memang sangat susah hati. Teramat susah hati sebenarnya...but somehow I think u r someone who can predict and comfort me very well...who are you??

Dia : Apakah aku pernah terlintas dalam fikiranmu?

Aku : Tidak

Dia : Apakah kau menyukai aku?

Aku : Tidak terlalu

Dia : Apakah kau menginginkanku?

Aku : Tidak

Dia : Apakah kau akan menangis jika aku pergi?

Aku : Tidak

Dia : Apakah kau akan hidup untuk ku?

Aku: Tidak

Dia: Pilih aku atau hidupmu?

Aku : Hidupku

Dan 'aku' berkata …

Alasan kau tidak pernah terlintas dalam fikiranku adalah kerana kau selalu di fikiranku..
Alasan mengapa aku tidak suka padamu ialah kerana aku mencintaimu..
Alasan mengapa aku tidak menginginkanmu ialah kerana aku memerlukanmu..
Alasan mengapa aku tidak akan menangis jika kau pergi ialah kerana aku akan mati jika kau pergi..
Alasan aku tidak hidup untukmu ialah kerana aku akan mati untukmu..
Alasan aku tidak akan melakukan sesuatu untukmu ialah kerana aku akan melakukan segalanya untukmu..
Alasan aku memilih hidupku ialah kerana kau adalah hidupku.

Thursday, December 24, 2009

Part 1 : Kelahiran Terpilih...

Tahun 1985 – Pinggir Hutan di sempadan Johor
Dia berlari sekuat hati. Nafasnya termengah-mengah tidak keruan. Setiap denai dijejak pantas bagaikan kakinya tidak pijak ke tanah. Dia ingin segera meninggalkan tempat itu, meskipun tidak pasti ke mana arah tujuannya. Dari jauh dia terdengar hingar-bingar suara ramai sedang mengejar jejaknya. Dia semakin cemas. Bimbang nyawanya melayang kali ini.
Sesekali matanya mengawasi bungkusan kain yang dibawanya. Aneh! Sejak tadi, bayi yang dipangkunya tidak mengeluarkan sebarang suara. Apakah bayi itu sudah mati? Apakah dia memeluk bayi itu terlalu kemas sehingga bayi itu sukar bernafas? Berbagai andaian singgah fikirannya, namun untuk membuka bungkusan yang membalut tubuh bayi itu, dia tidak sanggup. Pesanan wanita itu masih terpahat kukuh dalam ingatannya.
“Jangan buka balutan ini sehingga encik berjaya tinggalkan tempat ini. Kalau sampai encik tertangkap, encik akan mati bersama bayi saya.” Ujar perempuan itu bersama linangan airmata.
Dia tersentak. Lamunannya terhenti apabila ada air jernih menitik ke wajahnya. Dia mendongakkan kepala. Dada langit gelap pekat. Dia merasa udara di sekelilingnya semakin lembab dan berangin. Kedinginan malam semakin mencengkam urat-urat tubuhnya.
“Encik kena pergi sebelum tengah malam, kalau tidak, encik sudah tidak ada peluang untuk lari lagi!” Bisik wanita itu.
“Kamu bagaimana?” Dia memandang wanita itu.
“Soal saya encik usah bimbang, saya tahu menjaga diri. Tapi tolong selamatkan anak-anak saya.” Rayu wanita itu.
Entah mengapa hatinya tiba-tiba gementar. Dia mengerling jarum jam di tangannya. Sudah hampir tengah malam. Apa akan berlaku jika aku tidak meninggalkan hutan ini sebelum tengah malam? Akan berkuburkah aku di tempat ini dibunuh oleh mereka semua? Perasaan gementarnya terus muncul. Terasa nyawanya di hujung tanduk. Bila-bila masa saja nyawanya boleh bercerai dari jasad.
Bunyi anjing menyalak, membuatkan bulu romanya tiba-tiba meremang. Semakin lama bunyi itu semakin dekat. Tanpa membuang masa dia melajukan langkahnya. Namun bunyi salakan anjing tetap mengekorinya di sepanjang perjalanan.
Tiba-tiba bayi di pangkuannya merengek perlahan. Dia tersentak. Bukan kerana rengekan bayi itu, tetapi kerana matanya terpandang sesuatu di sebalik pohon besar di hadapannya. Suatu lembaga besar berkelubung berdiri tidak jauh dari tempatnya. Tubuhnya menggeletar apabila terpandang sepasang mata merah bersinar yang merenung tajam ke arahnya. Bunyi menderam singgah di penjuru telinganya. Entah mengapa badannya terasa lemah longlai. Kakinya seolah dipasak ke bumi, tak mampu bergerak.
Makhluk itu mendekatinya. Sinaran sepasang mata merah yang kian membesar membuatkan dia terpaku, bagaikan dipukau. Tapi serentak tubuhnya tiba-tiba ditarik sepasang tangan kekar yang cengkamannya amat kuat bagaikan besi. Dia tergaman, serentak memandang tepat ke arah tiga lelaki berpakaian serba hitam yang tiba-tiba muncul di hadapannnya. Wajahnya pucat lesi.
“Tinggalkan tempat ini!” Kata-kata yang keluar dari bibir salah seorang darinya kedengaran tegas dan seperti mengarah. Lelaki itu menyimpan jambang sejemput di bawah dagu. Yang lain-lain mundur ke hadapan, lalu terkumat-kamit membaca sesuatu yang dia sendiri tidak faham.
“Kamu semua siapa?” Dia menyoal seraya mengerling ke arah tempat lembaga itu berdiri tadi. Anehnya lembaga itu tiba-tiba ghaib. Apakah kerana mentera yang dibaca kedua-dua lelaki tadi? Wajahnya ditoleh ke arah lelaki yang berjambang. Wajah itu kelihatan lembut dan tenang.
Belum sempat lelaki itu mahu menjawab, suatu bunyi bising disertai jeritan nyaring saling sahut menyahut, berkumandang agak kuat. Lelaki berjambang itu memandang kedua-dua kawannya lantas mendongak ke arah langit. Kesemua mereka beristighfar panjang.
“Mereka dah mulakan.” Bisik salah seorang teman lelaki itu.
“Kalau begitu, kita kena cepat.” Balas lelaki berjambang itu lalu mula membuka langkah. Dia pula hanya terpinga-pinga memandang ketiga-tiga lelaki itu. Gaya mereka seperti hendak berperang.
Tiba-tiba langkah lelaki berjambang itu terhenti. Kepala lelaki itu ditoleh lalu memandang ke arahnya. Sejurus mata lelaki itu tertancap pada bayi di tangannya. Lelaki itu datang menghampirinya perlahan-lahan. Dia hanya mampu mengawasi dengan ekor mata.
Lelaki berjambang itu sudah berada di hadapannya. Kain yang membalut tubuh bayi itu diselak perlahan-lahan. Mata lelaki berjambang itu terpandang sebuah kalung bertatahkan batu biru tersarung di kepala bayi itu. Dia mengalihkan kelopak matanya.
“Mana seorang lagi?” Lelaki berjambang itu bertanya.
Dia tergaman. Seorang lagi? Apa maksud lelaki itu?
* * * *
1993 - Kluang, Johor
Sebilah mata pisau dibawa ke belakang tengkuk anak kecil itu. Terketar-ketar tangannya membawa mata pisau itu ke leher anak itu. Dia memejamkan matanya. Berilah aku kekuatan tuhan!
“Ayah…” anak itu bersuara. Dia terkedu. Sepasang mata jernih itu merenung ke arahnya. Dia resah. Renungan mata itu membuai perasaannya. Kenangan indah mereka suatu ketika dulu lenyap tanpa nesan.
Bunyi beberapa tapak kaki muncul di gegendang telinganya. Dia terkejut besar. Pantas matanya mengawasi sekitar rumah kosong itu. Dia segera menolak kepala anak itu ke arah meja. Mata pisau itu sekali lagi diletakkan betul-betul di belakang tengkuk. Bibirnya mengucap sesuatu yang tidak jelas. Peluh renek semakin memercik. Dia tahu dia tidak boleh membuang masa. Dia harus melakukannya atau dia takkan memiliki saat itu lagi buat selama-lamanya.
“Maafkan ayah. Ayah terpaksa buat semua ini.” Keluhnya sebak seraya membenam hujung mata pisau ke belakang tengkuk si anak. Anak itu menjerit nyaring seraya meramas lengannya sekuat hati. Darah memancut keluar dan sebahagiannya memercik di mukanya.
“Sakit ayah…”
Dia memejamkan matanya. Rintihan si anak sengaja dipekakkan. Benaman pisau itu dirapatkan beberapa saat sebelum dia menariknya keluar. Anak itu sudah lembik longlai. Tubuh kecil itu didakap ke dadanya. Darah pekat memercik membasahi lantai di rumah kosong itu. Dan bunyi derapan langkah ramai itu semakin jelas di telinganya. Dia mengerling ke arah muka pintu. Nafasnya terhenti sesaat!

Cuti-Cuti Malaysia di Permai Park Inn.

Dua hari berturut-turut berkampung kat Hotel Permai Park Inn sebab menghadiri LADAP dan mesyuarat guru pertama..perasaan aku? Ya Allah boring nya...agaknya demam cuti belum habis, tapi bila pihak pentadbiran sekolah suruh buat meeting penyelarasan awal sikit, aku rasa macam ala..dah tak lama sekolah buka, padahal memang tak lama pun! hehehe..jealous gak, kawan-kawan aku kat sekolah lain 27 atau 28hb ni baru start mesyuarat. Nasib baik makan-makan kat hotel tu sedap gak. Hahaha..bayangkan aku dengan Kak Paridah bukan concentrate sangat kat meeting tu, tapi asyik mengeluh..bila nak start makan ni? Bila habis je, kitaorang la yang pergi serbu dulu. Hihihi...

Dalam dua hari ni aku boring gak berada di rumah...al maklum streamyx kat rumah aku buat hal. Mulanya aku ingat sebab kitaorang lupa nak bayar bil telefon, rupa-rupanya sebab pihak TM Net sedang menaiktaraf line..patutlah godek-godek modem box tu, gitu jugak..nyaris-nyaris aku nak gigit kotak tu sebab geram punya fasal. Alhamdulillah hari ni internet dah okay. Baru aku sedar, ropa-ropanya aku memang tak boleh hidup tanpa Alwiz dan Streamyx...boleh gila dibuatnya! Lepas ni aku kena fikirkan pilihan kedua..agar internet dalam hidup aku berterusan sampai bila-bila. Mungkin lepas ni aku nak pi cari broadband Celcom plak..

Tadi jugak masa kat tempat meeting aku pelik nampak cikgi-cikgu kat sekolah aku sibuk dengan telefon masing-masing. Ingatkan hari ni Maxis, Celcom atau Digi tengah buat promosi unlimited plan talk.hehe rupa-rupanya fasal PMR. Aiseh aku boleh lupa lak yang hari ni semua mak bapak-mak bapak kat luar sana tengah risau macam nak putus urat jantung semata-mata kerana keputusan PMR yang bakal keluar. Dan paling kelakar aku nyaris-nyaris lupa adik bongsu aku Wawa pun salah seorang calon PMR..apa lagi aku pun join sama la cikgu-cikgu tu mengepit telefon tu kat telinga sepanjang dari pukul 10 sampailah 12 tengahari. Tapi budak tu asyik tak jawab je. Last-last aku bosan sendiri, lantak kau ler.. Tapi lepas 10 minit dia hantar mesej tunjuk :) smile kat aku. Alhamdulillah adik aku salah seorang dari hampir 80 orang pelajar di sekolahnya yang straight A's..tahniah sis..next week kita pi dinner kat Primula yek..heheh..

Monday, December 21, 2009

Prolog 3 : Lanun Dari Ceribon

Penat sungguh sebab baru balik dari Kuala Lumpur..tapi happy coz boleh release tension yang dah menggunung ni..aku duduk dekat Hotel Quality yang tak berkualiti langsung. Dengan staff yang masam mencuka, room service dia yg ntah apa-apa..aku rasa sungguh tak berbaloi habiskan RM200 semalam untuk layanan yang sungguh mengecewakan. Inilah kali terakhir aku ke hotel tu..takkan ada kali kedua. Padanlah ada seorang Indian tu marah-marah front desk waktu first day aku sampai..Memang patut kena marah pun!

Tapi sempatlah tonton wayang ngan adik-adik aku. Tunaikan hutang tengok New Moon yang aku janjikan ngan adik2 wlpun lewat. Kami tengok 2012 juga dan rasa sangat-sangat teruja dengan cerita ni yang kami sifatkan sebagai kisah tentang pengakhiran bumi yang paling hebat berbanding movie2 yang serupa sebelum ini. Visual, kesan effectnya serta plot cerita yang hebat membuatkan adrenalin kami naik. Aku siap tak sedar ramas tangan adik aku sampai dia menjerit sebab terkejut dengan adegan-adegan dalam 2012 yang bisa membuat aku lemah jantung. Hehe 5 stars untuk 2012 yang sangat-sangat best.

New Moon..aku malas nak komen panjang-panjang. Ia hanya setakat okey saja bagi aku dan aku rasa tahap excited aku tengok movie ni menurun setelah 15 minit berada di kerusi aku.. Tak tahu kenapa, cerita kali ini langsung tak rasa feel apa pun..baik baca buku la. Jangan kata sebab scene Edward hanya keluar sekejap aje because aku tak teruja sgt tengok Edward. Aku nak tengok New Moon sebab Jacob. Haha tapi apa-apa pun aku mungkin takkan kerap ulang tayang New Moon lepas ni kut spt Twilight yang mempunyai plot cerita yang lebih kemas.

Kisah yang bersambung...

1460 - Pelabuhan di Muara Selat Melaka

Sebuah kapal yang datang dari utara masuk ke pelabuhan. Bunyi gading ditiup menarik perhatian penduduk sekitar yang tinggal berhampiran pesisir pantai. Masing-masing tertarik dengan kemunculan sebuah kapal besar yang tiba-tiba muncul di pelabuhan Selat Melaka. Seorang Syahbandar dan pembantunya menanti dengan sabar sehingga kapal itu selesai berlabuh.


Seorang lelaki berusia separuh abad melangkah turun dari dek kapal lalu mendekati pegawai pantai yang terasa pelik dengan kemunculan kapal tersebut. Lagipula bentuk kapal yang singgah di muara selat Melaka itu berbeza dari kapal-kapal yang pernah singgah di situ. Bukan kapal dagangan! Bisik hati Syahbandar yang memang arif dengan bentuk kapal pedagang-pedagang yang singgah di pelabuhan itu. Kapal itu tidak seperti kapal-kapal yang biasa dilihatnya. Dia memandang lelaki tinggi lampai yang memakai pakaian yang agak pelik. Gaya berpakaian lelaki itu bukan seperti berasal dari kepulauan melayu! Duga Syahbandar lagi.

“Juragan?” Si Syahbandar menyapa penuh hormat. Dia cuba mengelak sangkaan buruk yang mula timbul. Setiap tetamu yang singgah di pelabuhan itu harus dilayan sebaik mungkin.

“Nama hamba Patka, nakhoda kapal yang belayar merentasi Perairan Cirebon dan Laut Sulu.” Lelaki itu tunduk hormat. Bahasa melayu yang digunakan bercampur aduk dengan dialek Jawa Barat dan kepulauan nusantara yang agak pekat. Dia mengerling ke arah dua lelaki di belakangnya yang sedang mengangkut turun sebuah peti sederhana besar.

“Juragan datang untuk berdagang?” Tanya Syahbandar.

“Begitulah. Hamba datang untuk bertemu dengan Orang Kaya Gimbang.” Ujar Patka.
“Apa yang Juragan bawa di dalam peti itu?” Mata Syahbandar melorot ke arah peti yang dibawa oleh kedua lelaki yang bersama dengan Patka.

“Maafkan hamba Orang Kaya. Peti ini hanya berisi pasu-pasu ukiran dari Cina yang diminta oleh Orang Kaya Gimbang. Hamba hanya bertanggungjawab membawanya ke mari. Pasu-pasu ini mudah pecah dan sukar dicari ganti. Hamba tidak mahu membangkitkan kemarahan Orang Kaya Gimbang jika pasu-pasu ini pecah dan rosak.” Ujar Patka sambil tersenyum.

Syahbandar terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Tiba-tiba mata lelaki itu melurus ke hadapan. Lirikan matanya beralih arah. Syahbandar yang menyedari keadaan itu segera menoleh. Tiga orang lelaki berpakaian bangsawan menuju ke arahnya lalu memberi salam.

“Tuan, hamba bawa pesan dari Orang Kaya agar Juragan ini dibenarkan masuk ke kota kita untuk mengadap Orang Kaya.” Ujar salah seorang darinya lalu menghulurkan sekeping kulit kayu bertulisan dakwat hitam dalam tulisan jawi. Syahbandar membaca sepintas lalu isi kandungan surat tersebut, sebelum menoleh ke arah Patka dan pengawal-pengawal itu. Dahinya berkerut, namun dia tidak berkata apa-apa.

“Baiklah kalau begitu. Kamu boleh membawa tetamu-tetamu ini berjumpa Orang Kaya.”

Lelaki itu mengangguk. Patka tersenyum senang. Dia menoleh lalu mengisyaratkan agar orang-orangnya yang sedang mengusung peti itu agar segera mengikutinya. Mata Syahbandar masih tertumpu pada peti yang sedang dibawa pergi. Ada sesuatu yang menarik minatnya pada peti tersebut.
* * * *
Seorang lelaki berkelubung dengan jubah hitam menutup sebahagian besar mukanya menyerahkan beberapa kodi uncang emas kepada Patka. Lelaki itu tersengih. Gembira menerima pemberian yang sudah sekian lama dihajatinya.

“Sekarang peti ini milik Tuan. Kerja hamba juga sudah selesai. Hamba mahu berangkat segera meninggalkan Selat Melaka menuju ke Semarang.” Ujar Patka. Dia tidak mahu lagi berlengah-lengah di tempat itu. Berada lebih lama di Selat Melaka hanya membahayakan kedudukannya sebagai lanun di perairan Ceribon. Apatah lagi dia tahu negeri itu baru sahaja mewartakan undang-undang agar setiap lanun yang ditangkap akan digantung sehingga mati.

“Kamu tidak membuka peti ini kan Patka?” lelaki berkelubung itu tiba-tiba bersuara. Patka tergaman. Dia tersengih cuba menutup gugup.

“Tidak tuan. Kami hanya mementingkan wang dan nyawa. Selain dari itu kami tidak berminat untuk ambil tahu. Kami hanya mengikut apa yang tuan arahkan. Itu sahaja.” Balas Patka.

“Bagus. Aku percaya kata-kata kamu. Sekarang kamu boleh pergi dari sini Patka. Tapi ingat, perkara ini biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.” Matanya tajam menyorot ke wajah Patka. Lelaki itu hanya mengangguk.

“Hamba janji tuan. Hamba tidak akan muncul di hadapan tuan lagi mulai saat ini.” Ujar Patka. Dia segera bergegas meninggalkan lelaki berkelubung itu dengan wajah mencuka. Entah kenapa ugutan lelaki itu benar-benar tidak disenanginya.

Sebaik Patka beredar, lelaki itu perlahan-lahan mendekati peti itu. Tangannya mengusap permukaan peti yang tertutup rapat di hadapannya. Telinganya menangkap bunyi rengekan halus seakan-akan tangisan datangnya dari dalam peti. Dia melekapkan telinganya di permukaan peti. Matanya dipejamkan seraya berbisik. “Sayang..aku benar-benar mencintaimu.”

Thursday, December 17, 2009

Prolog 2 : Rahsia Dari Laut..

Sambung lagi. Cerita ni sebenarnya ada unsur-unsur mistik dan supernatural yang aku nak explore dalam diri aku.

Dia yang hadir di kalangan kami....
Satu kejadian aneh berlaku di dek pagi tadi. Dua anak kapal yang mengawal di anjung kapal berhampiran dengan kabin Puteri Li Po hilang entah ke mana. Tun Perpateh Puteh sudah puas mengeledah kapal itu untuk mengesan Kamat dan Tamim. Namun semua usaha pencariannya menemui jalan buntu. Dia benar-benar terkilan. Kamat dan Tamin sudah lama mengikutinya. Malah sewaktu dia mula-mula menerima tugas dari Sultan Mansur Syah agar bertolak ke Cina dan membawa Puteri Li Po pulang ke Melaka, kedua orang itulah yang mula-mula menyatakan persetujuan untuk sanggup bersamanya ke Cina.
“Sudahkah kedua orang Tun itu ditemui?” Laksamana Cheng Ho bertanya. Tun Perpateh Puteh hanya menggelengkan kepala. Dia sudah tidak memiliki kudrat untuk menjawab dengan suaranya. Matanya masih merenung kesan titisan darah yang melekat di lantai pelantar kapal. Ada sesuatu yang mengugat perasaannya. Namun entah kenapa, dia hanya berdiam diri. Dia tidak mahu kata-katanya nanti bakal menimbulkan resah di hati anak-anak kapal itu.
Beberapa hari kemudian, seorang lagi anak kapal berketurunan Jawa Barat didapati hilang dari kabinnya. Sekali lagi mereka mengeledah, namun pencarian itu hanya sia-sia belaka. Anak-anak kapal mula merasa tidak sedap hati. Tun Perpateh Puteh sendiri berasa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di dalam kapal tersebut.
Suara ketawa dayang-dayang yang saling bergurau senda mengejutkan Tun Perpateh Puteh. Dia menoleh. Namun deretan anak-anak gadis yang menjadi pengiring Puteri Li Po sekadar dipandang sekilas lalu. Matanya lebih tertarik kepada wanita bernama Mahira yang diselamatkannya beberapa hari yang lalu. Mata wanita itu merenung jauh ke laut lepas, bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Otak Tun Perpateh Puteh mula menyulam syak wasangka. Ada sesuatu tentang wanita itu yang kini tinggal misteri. Dalam ramai-ramai penumpang kapal itu, hanya asal usul wanita itu saja yang mereka tidak tahu. Malah pengakuan wanita itu bahawa dia tidak ingat apa yang berlaku selepas ribut memukul kapal yang dinaikinya menimbulkan curiganya.
Kakinya diatur mahu menuju ke arah wanita itu, namun langkahnya dipintas Gimbang yang muncul dari arah belakang. Melihat Gimbang dan wanita itu berbual-bual, Tun Perpateh Puteh membatalkan hasratnya.
* * * *
Malam itu Tun Perpateh Puteh mengambil keputusan turut sama berjaga malam. Dia mengambil keputusan berkawal di muara kapal yang sunyi sepi. Hanya kelihatan beberapa orang pengawal masih berulang alik di atas dek. Tun Perpateh Puteh sengaja menyembunyikan dirinya di tempat yang agak tersorok.
Beberapa jam berlalu, dia semakin bosan. Tidak ada apa-apa yang aneh berlaku. Dia melihat beberapa pengawal sedang berbual-bual sesama sendiri. Awak-awak kapal yang lain pula sibuk menjalankan tugas masing-masing. Sejak berlaku kejadian kehilangan pengikut-pengikutnya, dia mengambil keputusan menambah pengawal yang berkawal di atas kapal itu.
Dalam leka menanti, Tun Perpateh Puteh terkenangkan isterinya di Melaka. Sudah hampir tiga purnama dia tinggalkan wanita itu bersama anak-anak. Kerinduannya sudah tidak tertanggung. Dia mahu cepat-cepat pulang ke Tanah Melaka. Ketika Sultan Melaka menugaskan dia dan seramai 500 orang pengikut mengiriringi puteri Dinasti Ming itu, dia tanpa banyak soal terus setuju. Baginya titah sultan adalah titah junjungan. Harus dipegang dan ditaati selagi kudratnya masih terdaya.
Namun sebagai seorang insan tuhan, dia tidak berdaya melawan rasa rindu pada isteri dan anak-anaknya. Itu sudah lumrah azali yang dibekalkan oleh tuhan dalam diri setiap hambanya. Tiba-tiba lamunan Tun Perpateh Puteh dikejutkan dengan suatu bunyi. Dia memegang keris yang tersisip kemas di pinggangnya seraya memasang telinga. Bunyi menderam dan dengusan seeperti babi hutan itu semakin kuat kedengaran, seolah-olah ada sesuatu berhampiran dengannya. Tun Perpateh Puteh sudah berdebar-debar. Nafasnya menjadi tidak keruan. Bulu romanya tiba-tiba meremang.
Perlahan-lahan dia memberanikan diri menoleh. Matanya terbeliak. Dia hampir mahu pitam melihat wajah buruk dalam kelubung kain hitam yang sedang berdiri di tepi kapal. Lembaga itu memalingkan tubuhnya lalu memandang ke arah bulan yang sedang memancarkan cahaya berkilauan di dada langit. Seorang awak-awak kapal yang lalu berhenti di belakang lembaga itu. Ternyata kehadiran kelibat itu menarik perhatian awak-awak berkulit hitam legam itu.
“Tuan hamba siapa?” Si awak-awak bertanya dengan nada kehairanan. Kepala awak-awak itu meninjau pengawal-pengawal yang tadinya berkawal di situ, kini sudah hilang entah ke mana.
Lembaga itu diam sahaja. Awak-awak mula berasa tidak puas hati.
“Tuan hamba sudah tuli barangkali. Siapa tuan hamba? Apa tuan hamba salah seorang pengiring Tun Perpateh atau orang-orang Datuk Laksamana Cheng Ho?” Soal awak-awak lagi.
Lembaga itu langsung tidak menoleh. Perilaku lembaga itu mengundang kemarahan awak-awak. Dia mengetapkan bibirnya sambil menggumam sesuatu yang tidak jelas kedengaran. Lengan lembaga berkelubung itu dicekak si awak-awak agak kuat. Tapi tiba-tiba dia terpelanting jauh.
Tun Perpateh Puteh yang mengintip dari tempat tertutup agak terkejut. Awak-awak yang jatuh itu juga tergaman. Lelaki itu segera bingkas bangun dengan pantas. Matanya memancarkan api kemarahan yang sudah tidak tertanggung.
“Celaka kamu!” Bentak awak-awak lalu segera meluru laju ke arah lembaga itu. Tiba-tiba lembaga itu berpaling membuatkan tindakan awak-awak terhenti. Mata awak-awak terbeliak melihat lembaga yang menyeringai di hadapannya menampakkan isi kulit yang sudah merekah dan mengeluarkan cecair kehijauan yang menjijikkan.
“Si…siapa kamu?” Lelaki itu bersuara tergagap-gagap. Kepala lututnya terasa kaku dan kebas. Dia tidak berdaya melarikan diri atau mahu menjerit meminta tolong. Lembaga itu terus menyeringai menampakkan gigi-gigi yang tajam bagaikan bilah pisau. Langkah lembaga itu perlahan-lahan diatur ke arah awak-awak yang semakin diulit ketakutan.
Tun Perpateh Puteh berniat mahu menolong awak-awak itu, namun anehnya kakinya seolah-olah dipaku ke lantai. Dia tidak mampu bergerak. Tiba-tiba dia tergaman apabila melihat batang leher awak-awak itu dicengkam oleh sepasang tangan yang pucat sebelum lembaga itu membenam giginya ke leher lelaki yang tak berdosa itu. Darah memancut bagaikan air paip. Awak-awak itu meronta-ronta kesakitan sebelum akhirnya tubuh itu semakin lemah dan terkulai layu. Mata awak-awak itu terbeliak dan hampir tersembul keluar. Tun Perpateh Puteh menutup mulutnya. Keberaniannya selama ini dengan sekelip mata bagai dihakis keluar apabila melihat kejadian itu. Kini baru dia mengerti mengapa ramai pengawal-pengawal yang mengiringinya hilang begitu sahaja. Pasti mereka semua sudah mati!
Dengan tenaga luar biasa, tubuh awak-awak yang sudah menjadi mayat itu diangkat lembaga itu lalu dihumban ke arah laut. Sisa-sisa darah yang melekat pada lantai kapal di jilat dengan lidahnya yang memanjang. Tun Perpateh Puteh hampir mahu muntah melihat gerak geri lembaga itu. Jika diikutkan hati, dia mahu segera melarikan diri dari situ. Namun akal warasnya menegah. Dia harus memerhatikan gerak geri lembaga berkelubung itu sebelum dia mengambil tindakan selanjutnya. Dari pemerhatiannya, lembaga itu masih belum menyedari kehadirannya di situ. Semuanya kerana berkat doanya kepada Allah supaya diberi perlindungan dari ancaman lembaga tersebut.
Selesai menjilat sisa-sisa darah itu, lembaga itu berpaling semula ke arah bulan yang menjadi saksi perbuatannya. Hampir beberapa minit dia mendongakkan wajahnya ke arah bulan terang. Kelubung yang menutup wajahnya disauk ke belakang. Lembaga itu membalikkan tubuhnya. Tun Perpateh Puteh tersentak lagi. Wajah buruk yang terperosok di dalam kelubung tadi kini sudah bertukar wajah. Wanita itu! Tun Perpateh Puteh menarik nafas panjang berulangkali. Wanita yang mereka selamatkan itu rupa-rupanya bukan manusia. Ya Allah! Makhluk apakah yang kami bawa masuk ke dalam kapal ini? Lindungilah kami semua tuhan!

Prolog 1 : Cinta si Gimbang

Sedikit sedutan tentang bahan-bahan yang sepatutnya aku bengkelkan tempohari..Haha apa nak buat? Nak sambung ke atau nak simpan aje dalam laptop? Takpelah aku kongsi ajelah kat sini moga-moga ada idea untuk menyambungnya kembali...


PROLOG


Perairan Laut Cina Selatan- Tahun 1458
Ombak laut selatan memukul badan kapal berkali-kali, menyebabkan bahtera kapal yang agak besar dan memuatkan hampir seribu orang itu kelihatan teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan. Hujan turun mencurah-curah. Lebat dan menyejukkan. Meskipun fenomena alam itu dianggap satu perkara biasa lebih-lebih lagi bagi seorang pelayar, namun di hati setiap orang muncul perasaan bimbang. Apatah lagi isi perut kapal itu terdiri dari rombongan penting yang mahu menuju ke Selat Melaka.
Angin Laut Cina Selatan sememangnya bergerak agak kencang dari biasa. Seorang lelaki mendongak ke dada langit. Imbas matanya bagaikan cuba membaca petanda dari petala langit. Manakala hatinya tak putus-putus berdoa agar perjalanan mereka ini selamat dari bala dan bencana.
“Tun….”panggil suatu suara dari arah belakang. Lelaki itu menoleh. Seorang lelaki Cina berpakaian persalinan melayu lengkap dengan tanjak dan keris melangkah ke arahnya. Dia tunduk tanda hormat. Namun lelaki itu cepat-cepat menegah.
“Tidak usah Tun, hamba bukannya orang penting. Hamba sama seperti tuan hamba, seorang utusan.” Ujar lelaki itu dengan bahasa melayu pelat. Tun Perpateh Puteh tersenyum. Mengenali lelaki itu sama seperti dulu, sentiasa merendah diri. Hatinya yang tadi gusar terasa sedikit tenang.
“Cuaca malam ini nampaknya tidak begitu baik.” Lelaki bermata sepet itu mendongakkan wajahnya pula. Tun Perpateh Puteh terpinga-pinga. Dia lantas mengikut perilaku lelaki itu.
“Angin bertiup kencang dari sebelah utara. Kemungkinan besar pelayaran kita kali ini akan menempuh kesukaran datuk.” Ujar Tun Perpateh Puteh.
Laksamana Cheng Ho mengeluh panjang. Dia mengalihkan matanya ke arah beberapa buah kabin yang tertutup. Salah satu kabin tersebut didiami oleh puteri Dinasti Ming yang mahu dihantar ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Atas dasar hubungan diplomatik, Maharajah Ketujuh Dinasti Ming iaitu Maharaja Ming Jing Zhon berkenan mahu mengahwinkan puterinya dengan Sultan Mansur Syah untuk mengukuhkan hubungan antara Cina dan Melaka yang masyur di mata dunia. Malah Sultan Mansur Syah telah menitahkan seramai 500 pengiring diminta mengiringi kedatangan Li Po dari Cina ke Melaka diketuai oleh Tun Perpateh Puteh sendiri yang menjadi kepercayaan baginda.
“Kapal pecah! Kapal pecah dilambung ombak!” Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi riuh rendah jeritan anak-anak kapal dari bahagian dek. Tun Perpateh Puteh dan Laksamana Cheng Ho segera meluru ke bidai kapal. Pandangan ke dua-duanya dilontar ke arah permukaan air yang berombak-ombak. Melihat bangkai badan sebuah kapal terapung-apung di lautan, kedua-duanya tergaman.
“Apa sudah jadi?” Tun Perpateh Puteh tertanya-tanya. Kapal dipukul ribut atau dilambung ombak ganas?
“Tengok tuan hamba, ada seorang perempuan terapung-apung di lautan.” Laksamana Cheng Ho terjerit kecil lalu menunjukkan ke suatu arah. Tun Perpateh Puteh segera menoleh. Dia terlihat kelibat tubuh seorang wanita yang sedang mengapai bahagian badan kapal yang sudah pecah sebagai pelampung. Tun Perpateh Puteh segera mengarahkan pengikut setianya Gimbang untuk menyelamatkan wanita itu. Tanpa bertangguh Gimbang segera terjun dari kapal itu.
Bunyi riuh rendah di pelantar dek menarik minat Puteri Li Po dan dayang-dayang pengiringnya untuk menjengah. Namun dia tidak berkata apa-apa apabila orang-orang Tun Perpateh Puteh membawa naik seorang perempuan muda. Apatah lagi dia sendiri tidak faham bahasa pertuturan orang-orang laut itu.
Wanita muda itu dibaringkan di sebuah kabin. Wajahnya luka-luka dan dia kelihatan tidak sedarkan diri. Puteri Li Po meminta agar Laksamana Cheng Ho membenarkan dia merawat wanita muda itu sehingga sembuh.
“Tuan puteri mahu merawat wanita ini sendiri.” Ujar Laksamana Cheng Ho kepada Tun Perpateh Puteh. Dia sekadar menterjemahkan semula kata-kata Puteri Li Po. Tun Perpateh Puteh hanya mengangguk. Dia tidak kisah dengan permintaan puteri Cina itu sementelah lagi dia sendiri kekok mahu menguruskan wanita muda yang entah dari mana datangnya.
* * * *
Beberapa hari setelah wanita itu mula terjaga dari lena, Tun Perpateh Puteh segera menemui wanita tersebut diiringi oleh Laksamana Cheng Ho. Dia berminat ingin tahu siapakah sebenarnya wanita itu dan apa yang telah terjadi kepada kapal itu sebenarnya.
“Nama kita Mahira.” Ujar wanita itu. Panggilan ‘kita’ yang digunakan oleh wanita itu membuatkan Tun Perpateh Puteh percaya wanita itu bukan berasal dari keluarga sebarangan. Malah pakaian yang dipakainya juga diperbuat dari bahan sutera.
“Apakah cik puan menaiki kapal yang pecah itu?” Soal Tun Perpateh Puteh ingin tahu. Panggilan Cik Puan digunakannya sebagai tanda hormat untuk seorang wanita bangsawan. Wanita itu mengerutkan dahinya seraya menggeleng.
“Kita tidak tahu.” Dia menafikan.
“Lantas apa yang sebenarnya berlaku? Bagaimana kapal yang membawa cik puan boleh berkeadaan begitu? Onar apa yang membuatkan semua ini terjadi? Di mana juragan yang mengemudi kapal?” Pelbagai soalan meletus serentak dari mulut Tun Perpateh Puteh. Laksamana Cheng Ho mengerling lelaki itu dengan ekor mata.
“Kita…kita tidak tahu.” Wanita itu menggelengkan kepala dengan wajah resah. Dahi kedua-dua lelaki itu serta-merta berkerut. Hairan dengan jawapan wanita itu.
“Masakan Cik Puan tidak tahu apa-apa.” Kata-kata Tun Perpateh Puteh bagaikan menyindir saja lagaknya. Wanita itu termenung panjang. Matanya terjerumus pada wajah kedua-dua lelaki di hadapannya silih berganti. Dia cuba mengingati apa yang telah terjadi.
“Kita hanya ingat yang kita naik ke kapal tersebut bersama ayahanda dan kekanda kita. Kita mahu berlayar ke Kepulauan Lingga. Tapi dalam perjalanan, ribut menyerang. Kapal kita dipukul ribut menyebabkan seisi anak kapal tercampak ke dasar lautan. Selepas itu kita pengsan dan tidak sedarkan diri. Sedar-sedar sahaja kita diselamatkan oleh kamu semua.” Ujar wanita itu.
Tun Perpateh Puteh dan Laksamana Cheng Ho saling berpandangan. Cerita wanita itu kedengaran aneh. Jika anak-anak kapal karam bersama, mana mayat-mayat yang sepatutnya terapung bersama-sama rangka kapal? Kenapa hanya wanita itu sahaja yang terselamat? Namun masing-masing tidak berani mengusulkan pertanyaan kepada wanita itu.
Laksamana Cheng Ho berbisik sesuatu kepada Puteri Li Po. Puteri kerajaan Cina itu mengangguk sedikit, lantas turut membisikkan sesuatu kepada lelaki pengembara intelek yang mendapat gelaran Laksamana itu.
“Jika tidak keberatan bagi Cik Puan, tuan puteri mengajak Cik Puan mengiringi beliau ke tanah Melaka. Mungkin di sana, kita boleh mengusulkan kepada Sultan Melaka tentang masalah Cik Puan dan meminta satu gerombolan mengiringi Cik Puan pulang semula ke kampung halaman.” Ujar Laksamana Cheng Ho agak berhati-hati. Percakapan lelaki itu meskipun agak pelat namun penuh berhemah.
Wanita itu bersetuju dengan saranan yang disebut. Perlayaran mereka diteruskan dengan memukat angin ke laluan Selat Melaka dari Laut Cina Selatan. Namun dalam masa yang sama tidak ada seorang pun yang sedar tentang awan gelap yang bagaikan mengekori perlayaran mereka kali ini. Langit kelihatan amat hitam dan berkabus. Cuaca menjadi lebih dingin dari biasa sehingga mencengkam ke tali temulang dan urat belikat anak-anak kapal dan tetamu-tetamu Sultan Melaka.
Salah seorang lelaki yang mengikuti rombongan itu tidak putus-putus memandang ke arah wanita itu. Hati lelakinya berombak resah setiap kali menatap wajah jelita wanita yang diselamatkannya. Sesekali kerlingan wanita itu singgah di wajahnya yang hanya berdiri dua tiga langkah di belakang Tun Perpateh Puteh. Dan setiap jelingan wanita itu bagaikan memantulkan panah asmara ke jiwanya. Gimbang mengaku kalah. Kali ini dia benar-benar sudah hilang kewarasan. Gimbang yang gagah perkasa sudah mulai jatuh cinta!

Wednesday, December 16, 2009

Apa boleh buat...

Dua tiga hari ni aku asyik tengok prolog dan bab 1 yang aku siapkan khas untuk menghadiri bengkel AVA yang tak jadi 12 Disember baru-baru ini. Kesal juga hati bila tak dapat hadiri bengkel tu bersama-sama Farah, Jue, Maria Kajiwa dan ramai lagi. Sebenarnya aku nak sangat jumpa member2 blog aku ni dan of course teringin nak jumpa Kak Maria yang superb dalam penulisan bagi aku. Aku suka semua novel2 dia dalam blog dan merasakan Elara dan Honeypot salah satu cerita yang sangat mencabar. Apa nak buat? Hajat aku tak kesampaian sebab aku tak selesai lagi tugas mengawasi peperiksaan SPM. Tu lah siapa suruh pandai-pandai nak jadi cikgu..Hehehe terpaksa la terima tugas ni dengan hati terbuka.
Seronoknya bila membayangkan Puan Nisah Harun membedah karya-karya Farah, Jue dan yanbg lain-lain. Terus-terang aku nak sangat orang membedah karya aku. Of course la editor2 aku adalah tukang-tukang bedah yang sangat prihatin, konsisten dan sabar membedah karya-karya aku untuk diterbitkan. Tapi aku teringin nak ada seseorang yang boleh membedah karya aku di hadapan aku sendiri dan bagitahu aku, apa silap aku? Apa kelemahan dalam ritma penulisan aku serta apa yang boleh aku perbaiki dengan karya-karya aku yang akan datang?

Ada orang kata kat aku, tak payah pergi bengkel pun tak apa. Ko kan dah ada 7 novel. Heii tolong sikit, itu cakap-cakap orang yang sombong. Penulisan pun kena ada ilmu, kalau nak jadi penulis yang baik. Bukan setakat tulis syok sendiri dan ayat tunggang langgang sampai semua kerja editor nak kena betulkan. Kita kena juga belajar tentang struktur ayat, jenis-jenis perbendaharaan kata yang baru, cara menulis yang baik, idea-idea fresh tentang sebuah cerita yang memanfaatkan dan macam-macam lagi. Nak sebut memang banyak.Kat mana nak dapat semua ilmu-ilmu ni? Mestilah dari bengkel-bengkel yang diadakan.

Dalam 7 buah novel yang aku hasilkan, aku mengaku aku tak pernah belajar spesifiknya cara-cara menulis, tak pernah dapat didikan khusus untuk menulis (kecuali rajin bertanya dgn salah seorang lecturer aku dulu), juga tak pernah tahu cara-cara yang betul untuk menghasilkan sesuatu karya. Aku main redah aje...dan kebanyakan perbendaharaan kata aku dalam novel biasanya berasal dari banyak majalah dan novel-novel lain yang aku baca, idea penceritaan berasal dari satu teknologi dipanggil TV dan dua jenis organ yang dipanggil mata dan telinga, manakala unsur-unsur keromantisan karya-karya aku (hehe ada ke?), aku kutip dari banyak karya-karya berbahasa indonesia yang sangat aku gemari.

Teringat pula kat kata-kata abah aku tempohari. Katanya, antara bahasa yang puitis, sastera dan indah selain bahasa melayu adalah bahasa indonesia. Sebab itu aku gemar sangat membaca karya-karya sastera penulis-penulis indonesia. Bukan bermakna aku tak baca karya sastera penulis malaysia. Ada dan banyak sekali. Cuma aku paling menggemari bahasa-bahasa puitis indonesia. Gembira juga kerana dua tiga menjak ni my sis Aiza dah mula berjinak-jinak membaca novel-novel berbahasa indonesia yang menjadi koleksi aku. Tapi kat Malaysia ni aku susah nak dapatkan novel-novel berbahasa indonesia. Yang ada kebanyakannya telah diterjemah ke dalam bahasa melayu yang kebanyakannya aku tak minat. Kalau ada kawan-kawan yang tahu di mana aku boleh dapatkan novel-novel Indonesia ni kat Kuala Lumpur atau di mana sahaja, tolong inform yek..aku dah kemaruk nak membaca ni..

Friday, December 11, 2009

Musuh Ketat

Terengganu dah bebas dari taun… gitulah yang ditayangkan sepintas lalu kat kaca televisyen. Sejak dua minggu yang lalu, aku dipesan jangan minum air di luar. Takut terkena!! Bayangkan aku kalau keluar wajib jalan-jalan cari makan kat kedai-kedai yang jarang dikunjungi. Sebab tu badan pun dah mengembang. Lepas ni boleh jadi pengacara jalan-jalan cari makan pulak. Tapi sebab ramai sangat yang mengingatkan, jadi mahu tak mahu kenalah turutkan iya tak..

Dua hari sebelum pengumuman tu, sempat juga aku dan adik-adik singgah makan kat sebuah restoran yang belum kami jelajahi. Sebab aku masih batuk jadi aku pesan horlick panas saja, My sis Aiza pun pesan minuman yang sama. Tinggal adik aku Wawa sahaja yang mintak sirap limau. Baru seteguk dia minum, tiba-tiba kitaorang teringat kat pesanan penaja. Wawa dah tension dah, sebab dia sempat minum air tu seteguk dua. Kami yang kakak ni bukan nak tenangkan dia sebaliknya mengusik lagi kata habislah dia minum ais time-time penyakit taun ni merebak. Dia tanya aku apa tanda-tanda taun tu. Aku kata entah..sakit perut kut. Betul ke? Hahahaha..

Lepas tu air sirap tu dah tak laku dah. Ditibainya air horlick aku sampai habis. Balik rumah, tiba-tiba dia sakit perut. Kitaorang apa lagi, lagi kuat mengusik dia. Kata dia ni mesti sakit perut sebab minum air sirap tu. Tak pun sakit perut sebab kena gigit dengan kucing kat restoran tadi. Hehehe..

Adik bongsu aku ni ada satu penyakit takutkan kucing. Dia kalau jumpa kucing memang fobia habis. Pucat lesi muka macam jumpa hantu. Peliknya mana-mana dia pergi dengan aku, aku perasan mesti ada banyak kucing duduk keliling kitaorang (duduk kat adik aku sebenarnya). Dah lama aku perasan sebenarnya benda ni. Cuma malas nak sebut aje. Teringat kat satu magazine yang aku baca lama dulu. Isi magazine tu sebut, kalau kita takutkan sesuatu..benda yang kita takutkan tu macam boleh tahu yang kita takut kat dia. Lagi kita takut lagi dia nak datang dekat kita. Masalahnya kucing ni bukan setakat datang dekat adik aku, malah siap gesel-geselkan bulu dia lagi kat kaki adik aku. Mana lah orang tu tak kecut perut. Puas halau, datang lagi. Lagi pelik orang lain kat kedai makan tu relax je, kucing tu tak usik pula. Pernah satu malam, ada sampai lima ekor kucing datang dekat adik aku tu. Tak pelik ke kalau selalu sangat jadi macam gini. Hiii supernatural nih..kikiki..Dia dan kucing memang tak boleh dipisahkan lagi.


Sebut fasal fobia ni, teringat pulak aku kat diri sendiri. Aku pun ada fobia jugak. Tapi fobia aku ni satu je. Lipas! Kalau ada lipas depan aku, aku gerenti terlompat-lompat sebab terkejut. Tak tahulah dari kecil lagi aku memang tak suka lipas. Tapi kalau tikus orait pulak. Hari tu kitaorang buat operasi pemburuan tikus besar-besaran kat rumah, orait je aku join dengan abah aku buat perangkap. Ini yang kenit pulak yang aku trauma. Rasanya si kenit ni dah jadi musuh azali seumur hidup aku la. Rasanya aku sorang aje kat rumah tu yang terlompat-lompat kalau nampak si kenit ni. Family aku yang lain relax je, siap boleh lalu depan kenit ni main salam-salam lagi. Pernah dulu aku tengok rancangan Fear Factor kat TV. Ada satu group tu kena pilih nak kunyah cacing ke atau nak kunyah lipas. Hidup2 plak tu. Aku nampak je diaorang kunyah lipas tu..aku dah tak tahan dah..terus masuk toilet dan zaasssss...Heii menyampah tahap maksima dah aku kat si kenit tu. Dalam banyak-banyak orang, apasal aku sorang aje yang selalu dikejar-kejarnya...Agaknya sebab tu aku sorang je yang faham perasaan adik aku yang memang pucat tengok kucing.
P/S : tapi dalam takut-takut..aku bangga jugak sebenarnya. Fasal dalam banyak-banyak benda, benda ni je yang aku mampu buat musuh. Hehehe..

Sunday, December 6, 2009

Obses Dengan Puding

Sebenarnya aku tak suka makan puding atau benda manis-manis ni. Masa kecil-kecil dulu aku memang tak sentuh langsung benda alah ni. Walau secantik mana pun puding tu memang aku reject. Tapi dua tiga menjak ni, sejak aku menceburi bidang perguruan ni..hehe aku dapati aku dah jadi obses dengan puding. Apasal? Fasal kat sekolah aku tu takde kerja lain, asyik buat potluck je..haha sikit-sikit potluck. Kekadang sampai sebulan ada dua tiga kali potluck.

Aku ni memang tak reti nak masak-masak special buat makan-makan ni. Suap mulut sendiri boleh la. Tapi nak buat nasi minyak ke, nasi beriyani ke atau nasi lobak ke hancuss...(nasi goreng je aku expert..hahaha)

Disebabkan banyak sangat potluck, maka secara automatiknya aku pun kena la tumpang semangkuk. Takkan nak makan free je tiap-tiap kali potluck. Malu la wei..so sebab masak nasi tak reti, mak aku pun ajar la cara nak buat puding. First puding yang aku tak suka makan tapi suka buat ialah puding laici kastard yang mak aku memang suka buat. Bayangkan aku excited sungguh bawa mangkuk puding tu ke sekolah. Bila habis, lagilah berganda excited aku tu..haha..poyo aje!

Syok sebab puding aku orang makan (tak kena reject) so start hari tu kerja aku buat puding aje bagi family aku makan. Then raya bebaru ni, makcik aku pulak bawak puding tauhu pula bagi kitaorang. Aku nampak je puding, adrenalin aku dah naik dah..haha siap salin resepi lagi..
Sempatlah kelmarin aku buat puding tauhu buah-buahan yang nampak tak berapa nak comel berbanding apa yang makcik aku buat. Hehe tapi belasah ajelah asal boleh makan..kelakarnya kalau ikut resepi makcik aku..hidangan tu boleh bahagi tiga bekas. Tapi yang aku buat berbekas-bekas sampai enam bekas, padahal bahan sama je. Siap bagi makcik aku yang duduk depan rumah ni sebekas. Sah-sah dia gelak tengok puding aku yang kelakar tu...

p/s : semalam pergi Pustaka Seri Intan nak cari resepi puding..tapi aku terbeli resepi masakan tauhu.Mak aku perli, orang kurang-kurang carilah buku resepi yang masak semua benda..bukan hanya masak tauhu sahaja..haha apa-apa ajelah. Aku kan suka makan tauhu...2 x poyo aku ni.

Tuesday, December 1, 2009

My Alwiz


Dah berbulan tunggu punya tunggu dan sabar punya sabar, akhirnya aku dah tak boleh sabar lagi..terus aku pergi kedai komputer baru-baru ni dan sambar satu hp pavillion dv2 yang dah lama aku idam-idamkan selama ini..

Bila ada depan mata, puas hati betul..Rasa macam nak melompat pun ada. Dapat juga aku tukar laptop baru setelah dua bulan lebih kena cilok laptop adik aku Aiza.Hehe tu fasal la aku lembab sikit menulis dan siapkan entry untuk blog..maklumlah satu laptop berebut tiga orang kekadang sampai siku-menyiku. Laptop lama pulak nak kena tukar motherboard..fuh mahu makan seribu agaknya tu. Last-last aku ambil keputusan tukar laptop baru je..Dapatlah juga merasa laptop hp ni..nak beli Acer semua adik-adik aku pakai Acer..malas den! Boring tengok!

Asalnya nak tunggu royalti dulu baru beli..tapi kang tak fasal2 novel aku tak siap pulak..maklumlah royalti bukan macam gaji..tiap2 bulan dapat. Masa kat kedai dok fikir nak beli hitam ke putih..Then bila nampak je dv2 yang colour putih ni, terus hatiku sudah jatuh cinta pandang pertama. Dengan yakin aku beli je laptop warna putih ni sebab dia ringan, screen dia cuma 12'1..Specs dia pun orait. Bab kata berkenan maut dah..hihi.. Bosan juga asyik pakai laptop warna hitam. Walau susah nak jaga, tapi aku akan sayang dia macam aku sayang diri sendiri. Hehe aku siap bagi nama lagi kat laptop ni. Hehe nama dia Alwiz..caya jangan tak caya!!
 

Template by Blogger Candy