Friday, January 4, 2008

Bagaimana Mahu Menjadi Penulis?

Salam semua...
Sejak akhir-akhir ini saya banyak menerima pertanyaan seperti ini. Terus terang saya katakan, saya bukanlah orang yang layak untuk memberi tips kepada anda bagaimana mahu menjadi penulis novel. Ini kerana langkah saya dalam bidang ini masih jauh. Meskipun saya menulis kecilan-kecilan sejak usia remaja namun penulisan novel baru dua tahun saya jelajahi. Itupun kerana hasil dorongan pensyarah saya seorang penulis terkenal. Bak kata orang jika menanam pohon belum mekar bunganya. Malah jika anda usulkan pertanyaan itu pada penulis lain yang lebih lama dari saya, tentu anda akan lebih berpuas hati dengan jawapan yang akan mereka berikan.

Bagaimana mahu menjadi penulis? Soalan ini pernah saya lanjutkan pada beliau (pensyarah itu). Jawapan yang diberi cukup mudah. Katanya tulis apa sahaja yang anda fikirkan. Tidak perlu berfikir panjang tentang ayatnya atau apakah tulisan anda itu akan digemari orang? Tulis kerana diri anda minat menulis bukan apa yang orang lain suka.Katanya setiap manusia itu mempunyai persepsi berbeza. Mungkin manusia A sukakan hasil tulisan anda dan manusia B pula tidak suka. Tapi jangan pedulikan kritikan-kritikan itu. Jika anda abaikan kedua-duanya, maka anda sudah berjaya menjadi penulis. Entahlah...apa komen anda?

Sejujurnya, saya menulis kerana minat mendalam pada bidang ini.Tapi pencetus idea saya adalah dari hasil pengalaman orang-orang yang terdekat dengan saya serta hobi saya yang gemar menonton wayang, mendengar lagu dan berangan. Kadangkala di hadapan student-student saya pun saya boleh berangan (hehehe jangan beritahu pengetua tau!).

Permulaannya saya menulis sinopsis dahulu dan merangka watak-wataknya. Peliknya satu buku catatan saya penuh dengan karakter-karakter itu. Contohnya jika Riffki Aidan dalam novel Bunga Syurga, saya peruntukan beberapa mukasurat untuk watak itu. Contohnya bagaimana sikapnya, apa gaya hidupnya, kereta yang dipakainya, apa makanan kesukaannya, jenama pakaiannya, lingkungan umurnya dan berbagai lagi. Saya pastikan saya kenal dengan wataknya sebelum saya mula menulis. Saya juga pastikan saya tahu setiap inci turutan ceritanya. Saya buat catatan kecil untuk setiap bab sehingga ke bab terakhir. Sebab itu untuk cerita Rembulan Berdarah, kerana adanya catatan-catatan itu, saya mampu menyiapkan ceritanya dalam tempoh dua bulan sahaja. Ini kerana saya tidak perlu berfikir panjang, saya hanya perlu menulis mengikut catatan dan urutan peristiwa dalam buku kecil saya itu. Tulis sahaja dan jangan ambil peduli tentang kesilapan ejaan atau kesilapan-kesilapan lain. Sebab tugas editing adalah tugas terakhir anda nanti. Dan jangan sekali-kali serahkan bulat-bulat tugas mengedit pada editor anda.
Rahsia saya semasa menulis, mesti mendengar lagu. Kalau adegan sedih, saya pastikan saya mendengar lagu sedih. Kalau adegan biasa, saya mendengar lagu-lagu romantis untuk mencipta mood. Percaya atau tidak, tangan anda akan lebih pantas menaip dengan lagu-lagu ini. Jangan anda tertidur sudahlah. Saya tidak tahu orang lain, tapi jika hari cuti dan saya pula berada di dalam keadaan mood baik, saya mampu menyiapkan 30 hingga 50 mukasurat sehari. Tapi kalau tak ada mood, biasanya saya paksakan diri menyiapkan sepuluh mukasurat sehari. Ini jumlah mukasurat wajib saya. Bayangkan 10 mukasurat sehari. Dalam sebulan, anda boleh siapkan sebanyak 300 mukasurat.
Selepas siap menulis dan mengaudit, pilihlah pihak penerbitan yang anda rasa berminat dengan karya anda. Caranya printout satu salinan manuskrip dengan jarak langkau double spacing. Size 12 dan Jenis Font pula saya tak rasa ianya menjadi soal. Apa-apa font pun okey asalkan senang dibaca. Jika anda rasa syarikat penerbitan ini boleh dipercayai, hantar semua bab anda berserta satu salinan CD dan juga satu surat pengakuan yang mengesahkan karya itu adalah karya anda. Jika anda tidak pasti dengan kejujuran pihak penerbitan, hantar salinan manuskrip sebanyak beberapa bab yang anda suka tapi jangan sampai habis. Oh ya jangan lupa hantar satu salinan sinopsis kerana pihak penerbit biasanya akan membaca sinopsis terlebih dahulu. Sinopsis adalah sangat penting kerana dari sinopsis, biasanya akan menimbulkan minat pihak penerbitan untuk terus membaca chapter-chapter anda.
Itulah sahaja setakat ini yang mampu saya kongsikan bersama anda. Itu cara saya. Cara orang lain mungkin berbeza. Apapun jika anda betul-betul berminat, saya tidak nampak apa-apa perkataan mustahil untuk anda. Selamat Berkarya dan teruskan menyokong nyawa saya dalam bidang ini. Arios...

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com