UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Wednesday, December 30, 2009

Part 4 : Naga Sari

Peti sederhana besar berukiran tulisan aneh itu dipandang teliti. Sejak dia menemukan peti tersebut dalam perigi buta itu, dia mula merasakan ada sesuatu yang aneh tentang peti tersebut. Bagaikan ada satu suara yang berbisik di telinganya menyuruh dia membuka peti tersebut. Dia bagaikan dipukau. Suara itu tergiang-giang meskipun ketika itu pelajar-pelajarnya ada berdekatan. Tapi tidak seorang pun yang menampakkan tanda-tanda mendengar bisikan halus itu.
“Tunggu apa lagi Prof, bukalah peti tu,’ suruh Hamdan yang sudah tidak sabar. Yang lain-lain turut mendekatinya. Selepas mereka makan malam dan solat Maghrib, mereka berkumpul semula untuk melihat peti aneh itu.
Profesor Umar mengucap bismillah di dalam hati. Entah kenapa timbul perasaan gementar dalam dirinya, namun perasaan was-wasnya sama banyak dengan perasaan ingin tahu. Sebaik kotak itu dibuka, tak semena-mena singgah udara kencang di sekeliling mereka. Obor yang mereka pancangkan di sekeliling khemah terliuk-liuk diganggu angin yang muncul tiba-tiba. Masing-masing saling berpandangan. Riana dan Sarah memegang tangan masing-masing sambil memeluk tubuh.
“Riana…aku takutlah,” bisik Sarah di telinga Riana. Gadis itu terdiam. Wajahnya turut resah. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan cuaca malam itu.
Angin kencang itu berputar ligat hampir lima minit lamanya sebelum berhenti secara tiba-tiba. Farid dan Amri menarik nafas panjang. Zakaria sudah bangun membetulkan api obor yang ada di antaranya sudah terpadam. Hanya Hamdan yang masih memandang ke arah peti di tangan Profesor Umar. Lelaki itu turut terpaku memandang isi kandungannya. Sebilah keris berhulu merah tua terdapat di dalamnya. Mata keris pula terukir dengan gambar seekor naga berwarna kuning keemasan. Keris itu nampak sudah lama. Di kepala keris, terdapat seutas tali yang terikat dengan sekeping kertas kecil. Boi rawi garate di o moguna nasa. Sikbo..erumu…
“Ini bahasa Nias kuno.” Profesor Umar menarik nafas panjang setelah meneliti isi kandungan kertas kecil itu. Dahinya berkerut. Ada rasa aneh singgah menyusup perlahan di hatinya.
“Apa maksud kata-kata itu Prof?” Soal Farid ingin tahu.
“Saya tak berapa faham bahasa ini. Cuma saya kenal sedikit-sedikit. Tapi saya tahu siapa yang boleh menterjemahkan kandungan kertas ni.” Balas Profesor Umar resah.
“Bungkusan kain kuning tu apa Prof?” Sarah pula bertanya. Profesor Umar menjengah. Dia tidak perasan ada bungkusan kain kuning yang diikat dalam bentuk bunjut di dalam peti tersebut.
Tanpa disuruh, Profesor Umar membuka bungkusan tersebut. “Tak ada apa-apa pun Sarah. Pasir dan habuk saja.” Ujar lelaki itu. Dia segera mengikat bungkusan itu kembali lalu menyimpannya kembali ke dalam peti. Matanya berlari ke wajah Hamdan.
Hamdan yang cuba menyentuh bucu keris tersebut cepat-cepat dihalang. Anak muda itu terkejut. Yang lain-lain turut tercengang dengan gerak geri Profesor Umar yang nampak ganjil malam itu.
“Jangan sentuh Hamdan, kita bawa kotak ni balik ke makmal dulu. Tengok kalau ada apa-apa yang merbahaya pada benda ni. Riana..Sarah..kamu dah ambil sampel tanah dan habuk pada perigi tu?” Lelaki itu mengalihkan pandang ke arah dua anak gadis dalam kumpulannya. Serentak kedua-duanya mengangguk.
“Bagus, jangan lupa buat ujian Fission Track . Kita kena tahu sejak bilakah perigi ini mula wujud di sini. Kita juga harus mengesan asal usul keris ni.” Ujar Profesor Umar memberi arahan.
“Bagaimana dengan gua Bukit Jawa?” Celah Farid pula.
“Kita teruskan kemudian saja. Saya nak kita semua berkemas dan keluar dari kawasan ni esok pagi. Kita terus pulang ke universiti.” Profesor Umar membuat keputusan. Anak-anak muda itu berpandangan sesama sendiri. Timbul rasa hairan dalam diri masing-masing mengenai keputusan yang dibuat oleh lelaki itu. Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu bergegas mahu pulang sedangkan tugas pencarian mereka masih belum tamat? Kesemua mereka hanya membisu, meskipun di kepala masing-masing sudah sarat dengan pelbagai pertanyaan.
Profesor Umar bangun dari tempat duduknya lalu segera melangkah masuk ke dalam khemahnya untuk berehat. Peti tersebut dibawanya bersama. Namun dia sempat mengerling ke arah Hamdan yang masih terdiam di tempatnya.
* * * *
Malam itu tidur Profesor Umar diganggu mimpi aneh. Dia bermimpi dirinya dikepung oleh api yang marak. Dia cuba memboloskan diri dari api itu. Tapi setiap kali dia mencuba tubuhnya berjaya disambar. Badannya terasa sakit dan pedih-pedih.
Dalam mimpinya, dia bertemu seorang perempuan berpakaian serba hitam. Rambutnya panjang mengurai sehingga ke pinggang. Namun wajah perempuan itu gagal dipandang kerana tubuh perempuan itu membelakanginya, berada di hadapan api marak yang mengepungnya.
“Tolong…..tolong saya,” jerit Profesor Umar bagaikan histeria. Saat itu dia benar-benar rasa takut. Silap-silap haribulan api itu bakal membakar rentung tubuhnya. Jika tidak dibakar sekalipun dia pasti mati jika terhidu asap yang banyak. Namun jeritannya hanya dibuat endah tak endah. Tubuh wanita itu tidak bergerak walau seinci pun.
“Tolong saya cik….tolong padamkan api ni.” Rayu Profesor Umar.
“Aku akan padamkan api ini tapi ada syaratnya.” Perempuan itu tiba-tiba bersuara tanpa menoleh. Profesor Umar tergaman. Syarat? Syarat apa?
“Hindarkan Naga Sari dari bungkusan kain di dalam peti itu.” Ujar perempuan itu. Dia terkedu mendengarnya. Naga Sari? Apakah yang dimaksudkan Naga Sari adalah keris berkepala merah itu?
“Baiklah, aku akan buat apa yang kau suruh. Tolonglah lepaskan aku.” Dia bersetuju tanpa berfikir panjang. Sekelip mata api yang mengepungnya ghaib entah ke mana. Dia terpegun. Matanya dilarikan ke arah perempuan berpakaian serba hitam itu. Perempuan itu tiba-tiba memusingkan tubuhnya. Dia menahan nafas. Terkejut melihat wajah perempuan itu buruk sebelah. Sebelahnya lagi tidak terjejas apa-apa. Dia berkalih pandang, tidak sanggup melihat wajah perempuan itu. Bibir perempuan itu mengorak senyum sinis bagaikan tahu apa yang bermain di kepalanya.
“Tunaikan janji kau.” Bisik perempuan itu. Dia terasa lemah. Kata-kata berbaur ugutan itu ditelan dengan debaran di dadanya.
“Kalau aku enggan?” Dia cuba menduga.
“Keengganan kau akan aku balas dengan hukuman setimpal, Umar.” Bisik perempuan itu seraya ketawa halus. Dia menelan liur. Gugup. Wanita itu memanggil namanya, tapi panggilan itu dirasakan seperti panggilan maut. Gerun dan menggentarkan perasaan.
“Profesor….bangun! Bangun cepat!” Tiba-tiba suara perempuan itu bertukar garau. Dia segera membuka mata. Melihat Farid berdiri di hadapannya dengan wajah cemas, dia segera bingkas bangun. Rupa-rupanya dia masih berada di dalam khemahnya. Dia memandang suasana sekeliling dengan wajah bingung. Mimpikah aku tadi?
“Prof, ada sesuatu berlaku kat luar. Hamdan…dia…” Suara Farid terputus-putus. Anak muda itu kelihatan sukar mahu meneruskan kata-kata.
“Kenapa dengan Hamdan, Farid?” Soal Profesor Umar. Cemas.
“Baik Prof tengok sendiri. Dia…dia dah buat sesuatu. Sarah…Sarah dan yang lain-lain.. ..dia..” Farid semakin sukar mencerna perkataan. Tanpa membuang masa, Profesor Umar segera keluar dari dalam khemahnya. Tapi sebaik dia menangkap satu kelibat yang sedang dipegang dan diikat oleh Amri dan Zakaria, dia terpegun. Wajah Hamdan seperti singa buas. Menderam dan merenung ke arahnya dengan mata bersinar-sinar.
Apabila matanya beralih arah, dia terpempan melihat mayat-mayat pekerja upahannya bergelimpangan di sana sini. Isi perut mereka terburai seperti dirodok benda tajam. Ya Allah! Profesor Umar mengucap panjang.
“Prof, Hamdan dah bunuh Sarah.” Tangis Riana yang sedang memangku tubuh Sarah yang berlumuran darah. Profesor Umar terasa mahu pitam. Dia jadi bingung. Apa sebenarnya yang telah berlaku?
“Prof, Hamdan mengamuk tadi. Tiba-tiba dia bunuh semua pekerja-pekerja kita. Sarah nampak lalu menjerit panggil kami semua. Tapi Hamdan meluru lalu menikam Sarah tepat di perut.” Cerita Zakaria dengan nafas termengah-mengah.
Pofesor Umar memandang Hamdan yang sudah lemah longlai. Deraman anak muda itu semakin perlahan. Dia seolah-olah tidak berupaya. Hanya matanya sahaja yang terkebil-kebil kebingungan. Perlahan-lahan Profesor Umar melangkah menuju ke arah Hamdan.
“Hamdan, kenapa? Kenapa kamu bunuh semua orang?” Profesor Umar mengesat peluh renek yang mula membahang di mukanya.
“Dia…dia datang Prof….” Bisik Hamdan dengan nafas tersekat-sekat.
“Siapa? Siapa yang kamu maksudkan?”
“Dia…dia suruh saya bunuh orang-orang tu. Dia yang paksa saya buat. Saya tak berdaya Prof.” Ucap Hamdan lalu menangis.
Kata-kata Hamdan disambut Profesor Umar dengan wajah berkerut. Ingatannya singgah pada mimpinya sebentar tadi. Apakah ‘dia’ yang disebut Hamdan adalah perempuan di dalam mimpinya?
“Keengganan kau akan aku balas dengan hukuman setimpal.” Kata-kata perempuan itu kini berlegar semula di dalam kotak fikirannya. Profesor Umar memegang kepalanya yang terasa pusing. Melihat mayat-mayat yang berlumuran darah di kawasan tapak khemah itu membuatkan jantungnya bagaikan disentap keluar.

P/s : Fission Track
Satu kaedah untuk mengesan tarikh sesuatu peralatan atau perkakas menggunakan radioisotopes carbon-14

0 comments:

 

Template by Blogger Candy