Monday, December 28, 2009

Part 3 : Dia Yang Kembali

Ketika yang lelaki sibuk menggali lubang perigi yang dikatakan oleh Profesor Umar, Riana dan Sarah sibuk mengumpul sampel tanah dan abu di kawasan perigi tersebut untuk dibuat kajian.
“Perigi ni dibina dari batu-bata yang bercampur dengan kulit siput dan kerang.” Bisik Profesor Umar sambil sibuk meneliti dinding perigi tersebut.
Farid dan Amri saling berpandangan. Zakaria turut menyentuh dinding perigi yang telah digali hampir separuh oleh pekerja-pekerja itu. Dia turut tertarik dengan perigi tersebut.
“Prof rasa, perigi ni dah wujud sejak zaman lampau?” Tanya Zakaria.
“Iskk tak mungkin kaum hoabinhian sudah ada tamadun untuk membina perigi. Mereka masyarakat pesisir air yang menjadikan sumber air sebagai makan dan minuman. Tak mungkin perigi ni wujud sejak zaman itu.” Sanggah Farid merujuk kepada golongan Hoabinh yang wujud antara 13,000 hingga 3000 sebelum masihi. Farid mengalihkan pandangan ke arah Profesor Umar, bagaikan mahu mencari sokongan lelaki itu.
Profesor Umar tidak melayan perang pendapat kedua anak muda itu. Dia lebih berminat dengan perigi tersebut. Kepala Profesor Umar tidak habis-habis menjenguk ke dalam. Hamdan dan Said sedang berusaha mengorek tanah dan pasir yang terdapat dalam perigi tersebut. Dua jam kemudian Hamdan mula menjerit.
“Ada apa Hamdan?” Tanya Profesor Umar sudah tidak sabar.
“Ada sesuatu kat sini Prof. Kat bawah ni macam ada lapisan penutup di bawah pasir. Sepertinya dibuat dari plat keluli.” Laung Hamdan dari bawah.
“Keluli?” Profesor Umar tergaman. Tanpa bertangguh, dia turut menuruni perigi yang telah dikorek menggunakan tali yang dipegang oleh beberapa orang lelaki. Sebaik kakinya menjejak permukaan, matanya terpandang lapisan besi yang menutupi isi perigi. Melihat ada serbuk-serbuk putih di sekeliling lapisan besi itu, Profeor Umar memberanikan diri mengambil dan menyentuhnya. Serbuk putih itu dibawa ke hidung. Dahi Profesor Umar berkerut.
“Apa dia Prof?” Tanya Hamdan ingin tahu.
“Sulfur.” Ujar lelaki itu. Hamdan dan Said saling berpandangan. Entah kenapa kata-kata lelaki itu membuatkan mereka bingung. Kenapa boleh ada sulfur dalam lubang tersebut?
Profesor Umar meminta kedua-dua lelaki itu menarik pemegang penutup keluli itu ke atas. Tapi tenaga kedua-duanya bagaikan tidak larat mengangkat keluli setebal 3.5 mm. Mereka saling berpandangan.
“Tak bolehlah Prof, susah nak buka,” Rungut Hamdan. Profesor Umar terdiam seketika. Dia cuba memikirkan cara bagaimana mahu membuka penutup telaga tersebut. Akhirnya bibirnya mula mengorak senyum.
“Farid, Zack…tolong ambilkan grenade. Kita akan letupkan lubang perigi ni.” Putus lelaki itu akhirnya. Farid dan Zakaria tergaman mendengarnya. Begitu juga dengan lelaki-lelaki tempatan yang mengiringi perjalanan mereka.
“Profesor, saya rasa lebih kita biarkan saja lubang ni begini. Mungkin ada sebabnya kenapa perigi ni ditutup dengan keluli begini.” Tegah Said, ketua pekerja-pekerja tempatan yang mereka upah. Serentak semua mata memandang ke arah Said.
“Maksud Pak Said?” Zakaria bertanya.
Said memandang anak muda itu dengan wajah resah, sebelum mengalihkan matanya ke arah Profesor Umar. “Saya bukan nak takut-takutkan semua yang ada kat sini. Cuma ambil ikhtibar dari apa yang pernah berlaku dulu. Saya pernah dengar cerita dari datuk saya dulu yang ada sesuatu di kawasan ini yang hanya menunggu masa untuk dijagakan.”
“Menunggu masa untuk dijagakan? Apa maksud kamu Said?” Profesor Umar mengerutkan dahinya. Hairan mendengar kata-kata lelaki itu.
Said terasa serba salah mahu meneruskan kata-katanya. Kemungkinan besar kata-katanya akan dianggap tidak masuk akal, tapi itulah yang didengarinya sejak dia masih kecil lagi. Disampaikan oleh orang-orang tua di kampungnya dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
“Profesor, tentu ada sebab kenapa perigi ni berada di sini dan ditutup dengan keluli. Mungkin ia digunakan untuk menghalang sesuatu dari keluar. Sebaiknya kita jangan usik perigi ni Profesor.” Bisik Said.
“Pak Said dah mengarut ni. Apa yang boleh keluar dari perigi tu? Hantu?” Zakaria ketawa besar. Hamdan dan Farid tersengih-sengih. Kata-kata orang tua itu tidak masuk akal sama sekali.
“Pak Said tak main-main.” Said tetap mempertahankan pendapatnya. Nada suaranya bagaikan tersinggung dengan telatah Zakaria.
Ketawa Zakaria semakin kuat. Dia memang tidak percaya dengan benda-benda yang disebut oleh lelaki itu. Farid di sisi anak muda itu terus menyiku pinggang Zakaria yang masih galak ketawa.
“Insya Allah Said, tak ada apa-apa yang buruk akan berlaku. Saya rasa perigi ni ditutup sekadar untuk mengelakkan bahaya. Jika diukur dari segi kedalaman timbusan perigi ini, mungkin ia berusia sekitar antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.” Ujar Profesor Umar mematikan sangkaan buruk Said.
“Zack…” Mata Profesor Umar mengerling ke arah anak muda itu. Bagaikan memahami apa yang diingini oleh lelaki itu, Zakaria terus mengambil grenade yang sentiasa dibawa oleh Profesor Umar dalam setiap ekspolarasinya. Kadang-kadang ada keadaan tertentu yang memaksa mereka menggunakan grenade dalam penjelajahan mereka, contohnya dalam keadaan sekarang. Grenade itu lalu dicampakkan ke arah Hamdan. Manakala Profesor Umar dan Said naik terlebih dahulu. Kerja-kerja memasang grenade dan menyambungkan ke panel kawalan dibeban ke atas bahu Hamdan kerana anak muda itu sudah biasa.
Lima belas minit kemudian, satu letupan sederhana kuat berkumandang di kawasan itu. Asap dari letupan menyelubungi kawasan tersebut. Profesor Umar dan yang lain-lain segera meluru ke arah lubang yang mula terdedah. Masing-masing sudah tidak sabar mahu menjenguk isinya.
Dari jauh, sepasang mata mengintip gerak geri kumpulan itu. Bibirnya yang pucat dan berkedut melemparkan senyuman gembira. Tangan kanannya memegang satu cota berlambangkan kepala ular berwarna putih. Sebentar sahaja lagi, dan penantiannya selama berpuluh tahun ini akan termakbul. Akhirnya mereka semua dah termasuk dalam perangkap aku! Ketawanya kedengaran.
“Nek, kita balik?” Bisik suara garau di tepi telinganya. Dia berpaling. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an tersengih memandang ke arahnya. Dia membalas senyuman lelaki itu.
“Dah tak lama lagi Faruk. Siapkan persiapan. Dia akan kembali pada kita.” Ujarnya seolah memberi arahan. Faruk hanya mengangguk. Setiap kata-kata wanita tua itu tidak pernah dibantah. Tidak dulu, tidak sekarang dan tidak juga nanti.

6 comments:

agent_sesat said...

ok tak sabar nak tahu....

^_^

my fav..hehhee..misteri

Mazni Aznita said...

haha ingatkann cik adik kita yg sorang ni suka kisah cintan cintun je..haha sila-sila..

aqilah said...

apa yg akan kembali??? baca cite ni waktu malam lak, seram gak...

Mazni Aznita said...

haha nak tahu? tungguuuuu..

Anonymous said...

k nita..skela cite ni..arap2 byk lg sambungannye sebelum k nita bawa ke penerbit..hehe

Mazni Aznita said...

haha ni cerita biasa2 je affdzira..first time nak pembaharuan sikit degn mengabungkan pelbagai unsur dalam satu kisah..harap2 ianya diterima..

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com