UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Thursday, December 24, 2009

Part 1 : Kelahiran Terpilih...

Tahun 1985 – Pinggir Hutan di sempadan Johor
Dia berlari sekuat hati. Nafasnya termengah-mengah tidak keruan. Setiap denai dijejak pantas bagaikan kakinya tidak pijak ke tanah. Dia ingin segera meninggalkan tempat itu, meskipun tidak pasti ke mana arah tujuannya. Dari jauh dia terdengar hingar-bingar suara ramai sedang mengejar jejaknya. Dia semakin cemas. Bimbang nyawanya melayang kali ini.
Sesekali matanya mengawasi bungkusan kain yang dibawanya. Aneh! Sejak tadi, bayi yang dipangkunya tidak mengeluarkan sebarang suara. Apakah bayi itu sudah mati? Apakah dia memeluk bayi itu terlalu kemas sehingga bayi itu sukar bernafas? Berbagai andaian singgah fikirannya, namun untuk membuka bungkusan yang membalut tubuh bayi itu, dia tidak sanggup. Pesanan wanita itu masih terpahat kukuh dalam ingatannya.
“Jangan buka balutan ini sehingga encik berjaya tinggalkan tempat ini. Kalau sampai encik tertangkap, encik akan mati bersama bayi saya.” Ujar perempuan itu bersama linangan airmata.
Dia tersentak. Lamunannya terhenti apabila ada air jernih menitik ke wajahnya. Dia mendongakkan kepala. Dada langit gelap pekat. Dia merasa udara di sekelilingnya semakin lembab dan berangin. Kedinginan malam semakin mencengkam urat-urat tubuhnya.
“Encik kena pergi sebelum tengah malam, kalau tidak, encik sudah tidak ada peluang untuk lari lagi!” Bisik wanita itu.
“Kamu bagaimana?” Dia memandang wanita itu.
“Soal saya encik usah bimbang, saya tahu menjaga diri. Tapi tolong selamatkan anak-anak saya.” Rayu wanita itu.
Entah mengapa hatinya tiba-tiba gementar. Dia mengerling jarum jam di tangannya. Sudah hampir tengah malam. Apa akan berlaku jika aku tidak meninggalkan hutan ini sebelum tengah malam? Akan berkuburkah aku di tempat ini dibunuh oleh mereka semua? Perasaan gementarnya terus muncul. Terasa nyawanya di hujung tanduk. Bila-bila masa saja nyawanya boleh bercerai dari jasad.
Bunyi anjing menyalak, membuatkan bulu romanya tiba-tiba meremang. Semakin lama bunyi itu semakin dekat. Tanpa membuang masa dia melajukan langkahnya. Namun bunyi salakan anjing tetap mengekorinya di sepanjang perjalanan.
Tiba-tiba bayi di pangkuannya merengek perlahan. Dia tersentak. Bukan kerana rengekan bayi itu, tetapi kerana matanya terpandang sesuatu di sebalik pohon besar di hadapannya. Suatu lembaga besar berkelubung berdiri tidak jauh dari tempatnya. Tubuhnya menggeletar apabila terpandang sepasang mata merah bersinar yang merenung tajam ke arahnya. Bunyi menderam singgah di penjuru telinganya. Entah mengapa badannya terasa lemah longlai. Kakinya seolah dipasak ke bumi, tak mampu bergerak.
Makhluk itu mendekatinya. Sinaran sepasang mata merah yang kian membesar membuatkan dia terpaku, bagaikan dipukau. Tapi serentak tubuhnya tiba-tiba ditarik sepasang tangan kekar yang cengkamannya amat kuat bagaikan besi. Dia tergaman, serentak memandang tepat ke arah tiga lelaki berpakaian serba hitam yang tiba-tiba muncul di hadapannnya. Wajahnya pucat lesi.
“Tinggalkan tempat ini!” Kata-kata yang keluar dari bibir salah seorang darinya kedengaran tegas dan seperti mengarah. Lelaki itu menyimpan jambang sejemput di bawah dagu. Yang lain-lain mundur ke hadapan, lalu terkumat-kamit membaca sesuatu yang dia sendiri tidak faham.
“Kamu semua siapa?” Dia menyoal seraya mengerling ke arah tempat lembaga itu berdiri tadi. Anehnya lembaga itu tiba-tiba ghaib. Apakah kerana mentera yang dibaca kedua-dua lelaki tadi? Wajahnya ditoleh ke arah lelaki yang berjambang. Wajah itu kelihatan lembut dan tenang.
Belum sempat lelaki itu mahu menjawab, suatu bunyi bising disertai jeritan nyaring saling sahut menyahut, berkumandang agak kuat. Lelaki berjambang itu memandang kedua-dua kawannya lantas mendongak ke arah langit. Kesemua mereka beristighfar panjang.
“Mereka dah mulakan.” Bisik salah seorang teman lelaki itu.
“Kalau begitu, kita kena cepat.” Balas lelaki berjambang itu lalu mula membuka langkah. Dia pula hanya terpinga-pinga memandang ketiga-tiga lelaki itu. Gaya mereka seperti hendak berperang.
Tiba-tiba langkah lelaki berjambang itu terhenti. Kepala lelaki itu ditoleh lalu memandang ke arahnya. Sejurus mata lelaki itu tertancap pada bayi di tangannya. Lelaki itu datang menghampirinya perlahan-lahan. Dia hanya mampu mengawasi dengan ekor mata.
Lelaki berjambang itu sudah berada di hadapannya. Kain yang membalut tubuh bayi itu diselak perlahan-lahan. Mata lelaki berjambang itu terpandang sebuah kalung bertatahkan batu biru tersarung di kepala bayi itu. Dia mengalihkan kelopak matanya.
“Mana seorang lagi?” Lelaki berjambang itu bertanya.
Dia tergaman. Seorang lagi? Apa maksud lelaki itu?
* * * *
1993 - Kluang, Johor
Sebilah mata pisau dibawa ke belakang tengkuk anak kecil itu. Terketar-ketar tangannya membawa mata pisau itu ke leher anak itu. Dia memejamkan matanya. Berilah aku kekuatan tuhan!
“Ayah…” anak itu bersuara. Dia terkedu. Sepasang mata jernih itu merenung ke arahnya. Dia resah. Renungan mata itu membuai perasaannya. Kenangan indah mereka suatu ketika dulu lenyap tanpa nesan.
Bunyi beberapa tapak kaki muncul di gegendang telinganya. Dia terkejut besar. Pantas matanya mengawasi sekitar rumah kosong itu. Dia segera menolak kepala anak itu ke arah meja. Mata pisau itu sekali lagi diletakkan betul-betul di belakang tengkuk. Bibirnya mengucap sesuatu yang tidak jelas. Peluh renek semakin memercik. Dia tahu dia tidak boleh membuang masa. Dia harus melakukannya atau dia takkan memiliki saat itu lagi buat selama-lamanya.
“Maafkan ayah. Ayah terpaksa buat semua ini.” Keluhnya sebak seraya membenam hujung mata pisau ke belakang tengkuk si anak. Anak itu menjerit nyaring seraya meramas lengannya sekuat hati. Darah memancut keluar dan sebahagiannya memercik di mukanya.
“Sakit ayah…”
Dia memejamkan matanya. Rintihan si anak sengaja dipekakkan. Benaman pisau itu dirapatkan beberapa saat sebelum dia menariknya keluar. Anak itu sudah lembik longlai. Tubuh kecil itu didakap ke dadanya. Darah pekat memercik membasahi lantai di rumah kosong itu. Dan bunyi derapan langkah ramai itu semakin jelas di telinganya. Dia mengerling ke arah muka pintu. Nafasnya terhenti sesaat!

2 comments:

ain said...

salam nita...e-novel ke ni atau akan dibukukan..??? mcm best!!!

ANITA ARUSZI said...

insya allah ..wlpun tak berapa confident akan diterima..sy akan cuba bukukan manuskrip ni..sebab manuskrip ni dah 90peratus siap..tunggu nak varnish je smpi berkilat..hehe..

harap2 ini hasilnya boleh dilihat hujung tahun hadapan..

 

Template by Blogger Candy