UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Sunday, January 31, 2010

Operasi Clear Stok

Aku memang hantu menonton filem atau drama. Lagi-lagi kalau drama korea atau taiwan yang memang jadi kegilaan aku. Kalau orang lain sibuk nak habiskan stok buku sebelum PBKAL berlangsung, aku pulak sedang giat menghabiskan stok box set drama korean yang dah penuh satu almari dalam bilik aku.
Kali ni aku pilih cerita Loving You lakonan Eugene (Save The Last Dance) dan Park Yong Ha (second role Winter Sonata). Cerita ni kalau diikutkan dah lama dah, terbitan tahun 2002. Tapi entah macamana sebab aku nak clear kan stok2 DVD kat bilik aku, so aku pun gamble ajelah.

Tapi tak sangka pulak start tengok sampai sekarang episod 5, rasa macam cerita ni best jugak. Watak Park Yong Ha best woo…dan dia pun comel dan cool sangat dalam cerita ni. Sesuai dengan Eugene yang memang comel. Tapi sebenarnya aku dah lama minat Park Yong Ha ni. Bukan minat dia berlakon tapi minat suara dia. Dia antara penyanyi korea yang mempunyai suara dan lagu-lagu yang tangkap jiwang kalau dengar. Lagu-lagu dia best dan aku ada koleksi lagu-lagu dia yang menyentuh jiwa. Kisah cerita ni berkisar di Pulau Jeju..one of the most fascinating places di Korea yang aku teringin nak pergi suatu hari nanti. Hehe…hope so la..

Dalam cerita ni Da-Lae (Eugene) ni tinggal kat Jeju Island dengan mak dia. One day dia selamatkan Lee Hyeok (Park Yong Ha) seorang pengarah filem dari lemas kat laut masa buat pengambaran filem. Dalam kejadian tu kawan Lee-Hyeok mati lemas dan dia pun macam patah semangat dan duduk menyendiri, bekerja kat kebun oren padahal Lee Hyeok ni sebenarnya anak orang kaya.

Setahun lepas tu mereka dipertemukan dan bermulalah kisah cinta seperti mana drama-drama korea yang lain. Yang ni memang wajib woo. Cuma apa yang mereka tak sangka, perhubungan mereka bukan semudah yang disangka apabila sebenarnya ayah Lee Hyeok menjadi penyebab kepada kematian ayah Da-Lae. Kat situlah dia punya klimaks kisah yang berlaku.Sebelum tu aku ada tengok cerita Wonderful Life lakonan Eugene juga (pun cerita lama)..tapi aku asyik skip aje sebab mengantuk. Hehehe tapi dengan cerita Loving You ni cerah pulak biji mata aku. Agaknya sebab ada Park Yong Ha kut..hahaha..apapun cerita ni best. Lepas ni nak tengok Princess Lulu pulak..

Homestay Terengganu

Hujung minggu lepas aku pusing dan redah satu Kuala Terengganu sebab nak melihat-lihat rumah sewa. Baru aku perasan rupanya Terengganu ni ada banyak sangat rumah sewa dan homestay dengan harga berpatutan. Bayangkan sepanjang satu kilometer aku jumpa homestay dan rumah sewa penuh kiri dan kanan jalan. Sampai mata aku naik kelabu melihat papan tanda iklan untuk homestay yang memenuhi tepi-tepi jalan.

Kiranya orang Terengganu boleh dikatakan kaya dengan rumah dan menjadikan bussiness homestay satu perniagaan yang menguntungkan. Bayangkan kalau kita ada tanah di kawasan pantai..kalau buat homestay dalam satu lot tanah aje dah lebih dari cukup. Seronoknya membayangkan kalau aku pun ada homestay yang ala-ala Hawaiian punya chalet. Best!

Kadang-kala terfikir juga aku nak melabur sama dalam perniagaan homestay. Tapi tanah pun takde, nak buat homestay kat mana? Takkan nak buat rumah atas padang bola atau padang sekolah? Hehehe..tak logik pulak kan! Hope so suatu hari nanti aku akan ada perniagaan homestay aku sendiri. Kalau aku boring duduk di rumah, aku boleh lari kat homestay aku sendiri dan duduk kat situ sampai aku puas. Bestnya berangan! Tak payah pakai duit, percuma aje! Hihihi...


pic source : link

Macamana Nak Download Video Dari Youtube?

Beberapa hari yang lepas aku macam nak gila mencari cara nak mendownload video dari Youtube. Video yang aku nak download ni nak digunakan dalam kelas Sains aku sebenarnya. Tapi seperti semua dah maklum, kita dah tak boleh download video dari Youtube kecuali lah kita share dan berkongsi URL video itu menerusi email. Tapi kalau kita nak guna video tu di tempat yang takde internet, tentulah embedded video tu langsung tak boleh guna.

So macam biasa dalam tempoh 24 jam, aku menggunakan kepakaran IT aku yang tak seberapa ni dengan mencari cara terbaik supaya aku dapat mendownload video yang aku hendak. Berjam-jam aku mengadap internet. Novel dah tolak tepi time tu. Yang mana penting didahulukan. Dan video tentang 5 sensory organs in human system tu memang aku hendak sangat sebab itu satu-satunya videoclip yang paling comel, paling senang nak ingat dan paling colourful pernah aku jumpa. Sesuai sangat untuk ditunjukkan pada student-student aku di dalam makmal.

Alhamdulillah setelah berpenat lelah, akhirnya aku dah tahu cara yang paling senang nak download video-video tu semua. Bagi guru-guru yang nak gunakan video-video dalam internet yang tidak boleh didownload melalui cara biasa, maka aku dengan rela hati (hehehe..) bersedia untuk berkongsi ilmu IT ini untuk manfaat kita semua terutama untuk anak-anak didik kita. Adui semangat la pulak..

so inilah caranya..senang sangat, tak payah pening kepala pun!

1) Mula-mula anda kena download perisian Applian FLV Player sebab hanya perisian ini sahaja yang boleh digunakan untuk menonton video yang sudah didownload. Media Player atau VLC Media Player tak boleh. Ini link untuk download FLV : link

2) Lepas tu cari video dalam youtube atau apa-apa sahaja enjin pencarian dan copy url untuk video tersebut.

3) Buka link untuk Youtube Video Online Download Tool (YVODT)

4) Paste URL video yang hendak didownload dalam ruangan 'URL' dalam YVODT. Kemuian klik perkataan 'Link'. Dekat bawah perkataan URL itu akan keluar link-link baru untuk download (warna merah).

5) Right click pada perkataan download berwarna merah.

6) Klik Save Target AS pada folder yang anda mahu. Tunggu proses download sampai selesai. Done..

Senang kan? Cubalah! Tak rugi anda cuba sebab ini kemahiran yang amat berguna bagi sesiapa yang nak gunakan video-video ini untuk tujuan yang bermanfaat. Aku pun memang nak post kaedah ni di blog ni supaya aku senang nak mencarinya. Manalah tahu aku terlupa nak menggunakannya suatu hari nanti, sekurang-kurangnya boleh rujuk kat sini.. Hehehe..tamat sudah pelajaran IT kita hari ni. Cikgu nak pergi makan pulak!! Lapar dah ni!!

Wednesday, January 27, 2010

Part 9 : Gambar Misteri

Suria memutar anak kunci ke dalam lubang kunci. Sesaat dua dia mula menolak daun pintu. Matanya mencari-cari kelibat ayahnya, namun tidak bertemu.
Suria menutup kembali daun pintu serapatnya. Dia segera melangkah menuju ke ruang tamu. Tubuhnya direbahkan ke salah satu sofa di situ. Badannya terasa penat setelah sehari suntuk berkejar ke dua lokasi berita dalam satu hari. Lepas itu dia ke bilik editing pula menyunting berita tentang kemalangan kereta yang berlaku di Damansara. Semua itu terpaksa disiapkan segera untuk disiarkan dalam berita perdana malam ini.


“Dah balik?” Tegur suatu suara. Suria menoleh. Seorang lelaki separuh umur memakai baju melayu dan bersongkok berdiri di tepi anak tangga, sedang memandang ke arahnya. Suria tersenyum.

“Suria ingatkan ayah tak balik lagi. Suria tak nampak kereta ayah kat garaj tadi.” Dia membalas. “Kereta ayah rosak, masuk bengkel.” Lelaki itu melangkah turun lalu menuju ke arah anak gadis itu. Dia membuka skrin televisyan di hadapannya lalu duduk di samping Suria.

“Ayah nampak berita Suria tadi. Apa kes kat sana?” Baharom menoleh. Suria terdiam. Dia tersenyum kecil.

“Polis jumpa mayat berhampiran Hutan Simpan Air Hitam. Tapi kami tak sempat nak snap gambar mayat tu, sebab tiba-tiba saja van kami pancit dekat simpang nak ke Puchong. Mujur Zaman pandai tukarkan tayar tu.” Keluh Suria.

“Kes bunuh?”

“Entahlah ayah, belum pasti. Kena tunggu ‘post-mortem’ keluar. Sekumpulan renjer jumpa mayat tu masa mereka tengah buat latihan kat hutan tu. Encik Akhbar marah sebab kami tak dapat tangkap gambar mayat kat tempat kejadian. Tapi esok Suria nak jumpa Haqimi, takut-takut kalau dia boleh tolong tunjukkan gambar-gambar mayat tu pada Suria.”

“Suria nak buat apa kalau dapat gambar tu?” Baharom menjegilkan biji matanya.

“Saja Suria nak tengok ayah. Lagipun tak puas hati lah kalau tak tengok sendiri. Lagipun ayah kan tahu Suria suka dengan benda-benda ni semua. Encik Akhbar suruh Suria buat follow-up.” Suria tergelak.

Baharom terdiam. Dia menumpukan perhatian pada skrin televisyen yang sedang menayangkan sebuah filem barat.

“Ayah tengok cerita apa ni?” Mata Suria turut dialihkan ke arah skrin televisyen. Cerita Hollywood dengan adegan tembak-menembak memang menjadi tontonan kegemaran ayahnya sejak dulu.

“Entahlah, pasang-pasang saja dah ada cerita ni. Oh ya, makanan ada kat bawah tudung saji kalau Suria nak makan.” Ujar Baharom seraya mengerling ke arah anaknya.

“Tak apalah ayah. Suria nak naik atas dulu mandi, lepas tu tidur. Penat sangat badan Suria hari ni!” Suria bingkas bangun dari tempat duduknya.

“Jangan lupa solat,” pesan Baharom. Suria mengangguk lalu tertawa kecil. Dia segera melangkah menuju ke biliknya. Beg sandang miliknya dicampak begitu sahaja ke atas meja. Perkara pertama yang dibuatnya ialah membuka laptopnya sebelum tubuhnya dihempaskan ke atas katil.

Sambil menanggalkan butang bajunya satu persatu, fikiran Suria menerawang jauh. Dia tersenyum sendiri mengingatkan kejadian petang tadi. Kelakar pun ada. Mujurlah lelaki itu bukannya lelaki jahat seperti yang tertera dalam kepalanya sekilas lalu. Tapi apa lelaki itu buat di Stesyen KZM? Dia mengerutkan dahinya.

Sangkanya lelaki itu tidak tahu di mana letaknya Stesyen KZM. Tapi melihatkan lelaki itu lancar memandu memasuki kawasan stesyen itu, dia mulai naik hairan. Namun belum sempat dia mahu bertanya, lelaki itu menerima pula panggilan telefon. Kereta Honda Civic lelaki itu berhenti betul-betul di hadapan lobi stesyen TV tempat dia bekerja.

Dia memandang lelaki itu. Namun lelaki itu hanya acuh tak acuh memandangnya sambil mengisyaratkan agar dia keluar dari kereta. Mahu tak mahu dia menurut dengan perasaan ragu-ragu. Lagi pula dia tidak mahu menganggu perbualan lelaki itu. Tapi sebaik dia turun, kereta lelaki itu terus menderum laju meninggalkannya sebelum sempat dia mengucapkan terima kasih. Terkulat-kulat dia memandang dengan wajah kelat. Kata nak tahu kat mana Jalan Loke Yew, tapi menonong aje lelaki itu beredar tanpa mempedulikannya. Sedikit sebanyak dia rasa cuak juga dengan sikap lelaki itu. Tapi itu semua hanya seketika. Perasaan lucu pula singgah sebaik dia teringatkan peristiwa tadi.

Suria ketawa sendiri. Macam-macam hal orang kat dunia ni, keluhnya dengan sisa-sisa tawa yang belum habis. Ah, buat apalah aku sibuk-sibuk nak jaga tepi kain orang. Mandi lagi bagus! Bisik Suria. Dia bingkas bangun dari katilnya lalu segera mencapai tuala yang tergantung di bidai katil. Namun belum sempat kakinya melangkah ke bilik air, dia terdengar satu isyarat datangnya dari arah skrin laptop. Suria terus menuju ke arah laptopnya. Email?

Dia mengerutkan dahinya. Tanpa berlengah, dia segera membuka inbox emailnya. Tapi alamat email, tanpa nama pengirim yang tertera membuatkan dia dipagut rasa hairan. Siapa pulak ni? Tambah dia hairan apabila lampiran email yang diterimanya kosong sahaja. Tapi matanya terpandang attach files di bahagian bawah. Dia segera menekan butang klik. Beberapa ketika, Suria tergaman. Apa yang dilihatnya membuatkan tubuhnya tiba-tiba gementar.

* * * *

Sepanjang malam dia berteleku di hadapan laptopnya. Setiap fail yang diterimanya dalam bentuk format jpg di susun kembali dalam satu folder mengikut urutan-urutan masa yang tertera pada setiap imej. Setelah dicongak, hampir 30 keping imej semuanya berada di dalam folder itu.

Dia memerhatikan setiap imej dengan teliti. Beberapa keping gambar yang diterimanya benar-benar membuatkan bulu romanya meremang. Dia nampak jelas bentuk mayat yang terbujur di tepi akar banir pokok yang diambil secara zoom in. Wajah mayat itu memang menggerunkan. Hampir sebelah mukanya terkoyak menampakkan isi yang merah pucat, bebola mata mangsa itu juga hampir tersembul keluar. Suria bersandar di belakang kerusi. Nafasnya dihela dalam resah.

Dia segera mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Nombor telefon Haqimi didail. Dia harus memastikan apakah Haqimi yang mengirimkan gambar-gambar itu kepadanya? Sebaik terdengar suara itu di hujung talian, Suria menarik nafas panjang.

“Ha Suria, aku baru aje nak call kau. Mujur kau dulu yang menelefon.” Suara Haqimi kelihatan lega.

“Qimi, aku nak tanya ni. Kau ada kirimkan gambar-gambar kat tempat kejadian hari ni pada aku tak?” Dia terus mengajukan kemusykilannya.

“Gambar? Gambar apa ni Suria?” Suara Haqimi bertukar nada. Suria terkedu. Mustahil Haqimi tidak tahu tentang email yang dikirimkannya.

“Qimi, kau jangan nak bergurau. Banyak ni, dekat 30 keping. Macamana kau dapat?” Suria mula kurang sabar. Dia terasa seperti lelaki itu sengaja mahu mempersendakannya.

Ketawa Haqimi menyapa gegendang telinganya. Dia mula mengigit bibir. Aduh! Kenapa dengan mamat ni? “Qimi, aku serius ni. Kau jangan nak main-mainkan aku.” Anginnya mula datang.

“Suria…Suria….aku pun serius jugak. Kau cakap apa ni? Kenapa cakap-cakap kau ni langsung aku tak faham? Gambar apa yang kau maksudkan?” Soal Haqimi bertalu-talu.

“Gambar apa lagi? Gambar kat tempat kejadian pagi tadi la. Kes di Puchong tu. Ada orang hantar email gambar-gambar ni pada aku.” Jawab Suria dengan suara mendatar.

“Ala, jangan-jangan Zaman yang kirim tak?” Duga Haqimi selamba.

“Qimi, jangan nak main-mainlah. Mustahil Zaman yang hantar. Masa kami sampai kat sana, Zaman cuma sempat ambil gambar tempat kejadian aje. Yang singgah dalam email aku ni berkeping-keping gambar mayat tu.” Sahut Suria.

Suara Haqimi hilang seketika. Suria menarik nafas panjang. Sampai bila agaknya temannya itu mahu berpura-pura tidak tahu? Dia yakin, malah dia pasti…ini semua kerja Haqimi. Bukankah sebelumnya dia ada meminta Haqimi mendapatkan gambar-gambar awal kejadian dari pihak polis.

“Suria, bawa gambar-gambar tu semua tengahari esok. Aku jumpa kau dekat Warung Pak Soto kat Jalan Petaling.” Ujar Haqimi akhirnya.
Klik. Panggilan telefonnya terputus begitu sahaja. Suria terpegun. Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa aneh dengan kata-kata Haqimi. Betulkah Haqimi tidak tahu apa-apa tentang gambar tersebut? Kalau bukan Haqimi, siapa lagi yang mengirim foto-foto itu semua padanya? Sepanjang malam itu, dia tidak senang duduk. Rasa gelisah membantutkan moodnya sehingga ke pagi.


pic source : link

Monday, January 25, 2010

Prodigy Dalam Penulisan

Beberapa hari yang lepas, aku ada terbaca sebuah majalah berbahasa Inggeris yang menyebut perkataan prodigy secara berulang-ulang. Kalau di dalam kamus, perkataan prodigy boleh didefinsikan sebagai kebolehan, bakat atau anugerah yang diberikan kepada seseorang yang ‘master’ dalam sesuatu bidang dan biasanya bermula sewaktu seseorang individu itu masih muda. Contohnya kalau dia pandai bermain catur sejak kecil, kita boleh gelarkan dia sebagai chess prodigy. Kalau dia pandai bermain alat muzik, dia boleh dipanggil music prodigy dan sebagainyalah.

Sebenarnya aku lebih berminat dengan klausa prodigy tu sendiri berbanding definisnya. Yalah kebiasaan perkataan yang tidak diversimelayukan biasanya mempunyai maksud yang lebih mendalam. Contohnya seperti beberapa perkataan-perkataan di dalam ilmu sains yang tidak boleh dimelayukan..kerana jika dimelayukan, maksudnya akan menjadi kelakar dan tidak sesuai.

Lepas tu aku menonton pula sebuah filem dan anehnya dalam masa beberapa hari, aku mendengar perkataan yang sama disebut. Bezanya perkataan prodigy ini disebut untuk merujuk kepada seorang wanita (di dalam filem tersebut) yang merupakan seorang penulis skrip yang dituduh menciplak hasil karyanya. Karyanya dikatakan meniru sebuah filem Inggeris yang lain sedangkan dia tidak pernah sekalipun menonton filem yang dikatakan itu. Disebabkan hal itu, timbul pelbagai masalah dalam proses penerbitan filem dan dia menerima kecaman tentang kekredibilitiannya sebagai seorang penulis skrip.

Sebenarnya wanita tersebut langsung tidak pernah menciplak skrip yang dihasilkannya. Malah skrip yang dihasilkannya telah ditulis lama sebelum filem yang dikatakan memiliki ciri yang sama itu ditayangkan di negaranya. Meskipun memiliki banyak adegan yang sama, tapi dialog-dialog di dalamnya tidaklah seratus-peratus sama. Tapi kerana kebetulan itu berlaku, maka dia dituduh meniru filem tersebut. Sehinggalah ada teman-temannya membantunya dengan mencari sebab dan logik kenapa skripnya dikatakan mempunyai kesamaan dengan filem tersebut. Maka seorang temannya mengutarakan satu sebab. Iaitu si wanita ini adalah seorang prodigy. Maksudnya di dalam suatu keadaan, terdapat dua atau lebih individu berbeza dianugerahkan dengan bakat dan kebolehan untuk mampu berfikir dalam garisan yang sama yang membawa kepada hasil yang sama. Contohnya skrip tadi!

Di dalam novel, kadangkala kita temui jalan penceritaan yang sama, kisah yang sama, kasih sayang yang sama, adegan yang sama, kelukaan dan kebahagiaan yang sama dan pelbagai lagi perkara yang sama. Ramai orang yang membaca buku A dan kemudian buku B akan mengatakan kedua-duanya mempunyai jalan cerita yang sama sahaja. Tapi apakah penulis A meniru buku penulis B? Jawabnya tidak. Apakah penulis B meniru buku penulis A? Mungkin juga tidak. Di dalam karya, kesamaan tidak mampu dielakkan sama sekali, Kebetulan akan sering terjadi apalagi ruang lingkupnya sama. Katakan kalau dalam novel cinta, kisah kahwin paksa atau love at first sight paling popular berbanding kisah kekeluargaan yang biasa-biasa. Mungkin itu satu sebab yang membawa kepada kesamaan antara penulis, tapi aku percaya plot penceritaan penulis-penulis tersebut tetap berbeza dan memiliki keistimewaan tersendiri. Begitu juga kalau menulis adegan di restoran..watak-wataknya tentu akan memesan makanan, berbual-bual dan mungkin akan bergaduh di meja makan. Setiap penulis yang menulis adegan seperti ini akan menulis benda yang sama, malah kadangkala dialognya hendak tak hendak kadangkala lebih kurang sama. Ini tidak mampu dielakkan lagi.

Bagi aku, tidak ada istilah peniruan dalam penciptaan plot atau kisah yang dicipta untuk anda baca. Ia berlaku hanya secara kebetulan. Kerana penulis biasanya mengutip pengalaman mereka serta orang-orang yang mereka kenal masuk ke dalam sesuatu karakter atau situasi. Malah mereka yang menulis tidak akan tahu apakah karya mereka mempunyai persamaan dengan karya orang lain. Percayalah! Kalau mereka tahu, mereka akan menulis sesuatu yang lain dari yang lain. Hanya pembaca sahaja yang boleh mengesan persamaan itu jika timbul. Oleh itu tak adil dan tak tepat jika dikatakan ramai penulis suka meniru jalan cerita dan karya-karya yang sudah ada di pasaran. Mungkin tema sahaja sama, tapi masing-masing memiliki plot penceritaan yang tersendiri. Katakan sahaja mereka adalah prodigy dalam bidang penulisan. Yang mempunyai jalan berfikir dan kebolehan mencerna situasi yang seiring dan selari. Yes, we are the prodigy! Jadi jangan terkejut kalau dalam sepuluh novel yang anda baca, anda mungkin menemui beberapa darinya yang mempunyai kisah yang lebih kurang sama! It’s life!

pic source : link

Sunday, January 24, 2010

Dialog Poyo

Kena tegur dengan anak murid aku kat kantin sekolah minggu lepas..
[Scene 1]

Cikgu tulis novel ya?

Tak ada. Kenapa?


Kawan kita kata cikgu tulis novel.

Mana ada. Pandai2 aje kawan awak..mana dia tahu saya tulis novel?

Dia dah beli dan baca buku cikgu.

Oh ye ke? Best ke?

Dia kata best.

Ha kalau best, betullah tu memang cikgu yg tulis novel tu..

Hehehe.. (cikgu poyo)

Cuba bayangkan kalau budak tu kata tak best? Entah camanalah reaksi aku. Entah-entah esok datang sekolah, kepala sorok dalam karung plastik. Atau aku selam kepala dalam timba air. Bagi kepala otak masuk air sikit...


Ada orang kata..
pujian boleh buat kita besar diri..


Kata aku...
kalau pujian yang sedikit boleh menggembirakan hati kita..dan mengembalikan semangat kita yang dah luntur dek clorox..
maka terimalah pujian itu dengan berlapang dada..
teruslah menulis dan menulis..
untuk membuatkan orang lain gembira membacanya..

Friday, January 22, 2010

Update Rumah Fantasi 2

Semalam sempat berborak dgn Khar aka abang long Rumah Fantasi, dan berbincang tentang program bengkel penulisan Sci-fi dan Fantasi. Alhamdulillah ia akan diadakan pada musim cuti sekolah pada bulan Jun ini. Pesanan istimewa ditujukan terutamanya buat warga penulis-penulis Rumah Fantasi dan sesiapa yang berminat dengan dunia sci-fi dan fantasi, marilah kita bersama-sama join bengkel ini untuk menambahkan ilmu di dada. Maklumat tentang bengkel ada di bawah.


Kepada yang berminat, sila emel nama penuh, no untuk dihubungi (apabila perlu) ke ejenmanuskrip@yahoo.com

Pembimbing :
Fadli Al-Akiti (sci-fi) dan Ahmad Patria Abdullah (fantasi)
Tarikh : 13 Jun 2010 (Ahad)
Tempat : IYC, Cheras. Sila klik peta ke IYC di
sini.
Masa : 9pagi - 4 petang
Yuran : RM 150.00 - klik
sini
Ahli berdaftar dan sudah membayar yuran - diskaun 20%
Early Bird Fees (3 hari dari tarikh iklan - sila baca peraturan membayar yuran bengkel di atas)
Perserta : 15 - 20 Orang Sahaja
Minum Pagi & Makan Tengahari disediakan

Sijil disediakan
Ada kemudahan surau
sila ke : http://ejenmanuskrip.blogspot.com/

KHAR
013-6963826
ASTAKA VILLA AKSARA (AVA)
http://ejenmanuskrip.blogspot.com/

Thursday, January 21, 2010

Melamun Sakan

Benda yang tak pernah habis duduk dalam kepala otak aku. Duduk depan laptop melamun, nak mandi melamun, baru bangun tidur pun melamun, tengah makan melamun dan nak tidur pun sempat lagi melamun. Apasal dengan aku ni? Masalah dari segi mental ke?

Ada orang melamun sebab banyak sebab. Mungkin sebab baru putus cinta, berhutang keliling pinggang, atau ada masalah nusa dan bangsa nak kena fikir. Aku pulak kuat termenung semata-mata sebab nak karang plot dalam kepala. Ada orang kata melamun ni bahaya, mungkin masa dia tengah bawa kereta atau masa melangkah ke mana-mana. Bimbang takut tersasar ke mana-mana atau jatuh longkang dan sebagainya. Tapi setakat ni aku selamat lagi. Takde lagi kes jatuh longkang, langgar tiang atau parking kereta kat parking lot yang dikhaskan untuk pengetua, disebabkan melamun. Hehehe...

Tapi rasanya tahap melamun aku ni dah kira tahap Red Alert kalau di Area 51. Orang panggil pun tak dengar dah. Mujur kat sekolah tak sempat nak melamun sebab kerja yang bertimbun. Kata orang penulis biasalah kalau melamun. Tapi kalau dah banyak sangat, tak melampau ke tu? Ke ada something wrong somehere dengan aku ni?

Masa jaga SPM hari tu aku melamun jugak. Dengan badan tegak mengadap ke arah budak-budak yang nak jawab SPM. Kunun-kunun nampak macam aku tengah serius pandang diaorang. Padahal fikiran aku dah sampai ke Planet Epsilon 7 dengan Sector X. Tengah mengarang plot Yuna dan Adham dalam kepala. Tengah bayangkan wajah groul yang sedang menanti ketuanya yang sedang bersemadi di Hell Of Pain. Pendek kata macam-macamlah aku bayangkan.

Kelmarin masa aku berhenti kat traffic light 4 penjuru, aku melamun jugak. Natijahnya aku kena hon lima kali dengan kereta kat belakang. Tapi biasalah muka orang yang kurang berangan ni dia ada aura-aura muka blur dengan muka tak malu sikit. Menonong aje aku gerak ke depan. Masa aku belok ke kanan, sempat jugak aku berpaling ke arah kereta yang hadiahkan hon tu kat aku. Fulamak, boleh buat muka hero baru dalam novel ni. Hehe..aik berangan lagi! Kesimpulannya, aku memang tak boleh diselamatkan lagi…

pic source : link

Wednesday, January 20, 2010

Part 8 : The Devil Beside Me

Dia menyua batang aiskrim di mulutnya sambil sibuk memandang orang ramai yang bersesak-sesak di kawasan Petaling Street itu. Sesekali matanya melilau mengerling kenderaan-kenderaan bersimpang siur yang lalu di hadapannya. Namun bayang Umaira tidak jua muncul padahal gadis itu sudah berjanji mahu menjemputnya di situ.

“Isk mana minah ni? Dah dekat sejam dah aku jadi model tak bergaji kat depan taxi stand ni.” Keluh Suria resah. Selepas habis waktu pejabat tadi, dia sengaja keluar mengikut Umaira menaiki kereta apabila tahu gadis itu ada hal di kawasan itu. Lagipun dia mahu membeli jeans di sebuah kedai di Plaza berhadapan dengan Jalan Petaling. Kalau tahu begini, baik aku tak payah ikut. Kalau tidak, dah tentu sekarang ni aku dah sampai rumah sambil baring-baring menonton televisyen, bisik hati kecil Suria.

Tiba-tiba pandangan Suria tertarik pada sebuah kenderaan yang masuk ke laluan teksi. Tak disangka-sangka kereta Honda Civic berwarna hitam metalik itu berhenti betul-betul di hadapannya. Suria tercengang. Dah gila ke orang ni, masuk kawasan laluan teksi?

Cermin kereta itu diturunkan. Suria ragu-ragu mahu menyuluh wajah si pemandu. Sudahnya dia pura-pura memandang ke arah lain. Beberapa ketika, telinganya menyapa bunyi hon yang membingitkan. Dia berpaling. Satu wajah menjenguk keluar dari dalam kereta. Suria terpana. Matanya tak berkelip menatap lelaki yang sedang melontarkan senyuman ke arahnya. Hatinya mencair.

“Cik, tumpang tanya? Macamana nak pergi ke….” Lelaki itu bertanya separuh menjerit. Bunyi bingit kenderaan yang tersusun di jalan raya, sama kuat dengan bunyi muzik yang terpasang di dalam kereta lelaki itu. Suria mengetapkan bibirnya.

“Tak dengarlah encik. Bunyi radio tu kuat sangat.” Suria turut menjerit. Lelaki itu mengangkat tangannya, bagaikan tidak faham apa-apa. Suria segera membuat isyarat sambil jari telunjuknya dipusing-pusing mengarah ke telinganya.

“What?”

“Boleh slow down kan radio tu? Saya tak dengarlah.” Jerit Suria sekali lagi. Lelaki itu segera memperlahankan bunyi muzik yang terpasang di dalam keretanya. Namun belum sempat dia mahu melanjutkan pertanyaan, bunyi hon dari arah belakang pula singgah. Dia segera mengintai cermin hadapan. Suria turut berpaling. Beberapa buah teksi kelihatan sudah berbaris di belakang kereta itu.

Lelaki itu seakan tidak ambil pusing. Dia memandang Suria yang nampak serba salah. “Cik, tahu tak macamana saya boleh ke Jalan Loke Yew? I have to go there, it's very urgent.” Pintanya. Suria mahu menjelaskan tapi entah kenapa hon demi hon yang ditala ke arah pemilik kereta itu, turut sama membingitkan telinganya. Dia mula serba salah. Lagipun pertanyaan lelaki itu benar-benar tidak jelas. Bukankah lebih baik jika lelaki itu menyatakan lebih detail ke mana arah tujuannya. Hendak ditanya, dia bimbang akan memakan masa, tentu akan menyebabkan pemandu-pemandu teksi itu naik marah.

Tanpa berfikir panjang, Suria terus membuka pintu kereta lalu melangkah masuk. Lelaki itu tergaman. Bulat matanya memandang ke arah Suria. Suria melirik lelaki di sampingnya.

“Okey pandu kereta.” Arah Suria.

“Ke mana?”Lelaki itu mengerutkan dahinya. Hairan mendengar kata-kata Suria.

Suria membeliakkan matanya. Alamak dia ni, takkan tak faham-faham lagi, keluh Suria. “Encik, tolong keluar dari kawasan laluan teksi ni. Awak tak tahu ke yang kereta mana boleh sesuka hati masuk ke laluan teksi? Salah besar tu.” Bebel Suria separuh geram. Sudah naik sebal mukanya menahan malu apabila lelaki itu buat-buat tidak faham dengan bunyi hon itu. Padahal hampir semua orang di kawasan itu menjadi penonton setia ke arahnya, bagaikan dia pula yang salah.

Lelaki itu tersenyum. Barulah dia faham kedudukan sebenar. Rupa-rupanya gadis itu sedang membantunya. Dia ketawa kecil, antara dengar dengan tidak. Suria berpaling.

“Nak ke mana tadi? Jalan Loke Yew kan?”

“Yup,” lelaki itu mengangguk.

“Hmm dah dekatlah dengan pejabat saya. Awak jalan lurus saja, nanti saya bagi tahu kat mana patut awak belok. Jalan Loke Yew ni dekat Cheras. Kita ikut Pandan Indah, kurang sikit sesaknya.” Ujar Suria bagai lagak pemandu pelancong. Lelaki itu mengangguk tanpa banyak soal. Keretanya terus dipandu keluar sedikit demi sedikit dari kawasan itu mengarah ke jalan besar.

“Awak kerja kat mana?” Lelaki itu bertanya.

“KZM.” Jawab Suria acuh tak acuh.

“KZM? Syarikat apa tu? Jual tayar?”

Suria tersentak. Biar betul mamat ni! Apa dah gila ke dia ingat aku kerja jual tayar. Apa muka aku ni muka minah jual tayar ke? Suria mengomel sendirian. Panas hatinya mendengar perkataan tanpa usul periksa itu.

“Dah berapa tahun awak tak balik Malaysia” Sindir Suria geram. Lelaki itu menoleh ke arahnya dengan wajah keliru.

“Macamana awak tahu saya baru balik dari oversea?”

Giliran Suria pula yang terkedu. Serentak dia tersengih sendiri dalam hati. Serkap jarangnya mengena pula kali ini. Patutlah lelaki itu tidak tahu apa-apa tentang KZM. Rupa-rupanya dia baru balik ke mari. Tapi tak mungkin kalau dia langsung tak tahu apa-apa, sedangkan stesyen KZM sudah wujud sejak dua puluh tahun yang lalu, fikir Suria.

Dia menjeling lelaki itu diam-diam. Orangnya kacak biarpun hanya berkemeja biasa. Kulitnya boleh tahan cerah, barangkali sebab sudah lama tinggal di luar negara. Rambutnya pendek kemas menampakkan telinga yang bercuping tinggi dari sisinya. Lelaki itu tiba-tiba berpaling, lalu menyapa sepasang matanya yang merenung tanpa izin.

Suria terkedu. Dia tidak sempat melarikan wajahnya. Perasaan malu mula timbul apabila lelaki itu memandangnya sambil tersenyum.

“Kenapa tak jawab pertanyaan saya?” Soal lelaki itu.

“Yang mana satu?” Suria membalas.

“Soalan yang paling baru.”

“Paling baru?” Suria mengerutkan dahinya. Hairan dengan kata-kata lelaki itu. Apa sebenarnya yang dimaksudkannya.

“Maksud saya, bagaimana awak boleh seberani ini masuk ke dalam kereta lelaki yang baru awak kenal? Awak tak rasa sangsi dengan saya?” Soal lelaki itu. Suria tergaman. Dia baru menyedari hakikat itu. Aduh malunya! Dia melontarkan pandangan ke luar tingkap sambil mengetapkan bibirnya. Jelas di telinganya tawa lelaki itu meletus. Suria semakin segan.

“Maaf, saya tak…”

“Tak mengapa. Salah saya sebab malukan awak tadi.” Pintas lelaki itu sebelum sempat Suria menghabiskan kata-katanya. “Tapi saya akan berterima kasih kalau awak sudi bantu saya ke tempat yang saya nak pergi ni.” Sambung lelaki itu lagi.

Suria terdiam. Dah terlanjur dia masuk ke dalam kereta lelaki itu, tentu dia yang malu sendiri kalau menolaknya. Tiba-tiba muncul rasa kesal dalam dirinya kerana membabi buta mengikut lelaki itu. Bagaimana kalau lelaki itu orang jahat atau perogol bersiri yang sering dibacanya di dada akhbar? Diam-diam dia meneliti lelaki itu dengan ekor mata. Mungkinkah?

“Jangan bimbang, saya bukan perogol seperti yang awak sangkakan.” Celah suara itu memintas. Dan untuk beberapa ketika lidah Suria jadi kelu. Lelaki itu bagaikan dapat membaca isi hatinya. Siapakah dia? Angel dari atas sanakah?
pic source : link

Saturday, January 16, 2010

Penyakit Malas

Percaya atau tidak aku dah berhenti menulis sejak dua minggu yang lalu. lately aku sibukkan diri dengan menonton kembali beberapa buah filem yang aku suka tengok dan menghabiskan masa membaca beberapa buah buku yang selama ini aku sangka, aku takkan habis membacanya. Alhamdulillah habis juga. Cuma masalahnya sekarang, aku tak tahu macamana nak berhenti membaca dan menonton.... dan mula menulis semula seperti yang aku lakukan secara rutin sejak empat tahun lalu.


Tak tahu kenapa mood menulis aku tidak ada. Puas aku paksa diri, tapi last-last aku akan buka buku dan membaca sahaja. Dahulu aku akan katakan pada kawan-kawan, jikalau bagaimana sekalipun malasnya kamu untuk menulis, paksa diri siapkan sekurang-kurangnya 5-10 m/s sehari. Tapi aku sendiri sejak dua menjak ni jangan kata nak menulis, nak mengedit novel pun aku malas.


Terbaca dalam blog rose harissa, rupa-rupanya dia pun kekadang ada perasaan malas menulis. Aku dah menulis selama empat tahun, dan aku lakukannya tiap-tiap hari tanpa pernah puas dengan setiap novel yang aku karang. Dalam kepala aku sentiasa ada plot untu novel baru. Malah aku lakukannya dengan gembira sekali. Tapi pelik, sekarang aku dah rasa malas! Someone syor aku patut take a break dan lupakan sekejap dunia penulisan. Patutkah aku stop menulis buat sementara waktu dan buat sesuatu yang berlainan?

Friday, January 15, 2010

Part 7 : New Boss

“Penemuan satu mayat berhampiran Hutan Simpan Air Hitam di kawasan Puchong menimbulkan panik kepada sekumpulan renjer hutan dari Unit Rehabilitasi, Renjer Negeri yang sedang membuat latihan rekreasi di kawasan hutan terbabit malam semalam. Mayat yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah itu ditemui sekitar jam empat pagi tadi masa tempatan. Setakat ini identiti mayat masih belum diketahui. Pihak polis sendiri masih belum membuat apa-apa kenyataan rasmi tentang kes ini. Saya Suria Baharom melaporkan dari KZM News.” Dia tersenyum sesaat dua pada kamera Zaman, sebelum mula menjatuhkan mikrofon yang dipegangnya.


“Dapat?” Matanya dialihkan pada Zaman. Lelaki itu tersengih seraya mengangkat ibu jarinya. Kamera yang dipegangnya dibawa masuk ke dalam van.

“Tapi tak puas hatilah sebab tak sempat capture gambar mayat tu.” Keluh Zaman. Suria terdiam. Betul juga. Kalau dapat ambil gambar mayat tu, tentu Encik Akhbar lagi puas hati. Tidaklah dia asyik dileter bermacam-macam oleh ketuanya itu.

“Tak apalah Zaman, kita balik pejabat dulu. Nanti aku explain kat Encik Akhbar fasal tayar van kita yang pancit ni. Harap-harap dia percaya.” Suria mengeluh seraya memandang ke arah tayar van yang mereka naiki tadi. Entah kenapa, tayar itu tiba-tiba saja meletup di tengah jalan dalam perjalanan mereka ke mari. Mujurlah ada tayar ganti, kalau tidak sampai ke petanglah baru mereka sampai ke kawasan kejadian itu.

Sampai di pejabat, Suria terus melangkah ke unit berita. Beberapa teman-teman sekerjanya ditegur ramah. Melihat kehadiran Suria, Nora yang bekerja sebagai kerani di situ lekas-lekas bangun.

“Suria, Encik Akhbar suruh kau ke bilik meeting, ada mesyuarat tergempar kat sana.” Ujar Nora. Suria mengangguk lalu terus menukar haluan. Tapi terdetik juga rasa hairan di hatinya. Kenapa tiba-tiba saja nak bermesyuarat pada waktu begini?

Dia menguak daun pintu seluasnya. Bunyi keriutan pintu mengalih tumpuan wartawan-wartawan lain yang sudah pun menduduki sebahagian besar kerusi-kerusi di situ. Suria tersengih lalu dengan selamba melangkah masuk. Dia sempat mengerling ke arah Akhbar yang sedang memandangnya. Kerusi di sebelah Rohan ditarik keluar perlahan-lahan. Tubuh kecilnya dilempiaskan di sisi Rohan..

“Baru balik Suria?” Suara Akhbar mencelah sebelum dia sempat duduk. Suria tergaman. Dia memandang Akhbar yang kelihatan serius memerhatikannya.

“Emm…baru balik Encik Akhbar.” Jawab Suria mengangguk.

“Tak mahu jelaskan pada saya kenapa berita terkini kita hari ni cuma ada gambar tempat kejadian? Kenapa tak ada gambar mayat yang dikatakan tu, sedangkan stesyen kita antara yang paling awal mendapat maklumat?” Soal lelaki itu. Suria mula terkedu. Aduh! Inilah yang dia paling malas bila berhadapan dengan lelaki berperut gendut dan hampir botak itu.

“Salah saya Encik Akhbar.” Jawab Suria sambil menjeling Rohan, Alan dan teman-temannya yang lain. Mata Akhbar membulat mendengar kata-katanya.

“Kenapa pula begitu?”

“Sebab…sebab saya tak sepatutnya pakai van stesyen TV kita yang dah buruk tu. Kalau saya tahu tayar van tu dah nak pancit, takkan saya nak bawa van tu ke hulu ke hilir lagi lepas ni.” Ujar Suria menyebabkan teman-temannya yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tersenyum-senyum. Hendak melepaskan tawa secara terang-terangan, mereka semua tidak berani.

“Awak ni macam-macam hal Suria. Ada saja alasan.” Akhbar menggelengkan kepala. Kadang-kadang dia bingung dengan sikap Suria yang sering ambil mudah setiap perkara. Namun diam-diam diakui, meskipun sikap gadis itu bagaikan acuh tak acuh, tapi Suria antara wartawan lokasi yang paling cekap. Gadis itu juga pandai menjalin hubungan dengan pihak polis sehingga mudah mendapat apa saja maklumat yang dikehendakinya. Sebab itu Suria disayangi oleh pihak atasan di stesyen KZM.

“Okay, back to our meeting, tujuan saya panggil kamu semua bermesyuarat hari ni sebab saya nak maklumkan satu perkara. Kamu semua tentu dah tahu tentang Encik Kamaruddin yang akan bersara minggu depan kan? Jadi stesyen ini akan menerima pengganti baru Encik Kamaruddin untuk menduduki posisi Ketua Operasi Stesyen kita ni, selewat-lewatnya sehingga hari Rabu ini. Jadi saya harap semua staf-staf boleh menunjukkan dedikasi dan kerjasama anda pada ketua baru kita nanti.” Ucap Akhbar.

Suria menelan liur. Ketua operasi yang baru? Harap-haraplah sebaik Encik Kamaruddin yang sangat ramah dan mudah tersenyum itu. Jika dapat yang garang, dah tentu dia yang akan menerima bahana nanti.

“Siapa yang akan datang nanti Encik Akhbar?” Soal Umaira sebelum sempat Suria membuka mulut.

“Saya sendiri tak pasti, tapi setahu saya beliau anak Dato’ Hamdan yang baru balik dari luar negara. Mungkin dia orang baru bagi kita semua di sini, tapi dia pernah berkhidmat dengan BBC selama tiga tahun.” Ujar Akhbar.

BBC? Wah hebat tu! Suria tersengih sendirian. Namun senyumannya mati sebaik terasa kakinya ditendang. Samdol betul! Siapa punya kerja ni? Dia menoleh. Alan tersengih memandangnya.

“Suria, kita keluar dinner malam ni nak?” Bisik Alan, pemuda Tionghua yang sememangnya fasih berbahasa melayu. Suria sekadar menjeling lelaki itu. Rohan di sebelah kirinya tertawa kecil. Lucu mendengar pelawaan Alan yang tidak pernah serik memikat Suria sejak lelaki itu bertukar ke Unit Berita setahun yang lalu.

“Bolehlah ya Suria?” Pinta Alan lagi seolah mengharap. Suria tergelak kecil.

“Alan sayang, maaf banyak-banyaklah. Tugas macam aku ni yang selalu cari berita kat sana sini, cuma sesuai makan burger dalam kereta saja. Dinner-dinner ni semua aku tak main. Tak ada masa.” Usik Suria. Rohan tergelak kecil.

“Apalah kau ni Suria, sian apek kita ni. Eloo kawan, asyik nak pasang jerat saja? Habis amoi-amoi yang kat luar tu mana perginya?” Bisik Rohan. Alan segera memasamkan mukanya. Suria tergelak kecil. Terasa lucu dengan telatah teman-teman pejabatnya.

Wednesday, January 13, 2010

Update Rumah Fantasi

Setelah baru seminggu dibuka untuk tatapan umum, dengan gembira saya katakan, blog Rumah Fantasi sudah mempunyai 7 penulis bergabung menghasilkan pelbagai versi kisah-kisah bergenre sci-fi, supernatural, fantasi dan seram dengan hampir 8 versi cerita yang sentiasa diupdate setiap hari. Dan Insya Allah ia akan bertambah dari masa ke semasa.
Antara penulis-penulis yang terlibat dalam Rumah Fantasi ialah :


1) khar (cinta seorang vampira, gothika dan jagabaya)
2) nora ismail (arsalan : antara jin dan manusia)
3) farah husain (the untold story)
4) zuliana abuas aka juliaesqalia (forever ring)
5) anita aruszi (insomnia V)
6) wonderweiss aka Zul (fantasia chronicle)
7) xyver (??)


Berminat untuk mengikuti kisah-kisah ini, layari http://ilhamdanfantasi.blogspot.com

Tuesday, January 12, 2010

Layak Ke Untuk Lepas Geram?

Minggu lepas berborak dengan seorang teman. Then kami cakap-cakap fasal satu produk.Aku kata aku takde duit nak join. Suddenly dia cakap..alah macam kau ni takde duit siapa nak caya? Toksah bohong la.novel ko saja dah banyak mana dah royalti. Aku dah jegil mata dah kat dia. Pantang tok nenek aku bila dengar orang cakap macam ni kat aku.

Lepas tu aku borak-borak pula dengan seorang teman fasal telefon bimbit. Dia tegur telefon bimbit aku yang dah buruk tu. Even adik aku Wawa pun aku hadiahkan telefon Nokia terbaru sempena keputusan cemerlang dia dalam PMR. Takpelah itu apresiasi aku kat dia.Tapi kakak dia still pakai telefon cikai yang keypad dia dah tak boleh nampak nombor-nombor tu. Suddenly again..member aku tu cakap tukarlah telefon tu, dah berkematu dah mata aku tengok (ingatkan kulit je berkematu, mata pun sama ke?) Kau kan banyak duit…novel pun banyak kat pasaran. Sekali lagi aku jegil kat member aku tu. Minggu lepas dengan minggu ni mata aku yang lawa ni aku guna buat menjegil orang aje..

Apasal la diaorang ni? Lahir bulan sama agaknya. Apasal? Sikit-sikit ingat aku ni banyak duit. Asal menulis atau keluar buku diaorang ingat duit aku bertimbun kat bank. Tolonglah please..orang lain mungkin tapi aku tak. Sebenarnya aku sangat excited buku aku keluar kat pasaran. Tapi kalau soal bayaran royalti, aku lebih teruja menanti gaji aku tiap-tiap bulan tu. Rasanya duit gaji lagi bermakna dari duit royalti. Sebab dengan duit gaji tu lah aku bagi belanja untuk bayar bermacam-macam benda dari duit kereta sehingga ke bil-bil dalam rumah. Meskipun ada orang tak hargai apa yang aku buat, tapi aku malas nak fikir panjang. Lepas tu dapat pulak sms bodoh dari orang bangang yang tak tahu apa-apa. Makin aku baca aku sms tu makin aku rasa macam nak gelak. Dalam hati..buang masa je layan orang bangang dan bodoh macam ni. Buat sakit hati aje. Baru dua tiga bulan bayar duit kereta sendiri dah nak berlagak pandai.

Buat member-member aku yang mulut laser tu, aku memang banyak duit pun kat bank tu, jangan tak caya. Tapi aku akan kaya masa umur aku 50 dengan 55 tahun je. Masa tu nak pergi bank pun pakai terketar-ketar agaknya. Hehehe…

Buat orang yang bangang tu pulak, sebelum nak nasihatkan aku kunun-kunun, nilai diri sendiri tu dulu. Sekurang-kurangnya aku tak menyusahkan mak bapak nak tanggung aku dari kecil sampai tua. Masa kat UM bila aku takde duit, aku kerja partime kat kedai bunga untuk duit belanja aku sendiri waktu cuti semester smpi sanggup tak balik rumah. I pay for my own food! That’s me…jadi jangan nak memandai-mandai ajar aku. Fikir baik-baik siapa yang menyusahkan siapa sebenarnya ni? Malas nak cakap banyak, tidur lagi baik!! And please stop send me ur sms yang menyakitkan hati tu. Buat aku menyampah 10x ganda je.

So tersinggung kalau orang lagi muda dari aku tak hormati aku. Lagi tersinggung kalau orang yang paling aku hormati layan orang lain macam raja sampai membenarkan apa sahaja yang entah apa-apa. Very annoying! Tapi sekali lagi perasaan tersinggung aku ni tak pernah dipentingkan..like I care! Lagi satu aku tak pernah berkira duit dengan orang lain, tapi kalau orang berkira dengan aku walau siapa pun dia, meski bibir aku tersenyum, hati kat dalam tetap terasa. Dan juga cukup benci kalau dapat kawan-kawan yang suka ambil kesempatan. Nak berkawan kena give anda take, honey. Kalau asyik nak take aje...jawabnya goodbye ajelah. Sebab tu aku serik nak mencari kawan. Still don't find anyone who can be my truly friend...

P/S : Pernah fikir nak bunuh orang ...tapi akhirnya aku cuma mampu bunuh nyamuk aje.

Sunday, January 10, 2010

Part 6 : Gadis Yang Mencari Mitos

Dua tiga menjak ni bila aku buka balik manuskrip yang dah lama terperap ni untuk diedit dan dicantikkan semula, aku baru perasan rupa-rupanya usia manuskrip ni dah dua tahun dah. Hehehe sepatutnya aku nak buat request dengan adik kepada my sister in law yang menjurus dalam bidang forensik untuk bantu aku dengan kisah MCS ini, tapi aku rasa dia masih terlalu sibuk dengan study dia. Agaknya itu fasallah manuskrip ini masih terperap sebegini lama. Sebelum aku nak keluarkan bahan mentah ni, aku at least kena dapatkan nasihat orang yang pakar sebab kisah ini melibatkan misteri, thriller dan supernatural yang memerlukan ilmu forensik. Selama ini aku terpaksa membuat rujukan dari bahan bacaan mengenai ilmu forensik, tapi sahih atau tidak tetap kena dapatkan pengesahan dari orang yang betul-betul menjurus dalam bidang ini. Apapun, aku akan tetap menanti dia dengan sabar...hehehe..

Hutan Simpan Air Hitam, Selangor-2008

Dia cuba mencelah di tengah-tengah keributan orang ramai yang berada di situ. Zaman yang mengikutnya dari belakang ditarik lebih dekat. Lelaki itu hanya mengekorinya tanpa banyak soal.

“Maaf, tepi sikit dik.” Pintanya pada halangan yang menanti seraya maju ke depan. Namun seorang lelaki berpakaian seragam menghalang.

“Maaf, ini kawasan larangan. Reporter tak boleh masuk.” Larang lelaki itu.

Suria memandang Zaman yang hanya menjongketkan bahu. Sejurus matanya berkalih menuju ke arah lelaki itu semula.

Actually, do you know who I am?” Dia bertanya dengan nada sinis. Lelaki itu menatapnya tidak berkelip.

“Maaf Cik Suria, ini arahan orang atasan. Pegawai forensik tengah buat kerja mereka. Kami tak boleh benarkan orang luar menganggu.” Sahut lelaki itu. Suria mengeluh panjang. Entah bagaimana lagi dia mahu memujuk lelaki itu membenarkan dia mendekati kawasan itu.

Sedang dia termenung, matanya tiba-tiba terpandang kelibat seseorang yang dikenalinya. Suria tersenyum simpul. Selesai satu masalah! Dia menjerit-jerit memanggil lelaki itu. Lelaki itu menoleh. Serentak lelaki itu menghalakan jari telunjuknya ke bibir, meminta gadis itu berdiam diri. Suria hanya tersengih.

“Suria, kau ni selalu buat aku serba salah, kau tahu tak?” Rungut lelaki itu sebaik gadis itu menyatakan hasratnya. Suria tertawa sambil menepuk bahu Haqimi.

“Itulah gunanya kawan, Qimi. Kau tolong aku, aku tolong kau semula.”

“Hai sudahlah kes yang lepas, masak aku kena leter dengan ketua aku. Semuanya gara-gara kau siarkan berita fasal anak menteri tu sebelum sempat kami buat press conference.” Haqimi merungut.

“Itu aku tak sengajalah. Manalah aku tahu pihak polis nak buat statement fasal kes tu. Kau pun tak nak beritahu aku apa-apa. So, macamana dengan mayat tu? Siapa agaknya dia?” Soal Suria sambil mengerling ke arah Zaman. Bagaikan mengetahui apa yang dimahukan oleh Suria, Zaman segera bersedia dengan kameranya. Mereka ditugaskan untuk membuat liputan kawasan penemuan mayat yang ditemui tidak jauh dari kawasan hutan simpan Air Hitam di kawasan Puchong pada awal pagi itu.

Haqimi tidak terus menjawab. Dia memandang sekelilingnya seolah mengawasi jika ada telinga-telinga yang menadah secara rahsia. “Kau dah lambat setengah jam. Mayat tu dah dibawa ke Unit Patologi Forensik HKL untuk bedah siasat.” Jawab Haqimi. Suria mengeluh panjang. Aduh! Tak sempatlah pulak, ini semua fasal van syarikat punya fasallah ni, keluh Suria.

“Siapa yang jumpa?”

Ada sekumpulan renjer hutan buat latihan kat sini malam semalam. Kemudian mereka dengar satu jeritan. Sejam selepas itu, mereka terjumpa mayat tu terbujur berhampiran dengan sebatang pokok sena.”

“Pukul berapa mereka jumpa mayat tu?”

“Lebih kurang pukul 4.30 pagi tadi.” Jawab Haqimi. Lelaki itu tiba-tiba tersengih. “Kalau kau tengok keadaan mayat tu tadi, tentu kau takkan percaya.” Haqimi memandang Suria tidak berkelip.

Suria tergaman. “Maksud kau?”

“Yalah, wajah dia hancur berkecai. Susah pihak polis nak cam. Dan ada kesan luka yang besar dekat tengkuk dia seperti dirabak sesuatu. Mungkin juga kerja binatang buas.”

Suria terdiam. Dia memandang ke suatu arah. Beberapa pegawai penyiasat sedang mencari bukti-bukti fizikal di tempat kejadian. “Identiti mayat macamana?”

“Walaupun mukanya rosak teruk, tapi kami percaya mangsa tu perempuan dari pakaian yang dia pakai. Apapun kita kena tunggu pihak forensik buat post-mortem dulu.”

“Berapa lama?”

“Macam biasa. Paling cepat pun, sehari dua lagi baru kita tahu result.”

“Maksud kau, aku tak ada apa-apa isi untuk dilaporkan?”

Haqimi tersenyum. “Sorry Suria, aku tak boleh bagi maklumat dalaman selagi belum dipastikan. Tapi kalau report tu dah keluar nanti, insya allah..kau yang aku akan maklumkan dulu.” Sahut Haqimi. Suria hanya mengangguk.

“Pokok mana yang kau maksudkan tu? Boleh aku tengok?” Pinta Suria. Haqimi mengeluh. Mahu tak mahu dia menunjukkan ke suatu arah. Suria berpaling. Sebatang pohon besar yang agak rendang dan batangnya kelihatan membongkok, berdiri gagah menghadap ke arahnya.

“Mayat tu dihumban betul-betul di bawah pokok besar tu.” Ujar Haqimi separuh berbisik. Suria terdiam. Matanya masih menatap ke arah pokok yang dimaksudkan Haqimi. Haqimi tiba-tiba membalikkan tubuhnya, membuatkan Suria mengerutkan dahinya.

“Kenapa Qimi?”

“Kau nampak tak lelaki pakai jaket hitam tu?” Bisik Haqimi. Suria tercengang. Lelaki berjaket hitam? Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya. Seorang lelaki sedang tercegat sambil memandang ke arah pokok yang sama. Namun dia tidak nampak wajah lelaki itu.

“Kenapa? Siapa dia?”

“Itu Chief Inspector Izwan dari Unit Siasatan Khas. Dia yang bertanggungjawab terhadap kes ni. Dan aku dengar dia baru ditukarkan ke mari dua bulan lepas. Dulu dia pernah berkhidmat dengan Interpol sebelum lanjutkan pelajaran. Rekodnya cemerlang.” Canang Haqimi.

Mata Suria bercahaya. Dia memusingkan badannya sedikit. Wajah lelaki itu masih tidak jelas. Namun dia sempat melihat kumis tidak kemas di wajah lelaki dari tepi. “He looks young. Berapa umurnya sampai dah naik pangkat jadi Chief Inspector?” Soal Suria ingin tahu. Matanya masih mengintai gerak geri lelaki itu dari jauh.

Haqimi menggeleng. “Entahlah. Tapi aku dengar dia baru tamat sarjana dalam bidang Pentadbiran Sistem Keadilan Jenayah di US. Sekarang ni dia jadi pensyarah sambilan di Maktab Diraja Polis di Kuala Kubu Baru.”

“Hmm. Brilliant man. I like that.” Suria tersenyum acuh tak acuh. Haqimi membeliakkan matanya besar-besar memandang ke arah Suria.

“Dengar sini Suria, kalau kau bertembung dengan lelaki tu, aku nak kau mengelak dari dia.” Sambung Haqimi pantas.

Suria tercengang. Serentak ketawanya meletus.

“Aku serius ni. Lelaki tu panas baran, dan dia bertanggungjawab mengetuai kes ni. Dan aku dengar dia paling tak suka dengan wartawan. So please, stay away from him.” Haqimi memberi amaran.

So what kalau dia tak suka wartawan sekalipun. Aku pun macam dia, hanya menjalankan tugas.” Sahut Suria lalu menoleh. Tapi darahnya berderau sebaik terpandang sepasang mata mencerlung tajam ke arahnya. Dia segera membalikkan tubuhnya lalu memandang Haqimi.

“Qimi, dia dah pandang aku tu. Aku rasa baik aku dengan Zaman cabut dulu. Malam nanti aku call kau semula.” Ujar Suria lalu mengamit Zaman yang masih ralit memfokuskan lensa kameranya. Haqimi sekadar tersengih melihat gerak-geri Suria yang berlalu pergi dari situ. Tahu juga takut!

Thursday, January 7, 2010

Pagi Ceria...

Pagi tadi tengah sedap-sedap tidur, my friend mesej..suruh buka laptop dan tengok link ni..aku pun follow je..wah terus mengantuk jadi hilang berganti rasa seronok pulak bila tengok Street Vendetta tersenarai antara 20 bestseller di Carta MPH. Alhamdulillah..meskipun ini hanya perkara kecil tapi menyuntik semangat yang besar untuk aku menulis.

Sebenarnya aku jarang buka website MPH ni..pertama sebab aku tak pernah beli buku online, kedua aku selalu tak jumpa buku-buku aku di senaraikan di situ..macam hilang ghaib ditelan bumi je. Dan lastly memang aku tak yakin pun buku tu boleh jadi bestseller gak macam buku-buku lain. Hehehe...

Apapun buat sesiapa yang dah membeli dan membaca Street Vendetta, terima kasih yang tak terhingga. Kalau bukan sebab anda yang membeli dan membaca Street Vendetta, sudah pasti si penulis ini takkan berhenti tersengih sepanjang pagi ini. Hehehe dah gila agaknya aku ni!!!

Sekadar Pendapat

Hari ni saya nak mengulas sedikit tentang hal yang diminta tiga rakan blog saya iaitu suhana, farah dan ain mengenai apa yang ditulis oleh seorang penulis di blog beliau. Biarlah saya sebutkan sebagai puan penulis sahaja di blognya. Tapi ini hanya pendapat saya sahajalah selaku orang yang tidak arif dalam bidang undang-undang tapi cuba-cuba merangkak dalam bidang penulisan. Maaflah sebab lambat memberi maklum balas almaklum saya sibuk sangat di sekolah dalam minggu ini.

Pada bacaan awal saya tentang isu menulis di blog dan menulis di versi cetak..saya tahu ramai kawan-kawan saya yang menulis e-novel di blog merasa sangat-sangat takut, bimbang atau mungkin juga keliru dengan hal yang disebut oleh puan penulis. Takut-takut kalau mereka tidak berpeluang untuk menjadi penulis novel seperti yang diimpi-impikan Beliau seorang lulusan dalam bidang undang-undang jadi tentu beliau lebih arif dalam soal ini. Tak dinafikan apa yang dikatakan oleh beliau itu betul kecuali beberapa perkara di dalam tulisan beliau yang mana saya ada pendapat saya sendiri selaku penulis e-novel. Dan pendapat saya ni bukan untuk menidakkan apa yang betul dikatakan oleh beliau. Hanya nak menenangkan hati segelintir kawan-kawan yang inginkan hati mereka ditenteramkan. Hehehe.. layak ke saya ni?

Lupakan sekejap fasal undang-undang. Mula-mula sekali mari kita tanya diri kita kenapa kita menulis di blog? Rasanya semua jawapan sama. Untuk saya, saya menulis di blog sebab inilah medan perjuangan pertama untuk orang yang tak pandai menulis macam saya atau ada ilmu penulisan seperti segelintir penulis yang sudah ada nama. Pendek kata saya perkenalkan karya-karya saya yang akan datang menggunakan medium yang dipanggil blog supaya pembaca lebih mengenali diri saya, apa yang saya tulis dan sebagainya.

Saya menulis sebab minat dan bukan kerana berniat nak masuk pertandingan atau nak menang hadiah dan sebagainya. Karya saya adalah karya komersial bukannya karya sastera. Orang yang menulis karya sastera perlukan guru yang bagus seperti Faisal Tehrani yang berguru dengan sasterawan negara kita. Saya pula tidak pernah ada guru, tidak mampu untuk mencari seorang guru untuk dijadikan bahan rujukan dan sebagainya..dan juga tidak pernah ada bimbingan untuk menulis. Kerana itu saya merasakan diri saya perlu menghadiri satu bengkel untuk mengasah minda dan bakat agar lebih baik. Niat itu sentiasa ada hanya tak kesampaian disebabkan waktu yang suntuk. Saya rasa saya seorang sahaja di rumah saya yang menjalani hidup betul-betul seperti robot dan langsung tidak ada masa untuk benda-benda lain kecuali kerja di sekolah, hal yang memeningkan di rumah dan menulis. Even saya rasa saya dah lama tak keluar jumpa kawan-kawan di luar. Mungkin kawan-kawan saya juga sudah tidak kenal muka saya kalau terserempak di luar. Saya asyik menulis…menulis dan gila menulis all the time.

Siapa sangka proses ‘asyik’ menulis saya inilah antara guru-guru saya. Proses membaca karya-karya orang lain juga adalah guru saya. Malah kalau ada yang pernah membaca karya pertama saya dengan karya keempat atau kelima saya, mungkin akan ada yang perasan perbezaan gaya bahasa yang saya coretkan di dalam buku-buku tersebut. Itu bukti saya sedang belajar. Malah guru utama saya adalah kawan-kawan yang membaca karya saya di blog dan kemudiannya menghantar komen membina. Kadangkala ada yang menegur kesilapan saya di dalam penulisan. Bukankah orang yang menegur itu layak menjadi guru saya? Ya jawab saya mereka sangat layak. Kerana apa? Kerana hanya mereka yang sudi membaca karya picisan saya yang mungkin akan ditolak mentah-mentah oleh syarikat penerbitan. Pendek kata blog adalah medium untuk orang yang sedang bertatih dalam bidang penulisan. Ya benar blog e-novel seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Tapi berapa ramai yang betul-betul menyedari betapa banyaknya karya-karya bagus yang mereka coretkan di blog masing-masing dengan harapan suatu hari nanti akan ada seorang dua penerbit yang sudi melihat dan menerbitkan karya-karya tersebut.

Bagi saya tak semestinya kalau kita dah keluarkan karya di blog, maka kita tak boleh hantar karya tersebut pada penerbit. Sesetengah penerbit sekarang sudah open minded dan menyedari betapa besarnya pengaruh e-novel ketika ini. Kalau tidak masakan Bila YM Berbicara karya Hanni Ramsul berjaya dibukukan, begitu juga dengan Areila Shahimi dengan Baju Pengantin Mak Andamnya. Ini hanya sekadar beberapa contoh karya-karya e-novel berjaya diangkat menjadi karya cetak yang laris. Dan walaupun sudah terbit di blog, peminat-pemina mereka masih mahu membelinya. Memang soal esklusif itu saya akui benar, tapi bagi saya yang penting di sini tetap ialah perjanjian antara si penulis dengan pihak penerbit. Jika pihak penerbit bersetuju untuk mencetak karya-karya e-novel anda yang sudah tidak esklusif, maka secara automatiknya anda adalah penulis novel..bukan lagi penulis e-novel (upgraded)..Tapi jangan gembira dulu dengan kenyataan saya ini..sebab bukan semua penerbit akan menjadi ‘open minded’ dan saya masih menyokong serba-sedikit kenyataan puan penulis dalam blog beliau. Hehe…

Untuk supaya memudahkan kawan-kawan, biar saya khabarkan situasi saya. Sebab saya tak pandai term-term dalam undang-undang, maka saya mudahkan dengan cara begini. Semua ini adalah pengalaman saya dengan pihak penerbit saya. Syarikat A dan Syarikat B (contoh)..

SITUASI A
Saya menulis dengan syarikat A dan B. Firstly saya menulis e-novel di blog, kemudian saya mencuba-cuba hantar dengan syarikat A. Then syarikat A terima novel saya dan minta saya delete entry-entry yang saya pamerkan buat di blog. Saya lakukan dengan senang hati. Next after that, syarikat A call lagi dan minta saya letakkan sehingga 10 chapter untuk novel yang sebelumnya dia minta saya delete. Katanya sebagai promosi di blog. Pun saya buat dan ikuti. Tak lama lepas tu saya sign kontrak dan novel saya ada di pasaran.

Benda yang sama juga berlaku pada next novel sy dengan syarikat A..maksudnya syarikat A terima cara begini dan tidak ada apa-apa masalah pun antara kami tentang situasi ini. Maka bagi saya perkara ini dah selesai. Mungkin syarikat A merasakan cara begini adalah cara termudah, tercepat dan terlaris untuk memasarkan novel di bawah jenama yang sama. Kontrak antara saya dan syarikat A juga berjalan lancar. Malah kini Syarikat A juga telah menerbitkan banyak karya-karya dari penulis e-novel lain. Maksud saya kat sini..hal ini adalah antara kita dan pihak penerbit, bukan dengan orang ketiga.

Situasi B
Saya menerbitkan e-novel di blog. Kemudian menghantarnya pada syarikat B. Kemudian syarikat B hubungi saya dan minta saya delete entry-entry yang saya letakkan di blog. Saya ikut sahaja apa yang diminta, kemudian saya sign kontrak dan terbitkan novel dengan Syarikat B. Sekarang entry-entry untuk novel Syarikat B memang tidak ada di blog saya. Faham? Bermakna saya dan Syarikat B telah bersetuju untuk tidak mempromosikan novel saya dengan Syarikat B di blog. So inilah perbezaan antara dua keadaan yang nampak sama tapi tak serupa :

Di blog, saya ada mencatatkan bahawa saya tak mungkin akan menerbitkan keseluruhan kisah novel yang saya tulis di blog. Kerana saya berhasrat untuk menerbitkannya pada masa akan datang dalam versi cetak. Kata-kata saya dan apa yang saya inginkan sudah cukup jelas tertera pada dinding blog. Jadi nasihat saya pada kawan-kawan, kalau berhasrat nak cetakkan novel anda, sebaiknya jangan terbitkan semuanya di blog. Cukup sebagai teaser jadilah. Tapi kalau anda berhasrat nak letakkan semuanya, itu hak anda. Dan akan menjadi hak penerbit itu pula samaada nak terima karya anda yang telah diterbitkan kesemuanya di blog atau nak tolak.

Macam saya, saya selalu tunjukkan 1/5 atau paling banyak 2/5 sahaja hasil karya saya untuk anda tatap. Selebihnya ia akan disimpan di dalam versi cetak untuk anda beli jika sudi. Sekurang-kurangnya itu sudah cukup untuk melihat sejauh mana sambutan pembaca terhadap karya-karya saya. Dan bagi saya itu juga satu kelebihan untuk saya, sebab saya tahu perlu atau tidak saya versicetakkan buku itu berdasarkan smbutan pembaca yang follow. Satu kelebihan buat pembaca sebab mereka boleh buat pilihan samaada nak membeli ataupun tidak serta satu kelebihan buat penerbit kerana ianya sedikit sebanyak dapat membantu promosi awal pihak penerbit. Itu lebih baik dari anda membaca sinopsis yang menarik dibelakang buku tapi kecewa bila membaca isi di dalamnya. Saya tahu sebab saya selalu menghadapi keadaan yang sama sewaktu nak membeli bahan bacaan saya sendiri.

Secara kesimpulannya, anda tidaklah perlu terlalu gusar. Kita ambil yang postif dan mana-mana yang dicadangkan oleh puan penulis. Bagi pendapat saya puan penulis hanya memberi komentar berdasarkan apa yang terbaik untuk anda dan apa yang betul menurut undang-undang cetak. Soal etika pula, maaflah saya tak pandai nak mengulas tentang isu ini. Malah soal etika tidak pernah saya fikirkan sebelum ini, sebab bagi saya asalkan saya tidak menulis bahan bacaan lucah atau songsang maksudnya, maka saya tidak kisah jika dikatakan tidak beretika semata-mata kerana menulis di blog. Lagipun saya perlukan pembaca dan follower sebelum buku saya boleh diletakkan di kedai-kedai buku. Kerana saya tidak ingin buku saya sekadar dipandang tanpa dibeli, disentuh dan dibaca. Tapi sekali lagi lain orang lain caranya, lain publisher lain ragamnya. Anda berhak menentukan sendiri bagaimana haluan yang anda mahu pilih untuk menjadi seorang penulis. Sebab ada di kalangan kita yang mungkin tidak bernasib baik untuk karya mereka dipilih oleh penerbit. Tapi hal ini tetap antara anda dengan pihak penerbit anda. Jika anda mendapat penerbit yang open minded seperti penerbit A saya, maka anda boleh tersenyum lega. Tapi jika anda mendapat seperti penerbit B saya..maka hormatilah permintaan mereka dan segera delete entry2 anda. Itu sahaja yang boleh saya berikan sebagai pendapat. Kalau ada yang tidak setuju, tersinggung dan marah dengan pendapat saya, seribu kali maaf saya ucapkan..saya hanya insan kerdil yang banyak kekhilafan..harap maaf ya. Harap yang inginkan pendapat saya itu boleh menerimanya dengan senang hati dan jangan kelirukan diri sendiri okey??
 

Template by Blogger Candy