UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Friday, January 15, 2010

Part 7 : New Boss

“Penemuan satu mayat berhampiran Hutan Simpan Air Hitam di kawasan Puchong menimbulkan panik kepada sekumpulan renjer hutan dari Unit Rehabilitasi, Renjer Negeri yang sedang membuat latihan rekreasi di kawasan hutan terbabit malam semalam. Mayat yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah itu ditemui sekitar jam empat pagi tadi masa tempatan. Setakat ini identiti mayat masih belum diketahui. Pihak polis sendiri masih belum membuat apa-apa kenyataan rasmi tentang kes ini. Saya Suria Baharom melaporkan dari KZM News.” Dia tersenyum sesaat dua pada kamera Zaman, sebelum mula menjatuhkan mikrofon yang dipegangnya.


“Dapat?” Matanya dialihkan pada Zaman. Lelaki itu tersengih seraya mengangkat ibu jarinya. Kamera yang dipegangnya dibawa masuk ke dalam van.

“Tapi tak puas hatilah sebab tak sempat capture gambar mayat tu.” Keluh Zaman. Suria terdiam. Betul juga. Kalau dapat ambil gambar mayat tu, tentu Encik Akhbar lagi puas hati. Tidaklah dia asyik dileter bermacam-macam oleh ketuanya itu.

“Tak apalah Zaman, kita balik pejabat dulu. Nanti aku explain kat Encik Akhbar fasal tayar van kita yang pancit ni. Harap-harap dia percaya.” Suria mengeluh seraya memandang ke arah tayar van yang mereka naiki tadi. Entah kenapa, tayar itu tiba-tiba saja meletup di tengah jalan dalam perjalanan mereka ke mari. Mujurlah ada tayar ganti, kalau tidak sampai ke petanglah baru mereka sampai ke kawasan kejadian itu.

Sampai di pejabat, Suria terus melangkah ke unit berita. Beberapa teman-teman sekerjanya ditegur ramah. Melihat kehadiran Suria, Nora yang bekerja sebagai kerani di situ lekas-lekas bangun.

“Suria, Encik Akhbar suruh kau ke bilik meeting, ada mesyuarat tergempar kat sana.” Ujar Nora. Suria mengangguk lalu terus menukar haluan. Tapi terdetik juga rasa hairan di hatinya. Kenapa tiba-tiba saja nak bermesyuarat pada waktu begini?

Dia menguak daun pintu seluasnya. Bunyi keriutan pintu mengalih tumpuan wartawan-wartawan lain yang sudah pun menduduki sebahagian besar kerusi-kerusi di situ. Suria tersengih lalu dengan selamba melangkah masuk. Dia sempat mengerling ke arah Akhbar yang sedang memandangnya. Kerusi di sebelah Rohan ditarik keluar perlahan-lahan. Tubuh kecilnya dilempiaskan di sisi Rohan..

“Baru balik Suria?” Suara Akhbar mencelah sebelum dia sempat duduk. Suria tergaman. Dia memandang Akhbar yang kelihatan serius memerhatikannya.

“Emm…baru balik Encik Akhbar.” Jawab Suria mengangguk.

“Tak mahu jelaskan pada saya kenapa berita terkini kita hari ni cuma ada gambar tempat kejadian? Kenapa tak ada gambar mayat yang dikatakan tu, sedangkan stesyen kita antara yang paling awal mendapat maklumat?” Soal lelaki itu. Suria mula terkedu. Aduh! Inilah yang dia paling malas bila berhadapan dengan lelaki berperut gendut dan hampir botak itu.

“Salah saya Encik Akhbar.” Jawab Suria sambil menjeling Rohan, Alan dan teman-temannya yang lain. Mata Akhbar membulat mendengar kata-katanya.

“Kenapa pula begitu?”

“Sebab…sebab saya tak sepatutnya pakai van stesyen TV kita yang dah buruk tu. Kalau saya tahu tayar van tu dah nak pancit, takkan saya nak bawa van tu ke hulu ke hilir lagi lepas ni.” Ujar Suria menyebabkan teman-temannya yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tersenyum-senyum. Hendak melepaskan tawa secara terang-terangan, mereka semua tidak berani.

“Awak ni macam-macam hal Suria. Ada saja alasan.” Akhbar menggelengkan kepala. Kadang-kadang dia bingung dengan sikap Suria yang sering ambil mudah setiap perkara. Namun diam-diam diakui, meskipun sikap gadis itu bagaikan acuh tak acuh, tapi Suria antara wartawan lokasi yang paling cekap. Gadis itu juga pandai menjalin hubungan dengan pihak polis sehingga mudah mendapat apa saja maklumat yang dikehendakinya. Sebab itu Suria disayangi oleh pihak atasan di stesyen KZM.

“Okay, back to our meeting, tujuan saya panggil kamu semua bermesyuarat hari ni sebab saya nak maklumkan satu perkara. Kamu semua tentu dah tahu tentang Encik Kamaruddin yang akan bersara minggu depan kan? Jadi stesyen ini akan menerima pengganti baru Encik Kamaruddin untuk menduduki posisi Ketua Operasi Stesyen kita ni, selewat-lewatnya sehingga hari Rabu ini. Jadi saya harap semua staf-staf boleh menunjukkan dedikasi dan kerjasama anda pada ketua baru kita nanti.” Ucap Akhbar.

Suria menelan liur. Ketua operasi yang baru? Harap-haraplah sebaik Encik Kamaruddin yang sangat ramah dan mudah tersenyum itu. Jika dapat yang garang, dah tentu dia yang akan menerima bahana nanti.

“Siapa yang akan datang nanti Encik Akhbar?” Soal Umaira sebelum sempat Suria membuka mulut.

“Saya sendiri tak pasti, tapi setahu saya beliau anak Dato’ Hamdan yang baru balik dari luar negara. Mungkin dia orang baru bagi kita semua di sini, tapi dia pernah berkhidmat dengan BBC selama tiga tahun.” Ujar Akhbar.

BBC? Wah hebat tu! Suria tersengih sendirian. Namun senyumannya mati sebaik terasa kakinya ditendang. Samdol betul! Siapa punya kerja ni? Dia menoleh. Alan tersengih memandangnya.

“Suria, kita keluar dinner malam ni nak?” Bisik Alan, pemuda Tionghua yang sememangnya fasih berbahasa melayu. Suria sekadar menjeling lelaki itu. Rohan di sebelah kirinya tertawa kecil. Lucu mendengar pelawaan Alan yang tidak pernah serik memikat Suria sejak lelaki itu bertukar ke Unit Berita setahun yang lalu.

“Bolehlah ya Suria?” Pinta Alan lagi seolah mengharap. Suria tergelak kecil.

“Alan sayang, maaf banyak-banyaklah. Tugas macam aku ni yang selalu cari berita kat sana sini, cuma sesuai makan burger dalam kereta saja. Dinner-dinner ni semua aku tak main. Tak ada masa.” Usik Suria. Rohan tergelak kecil.

“Apalah kau ni Suria, sian apek kita ni. Eloo kawan, asyik nak pasang jerat saja? Habis amoi-amoi yang kat luar tu mana perginya?” Bisik Rohan. Alan segera memasamkan mukanya. Suria tergelak kecil. Terasa lucu dengan telatah teman-teman pejabatnya.

0 comments:

 

Template by Blogger Candy