UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Wednesday, January 27, 2010

Part 9 : Gambar Misteri

Suria memutar anak kunci ke dalam lubang kunci. Sesaat dua dia mula menolak daun pintu. Matanya mencari-cari kelibat ayahnya, namun tidak bertemu.
Suria menutup kembali daun pintu serapatnya. Dia segera melangkah menuju ke ruang tamu. Tubuhnya direbahkan ke salah satu sofa di situ. Badannya terasa penat setelah sehari suntuk berkejar ke dua lokasi berita dalam satu hari. Lepas itu dia ke bilik editing pula menyunting berita tentang kemalangan kereta yang berlaku di Damansara. Semua itu terpaksa disiapkan segera untuk disiarkan dalam berita perdana malam ini.


“Dah balik?” Tegur suatu suara. Suria menoleh. Seorang lelaki separuh umur memakai baju melayu dan bersongkok berdiri di tepi anak tangga, sedang memandang ke arahnya. Suria tersenyum.

“Suria ingatkan ayah tak balik lagi. Suria tak nampak kereta ayah kat garaj tadi.” Dia membalas. “Kereta ayah rosak, masuk bengkel.” Lelaki itu melangkah turun lalu menuju ke arah anak gadis itu. Dia membuka skrin televisyan di hadapannya lalu duduk di samping Suria.

“Ayah nampak berita Suria tadi. Apa kes kat sana?” Baharom menoleh. Suria terdiam. Dia tersenyum kecil.

“Polis jumpa mayat berhampiran Hutan Simpan Air Hitam. Tapi kami tak sempat nak snap gambar mayat tu, sebab tiba-tiba saja van kami pancit dekat simpang nak ke Puchong. Mujur Zaman pandai tukarkan tayar tu.” Keluh Suria.

“Kes bunuh?”

“Entahlah ayah, belum pasti. Kena tunggu ‘post-mortem’ keluar. Sekumpulan renjer jumpa mayat tu masa mereka tengah buat latihan kat hutan tu. Encik Akhbar marah sebab kami tak dapat tangkap gambar mayat kat tempat kejadian. Tapi esok Suria nak jumpa Haqimi, takut-takut kalau dia boleh tolong tunjukkan gambar-gambar mayat tu pada Suria.”

“Suria nak buat apa kalau dapat gambar tu?” Baharom menjegilkan biji matanya.

“Saja Suria nak tengok ayah. Lagipun tak puas hati lah kalau tak tengok sendiri. Lagipun ayah kan tahu Suria suka dengan benda-benda ni semua. Encik Akhbar suruh Suria buat follow-up.” Suria tergelak.

Baharom terdiam. Dia menumpukan perhatian pada skrin televisyen yang sedang menayangkan sebuah filem barat.

“Ayah tengok cerita apa ni?” Mata Suria turut dialihkan ke arah skrin televisyen. Cerita Hollywood dengan adegan tembak-menembak memang menjadi tontonan kegemaran ayahnya sejak dulu.

“Entahlah, pasang-pasang saja dah ada cerita ni. Oh ya, makanan ada kat bawah tudung saji kalau Suria nak makan.” Ujar Baharom seraya mengerling ke arah anaknya.

“Tak apalah ayah. Suria nak naik atas dulu mandi, lepas tu tidur. Penat sangat badan Suria hari ni!” Suria bingkas bangun dari tempat duduknya.

“Jangan lupa solat,” pesan Baharom. Suria mengangguk lalu tertawa kecil. Dia segera melangkah menuju ke biliknya. Beg sandang miliknya dicampak begitu sahaja ke atas meja. Perkara pertama yang dibuatnya ialah membuka laptopnya sebelum tubuhnya dihempaskan ke atas katil.

Sambil menanggalkan butang bajunya satu persatu, fikiran Suria menerawang jauh. Dia tersenyum sendiri mengingatkan kejadian petang tadi. Kelakar pun ada. Mujurlah lelaki itu bukannya lelaki jahat seperti yang tertera dalam kepalanya sekilas lalu. Tapi apa lelaki itu buat di Stesyen KZM? Dia mengerutkan dahinya.

Sangkanya lelaki itu tidak tahu di mana letaknya Stesyen KZM. Tapi melihatkan lelaki itu lancar memandu memasuki kawasan stesyen itu, dia mulai naik hairan. Namun belum sempat dia mahu bertanya, lelaki itu menerima pula panggilan telefon. Kereta Honda Civic lelaki itu berhenti betul-betul di hadapan lobi stesyen TV tempat dia bekerja.

Dia memandang lelaki itu. Namun lelaki itu hanya acuh tak acuh memandangnya sambil mengisyaratkan agar dia keluar dari kereta. Mahu tak mahu dia menurut dengan perasaan ragu-ragu. Lagi pula dia tidak mahu menganggu perbualan lelaki itu. Tapi sebaik dia turun, kereta lelaki itu terus menderum laju meninggalkannya sebelum sempat dia mengucapkan terima kasih. Terkulat-kulat dia memandang dengan wajah kelat. Kata nak tahu kat mana Jalan Loke Yew, tapi menonong aje lelaki itu beredar tanpa mempedulikannya. Sedikit sebanyak dia rasa cuak juga dengan sikap lelaki itu. Tapi itu semua hanya seketika. Perasaan lucu pula singgah sebaik dia teringatkan peristiwa tadi.

Suria ketawa sendiri. Macam-macam hal orang kat dunia ni, keluhnya dengan sisa-sisa tawa yang belum habis. Ah, buat apalah aku sibuk-sibuk nak jaga tepi kain orang. Mandi lagi bagus! Bisik Suria. Dia bingkas bangun dari katilnya lalu segera mencapai tuala yang tergantung di bidai katil. Namun belum sempat kakinya melangkah ke bilik air, dia terdengar satu isyarat datangnya dari arah skrin laptop. Suria terus menuju ke arah laptopnya. Email?

Dia mengerutkan dahinya. Tanpa berlengah, dia segera membuka inbox emailnya. Tapi alamat email, tanpa nama pengirim yang tertera membuatkan dia dipagut rasa hairan. Siapa pulak ni? Tambah dia hairan apabila lampiran email yang diterimanya kosong sahaja. Tapi matanya terpandang attach files di bahagian bawah. Dia segera menekan butang klik. Beberapa ketika, Suria tergaman. Apa yang dilihatnya membuatkan tubuhnya tiba-tiba gementar.

* * * *

Sepanjang malam dia berteleku di hadapan laptopnya. Setiap fail yang diterimanya dalam bentuk format jpg di susun kembali dalam satu folder mengikut urutan-urutan masa yang tertera pada setiap imej. Setelah dicongak, hampir 30 keping imej semuanya berada di dalam folder itu.

Dia memerhatikan setiap imej dengan teliti. Beberapa keping gambar yang diterimanya benar-benar membuatkan bulu romanya meremang. Dia nampak jelas bentuk mayat yang terbujur di tepi akar banir pokok yang diambil secara zoom in. Wajah mayat itu memang menggerunkan. Hampir sebelah mukanya terkoyak menampakkan isi yang merah pucat, bebola mata mangsa itu juga hampir tersembul keluar. Suria bersandar di belakang kerusi. Nafasnya dihela dalam resah.

Dia segera mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Nombor telefon Haqimi didail. Dia harus memastikan apakah Haqimi yang mengirimkan gambar-gambar itu kepadanya? Sebaik terdengar suara itu di hujung talian, Suria menarik nafas panjang.

“Ha Suria, aku baru aje nak call kau. Mujur kau dulu yang menelefon.” Suara Haqimi kelihatan lega.

“Qimi, aku nak tanya ni. Kau ada kirimkan gambar-gambar kat tempat kejadian hari ni pada aku tak?” Dia terus mengajukan kemusykilannya.

“Gambar? Gambar apa ni Suria?” Suara Haqimi bertukar nada. Suria terkedu. Mustahil Haqimi tidak tahu tentang email yang dikirimkannya.

“Qimi, kau jangan nak bergurau. Banyak ni, dekat 30 keping. Macamana kau dapat?” Suria mula kurang sabar. Dia terasa seperti lelaki itu sengaja mahu mempersendakannya.

Ketawa Haqimi menyapa gegendang telinganya. Dia mula mengigit bibir. Aduh! Kenapa dengan mamat ni? “Qimi, aku serius ni. Kau jangan nak main-mainkan aku.” Anginnya mula datang.

“Suria…Suria….aku pun serius jugak. Kau cakap apa ni? Kenapa cakap-cakap kau ni langsung aku tak faham? Gambar apa yang kau maksudkan?” Soal Haqimi bertalu-talu.

“Gambar apa lagi? Gambar kat tempat kejadian pagi tadi la. Kes di Puchong tu. Ada orang hantar email gambar-gambar ni pada aku.” Jawab Suria dengan suara mendatar.

“Ala, jangan-jangan Zaman yang kirim tak?” Duga Haqimi selamba.

“Qimi, jangan nak main-mainlah. Mustahil Zaman yang hantar. Masa kami sampai kat sana, Zaman cuma sempat ambil gambar tempat kejadian aje. Yang singgah dalam email aku ni berkeping-keping gambar mayat tu.” Sahut Suria.

Suara Haqimi hilang seketika. Suria menarik nafas panjang. Sampai bila agaknya temannya itu mahu berpura-pura tidak tahu? Dia yakin, malah dia pasti…ini semua kerja Haqimi. Bukankah sebelumnya dia ada meminta Haqimi mendapatkan gambar-gambar awal kejadian dari pihak polis.

“Suria, bawa gambar-gambar tu semua tengahari esok. Aku jumpa kau dekat Warung Pak Soto kat Jalan Petaling.” Ujar Haqimi akhirnya.
Klik. Panggilan telefonnya terputus begitu sahaja. Suria terpegun. Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa aneh dengan kata-kata Haqimi. Betulkah Haqimi tidak tahu apa-apa tentang gambar tersebut? Kalau bukan Haqimi, siapa lagi yang mengirim foto-foto itu semua padanya? Sepanjang malam itu, dia tidak senang duduk. Rasa gelisah membantutkan moodnya sehingga ke pagi.


pic source : link

0 comments:

 

Template by Blogger Candy