UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Tuesday, June 1, 2010

Bahasa Jiwa Bangsa


Sebenarnya aku bukanlah pejuang bahasa..jauh sekali pandai bertatasusila dalam berbahasa. Aku bukan pelajar aliran sastera pun, cuma minat dan cinta aku pada penulisan sahaja yang menyatukan aku dengan bahasa melayu secara lebih erat.

Di dalam novel, aku mengarap karya-karyaku dengan cara tersendiri. Menyedari diri masih lemah, maka aku belajar memperbanyakkan perbendaharaan kata melalui bahan bacaaan dan juga kamus dewan.Setiap kali mendengar perkataan baru disebut, aku akan pastikan aku tahu apa maksudnya sebelum menggunakannya. Pendek kata, aku tidak kisah untuk belajar sesuatu yang baru setiap hari walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Bila membaca sebuah novel yang begitu bertertib penggunaan bahasanya, aku membacanya dengan niat untuk belajar. Tapi bila aku bertanya pada diri sendiri, apakah aku akan menggunakan bahasa bertertib itu dalam dialog watak-watak imaginasiku? Jawapan yang aku boleh berikan tidak semudah itu. Menulis mesti menggunakan kosa kata yang betul, ritma yang betul, ejaan yang betul dan laras bahasa yang cantik tersusun. Itu yang aku titikberatkan selama ini. Tapi membayangkan watak-watak ciptaanku berdialog dengan apa yang disifatkan sebagai ‘skema’, maka aku mempunyai pendapat dan persepsi sendiri.

Manusia-manusia di sekeliling kita bercakap bahasa melayu yang normal. Maksud normal ialah rentak perbualan seharian yang tidak janggal di telinga. Tapi jika ada seseorang individu membahasakan dirinya gua-lu, haprak, blah la lu, tangkap cintan, tangkap leleh, jiwang karat, best gila atau sebagainya, itu dikira perkataan-perkataan tambahan yang banyak digunakan oleh orang melayu pada masa kini. Sedar tak sedar ramai yang menggunakannya ketika berbual. Bagi aku ianya tak salah digunakan dalam novel jika yang berdialog ialah watak seorang mat rempit, kaki dadah atau sekumpulan remaja, asalkan ianya tidak digunakan secara keterlaluan. Lagipun mustahillah kalau mat gian berdialog guna dialog tertib kan? Hehehe…faham maksud aku?

Tapi bila aku ‘blog walking’ dari satu blog ke satu blog yang lain dan membaca catatan-catatan para blogger, aku temui banyak gaya-gaya penulisan yang agak sakit dipandang mata dan seksa untuk dibaca. Sedih pun ada bila melihat remaja berblog menggunakan bahasa-bahasa ringkas yang agak extreme. Mungkin kalau dalam bentuk catatan ringkas tidak mengapa bagi aku (bagi pakar bahasa memang tak boleh langsung). Tapi bila mereka menulis e-novel menggunakan perkataan-perkataan ringkas yang agak keterlaluan, aku dah jadi trauma dan fobia. Bayangkan bukan dialog sahaja yang menggunakan gaya penulisan begini, tapi juga naratifnya. Aduhai…

Aku bukanlah pandai sangat menulis pun. Masih belajar. Dan aku juga bukan suka sangat ayat skema dalam novel. Aku suka bahasa yang ringkas dan kemas. Tapi aku juga tidak sukakan bahasa rojak yang dieja dengan style remaja punk bercakap. Perkataaan giler (gila), kowang (kau orang), semart (smart), watpe (buat apa), heran (hairan), xde (takde), bahye (bahaya) dan banyak lagi sampai tak terkira. Ini memang aku pangkah dalam kamus hidup aku.

Buat adik-adik yang suka menulis e-novel, menulislah dengan daya kreatifmu, tapi elakkanlah dari merosakkan bahasa melayu secara keterlaluan. Jangan mencalarkan bahasa kita yang sememangnya cantik untuk dipersembahkan pada audien. Kalau para sasterawan negara tengok ni, memang menitis airmata darah agaknya! Kalau umur belasan tahun menulis dengan gaya begini, entah bagaimana mereka tulis karangan bahasa melayu di sekolah? Hahaha nak membayangkan sahaja pun aku jadi seriau.

4 comments:

agent_sesat said...

fuhh~~~ saya sendiri pun kadang-kadang susha faham kak~~

:) remaja sekarang dah lain~~

Keluduk said...

itulah gaya penulisan remaja masa kini. Dengan perkataan-perkataan yang diubah suai sesuka hati yang boleh menyebabkan sati hati dibuatnya.
Tapi itulah rentetan yang berlaku apabila pihak yang bertanggunjawab seperti DBP mula hilang taringnya.

...mungkin sepuluh tahun nanti, keindahan dan kesenian bahasa melayu mula hilang biarpun kata Hang Tuah " Tak kan hilang melayu di dunia."

fadxiora said...

Saya pun agak kecewa juga bila baca enovel yang guna bahasa singkatan tahap melampau macam tu. Jalan cerita best tapi bila tengok bahasa macam tu terus tak ada minat lagi nak membaca. Mungkin sebab tak ada orang yang nak tegur.

Anita Aruszi said...

mmg sedih bila baca, sakit hati pun ya jugak..mcm kaseh cakap jalan cerita tu best tapi jadi cacat dengan ejaan yang tak patut diubah.

sy tahu pun sebab kadang-kala saya blog walking bila ada yang invite utk melihat rumah..tapi menemui perkara-perkara begini..

tak salah nak menulis ringkas, contohnya kalau kita menulis text sms, email atau catatan di blog..dibolehkanlah sebab mungkin kalau tulis panjang bimbang tak muat ruang..tapi kalau menulis sebuah novel online..sebaik-baikna jangan menulis sebegitu rupa. kasihan orang yang baca. cuba klu yang baca tu jenis tak kisah, malah dikautnya pula istilah-istilah yang stylish tadi, lepas tu disebarkan pula pada kawan-kawan mereka, kalau berterusan..insya allah menjelang 2020, semua remaja akan menulis seperti itu..haru biru KPM nanti..

 

Template by Blogger Candy