Wednesday, June 9, 2010

Di Mana Picisannya Sesebuah Karya?

Pernah dengar istilah novel picisan atau novel popular? Istilah ini digunapakai oleh individu-individu yang hendak membezakan karya bercorak komersial dengan karya-karya sastera berat. Kenapa hendak dibezakan ya? Untuk apa?

Terus terang aku tidak gemar dengan istilah novel picisan. Muak mendengarnya. Peluang untuk ‘blog walking’ di beberapa blog sejak beberapa tahun yang lalu menemukan aku dengan individu-individu yang masih menggunakan perkataan picisan ini. Picisan itu aku anggap perkataan yang merendah-rendahkan karya penulisan novel yang ada sekarang ini. Dengar sahaja dah boleh terasa tahap kehinaan tu. Katakan sahaja aku paranoia, tapi aku rasa ramai penulis novel bersetuju dengan pendapat aku ni.

Kalau dalam kamus dewan, perkataan picisan itu bermaksud tidak berharga dan rendah mutunya. Jadi wajarkah kita ketawa selamba saat orang lain melabelkan novel-novel kita novel picisan? Entah sejak bila novel picisan bertukar menjadi novel popular. Mungkin untuk melembutkan sedikit istilah yang sejak bertahun-tahun lamanya digunakan dengan bebas dan tanpa sekatan.

Sedihnya setelah sekian lama tidak mendengar istilah novel picisan ini disebut, aku ditakdirkan blog walking di blog seorang penulis yang agak senior dalam bidang penulisan. Di situ aku menemukan kembali perkataan picisan ini, disebut olehnya dengan cara yang agak menjengkelkan. Kononnya penulis-penulis hari ini tidak ada ilmu, hanya pandai menulis karya-karya picisan sahaja. Ingin rasanya aku bertanya pada penulis tersebut. Apa yang membuatkan sesebuah karya itu layak digelar picisan pada pandangannya? Apakah hanya kerana novel itu berunsurkan cinta dan kasih sayang, maka ia terus dilabel sebagai picisan? Dan paling best aku teringin nak tanya, bila kali terakhir dia membaca novel-novel yang dikatakannya picisan ini? Opps tentu sahaja dia tidak pernah membacanya. Kerana novel-novel hari ini mungkin tidak setaraf dengan ilmu penulisannya yang sangat hebat. Ironikan, semua orang yang menganggap novel popular itu sebagai novel picisan, sebenarnya jarang atau tidak pernah membaca novel-novel ini.

Bagaimana seorang penulis yang berada dalam dunia penulisan yang tak berapa nak besar ni boleh berkata begini pada karya-karya orang lain? Hebat sangatkah dia sehingga dengan senang lenang menganggap karya-karya orang lain tidak ada harganya berbanding karya-karya sastera yang ditulisnya? Apakah kami yang dikatakan penulis novel picisan ini hanya menulis dengan menutup mata pada anggapannya? Tahulah dia betapa kami juga sentiasa membuat kajian dan perincian sebelum menulis untuk memberikan fakta yang tepat kepada pembaca?

Abah aku seorang lelaki biasa. Meskipun sudah bersara dari kerajaan dan kini menetap di rumah sepenuh masa. Tapi fikirannya tidak membeku meskipun sudah tidak bertugas di pejabat. Di rumah, novel-novel aku anaknya sering dibelek-beleknya. Kadangkala dia mencadangkan aku menulis tentang sesuatu yang baru. Kadangkala bila aku bingung dengan tajuk novel yang aku garap, dia akan bersama-sama memberi buah fikiran. Kadangkala sehingga aku ketawa sendiri sebab ideanya agak tidak logik dan kelakar. Paling aku ingat saat dia berkata ketika menyentuh novel-novel aku. Katanya, bukan senang hendak menjadi penulis. Bukan mudah untuk menulis sesuatu karya. Dan ia sungguh mengagumkan bila karya-karya kita dibaca oleh orang lain. Ketika dia berkata begitu, aku melihat ada perasaan bangga di wajahnya. Meskipun dia tahu aku hanya menulis karya yang diistilahkan orang sebagai picisan, tapi dia tidak pernah lupa mempromosi karya aku pada teman-temannya. Jadi mengapa tidak individu yang memanggil diri mereka penulis, tidak pandai menghormati karya-karya penulis lain? Bukankah kita semua sama sahaja? Tak ada bezanya antara penulis walau apa sahaja genre yang dibawanya. Sastera atau komersial, itu hanya label! Yang penting kita sama-sama menulis dengan tangggungjawab dan fungsi masing-masing.

Berikut adalah rentetan soalan yang pernah ditanyakan oleh seorang wartawan kepada aku beberapa minggu yang lalu berkenaan karya sastera dan karya popular. Tak tahulah jawapan aku kena atau tidak, tapi itulah jawapan sejujurnya dari persepsi aku sendiri. Tapi tak bestnya skrip jawapan aku ini tidak disiarkannya, mungkin ruang dalam kolum tu tak cukup agaknya. Hehehe..

SOALAN
Ada tanggapan novel popular (atau komersil ikut istilah cikgu), penulisannya kurang serius dan manfaat kepada pembaca tidak lebih daripada menghibur saja. Apa pandangan cikgu sebagai penulis yang juga novelis?

JAWAPAN AKU
Menurut pendapat saya, tak kira samaada ia novel popular(komersial) atau pun karya sastera, kesemuanya memberi manfaat tersendiri berdasarkan corak pemikiran seseorang pembaca. Biasanya hanya seorang pembaca sahaja yang tahu apa yang mahu disampaikan oleh si penulis. Tapi orang yang tidak pernah membaca novel-novel begini, biasanya akan melahirkan persepsi mereka secara rambang sahaja.

Mungkin kerana novel-novel komersial pada hari ini lebih banyak bertemakan cinta, maka ia dilabel sebagai kurang serius dan bermanfaat. Tapi sekali lagi orang yang melabel novel-novel ini hanya memandang dan memberi tanggapan dari sisi luaran sahaja. Cukupkah sekadar dengan hanya melihat kulit novel dan tajuknya sahaja? Kenapa tidak dibelek dan dibaca? Ada banyak novel bertemakan cinta dan kasih sayang pada hari ini yang diadun dan disuntik dengan pelbagai elemen-elemen kemanusiaan yang sarat, nilai-nilai murni, menghormati ibu bapa dan guru, menjauhi bentuk-bentuk gejala sosial yang tidak sihat dan sebagainya.

Sebagai seorang novelis, saya sendiri menulis novel dengan ilmu, dengan banyak membaca dan membuat rujukan. Ia bukan satu kerja mudah hanya sekadar menghadap laptop dan menulis berdasarkan imaginasi sendiri. Ada manuskrip-manuskrip yang saya tulis bercerita tentang ilmu kedoktoran dan forensik, undang-undang dan amalan kepolisian. Ada juga yang bercerita tentang perjalanan dalam sesebuah syarikat. Malah manuskrip terbaru yang sedang saya usahakan sekarang bercerita tentang unsur-unsur sains, sejarah dan bidang arkeologi.

Memang diakui, novel bercorak komersial lebih popular dan mempunyai bilangan pembaca yang lebih ramai berbanding novel-novel sastera. Mungkin kerana gaya bahasanya lebih mudah difahami, mempunyai klimaks dan peleraian yang ketara, mempunyai plot yang menarik dan mengujakan serta dibangunkan dengan laras-laras bahasa yang mempunyai persona tersendiri. Tapi tidak wajar jika dikatakan novel-novel komersial begini tidak bermanfaat. Malah saya berpendapat novel komersial adalah sebuah novel terapi yang amat sesuai untuk minda yang lebih terbuka dan segar.


Jadi tanya diri kita sendiri? Di manakah picisannya?

13 comments:

Farahusain said...

Macam Nita cakap, kita pun bukan menulis ikut hentam keromo saja. Kita pun buat kajian, homework sebelum nak mulakan karya kita tu. Macamana penulis2 hebat ni bersengkang mata menyiapkan karya mereka, macam itu jugalah kita. Mereka buka kamus dewan untuk buat rujukan perkataan, kita pun buat perkara yang sama. Walaupun kita tak menggunakan bahasa melayu tinggi dalam karya, tapi nahu dan tatabahasa yang kita gunakan masih tidak mencemarkan keindahan bahasa melayu itu sendiri. Serupa juga macam mereka. Tapi sayang, itu semua tak dipandang mereka. Sedihkan?

Novel popular akan terus dilabel picisan. Tak kan mereka nak tukar persepsi mereka tu. Yang penting penulis2 novel popular ni kena terus kuat semangat untuk menulis. Biarlah beratus penulis tersohor dalam kelompok sastera berat ni labelkan kita penulis picisan, yang penting kita kena berasa bangga dengan hasil karya kita.

Hehehe...hari ni entah kenapa terlebih emo pula bila bercerita pasal bidang ni. dunia penulisan ni satu masa dulu (sebelum saya mula menulis) saya anggap indah dan menggembirakan. Tapi bila dah masuk satu kaki, semuanya tak seperti yang dibayangkan. Dugaan...

Mazni Aznita said...

farah:

betul tu..walaupun bahasa melayu kita tidak setinggi yang digunakan, sekurang-kurangnya perbendaharaan kata kita menggunakan rujukan kamus dewan dan digunakan dengan betul. Itu yang penting dalam novel. Dan matlamat kita untuk pastikan orang membaca tu tercapai.Bagaimana nak didik atau beri ilmu pada orang, jika dari awal..orang sudah tidak berminat membaca buku tersebut. Kalau dalam konteks ini, saya rasa novel popular lebih berjaya dari karya sastera berat. Mereka ada pengikut mereka sendiri bukan sebab kisah yang dipaparkan dalam novel popular, tapi sebab salah individu tertentu yang tidak mempromosikan karya-karya berat ini. tengok aje kt kedai buku, kita ada satu rak yang penuh dgn novel tapi kita tak ada satu rak yang penuh dengan karya sastera..kalau ada buku tu hanya terselit satu dua sahaja..dan bila ini berlaku karya popular yg disalahkan sedangkan kita ada DBP yang memperjuangkan karya sastera, tapi buku2 ini hanya dijual di kedai jenama DBP sahaja dan bukan kedai-kedai seluruh tanahair.itu yang menyedihkan..

Sebuah buku atau karya, walau senipis mana pun ia, mahal atau murah atau apa juga kisah di dalamnya, tetap adalah sebuah karya yang hebat.Seperti yang ayah saya katakan Bukan Mudah Untuk Menulis Sebuah Buku...bila memegang pada kata-kata ini, sy sentiasa menghargai apa sahaja buku yang ada dalam simpanan saya. Tp walau apapun kita tidak wajar dipandang sebelah mata kerana karya kita bkan karya picisan. Kalau kita dianggap picisan, maka karya utk kanak-kanak juga dianggap picisan sbb ia bukan karya sastera. Cuba fikir, takkan budak sekolah umur 7 8 tahun nak baca buku sastera? hehehe..tentuklah amat tidak logik..

Unknown said...

Masa studi dlu dh selalu sgt kna kutuk bt cite picisan. nvl cnta tgolek tepi jln la... bygkn sorg pnsyrah ckp mcm tu.. kt mna pjuangan bhsa yg dia pgang?

tp yg pnting bku puisi dia (pensyarah tu) ada pkataan cinta jgk. motif? tu la, ludah langit kna muka sndri.

apa pun yg ptg pnulis tu cba mberi info n mnyemarakkan bdya mbca. peace

Camellia MK (Maria Kajiwa) said...

Jangan ambil hati,kita teruskan. Kita tahu niat kita baik, kita buat cara baik.Insya-Allah dengan izin Tuhan segalanya akan baik juga.

Mereka bukan tak tahu cuma...

Mazni Aznita said...

heheh novel cinta tergolek tepi jalan? yang k nita pernah dgr.."bersepah novel cinta macam dah tak ada benda lain nak tulis". lagi satu ayat.."huh penulis zaman sekarang buat duit mengkayakan diri sendiri dgn mengkhayalkan orang lain je." ..hehe kasar betul bunyinya kan..

kalau anda tidak suka pada novel cinta, belilah buku ilmiah dan baca menambahkan ilmu, dari duduk sibuk mengata novel orang novel picisan..hehe orang lain mmbaca karya bertema cinta dgn mngmbil sudut2 tertentu yang positif utk dijadikan pengajaran, dia pula pilih tema itu sendiri utk dinegatifkan..

Mazni Aznita said...

kak maria, klu sy dgr para pembaca melabel karya-karya yg ada sekarang sebagai picisan, mybe sy tidak perlu menulis di blog begini.

tapi kali ini sy mendengar dari seorang individu yang memanggil dirinya penulis. Ia mengecewakan saya tanpa disedari.

tapi cakap k maria tu betul, benda ni bukan isu baru lagi..dah lama para penulis diperkotak-katikkan dengan isu begini..

Keluduk said...

walaupun saya bukan seorang penulis novel, tetapi geram juga bila ada orang dengan mudahnya tanpa berfikir panjang meluahkan kata-kata begitu.

Gerammmmmm amat!!!!

Tapi seperti kekawan kita katalah, jangan kita layan sangat orang-orang begini. Yang rasa syok dan bangga sendiri begini. Entah-entah apa orang lain kata tentang novelnya.

Jadi, pada cg nita..teruskan usaha menulis novel tu. Saya adalah seorang peminat novel cg.

Keluduk said...

Geramnya!!!!! bila ada orang-orang begini, yang memperlekehkan tulisan orang lain.

Cg Nita...jangan dilayan sangat orang begini. Jadikan ianya sebagai satu cabaran untuk terus berkarya.

Hidup cg Nita.

Mersik said...

Kim salam kat abahnya ya, hik hik

Izza Hani said...

saya nak ulas perkara ni dalam blog juga sebab saya sendiri dalam dilema apabila mempersoalkan di mana picisnya sesuatu karya popular itu. terima kasih kepada nita kerana mencetuskan persoalan yang bagai 'the never ending story'.

Mazni Aznita said...

cikgu keluduk,

terima kasih atas sokongan yang tak berbelah bahagi. saya bukanlah emosi sgt berkenaan hal ni cuma nak mempertahankan kami ni penulis-penulis novel yang dianggap karya picisan.sedangkan picisan itu perkataan yang menghina dan tak patut dikatakan..kalau orang yang berkata itu benar-benar seorang penulis sejati, dia takkan tergaman nak beranggapan begitu pada karya-karya orang lain..

Mazni Aznita said...

pokcik mersik,

salam sudah disampaikan.dia tersengih aje..hahahaha

Mazni Aznita said...

izza aka hani

kita dah masuk blog hani dan baca artikel tu..thnks kerana menyokong pendapat saya dengan artikel hani sendiri. tak ramai penulis akan defend diri sendiri dengan anggapan-anggapan sebegini.ada yang kata pada saya, tak usah ambil peduli. tapi sy beranggapan satu penghinaan melalui perkataan picisan harus dinyatakan secara terbuka agar pihak yang menggunakan perkataan ini secara bebas sedar yang kita para penulis tidak gemar dengan istilah yang mereka berikan dan tolong jaga perasaan penulis-penulis novel popular. walpun karya kita taklah 'terangkat' sangat bahasanya tapi kita masih mengutamakan bahasa, mutu dan fakta yang tepat dalam berkarya.peace

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com