Beberapa hari ini sebenarnya aku rasa agak terkilan sedikit. Tapi untuk elakkan perasaan terkilan ini bercambah menjadi celaru, maka aku sibukkan diri dengan menyelesaikan report PEKA Sains anak-anak murid aku. Tapi perasaan sedih itu tetap terasa...
Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa. Sebenarnya adik aku Aiza dah masuk hari keempat berada di wad di Hospital Besar Kuala Terengganu. Dia dibawa masuk ke hospital setelah muka dan kedua belah kakinya bengkak-bengkak. Sebenarnya ini bukan kali pertama mukanya bengkak-bengkak begitu. Kali pertama dulu, kami ingatkan ia sekadar alergik pada sesuatu. dan selepas dia pulang dari Kuala Lumpur kerana temankan adik aku interview, dia macam tak sihat dan demam-demam. Dua hari dia MC dan tak pergi mengajar.Tapi lepas habis MC, dia mengajar macam biasa. Tapi bengkak kat muka dia tak surut-surut. So kami hantar dia ke klinik. Dan doktor di klinik syorkan kami terus bawa dia ke hospital besar untuk pemeriksaan sebab doktor syak dia mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan paru-paru berair.
Sekarang ini hari keempat dia menjalani pelbagai ujian. Hampir tiap-tiap hari dia kena suntik dengan 4 atau 5 jarum suntikan. Kasihan pula aku tengok dia. Tekanan darah dia pula punyalah tinggi sehingga mencecah 154/110...even ayah aku yang mengidap darah tinggi pun tak kena setinggi itu. Dahlah kelmarin aku sempat menatap seorang jururawat yang suntik ubat pada adik aku punyalah kasar sampai adik aku dan berkerut-kerut tahan sakit.
Apa yang aku terkilankan ialah aku tak boleh kerap melawat dia sebab aku sekolah petang. Pukul 12.30 dah turun nak pergi sekolah dan balik pulak pukul 6.30 petang. Sedangkan masa melawat di hospital ialah 12-2 dan 5 -7. Kelmarin sahaja aku pecut dari sekolah dekat 100km/j untuk sampai ke hospital melawat dia. Tepat pukul 6.50 aku sampai ke hospital dan tak keluar-keluar dari wad dia sehingga dekat pukul 8 malam. aku buat tak peduli je bila ada nurse jeling-jeling aku. Pedulilah asal aku nampak adik aku cukuplah!
Satu lagi benda yang aku terkilan ialah fasal cuti. Kelmarin aku cuba minta-minta cuti dengan pihak pentadbir sekolah (petang) sebab nak ambil turn jaga adik aku, lagipun aku kasihan kat adik aku Zura yang terpaksa berulangalik ke hospital. Lagipun CRK aku banyak lagi, dan last aku ambil CRK ialah pada bulan 8 masa konvo adik aku kat Perlis. Tapi malangnya tak diberi.Alasannya...buat apa nak jaga adik, kan dah ada jururawat di hospital tu. Biarlah jururawat tu yang jaga. Begitulah bunyi kata-kata itu ditujukan pada aku. terus-terang cakap telinga aku memang berdesing mendengarnya. Terkedu dan terkecewa...lagi-lagi diucapkan oleh orang yang juga sakit. Aneh kan!
Mudahnya orang lain bercakap kalau bukan jatuh pada ahli keluarga sendiri.Kenapa hendak diharapkan jururawat yang ada di hospital untuk jaga ahli keluarga kita? Kitalah yang sepatutnya ambilberat tentang ahli keluarga sendiri. Kita yang sepatutnya temani dia dan beri kata-kata dorongan padanya. Sebab bagi orang sakit, ahli keluargalah yang mereka nak tengok, bukannya muka jururawat yang bersepah kat hospital tu. Terfikir juga aku, apakah selama ini waktu dia dimasukkan ke hospital tak pernah ditemani ahli keluarga, hanya jururawat sahaja yang menjaganya barangkali!
Aku pun jadi pelik, kenapa nak halang aku ambil CRK yang memang hak aku? Lagipun aku nak cuti ikut peraturan. Kali terakhir aku ambil CRK bulan 8 bermakna CRK aku ada jarak-jarak masa yang dibolehkan. Dan aku nak ambil CRK bukan nak pergi holiday atau pergi shopping kat mana-mana. Aku cuma nak habiskan masa dengan adik aku sahaja. Salahkah? Kalau tak nak beri sekalipun, janganlah buat keluar ayat yang boleh buat airmata aku mengalir.
P/S : Patutlah orang lain minta cuti tak pernah melalui dia..Ada sebab rupanya..aku yang terlebih hormat konon-kononnya..Maaflah kalau ada kengkawan satu sekolah yang terbaca luahan ni.. Aku tengah sedih dan kuciwa ni..