Dua tiga menjak ni bila aku buka balik manuskrip yang dah lama terperap ni untuk diedit dan dicantikkan semula, aku baru perasan rupa-rupanya usia manuskrip ni dah dua tahun dah. Hehehe sepatutnya aku nak buat request dengan adik kepada my sister in law yang menjurus dalam bidang forensik untuk bantu aku dengan kisah MCS ini, tapi aku rasa dia masih terlalu sibuk dengan study dia. Agaknya itu fasallah manuskrip ini masih terperap sebegini lama. Sebelum aku nak keluarkan bahan mentah ni, aku at least kena dapatkan nasihat orang yang pakar sebab kisah ini melibatkan misteri, thriller dan supernatural yang memerlukan ilmu forensik. Selama ini aku terpaksa membuat rujukan dari bahan bacaan mengenai ilmu forensik, tapi sahih atau tidak tetap kena dapatkan pengesahan dari orang yang betul-betul menjurus dalam bidang ini. Apapun, aku akan tetap menanti dia dengan sabar...hehehe..
Hutan Simpan Air Hitam, Selangor-2008
Dia cuba mencelah di tengah-tengah keributan orang ramai yang berada di situ. Zaman yang mengikutnya dari belakang ditarik lebih dekat. Lelaki itu hanya mengekorinya tanpa banyak soal.
“Maaf, tepi sikit dik.” Pintanya pada halangan yang menanti seraya maju ke depan. Namun seorang lelaki berpakaian seragam menghalang.
“Maaf, ini kawasan larangan. Reporter tak boleh masuk.” Larang lelaki itu.
Suria memandang Zaman yang hanya menjongketkan bahu. Sejurus matanya berkalih menuju ke arah lelaki itu semula.
“Actually, do you know who I am?” Dia bertanya dengan nada sinis. Lelaki itu menatapnya tidak berkelip.
“Maaf Cik Suria, ini arahan orang atasan. Pegawai forensik tengah buat kerja mereka. Kami tak boleh benarkan orang luar menganggu.” Sahut lelaki itu. Suria mengeluh panjang. Entah bagaimana lagi dia mahu memujuk lelaki itu membenarkan dia mendekati kawasan itu.
Sedang dia termenung, matanya tiba-tiba terpandang kelibat seseorang yang dikenalinya. Suria tersenyum simpul. Selesai satu masalah! Dia menjerit-jerit memanggil lelaki itu. Lelaki itu menoleh. Serentak lelaki itu menghalakan jari telunjuknya ke bibir, meminta gadis itu berdiam diri. Suria hanya tersengih.
“Suria, kau ni selalu buat aku serba salah, kau tahu tak?” Rungut lelaki itu sebaik gadis itu menyatakan hasratnya. Suria tertawa sambil menepuk bahu Haqimi.
“Itulah gunanya kawan, Qimi. Kau tolong aku, aku tolong kau semula.”
“Hai sudahlah kes yang lepas, masak aku kena leter dengan ketua aku. Semuanya gara-gara kau siarkan berita fasal anak menteri tu sebelum sempat kami buat press conference.” Haqimi merungut.
“Itu aku tak sengajalah. Manalah aku tahu pihak polis nak buat statement fasal kes tu. Kau pun tak nak beritahu aku apa-apa. So, macamana dengan mayat tu? Siapa agaknya dia?” Soal Suria sambil mengerling ke arah Zaman. Bagaikan mengetahui apa yang dimahukan oleh Suria, Zaman segera bersedia dengan kameranya. Mereka ditugaskan untuk membuat liputan kawasan penemuan mayat yang ditemui tidak jauh dari kawasan hutan simpan Air Hitam di kawasan Puchong pada awal pagi itu.
Haqimi tidak terus menjawab. Dia memandang sekelilingnya seolah mengawasi jika ada telinga-telinga yang menadah secara rahsia. “Kau dah lambat setengah jam. Mayat tu dah dibawa ke Unit Patologi Forensik HKL untuk bedah siasat.” Jawab Haqimi. Suria mengeluh panjang. Aduh! Tak sempatlah pulak, ini semua fasal van syarikat punya fasallah ni, keluh Suria.
“Siapa yang jumpa?”
“Ada sekumpulan renjer hutan buat latihan kat sini malam semalam. Kemudian mereka dengar satu jeritan. Sejam selepas itu, mereka terjumpa mayat tu terbujur berhampiran dengan sebatang pokok sena.”
“Pukul berapa mereka jumpa mayat tu?”
“Lebih kurang pukul 4.30 pagi tadi.” Jawab Haqimi. Lelaki itu tiba-tiba tersengih. “Kalau kau tengok keadaan mayat tu tadi, tentu kau takkan percaya.” Haqimi memandang Suria tidak berkelip.
Suria tergaman. “Maksud kau?”
“Yalah, wajah dia hancur berkecai. Susah pihak polis nak cam. Dan ada kesan luka yang besar dekat tengkuk dia seperti dirabak sesuatu. Mungkin juga kerja binatang buas.”
Suria terdiam. Dia memandang ke suatu arah. Beberapa pegawai penyiasat sedang mencari bukti-bukti fizikal di tempat kejadian. “Identiti mayat macamana?”
“Walaupun mukanya rosak teruk, tapi kami percaya mangsa tu perempuan dari pakaian yang dia pakai. Apapun kita kena tunggu pihak forensik buat post-mortem dulu.”
“Berapa lama?”
“Macam biasa. Paling cepat pun, sehari dua lagi baru kita tahu result.”
“Maksud kau, aku tak ada apa-apa isi untuk dilaporkan?”
Haqimi tersenyum. “Sorry Suria, aku tak boleh bagi maklumat dalaman selagi belum dipastikan. Tapi kalau report tu dah keluar nanti, insya allah..kau yang aku akan maklumkan dulu.” Sahut Haqimi. Suria hanya mengangguk.
“Pokok mana yang kau maksudkan tu? Boleh aku tengok?” Pinta Suria. Haqimi mengeluh. Mahu tak mahu dia menunjukkan ke suatu arah. Suria berpaling. Sebatang pohon besar yang agak rendang dan batangnya kelihatan membongkok, berdiri gagah menghadap ke arahnya.
“Mayat tu dihumban betul-betul di bawah pokok besar tu.” Ujar Haqimi separuh berbisik. Suria terdiam. Matanya masih menatap ke arah pokok yang dimaksudkan Haqimi. Haqimi tiba-tiba membalikkan tubuhnya, membuatkan Suria mengerutkan dahinya.
“Kenapa Qimi?”
“Kau nampak tak lelaki pakai jaket hitam tu?” Bisik Haqimi. Suria tercengang. Lelaki berjaket hitam? Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya. Seorang lelaki sedang tercegat sambil memandang ke arah pokok yang sama. Namun dia tidak nampak wajah lelaki itu.
“Kenapa? Siapa dia?”
“Itu Chief Inspector Izwan dari Unit Siasatan Khas. Dia yang bertanggungjawab terhadap kes ni. Dan aku dengar dia baru ditukarkan ke mari dua bulan lepas. Dulu dia pernah berkhidmat dengan Interpol sebelum lanjutkan pelajaran. Rekodnya cemerlang.” Canang Haqimi.
Mata Suria bercahaya. Dia memusingkan badannya sedikit. Wajah lelaki itu masih tidak jelas. Namun dia sempat melihat kumis tidak kemas di wajah lelaki dari tepi. “He looks young. Berapa umurnya sampai dah naik pangkat jadi Chief Inspector?” Soal Suria ingin tahu. Matanya masih mengintai gerak geri lelaki itu dari jauh.
Haqimi menggeleng. “Entahlah. Tapi aku dengar dia baru tamat sarjana dalam bidang Pentadbiran Sistem Keadilan Jenayah di US . Sekarang ni dia jadi pensyarah sambilan di Maktab Diraja Polis di Kuala Kubu Baru.”
“Hmm. Brilliant man. I like that.” Suria tersenyum acuh tak acuh. Haqimi membeliakkan matanya besar-besar memandang ke arah Suria.
“Dengar sini Suria, kalau kau bertembung dengan lelaki tu, aku nak kau mengelak dari dia.” Sambung Haqimi pantas.
Suria tercengang. Serentak ketawanya meletus.
“Aku serius ni. Lelaki tu panas baran, dan dia bertanggungjawab mengetuai kes ni. Dan aku dengar dia paling tak suka dengan wartawan. So please, stay away from him.” Haqimi memberi amaran.
“So what kalau dia tak suka wartawan sekalipun. Aku pun macam dia, hanya menjalankan tugas.” Sahut Suria lalu menoleh. Tapi darahnya berderau sebaik terpandang sepasang mata mencerlung tajam ke arahnya. Dia segera membalikkan tubuhnya lalu memandang Haqimi.
“Qimi, dia dah pandang aku tu. Aku rasa baik aku dengan Zaman cabut dulu. Malam nanti aku call kau semula.” Ujar Suria lalu mengamit Zaman yang masih ralit memfokuskan lensa kameranya. Haqimi sekadar tersengih melihat gerak-geri Suria yang berlalu pergi dari situ. Tahu juga takut!
No comments:
Post a Comment