Thursday, December 23, 2010

Demam Korea

Kalau nak bercerita fasal demam korea ni..sebenarnya dah lama aku demam sejak aku belajar kat universiti lagi. Tapi dalam radio sekarang ni demam korea ni makin menjadi-jadi, siap ada lagu korea dalam radio, kerap pulak tu. Kat astro pun siap ada channel khas untuk drama-drama korea sahaja. Hehe..lawak! Aku sempat berborak-borak dengan seorang kawan tempohari. Katanya, eh kau perasan tak Malaysia kita dah dihujani demam korea? Aku senyum aje. Apa nak pelik? Mereka baru demam korea padahal aku dah lama dah..kalau tidak takkan koleksi CD/DVD Korea aku dah mencecah ratusan yang dikumpul sejak aku mula-mula menjejakkan kaki ke universiti. Itu belum masuk DVD Taiwan dan Jepun serta filem-filem yang menambahkan koleksi aku. Aku juga ada koleksi lagu-lagu korea yang hampir mencecah 1000. Kebanyakannya dikumpul dan didownload sejak 6 tahun yang lalu. Hehe sebab tu banyak..

Bila Wonder Girls mula terkenal di Malaysia, aku gelak je tengok semua orang dok minat kat lagu tu, siap buat ringtone lagi. Memang lagu Nobody tu best, tapi peminat tegar macam aku yang dah dengar hampir seribu lagu tangkap leleh Korea, lagu tu biasa-biasa je bagi aku. Lagipun aku dengar koleksi lagu korea aku ni hampir setiap hari setiap kali aku nak menulis diselang-seli dengan lagu anuar zain yang CDnya hampir rosak sebab asyik diputar setiap kali nak menulis atau nak tidur. Hehe…sekarang pun sedang dengar lagu korea.

Satu lagi aku sekarang dah naik gila dengan channel One HD, SHX dan KBS. Selain layan drama korea, aku juga dah addicted dengan rancangan-rancangannya yang berbentuk rencana dan hiburan. Antaranya ialah Star King, 2 Days 1 Night, Love in Asia dan juga Change. Memang best! Tapi paling aku suka tengok ialah Star King yang cukup menghiburkan dan unik. Hodong yang menjadi pengacara Star King dah jadi macam bapak angkat aku hehehe.. Rancangan ni menunjukkan bakat seseorang yang unik sampai kita pun tak terfikir yang ia boleh dibuat. Love in Asia berkisar dokumentari tentang perkahwinan campur antara warga asing dengan orang Korea. Rancangan ni seronok ditonton sebab kita boleh tengok bagaimana orang pelbagai bangsa bertutur dalam bahasa hanguk dan mempunyai anak-anak campuran yang comel-comel. Kadang-kala ada part sedih yang boleh buat kita nangis.

2 Days 1 Night pula rancangan yang kelakar bagi aku. Hodong dan Jong Min yang muncul dari Star King turut muncul dalam 2 Days 1 Night. Rancangan ni tentang 6 celebrity yang pergi ke tempat-tempat pelancongan di Korea tapi lebih kepada rancangan realiti dan spontan. Bayangkan mereka tak boleh pergi ke tempat tu sebab ada ribut tapi time tu jugak mereka tukar tempat. Dialog-dialog diaorang dalam rancangan tu memang kelakar. Tiba-tiba aku terfikir kalaulah Afdlin, Awie, AC Mizal dan geng2 mereka yang lain berkumpul dan buat rancangan yang sama macam 2 Days 1 Night mesti best gila.hahaha..

P/S : Masih terbayang-bayang lagi dialog Awie dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah..”Oii Kak Limah, buek ape tu? Masuklah…kang kena kokak dek nyamuk tu baru tau!” Hehehe..siapa belum tengok baik pi tengok..

Tuesday, November 23, 2010

Why Me? Whyyyy??

Sejak tiga minggu lalu aku berperang dengan demam, batuk, selsema dan sakit kepala. Itu belum sebut sakit perut la, sakit kaki la..haha macam orang tua je semua sekali sakit. Hehe tp memang dah tua pun..itu peringatan tu sebenarnya dari yang kat atas tu.

Dalam tempoh ni banyak aku ignore call, ignore message dan temujanji dengan kawan-kawan. Maaflah semua. Aku memang tak larat sangat. Ada satu hari suara aku tak keluar tapi aku terpaksa juga ke sekolah untuk uruskan hal yang tak selesai. Anak-anak murid aku pun hairan tengok cikgu dia ni membisu seribu bahasa. Tapi dalam nak kontrol suara yang seksi habis ni, kalau dah namanya cikgu..cikgulah juga..time-time aku sakit pun ada juga student yang buat darah aku mendidih. So apalagi, terkeluarlah suara seksi ni menjerit macam nak keluar anak tekak. Hehe..tapi at least mereka pucat jugak dengar suara cikgu paling merdu suaranya kat sekolah (ceh perasan) tiba-tiba dah jadi suara giant.

Dan aku juga tak jawab beberapa call. Telefon aku aku biarkan merata tempat. Biaq pi lah dia duduk merata-rata. Mama dia tak boleh bangun nak angkat dia. Maaflah kalau ada call-call penting tu jadi missed call dan aku tak reply pulak call2 tu..kalau ada hal penting, tolong message saja atau emailkan. My sis akan tolong reply, don’t worry. Atas arahan Jeneral ni.

Tapi alhamdullilah, aku boleh paksa diri lagi untuk berteleku di hadapan laptop dan menaip manuskrip. Pendek kata menaip manuskrip ni boleh jadi penawar sakit buat seketika. Kalau aku duduk menonton TV, aku akan batuk dan semput. Nak bergerak bangun untuk ambil air segelas pun tak larat. Tapi kalau duduk depan laptop, secara automatik batuk aku hilang. Sebenarnya batuk jugak tpi aku yang tak perasan sebab terlalu kusyuk..hihi..

Macam sekarang ni, aku tengah demam lagi. Tapi boleh je aku menulis benda-benda ni semua. Kalau dah minat, apa-apa pun tak mustahil. Prinsip tu sentiasa tersemat kukuh dalam diri aku. Okeylah niat nak tulis pendek je..panjang2 sangat aku tak larat. Macamana nak larat aku tak makan apa-apa pun. Perut aku tak boleh terima sebarang makanan masa sakit, asyik telan bubur McD je. Nak buat macamana, itu aje yang lulus ISO..perut aku kata..bukan aku kata..hehe..

List aku buat masa aku tengah sakit. Aku nakkkkk!!!
1) nak makan pizza..(still tengah makan)
2) nak tengok cerita Angelina Jolie Salt tp sampai sekarang tak dapat-dapat lagi. Tension..
3) nak suruh orang buat air teh panas kat aku setiap 10 minit sekali.
4) Nak sekotak besar 100 Plus..wajib teguk..
5) Nak makan kerabu mangga dekat Chilada…sedap gila.
6) Nak rendam kepala dalam besen air sejuk..tp tak muat pulak..adehh
7) Nak gi karaoke…huhu bodoh sombong punya orang..tak sedar diri!!
8) Nak baring atas katil sambil letak tuala basah di bawah kepala. Nyaman aje 
9) Nak marah dan tumbuk orang..tapi tak boleh..huhu..masa ni teringat kat seseorang. Bagusnya kalau dia boleh jadi punch bag aku..
10) Nak tidurrr…zzzzz...jangan kacau!

Thursday, November 4, 2010

Ceritaku....Dedalu Di Hati

Harga : RM25.90 (sem msia)/RM28.90 (Sabah/Sarawak)
Mukasurat : 792 mukasurat
Hendak membeli? Dapatkan di blog saya dengan email ke arr_nita@yahoo.com
(hanya dijual di blog, tidak ada di kedai-kedai terpilih Harap maklum)

Pertama sekali bila novel ini hendak diterbitkan, tuhan saja tahu betapa saya gembira kerana diberi peluang menerbitkan karya sendiri. Tahun itu tahun 2006 kalau tak salah saya. Saya bersorak gembira kerana berjaya menerbitkan manuskrip yang saya ilhamkan dari kehidupan alam kampus saya di Universiti Malaya dan meminjam watak teman-teman sekuliah yang rancak berpacaran ketika itu serta mengilhamkan kekacakan seorang pensyarah muda yang pernah mengajar subjek English pada saya. Nama pensyarah itu Encik Azman. Memang handsome dan memang digilai oleh kawan-kawan sekelas saya ketika itu. Semua itu saya adun dan rangkum dan akhirnya lahirlah Dedalu Di Hati. Karya pertama saya yang membuatkan saya mula rancak menulis novel saban waktu.

Penghujung 2007 novel itu jadi sepi, sepertimana sepinya layanan penerbit itu pada saya. Saya pekakkan telinga bila ada yang bertanyakan cara bagaimana mahu mendapatkan novel itu. Sungguh ketika itu saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan mereka. Siapa yang tidak sedih bila jalan yang terbentang luas untuk kita melangkah lebih jauh tertutup lantaran masalah dalaman syarikat itu. Saya rasa itu tidak adil bagi saya kerana saya belum pun memanaskan enjin untuk memecut lebih jauh. Sungguh tidak adil.Saya nekad mempertahankan dua manuskrip saya yang berada di tangan penerbit itu lalu mencari penerbit lain. Alhamdulillah rezeki saya masih terbuka luas. Namun begitu perasaan tidak puas hati saya muncul bila Dedalu Di Hati terus ghaib sedangkan dari respon pembaca-pembaca menunjukkan mereka mahu mendapatkan Dedalu Di Hati. Tapi pertanyaan saya langsung tidak disambut. Email saya tidak dibalas. Pernah sekali panggilan telefon saya diputuskan. Hehe..itu nasib saya pada mulanya.

Geram dengan jawapan yang tidak logik, royalti yang entah ke mana, saya nekad untuk mempertahankan manuskrip Dedalu Di Hati dan mengambil semula hak ke atas manuskrip tersebut. Alhamdulilah dapat dan saya hantar manuskrip itu yang telah diperbaiki kepada sebuah syarikat penerbitan. Mulanya tak yakin sbb mnskrip ni cuma reprint, takut tak diterima pula. Lagipun saya tahu mereka agak sibuk dengan novel-novel dari penulisan2u. Jadi siapalah nak terima manuskrip ulang cetak ni ya tak. Tapi lama tunggu takde juga apa-apa. Salah seorang pembaca buku2 saya hantar email dan bertanyakan tarikh pengeluaran DDH ni. Tapi jawapan mereka MUNGKIN tahun depan. Saya pun apa lagi, terus contact pihak penerbit tersebut (wakil) dan minta untuk menarik semula manuskrip tu sebab saya tak mahu diterbitkan tahun depan kerana saya ada banyak manuskrip dalam perancangan untuk agenda 2011. Lagipun perkataan MUNGKIN tu buat saya fobia..hahaha..saya punya stail kerja senang je.. Jangan beri tarikh terbit jika anda tidak pasti bila hendak diterbitkan. Kalau tidak anda buat saya FOBIA..hehehe.

Then saya terfikir nak keluarkan sendiri DEDALU DI HATI ni dengan cover baru, versi baru dan of course susunan plot baru. Siapa yang pernah baca dan baca sekali lagi mungkin akan tahu di mana pembaharuan tu. Tapi ingat senang ke nak keluarkan novel sendiri? Sebenarnya senang je…hehe saja je nak buat havoc. Saya ingat susah, rupa-rupanya senang. Kalaulah semua penulis tahu terbitkan sendiri, insya Allah, penerbit boleh bangkrap..hehehe gurau para penerbit. Ampun ya! Dan bila ia sudah siap dan terpampang di hadapan saya, rasa macam baru aje tengok baby yang lahir semula. Rasa bangga pun ada, macam-macam rasalah. Saya rasa macam tak percaya saya yang buat semula ni. Edit, draf dan beri idea tentang konsep cover yang saya nak. Dulu saya minta penerbit nakkan cover purple, tapi tak dapat. Now, saya dah hasilkan novel dengan cover berwarna purple yang saya inginkan. Rasa gembira macam nak lompat. Mujur tak tembus siling. Hihi…

First dapat pertontonkan novel itu di Festival Novel 1 Malaysia di TTC baru-baru ini buat saya happy. Saya bawa 100 naskah dan hampir terjual semuanya. Alhamdulillah saya ada promoter-promoter lawa yang asyik promotekan novel saya tu. Thanks girls. You are the best! Dah lah comel-comel, pandai pulak promote buku..hehe.Bayangkan dalam tempoh dua hari sahaja buku itu siap dicetak saya dah dapat pulangan atas usaha saya. Selepas selesai Festival Novel 1 Malaysia, saya terpaksa pula menguruskan tempahan DDH di blog yang masuk saban hari. Family pun excited sama tengok saya tersengih-sengih. Hahaha..gilo doh anok demo ni..Bayangkan berhadapan dengan hampir 160 tempahan (ketika ini)..buat saya teruja. Tak sangka saya boleh terbit dan jual buku saya sendiri.

Dalam masa yang sama, Sudah 5 orang penulis hubungi saya secara personally bertanyakan tentang proses penerbitan sendiri ni. Hehehe..buat para penerbit, jaga-jaga….takut kejap lagi ada penulis anda yang lari pecut! So layanlah penulis tu baik-baik, buat lebih kurang nanti jangan salahkan anita aruszi ni pulak yang boleh explain dengan detail fsl proses penerbitan novel sendiri. Dan sudah ada dua syarikat pencetak yang dok offer kt saya untuk cetak novel2 saya.. Mungkin diaorang ingat saya ni buka syarikat, padahal tak pun. Buat sendiri-sendiri je untuk puaskan hati pembaca yang dah lama menanti DDH. Tapi saya simpan jugak bussiness card diaorang. Sekarang dari 100 peratus hal mengenai penerbitan, saya hanya tahu 30 peratus sahaja. Maksudnya saya kena belajar 70 peratus lagi. Ilmu tu luas. Insya Allah saya yakin saya akan tahu semua tentang penerbitan kerana saya sedang belajar untuk pertahankan diri sendiri pada masa akan datang.

Apapun, saya gembira dengan penerbitan novel ini. Saya punya kerja senang aje. Dari menanti novel ni keluar macam menunggu buah yang gugur, lebih baik saya cetak sendiri. Sebab tujuan saya menulis adalah kerana nak mengembirakan pembaca dan hendakkan pembaca membaca novel-novel saya, bukan hendak menggembirakan atau menjaga hati sesetengah pihak. Nak jaga hati orang macamana, hati saya sendiri tak terjaga.hehehe..

Sesiapa yang berminat mahu membeli Dedalu Di Hati, boleh contact saya melalui email tertera. Naskah yang tinggal hanya 50 sahaja lagi dari 300 naskah yang saya cetak. Tetapi insya allah tahun depan, saya akan cetak semula naskah ini.

Sinopsis
Aliya Murni yang kematian ibubapanya akibat kemalangan jalan raya membesar di rumah anak yatim dengan menerima ikhsan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai daddy. Dia tidak pernah kenal siapa lelaki itu. Dia juga tidak pernah tahu rupa lelaki itu. Namun mereka tidak menjadi asing meskipun saling tidak mengenali lantaran YM menjadi rutin harian.

Kehadiran pensyarah baru di kampusnya membuatkan dia hampir terlupa pada kewujudan daddy. Sedikit demi sedikit Adam Hazril mula mengambil tempat di hatinya. Kerinduannya pada daddy terubat dengan kehadiran lelaki itu. Apa yang tak diduga, kehadiran Adam Hazril dalam hidupnya semakin mendekatkan dirinya dengan daddynya yang misterius. Dia mula mengenali kewujudan Doktor Badrul, Haikal dan Irina dalam hidupnya. Tapi mampukah dia bertahan dengan panahan cinta Adam Hazril apabila ternyata Irina lebih berhak? Mampukah dia berkorban diri semata-mata untuk membalas budi daddynya?

Thursday, October 21, 2010

Tentatif Program Festival Novel 1 Malaysia

28 OKTOBER 2010 – KHAMIS
2.30 pm - Ucapan Aluan Ketua 1, Persatuan Sasterawan Terengganu ( PELITA )
3.00 pm - Ucapan Perasmian Y.Bhg. Tuan Haji Razali Bin Daud
Pemangku Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
- Lawatan ke gerai-gerai pameran novel
- Kenal Novelis
- Minum petang.

MALAM
8.45 pm - Pameran dan Gerai-gerai jualan
11.00 pm - Bersurai

29 OKTOBER 2010 - JUMAAT
9.00 am - Pameran dan Gerai-gerai jualan
9.30 am - Pertandingan Melukis Pelajar Tadika Perpaduan Negeri Terengganu
11.00 am - Mari Bercerita
11.30 am - Penyampaian Hadiah
12.30 am - SOLAT & REHAT
3.00 pm - Bersama Editor dan Penulis Dewan Bahasa Dan Pustaka.
 
MALAM
8.30 am - Deklamasi Puisi - Adik Nur Syuhada bt Abdul Halim
- Pidato Pelajar Sekolah Menengah Agama Tok Jiring
- Persembahan Lagu-lagu Puisi & Deklamasi Puisi
11.00 pm - Bersurai

30 OKTOBER 2010 - SABTU
9.00 am - Persiapan Pameran dan Gerai-gerai jualan
10.00 am - ‘ Bagaimana Untuk Menjadi Novelis’
- Novelis Anita Aruszi & Dyza Ainun
12.30 pm - SOLAT & REHAT
3.00 pm - ‘Bicara Novelis

MALAM
8.45 pm - Persembahan Dikir Barat
10.00 pm - Hadiah Cabutan Bertuah
11.00 pm - Bersurai

Jadual Penulis Festival Novel 1 Malaysia

1. Abdul Latif Talib  (28 - 29 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 ptg(29/10)


2. Anita Aruszi/Mazni Aznita (28 - 30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


3. Anna Rehana (29 - 30 Okt 2010)
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


4. Dr. Farhan Hadi (28 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)


5. Dyza Ainun / Azah Khalida (28-30 okt 2010) 
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


6. Haiqal Fahmy
28 – 29 Okt 2010

7. Fatimah Syarha (28 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg  


8. Fatin Nabila / Nurhazma (28-30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


9. Haiza Najwa (30 Okt 2010) 
3.00 – 5.00 ptg


10. Hanni Fazuha (29-30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (29/10)
11.00 – 1.00 tghari (30/10)

11. Hanni Ramsul (28-29 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 ptg (29/10)


12. Indah Hairani  (28-30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


13. Nazihatul Hanan (28-30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


14. Nur Fatihah Mahmud (28-30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 ptg (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


15. Nuraqilah Syuhaida (29 - 30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10) 
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)


16. Ramlah Rashid (30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg


17. Zana Zanzaly (28-30 Okt 2010)
3.00 – 5.00 ptg (28/10)
11.00 – 1.00 tghari (29/10)
3.00 – 5.00 ptg (30/10)

Sunday, October 17, 2010

Festival Novel 1 Malaysia

Tak tahulah aku nak update apa kat blog. Makin lama makin malas nak tengok blog. Mungkin sebab sibuk dengan hal-hal novel. Bukan blog aku je bersawang, blog Rumah Fantasi dah tak nak jenguk sebab ada masalah error time aku nak update entry-entry kat situ. Buat adik-adik di RF, sorry no..k nita dah try banyak kali asyik error. My friend kata kena hold dulu..kadangkala blog memang ada masalah begini jika agak berat. Sabar menunggu nanti k nita update.


Teringatkan permintaan salah seorang pengunjung blog yang minta aku update fasal Festival Novel 1 Malaysia, so sekarang aku penuhi permintaannya. Tapi minta maaf banyak-banyak, aku tak sempat nak kacau kak Indah Hairani untuk minta maklumat lanjut fasal festival tu. Jadi aku update mana yang ada ajelah. Kalau ada yang baru nanti aku update kemudian. So jangan lupa ya..jom pakat ramai-ramai meriahkan suasana kat situ.


PROGRAM SEMPENA
FESTIVAL NOVEL MALAYSIA
TERENGGANU 2010



- ‘Kenal Novelis’
- Pidato Pelajar Sekolah Menengah Agama Tok Jiring
- Drama Pelajar Sekolah Menengah Tg, Lela Sigara
- Pertandingan Melukis
- Mari Bercerita
- Bersama Editor dan Penulis Dewan Bahasa Dan Pustaka & Editor PTS Publication dan Penulis
- Deklamasi Puisi
- Persembahan Lagu-lagu Puisi
- ‘ Bagaimana Untuk Menjadi Novelis’ Bersama Novelis Anita Aruszi & Dyza Ainun
- ‘Bicara Novelis ‘
- Persembahan Dikir Barat
- Hadiah Cabutan Bertuah dan macam-macam lagi..

Monday, September 27, 2010

First Time Rasa Macam Nak Nangis..

Hari ni berlaku sesuatu yang mengejutkan. Dalam kelas tadi, my sis hantar mesej kata dia call rumah dan handset abah aku tp tak dapat-dapat. Sepuluh minit lagi nak habis jaga periksa tapi aku tahan diri dari call rumah. Bila exam habis aje, aku terus ke Bilik Akses dan dial no rumah dan no telefon abah aku. Tapi tak dapat-dapat jugak. Aku dah mula risau. Kenapalah abah tak angkat call aku? Aku cuba lagi..tapi macam tadi takde hasil. Tiba-tiba adik aku wawa pulak call kata dia ada kat sekolah dan sejak pukul tiga petang lagi dia call abah aku nak suruh ambil dia di sekolah. Aku tengok jam..dah pukul 4.30 petang, bermakna dia dah cuba hubungi rumah sepanjang 1 jam setengah. Lama tu. Ini yang buat risau aku makin bertambah.


Last-last aku angkat handbag dan keluarkan kunci kereta. Tak boleh jadi ni. Aku kena balik dan pastikan sendiri kenapa abah aku tak angkat call dan kenapa telefon di rumah pun tak boleh diangkat. Dengan tak sempat nak beritahu pada penyelia petang, aku minta Aisyah sampaikan pada Cikgu Rozali masalah aku ni. Lagipun aku dah terdesak sangat nak balik. Bimbang punya fasal. Gerun pun ada. Lagipun zaman-zama sekarang ni macam-macam hal boleh berlaku. Dalam otak dah fikir, ni kalau aku kena marah sebab keluar dari sekolah dan tak sempat nak bagitahu sesiapa pun biarlah. Aku dah tak kisah. Otak aku hanya pada mak dan abah aku yang berdua di rumah. Risaunya aku sampai sepanjang perjalanan, aku berdoa janganlah ada apa-apa yang buruk menimpa diaorang.


Kereta aku pecut 120km/j. Macam terbang dibuatnya. Semua kereta kat jalan tu aku pintas. Tak peduli dah kat keselamatan diri sendiri. Bila sampai rumah, aku tengok kereta abah tak ada. Aku pun ketuk pintu sambil jerit-jerit depan rumah. Tak kisah dah pada jiran-jiran sekeliling. Dengar mak aku menyahut. Hati aku jadi lega sedikit. Sekurang-kurangnya aku tahu mak aku selamat. Mak aku pun melaung juga tanya kenapa? Aku tanyakan abah aku. Dia jerit balik kata abah aku dah ke sekolah 10 minit yang lepas untuk ambil my sis. Aku makin lega. Off record…kami saling jerit-menjerit sebab aku tak ada kunci rumah (baru tukar kunci) dan mak aku pulak menjerit sebab dia tak boleh bukakan pintu untuk aku. (dia atas kerusi roda). Lepas aku puas hati tanyakan kedua-duanya aku pun bergegas balik ke sekolah. Kali ni pun pecut jugak sebab setengah jam lagi aku kena jaga exam.


Tapi sepanjang pergi sekolah, aku rasa macam nak menangis. Aku nak menangis sebab aku lega mereka selamat. Aku belum pernah rasa sebimbang ini untuk satu tempoh yang agak lama. Syukur alhamdulillah, Allah kabulkan doa aku supaya tak ada apa-apa yang buruk menimpa keluarga aku.


Bila aku balik rumah, baru aku tahu..telefon ayah aku silent, so dia tak perasan ada banyak missed call. Telefon rumah pula sebab my sis bawa naik ke atas, so telefon tu tak boleh nak charge..jadi tak boleh connected. Sungguh aku bengang. Sebab telefon, tak fasal-fasal jantung aku bagai nak gugur. Tak fasal-fasal aku nangis. Dan tak fasal-fasal aku pecut di jalan macam raja pecut. Tapi bila abah tahu apa dia cakap sambil tersenyum? “Sayang juga kat abah ya. Baru abah tahu.” Sambil gelak jahat. Aku pulak cebik sikit dengan mulut herot. “Lagi mahu tanya ke? Mak ayah, mestilah sayang. Bukan boleh beli dengan duit pun.”


Moral of the story :
1) Gunakan banyak telefon di rumah anda di setiap tempat dan setiap sudut.
2) Sediakan banyak tisu dalam kereta..untuk kesat hingus dan airmata..hehehe..

Tuesday, September 21, 2010

Kenapa Aku Jadi Guru+Penulis..Bukannya Ahli Bomba?

Sekadar dongengan…
Masa kecil dulu, aku bercita-cita nak jadi ahli bomba. Semuanya sebab gilakan drama Hong Kong TVB yang disiarkan dekat TV2 tiap-tiap pukul 6 petang. Kalau dibandingkan dengan polis memang aku lebih kagum dengan ahli bomba dan penyelamat. Rasa macam merekalah hero sejati sebab sanggup merentasi lautan api untuk selamatkan orang. Aku pernah cuba-cuba duduk dalam asap waktu kecil dulu. Tuttt…tolong abaikan kebodohan aku yang konon-kononnya nak merasa situasi menyelamatkan orang ketika kecemasan. Alhamdulillah mujur aku hidup lagi sampai sekarang. Mujur juga suratkhabar tak siarkan fasal budak yang mati lemas terhidu asap semata-mata mahu jadi ahli bomba. Hehehe…Tapi itu kisah aku ketika kecil dulu..yang sukakan ahli bomba, sukakan kerja-kerja mereka dan paling penting aku pernah berniat nak jadi ahli bomba suatu hari nanti.

Realiti 1..
Aku tak pernah minat nak jadi guru pada permulaannya. First interview aku, aku disuruh menghuraikan buku terakhir yang aku baca. Mungkin kalau orang lain akan pilih bahan bacaan yang senonoh sikit dan berilmu, tapi aku dengan selamba badaknya pilih buku Dracula karya Bram Stoker dan cerita dari awal sehingga akhir bagaimana Jonathan Harker terpenjara di istana Count Dacula, bagaimana dia melepaskan dirinya, bagaimana dia, isteri dan teman-temannya Van Helsing dan Dr. Steward mencari jalan menghapuskan Count Dracula. Waktu bercerita dengan ‘overnya’ aku tak kisah langsung interview aku tu berjaya atau tidak. Dalam hati tak kempunan pun aku kalau tak jadi guru. Tapi siapa sangka, kerana rezeki, kerana takdir atau kerana mungkin teknik penceritaan aku terlalu ‘baik’ agaknya..aku diterima masuk dari ribuan calon lain yang gagal. Betullah kata orang, yang tak nak jadi guru itulah yang Allah tetapkan jalannya. Mungkin ada hikmahnya. Sekarang, aku merasa guru adalah kerjaya yang cocok untuk aku. Kalau tak jadi guru, aku tak tahu lagi apa yang aku boleh jadi agaknya!

Bayangkan walaupun susah..hehe
1) Aku kini adalah seorang anggota bomba yang makan tidur kat balai bomba. Masa lapang aku tulis novel..
2) Aku adalah guru yang siang sibuk mengajar, malam pula sibuk menulis novel

Agak-agaklah skenario yang mana satu yang lebih sedap didengar? Hihihi…

Realiti 2..
Ramai orang tahu aku paling suka membaca dan menonton TV. Dua benda ni kalau aku buat, hantu lalu pun takkan sedar. Tapi aku ada perangai buruk sikit. Bila baca buku, aku selalu tak puas hati dengan jalan cerita buku tersebut. Bila tengok TV, aku akan kutuk ending drama atau kisah yang dipaparkan dalam drama tu kalau aku tak suka. Sampaikan secara tak langsung aku akan menganggu ahli keluarga aku yang menonton sama. Jadi mereka akan selalu sebut, asyik merungut je. Nak ending best, buat sendirilah…perkataan ‘buat sendiri’ tu la macam bagi perasaan ‘weird’ sikit kat aku. Almaklum aku sendiri pun ‘weird’ jugak. Kalau dah berpuluh-puluh buku cerita aku baca dalam seminggu, tengok TV pulak sampai tengah malam, aku pun dah nak terikut-ikut dengan ‘nerd’ tapi masih cute time tu.. hahaha. So agaknya sebab suruh buat sendiri la maka aku mula berangan, berimaginasi dan mula menulis cerita-cerita yang aku angankan..sekurang-kurangnya aku boleh tulis cerita yang aku suka, iya tak?

Kini..
Dongeng dan realiti adalah dua perkara yang paling aku suka. Dengan dua situasi ini aku belajar menjadi orang yang lebih baik pada diri sendiri. Realiti itu baik, tapi dongeng akan menjadikan sesuatu realiti itu lebih indah. Dan dunia yang indah adalah dunia yang ingin aku kongsikan bersama orang lain. Maka tercetuslah karya dari kepalaku yang mengimaginasikan sesuatu yang indah. Akhirnya jadilah aku seorang penulis dan pelayar kisah. Siapa sangka..seorang bekas anggota bomba (saja nak berlagak), seorang guru sains dan kini aku adalah seorang penulis. Kata salah seorang teman, ada orang berangan tak datangkan hasil langsung. Tapi penulis berangan datangkan hasil. Kalau orang tanya apa kebaikannya menjadi seorang penulis? Maka inilah jawapannnya..

1) Menulis melatih minda yang cergas dan berfikir. Siapa kata berangan tu tak bagus? Einstein tu sebelum nak dapat teori ttg graviti duk berangan dulu tau..
2) Tekun adalah benda yang paling sukar hendak dicari. Tapi tanyalah mana-mana penulis. Semuanya secara sedar atau tak sedar akan memiliki sikap tekun dan fokus pada matlamat diri sendiri. Kalau dah sampai pukul 4 pagi masih menulis, tak ke tekun tu namanya? Hihi..
3) Kawan-kawan pun bertambah ramai. Teman penulis dan pembaca buku adalah rakan-rakan kepada penulis. Tempat berkongsi minat dan kegemaran yang sama. Aneh! Aku tak ramai kawan secara lahiriahnya tapi aku ada ramai kawan di alam maya. Kira aku ni berjaya buat kawan ke?
4) Skil komunikasi pun jadi lebih baik. Menulis menajamkan fikiran dan pada masa yang sama melancarkan tutur kata. Apa yang dikeluarkan oleh mulut, semuanya dari fikiran yang bernas dan sihat. Tajam minda maka akan tajamlah perkataan. Skil ni aku gunakan semula di kelas..kalau aku nak marah student pun, macam-macam benda aku boleh buat modal. Ada ke guru yang tak tahu nak marah apa kat anak murid? Yang nilah contoh guru yang makan hati last-last jadi tak berapa nak betul..keluarkan emosi beb! Penting tu!
5) Menulis dapat menambahkan ilmu dalam dada seseorang. Kita harus membaca untuk menulis. Baca banyak buku atau bahan yang bagus untuk melahirkan satu karya yang mesti dibanggakan oleh diri sendiri. Takpe orang tak banggakan kita asalkan kita bangga dengan diri kita sendiri. Cukuplah tu..
6) Menulis boleh mendatangkan wang. Siapa tak nak royalti beb? Orang gila je yang tak nak..alhamdulillah aku masih waras..hahaha..yang lain-lain fikirlah sendiri.

So kesimpulannya, aku memang dah ditakdirkan menjadi seorang guru yang sangat aku cintai kerjayanya. Dan alhamdullillah aku juga ditakdirkan untuk menjadi penulis yang sangat aku minati dunianya…dan alhamdulillah juga kepada Allah yang tidak mengizinkan aku menjadi seorang ahli bomba, sebab aku berkemungkinan besar akan masuk hospital dahulu sebelum berjaya menyelamatkan seorang mangsa kebakaran. Hahaha….

Wednesday, September 1, 2010

Raya Dah Tiba!


Rasa macam baru aje lepas raya, tiba-tiba raya datang balik. Masa memang berputar sekejap sahaja sekarang ini. Tup-tup aje, bulan puasa pun dah nak berakhir, akan menjelma dalam masa singkat acara makan-makan yang paling best dalam sejarah. Tahun ni juga aku dan family beraya dalam keadaan yang lebih baik sebab empat-empat adik aku dah bekerja kecuali si bongsu. Kiranya semuanya ada duit sendiri dan masa ni la amalan berkongsi sama rata menyediakan kelengkapan berhari raya itu begitu kuat terasa.

Seperti biasa, pakaian raya untuk aku dan keluarga dah lama disiapkan. Mungkin sebab dah banyak kali terkena kes baju raya tak siap-siap sampai time raya. Hehehe…kiranya kami ni dah WAJIB kena beringat sebelum terkena lagi.Kuih raya pun baru kejap tadi kami ambil. Ayah aku menggeleng tengok kuih raya berkotak kat dapur. Katanya boleh bawa masuk dalam keretapi..sure keretapi tu pun boleh penuh dipenuhnya. Itu belum masuk lagi kuih raya yang my sis Ala mungkin bawa balik dari Pekan. Atau kuih raya sponsor dari Aiza, another sis. Pendek kata meriah dengan kuih-muih je. Makannya tidak! Tapi dah realiti sejak berzaman, kuih raya hanya untuk hidangan tetamu, atau untuk dibawa ke sekolah jika ada majlis atau yang sewaktu dengannya. Apa-apa aje lah.

Tahun ni kami tukar langsir jugak. Bukan apa, dah tiga tahun tak tukar. Bukan membazir ke apa, cuma kami pentingkan keceriaan di dalam rumah. Cuma ada la kes kelakar sewaktu aku ambil langsir yang dah siap. Bila nak pasang untuk ‘test’..tengok-tengok tak padan. Ada yang pendek dan ada yang panjang. Pendek kata semuanya silap. Mak aku dah berleter panjang. Aku dah pening-pening lalat. Dalam hati apasal la kak Ani jahit lintang pukang ni? So aku pun bawaklah semula langsir tu pada tukang jahitnya. Dia kata dia dah jahit ikut ukuran yang aku bagi. Lepas tu dia pun tunjuk kat aku. Panjang berapa, lebar pun berapa semuanya sama aje macam yang dia tulis dan macam ukuran yang aku bagi kat dia. Puas kitaorang fikir apasalah langsir tu jadi macam tu. Tengah-tengah fikir tu, aku pun dah kuciwa sikit..dalam hati fikir alamak tak dapatlah aku beraya aku dengan langsir baru tu. Dekat setengah jam fikir baru kitaorang tahu apa yang salah. Aku ketawa macam nak rak. Kelakar sungguh. Rupa-rupanya aku bagi ukuran panjang dan lebar betul dah. Memang ikut formula matematik antarabangsa pendek kata. Tapi tukang jahit kat terengganu ni rupa-rupanya guna formula matematik yang berbeza. Ada ke panjang aku tu = labuh kain dari atas ke bawah (dia). Manakala lebar aku tu = panjang dari kanan ke kiri (dia) Hahaha…cuba korang semua fikir mana satu yang betul?


My sis kata kalau ikut matematik memang aku yang betul. Sepatutnya panjang tu ukuran dari kanan ke kiri atau kiri ke kanan. Lebar tu sepatutnya dari atas ke bawah atau bawah ke atas. Dalam formula matematik kita ada rumus panjang (P) x lebar (L) kalau nak cari luas sesuatu benda. Kiranya kalau ada perbicaraan kat makhamah aku yang betul. Tapi kak Ani ni kira terbalik. Sebab kata dia selama ni memang dia ukur begitu. Mak aku pun kira macam tu sebenarnya. Even makcik aku pun ukur sama macam tu. Aku dah penat dah argue cakap yang formula yang diaorang guna tu sebenarnya tak betul langsung. Hehe tapi tak ada faedah kerana rata-rata orang perempuan di Kuala Terengganu ni menggunakan formula sama mcm diaoarang. Huhu patutlah ukuran langsir aku tu salah. Adoii la…tak tahu nak gelak ke tidak lagi ni! Raya ada seminggu lagi, langsir pulak kena baiki.
Tahun ni jugak kami adik beradik nak buat raya yang bertema. Kalau raya pertama kami nak hidang tradisional food macam nasi dagang, satay, rendang dan kuih-muih. Second raya kami buat western food, macam spagetti bolognaise dan carbonara. My sis khabarnya nak buat sushi. Third day raya pulak cadangnya nak buat barbeque. Haha dasyat sungguh! Semua orang gila nak makan aje sekarang ni.Padanlah badan semua orang tengah membesar termasuk aku.

Tapi apa-apa pun aku harap raya ini memberi seribu erti buat aku. Dapat bersama-sama ahli keluarga menyambut hari raya adalah sesuatu yang manis dan bermakna. Mungkin aku kurang gemar berjalan-jalan sewaktu raya, tapi aku sebenarnya sukakan hari raya. Buat ahli keluarga, saudara mara jauh dan dekat, teman-teman sekerja, teman-teman lamaku, pelajar-pelajar yang ku kasihi, teman-teman penulis, pembaca-pembaca novelku dan pengunjung tetap blog Anita Aruszi, blog Gedung Novella dan blog Rumah Fantasi, di sini aku memohon seribu kemaafan andai kata ada yang tersilap kata atau tersilap perbuatan. Sebagai manusia biasa, aku tidak lari dari melakukan pelbagai kesilapan. Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan. Maaf Zahir dan Batin..

Thursday, August 12, 2010

Terengganu Syurga Rempit


Jika dahulu Terengganu terkenal dengan batik, keropok lekor, telur penyu, nasi dagang dan macam-macam lagi. Sekarang dah ada satu benda yang membuatkan terengganu makin popular? Apa dia?

Mat rempitlah, apa lagi..ini bukan statement nak burukkan negeri sendiri, tapi ini kenyataan yang mesti pihak berkuasa bendung agar tidak membahayakan orang suatu hari nanti.

Jika aku balik dari sekolah, hobi aku bawa kereta round bandar kuala terengganu dulu sebelum balik rumah. Dan menjelang maghrib aje, anda boleh lihat beratus-ratus motorsikal memenuhi jalan raya bagaikan sedang berpesta. Kalau di perhentian traffic light merekalah juara Grand Prix Sedunia dengan bermacam-macam aksi yang boleh buat orang-orang tua dan berumur sakit jantung. Aku tengok pun meluat tahap maut. Kadang-kadang sengaja je diaorang tekan minyak kuat2 sampai berkepul-kepul asap keluar dari ekzos semata-mata nak bagitahu si pemilik-pemilik kenderaan ni bahawa motor dia paling laju konon-kononnya. Kalau setakat motor kapcai buruk tu, tak payah nak eksen la wahai mat-mat motor.

Ada seorang mat motor ni buat aku terkejut beruk minggu lepas. Apa ke taknya dia pintas kereta aku dengan cara yang cukup membahayakan. Sikit lagi aku nak accident. Sebab aku geram sangat-sangat, maka aku kejar motor tu dan ikut dekat kat belakang dia sampai dia toleh dua tiga kali. Kali ketiga dia toleh, aku dah mula pintas dia sambil bagi dia cium asap dari ekzos kereta aku. Haha padan muka dia. Macam terer sangat. Lepas dah jauh, baru aku perasan, rupa-rupanya kereta aku dah masuk simpang jauh dari rumah. Kelakarnya, yang aku pulak ikut bodoh pergi racing dengan mangkuk hayun tu apa ke hal? Hehe..tapi tak kisahlah, janji aku puas hati!

Kisah Mat Rempit Terengganu dah jadi bualan hangat sekarang ini. Malah siap masuk dalam rancangan 999 sekarang ni. Kenapa sampai begini ramai mat-mat rempit ni menular macam ular di jalan raya? Apa silapnya?

2006, aku nak tengok satu movie di pawagam dengan kawan-kawan. Tapi kami tersilap beli tiket. Bila tanya pada satu pasangan, mereka tak nak tukar dengan alasan nak tengok satu cerita tentang mat rempit di pawagam masa tu. Tak payah cakap pun orang tahu cerita apa. Lepas tu jumpa dengan sekumpulan orang berlainan jantina sedang asyik bercerita tentang kehebatan filem tu yang konon-konon pecah panggung. Tak payah nak cerita lebih-lebih. Kawan pelawa tengok, aku kata aku tak berminat. Seorang kawan nak belanja tengok, aku kata simpan ajelah duit kau tu. Sampai ketika filem tu main juga kat TV, time tu aku baru tengok. Sebab aku musykil apa yang hebat sangat filem yang mencecah berjuta-juta ringgit tu. Bila habis tengok, fikiran aku kosong. Takde maknanya. Nak kata seronok biasa-biasa aje. Sekadar gambaran tentang mat-mat motor yang hidup bebas, dikhianati kawan dan kekasih, dipukul, balas dendam dan habis..Mana moral of the story? Nothing! Bukannya hero tu digambarkan insaf pun, bertaubat dan bersembahyang. Balas dendam dijadikan point utama bukannya keinsafan.

Bayangkan ramai orang tengok cerita tu berkali-kali sampai cerita tu box office. Tapi aku agak yang tengok tu semuanya mat-mat motor yang bangga hidup sosial diaorang dipaparkan dalam filem. Sex bebas, arak dan judi menjadi perkara biasa. Aku benar-benar anti dengan movie tu. Jangan salahkan aku sebab aku lebih suka filem ‘Rock” yang memaparkan tentang peminat muzik rock kapak zaman 70an..Rasanya filem tu walaupun tak box office, tapi 10x ganda lebih baik sebab ada moralnya di hujung cerita.

Kesimpulannya, berdasarkan kutipan filem tu aje..pihak polis sepatutnya dah boleh buat statistik, ada berapa ramai sebenarnya mat rempit di negara kita ni. Atau kalau nak mudah lagi, bilang sahajalah jumlah ratusan motor yang saban hari memenuhi jalan raya di Kuala Terengganu pada setiap pukul 6.30 petang sehingga ke malam. Sungguh mengecewakan. Pihak polis buat roadblock hari-hari, tapi mat tempit berputar alam di jalan raya juga setiap hari. Kalau mat-mat rempit keluar jam 6.30 petang, pihak berkuasa pun sepatutnya keluar pada waktu begitu juga untuk membanteras gejala yang bagi aku dah over limit.

Monday, August 9, 2010

Ramadhan Singgah Lagi..


Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui'
Dengan sempurna


Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula


Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti


Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan


Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmatMu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua


(HARAPAN RAMADHAN - RAIHAN)
Buat teman-teman pengunjung blog dan facebook, pembaca novel-novelku..teman-teman penulis dan mereka yang mengenali aku ..maka ungkapan kudus ini khas buatmu
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Thursday, July 29, 2010

Lempuk Durian Paling Best

Tak tahulah dah banyak mana aku berangan nak makan lempuk durian tapi sampai sekarang tak juga makan-makan. Nak makan lempuk durian, kena beli buah durian dulu. Tapi masalahnya bila aku pergi je stall buah-buahan..lain buah pulak yang aku bawak balik. Tak manggis, mesti buah mempelam atau pisang. Padahal nun jauh d lubuk hati (Chewahhh macam serius je), aku kempunan nak makan lempuk durian. Nak kata susah nak buat, takdelah susah mana pun..tapi aku hanya suka makan lempuk durian air tangan orang yang pakar.

Hari tu masa pergi kelantan, aku beli lempuk durian dekat pasar CT Khadijah tapi last-last buang macam tu je. Tak sedap la..takde rasa durian, rasa gula je lebih. Tapi nak makan lempuk durian yang paling sedap di dunia, aku kena ambil hati orang yang paling penting ni. Coz dia lah tukang buat lempuk durian yang paling sedap. Pendek kata sehingga menjilat jari. Kalau dia buat lempuk ni, aku lah tukang perabis sampai licin bekas. Memang tak bersisa langsung. Bukan buruk lantak tapi berjimat cermat. Durian kan mahal! Hehehehe…

So abah..please..please..and please..tolong buat lempuk durian itu untuk anakmu ini. Ini rayuan yang entah kali ke berapa dah. Hehehe…

Monday, July 12, 2010

Seminar Hantu 5 Minit


Baru-baru ni berborak dgn my sis and my father fasal hantu. Semuanya gara-gara fasal cerita Shaapit, cerita hantu hindustan yang kitaorang tengok. Ada satu scene, si heroin ni nampak orang berbaring kata jalan raya (hantu la tu) then dia berhentikan kereta untuk tengok sebab dia sangka orang.

Aku : apa punya bodoh amat perempuan tu. Yang pergi berhenti tengah-tengah malam buta tu apahal? (merungut sambil buat muka marah padahal dah tengok lebih dari 10x)

Abah : Kalau abah, abah langgar jek… (muka selamba je time ni)

Aku : Habis kalau betul orang tu memang orang, takkan nak langgar gitu je.. Buat-buat memang betul orang tu pengsan ke, tak ke mati katak orang tu?

Abah : Daripada berhenti tak tahu orang jahat ke tak, baik langgar je. (Kejam punya abah!)

Aku : Sampai hati abah. Daripada langgar dia, baik la abah elak je kan senang. (murni sungguh hati aku ni)

Abah : (Sengih)

Aku : Hii kalau orang, orang lari je..hantu-hantu ni mana boleh buat main!

Abah : Hantu dengan orang jahat, baiklah hantu!

Sis : Orang pulak, kalau hantu dengan orang jahat..orang takut orang jahat lagi. (ayat sokong)

Aku : Habis hantu tak takut?

Sis : Takut sikit je la. Orang jahat lagi takut. (entah ya entah tak! Poyo je!)

Aku : Woi orang plak, memang orang lagi takut hantu la. Lagi-lagi kalau hantu tu muncul depan mata kita dengan muka serabai tu. Orang jahat dah mmg kita boleh alert. Jangan hantu tu muncul depan orang dah ler..tak mooo..

Ma : (terkelip-kelip tengok kitaorang dengan muka pening)

NOTA :
Cuba perhatikan fakta ini. Sorang pakcik pegawai kerajaan bersara umur 50an + sorang cikgu sekolah menengah + sorang lagi lecturer universiti ...tengah buka seminar 5 minit yang ala-ala seminar budak darjah satu..hehe..yang pasti kami happy!

Thursday, July 8, 2010

Tak Salah Mencuba!

Bulan ni agak slow menghasilkan karya-karya baru. Mybe sebab aku sedang bersiap2 untuk karya tahun 2011, jadi aku taklah tergesa-gesa nak siapkan novel-novel ni. Aku juga masih ada sebuah novel bergenre baru yang memang takkan familiar dengan nama anita aruszi tu.. sebabnya aku sedang berjinak-jinak menulis karya yang lebih berat dan bukan sekadar novel-novel cinta. Tapi don’t worry karya-karya berunsurkan cinta dan thriller masih menjadi salah satu dari genre karya-karya aku. Mungkin sesekali keluarlah karya-karya ‘freak’ ni..tapi aku akan maklumkan terlebih dahulu jenis genre ni supaya bila ada yang nak membeli, mereka boleh maklum dahulu dengan genre-genre bertema begini. Jadi tak adalah rugi duit membeli iya tak?

Bila ada cabaran dari Tuan Sharif Putera untuk hasilkan karya-karya berat, aku teruja untuk mencubanya. Dan alhamdulillah ia sudah pun masuk 90 peratus. Tidaklah berat sangat seperti yang digambarkan, hanya lebih bersifat serius dan mengajak orang berfikir sedikit. Hehe…Jadi bila ada karya-karya ini dengan jenama nama pena aku, tidaklah orang kata aku hanya pandai tulis kisah cinta. Hehe..sejujurnya aku juga fikir ramai penulis sepatutnya mencuba pelbagai genre novel. Tapi mungkin ramai yang tidak berani lari dari kelompok genre mereka sebelum ini sebab takut lari peminat atau hilang identiti konon-kononnya. Jangan kisahkan sangat identiti diri tu atau takut hilang peminat. Sebab bila kita menulis kerana takut hilang peminat, kita akan menulis tanpa passion. Kita akan menulis dengan tekanan. Tekanan kan tak baik dibawa masuk dalam emosi novel.

Percayalah bila anda sudah menulis banyak kisah cinta, anda akan jadi muak dengan genre ini (buat seketika lah). Dan inilah masa yang sesuai untuk ubah genre penulisan anda. Jangan takut mencuba sesuatu yang baru! Yang baru itu lebih baik dari yang lama. Tulis apa sahaja meskipun tidak logik, tapi jangan sehingga mengabaikan fakta cukuplah!

Monday, July 5, 2010

8 Sebab Kenapa Anita Aruszi Miskin


Ada orang kata aku ni kaya..haha nak gelak sumbing aku dengar. Tang mana aku kaya? Gaji aku ciput-ciput je. Royalti novel? Hehe pun ciput-ciput jugak.. Takkan sebab aku pakai Waja Campro dan seorang penulis..aku ni banyak duit..takde semua tu..bila jadi anak sulung dalam family, kita kena jaga semua perkara. Thanks god adik-adik aku dua orang dah kerja so bolehlah kongsi tanggungjawab. Kami pun sama-sama perempuan, so mungkin sebab itu kami lebih faham dan masing2 ada inisiatif untuk membantu meringankan beban keluarga.. alhamdulillah.

Kadang-kala orang suka buat spekulasi sendiri. Konon-konon si polan tu kaya, banyak duit. Sikit-sikit suruh belanja. Tapi masalah kita orang tahu ke? Susah- senang kita orang nampak ke? Kalau kita tak tunjuk, memang tak nampak. Tapi apa ke jadahnya saja-saja nak tunjuk kaya atau saja-saja nak tunjuk miskin? Buat biasa-biasa cukuplah kan!

Kalau aku kata aku miskin, memang orang tak percaya. Tapi aku pun takdelah sesengkek sangat pun. Hehe..masih ada gaji sebagai guru, dan masih dibantu oleh sedikit royalti yang aku perolehi. Bolehlah sekadar nak hidup tapi taklah mewah yang segelintir orang fikirkan. Tapi kalau buat indeks kemiskinan, aku memang duduk dalam kategori miskin atau dalam loghat terengganu ‘orang takdok pitih’.. hehehe..

Fasal aku bilang begitu? Hehe..kalau nak tahu sangat, ni teori serba ringkas kenapa aku kata aku sebenarnya miskin.

Teori 1
Aku tak pernah tukar jam sejak aku di universiti. Harga jam aku ialah RM19.90 dan Kawan baik aku bagi hadiah masa kat UM dulu. Itupun dapat harga RM19.90 sebab kitaorang beli dua jam..haha..buy one free one. Kitaorang plak mmg pantang perkataam gratis tu..tiap-tiap tahun aku cuma tukar bateri dan tukar tali setiap dua tahun sekali, tapi tak pernah nak pergi kedai beli jam baru yang kurang-kurang pun berharga RM59.90..hehe…Aku pernah belikan jam yang agak mahal untuk salah seorang student aku. Tapi itu kerana aku hargai sangat pencapaiannya dalam akademik. Hehe kalaulah dia tahu cikgu dia pakai jam murah je sebenarnya!

Teori 2
Masuk hari ni, dah 888 kali dah aku dok pergi survey telefon baru untuk gantikan telefon aku yang tak pernah ditukar semenjak aku belajar di universiti. In fact telefon yg aku pakai sekarang ni telefon ke –dua yang aku pakai sejak aku mula-mula tahu guna telefon. Kalau berbanding adik aku yang maybe dah 5, 6 kali tukar telefon..aku baru dua kali. Itu pun keypad kt phone tu dah hilang tulisan..tengok! Tu bukti betapa bersungguh-sungguh nya aku pakai telefon tu. Jatuh 10x pun pakai yang tu jugak. Sampai abah aku tegur, pergilah tukar telefon baru..hehe klu mak ayah sendiri pujuk, tu maknanya telefon aku tu dah wajar kena campak gaung dah. Hari tu aku berkenan kat Nokia E27..punyalah cantik. Harga pun lawa. RM1200 je. Hah jer? Aku telan liur sambil garu kepala. Sebenarnya tengah congak. Kalau RM1200 tu aku buat belanja sebulan, macam-macam benda aku boleh beli : beras, telur, ikan masin, milo, maggi, nescafe (botol besar) dan yang seangkatan dengannya. Silap-silap haribulan bakinya boleh buat belanja bulan berikutnya. Hehehe…P/S : Telefon adik aku wawa yang berusia 16 tahun lebih cantik dari telefon aku. Hahaha sadis kan?

Teori 3
Aku selalu beli blouse atau T-shirt tapi sebab badan aku ni sekejap kembang sekejap surut, maka aku selalu beri kat adik-adik aku baju-baju tu. Time aku kembang, aku bagi. Time aku surut, aku menyesal bagi..hehehe nak mintak balik buruk siku la pulak. Hahaha macamanalah tak miskin..beli baju bagi orang, beli sedekah, beli sedekah..hehehe.. takdelah sedekah jauh, almari sebelah je (almari adik beadik). Begitu jugaklah dengan kain batik. Ampun aku memang tak pandai pakai kain batik (nak kata moden punya orang, takdelah moden pun). Tapi apasal ya? Orang-orang kat terengganu suka sangat hadiahkan kain batik kalau ada apa-apa events yang melibatkan AKU. Masalahnya aku memang alergi dengan kain batik. So sebab banyak sangat, aku pun bagilah kat mak aku untuk dipakai. Tapi time aku takde duit, aku selalu melamun sorang-sorang sambil angkat kening jahat. Bayangkan kalau aku kumpul semua kain-kain batik yang aku bagi mak aku tu dan jual kat pasar malam, mesti untung beratus jugak tu..

Teori 4
Aku boros sedikit dalam berbelanja tapi aku miskin bukan sebab keborosan aku, tapi aku miskin sebab aku selalu hilangkan duit yang konon-konon aku sorokkan untuk elak aku membazir belanja tak tentu hala. Masalahnya kalau aku simpan duit tu di situ, lagi dua tiga hari memang aku dah tak ingat dah kat mana aku simpan. Kalau nak jumpa balik pun sah-sah dua tiga tahun lagi. My friend kata itu pelaburan jangka masa panjang. Kepala hotak dia..hehehe..orang lain pelaburan jangka panjang simpan kat bank, aku pulak simpan kt dlm almari baju.

Teori 5
Aku suka kumpul kasut walapun tak sebanyak Imelda Marcos bini bekas presiden Filiphina yang mmg kaki boros dalam membeli kasut. Tapi dalam sepuluh kasut yang aku beli, sebenarnya aku pakai satu aje sampai rosak.Yang lain-lain tu buat tayang dan cuci mata je.

Teori 6
Kegilaan aku pada cerita korea buat aku jadi miskin sekejap. Kalau suruh pilih antara beli kasut, baju, jam, barang kemas atau kosmetik..korang toksah mimpilah aku akan beli semua tu kalau ada DVD cerita korea yang best. Ayah aku suruh aku jual DVD yang berkotak-kotak di rumah tapi no way..hehehe…siapa sentuh CD Box aku, aku fire kang! Kalau duit dalam poket aku tinggal sepuluh sen pun aku takkan surrender koleksi-koleksi aku ni kat semua orang..jangan harap! Hehehe..

Teori 7
Aku tak penah suka pakai barang kemas. Aku memang takde duit nak beli pun.Kalau ada bonus pun, aku tak pernah terfikir nak pakai. My parent nak belikan barang kemas kat aku. Then aku cakap kat diaorang, apakata barang kemas tu tukar dengan duit. Kalau duit aku nak..boleh buat beli cerita korea. hehehe..after that my parents tak pernah lagi dah sebut nak belikan aku barang kemas. Serik gamaknya. Hahaha…padan muka aku!

Teori 8
Kalau korang tanya cikgu mana kat SMK Padang Midin yang selalu kena pau duit dengan student? Jawabnya aku la.Agaknya muka aku ni muka cop duit agaknya..budak-budak aku kalau jumpa aku je.teacher nak seringgit, teacher belanja air, teacher nak duit tambang bas. Asyik2 pau aku je..tang belajar tak jugak rajin-rajin. Haiii…(keluh berat ni). Bilalah aku nak kaya ni?




Monday, June 21, 2010

Bila Aku Membebel

Sebenarnya aku tak suka membebel. Aku benci dengar orang membebel kat telinga aku. Tapi entah macamana aku baru perasan aku membebel kat adik bongsu aku Wawa dari pintu pagar rumah, sampailah ke pintu pagar pusat tuisyen..hehe sebabnya baik korang jangan tahu. Tapi fikir punya fikir, kira agak lamalah jugak masa membebel aku tu sebab jarak rumah kitaorang tu ke pusat tuisyen dia boleh tahan jugaklah jauh.

Tapi aku rasa adik aku tu tak sakit telinga pun dengar aku membebel. Fasal muka dia memang muka tin sardin. Telinga dia pulak susah nak dengar orang lain bercakap kecuali dia paling peka dengan bunyi mesej telefon. Jadi bebelan aku tak beri efek besar mana pun kat dia. Cuma beri efek besar kat aku. Apasal? Aku baru sedar rupa-rupanya aku dah tua..huhuhu..

Thursday, June 17, 2010

3 Idiots Yang Bukan Bodoh

Dekat sepuluh kali tengok cerita yang sama sampai adik aku dah menggelengkan kepala dan tanya, sedap sangat ke cerita tu? Hehehe..nak tahu tengok sendirilah..jawab aku.

3 Idiots bukan cerita tentang orang bodoh. Tapi ia berkisar tentang seorang yang bijak, cerita yang bijak serta menghiburkan. Yang paling penting banyak mesej yang hendak disampaikan. Cerita ni kalau tak salah menang banyak anugerah kat India sana termasuklah filem terbaik dan filem box office. Ia bukan seperti cerita-cerita hindi yang lain yang asyik bertemakan cinta dan airmata. 3 Idiots adalah sebuah filem yang lebih bijak dari namanya.

Aku sebenarnya dah berhenti tengok cerita-cerita hindustan kecuali kalau yang diarahkan oleh Karan Johar (pengarah favourite yang kabaret..hahaha). Tapi entah kenapa satu malam aku tak boleh tidur dan terpasang secara tak sengaja sebuah cerita hindustan lakonan Aamir Khan dan Kareena Kapoor bertajuk 3 Idiots. Lepas lima minit aku tengok, aku dah ketawa sorang-sorang macam orang gila sampai kena tegur. Almaklum ketawa pukul 3 pagi, siapa tak terkejut? Hantu tengok pun boleh cabut lari. Hehehe tapi serius, scene-scene dalam cerita ni memang kelakar sangat-sangat.

Sinopsis
Ia mengisahkan tentang Rancho (Aamir Khan) yang masuk ke sebuah kolej kejuruteraan yang elit dipanggil Imperial College Engineering (ICE). Kat situ dia berkawan dengan kawan sebiliknya iaitu Farhan (R. Madhavan) dan Raju (Sharman Joshi). Rancho ni seorang pelajar yang bijak dan ada idea tersendiri tentang hidup. Sikap dia yang agak pelik dan selamba kerek buat dia dibenci oleh dekan kolej dia iaitu Profesor Viru Sahastrabudhhe atau dipanggil ViruS oleh diaorang. Merujuk kepada feel profesor diaorang ni yang memang macam virus pembawa maut. Hahaha…

Virus ni memang anti gila dengan Rancho dan sentiasa cari jalan agar Rancho dibuang. Tapi disebabkan Rancho ni cerdik dan selalu dapat tempat pertama, maka dia tak ada alasan nak buang Rancho, jadi dia tukar strategi dengan kenakan kawan-kawan Ranco iaitu Raju dan Farhan. Dan macam-macam peristiwa lucu berlaku di ICE yang boleh buat sesiapa yang menonton ketawa macam orang gila. Tak caya? Tengoklah…

Part-part lucu dalam 3 idiots
1) Masa Rancho mula-mula datang ke asrama ICE, salah seorang senior panggil untuk ragging sebab semua junior kena tanggal baju. Tapi si Rancho ni selamba badak je lari masuk dalam bilik asrama. Senior tu punyalah marah, siap ketuk pintu bilik dia macam nak roboh. Bila Rancho degil tak nak keluar, si senior ni ugut nak buang air depan bilik Rancho..hehe tapi disebabkan genius bebenor si Ranco ni, dia boleh hulurkan wayar lektrik masa senior dia buang air. Akibatnya? Hehe..mengerbanglah rambut si senior tu..

2) Rancho tegur Virus kononnya ICE kolej yang hanya mementingkan exam untuk dapatkan pekerjaan sedangkan mereka lupa pada keseronokan untuk belajar. Kerana geram dengan komen Ranco, si Virus suruh dia masuk dalam satu bilik kuliah yang dipenuhi pelajar dan ajar dia cara untuk mengajar. Hehe apa yang Rancho buat dia tulis dua perkataan kat papan tulis dan suruh pelajar-pelajar itu termasuk Virus terangkan apa maksud perkataan-perkataan itu dalam masa dua minit. Semua sibuk cari maksudnya termasuklah Virus, padahal kedua-dua perkataan tu tak ada langsung maknanya sebab ia datangnya dari gabungan nama kawan-kawan dia Farhan dan Raju. Hehe malu besar si Virus.

3) Ada seorang pelajar bernama Chatur di kelas mereka yang kerjanya hanya menghafal ilmu dan bukannya memahami. Suatu hari Chatur dapat peluang untuk bagi speech masa Teacher’s Day di kolej mereka. Punyalah si Chatur ni gembira gila. Tapi si Rancho nakal ni dia pergi tukar teks ucapan Chatur. Bila Chatur beri ucapan, satu dewan gelakkan dia. Yalah mana ada orang bagi ucapan hari guru sebut perkataan merogol..hehehe…

4) Tiga sekawan ni pergi redah masuk kenduri kahwin orang sebab nak makan free. Punyalah asyik diaorang dok sibuk mengisi pinggan sampai penuh dengan makanan, baru sedar rupa-rupanya itu majlis perkahwinan anak sulung Virus. Haha apalagi..cabut larilah. Tapi di situ juga Rancho dipertemukan dengan Pia (Kareena Kapoor), anak bongsu Virus yang merupakan student perubatan. So sweet!

5) Yang kelakar lagi, Virus tulis surat pada mak ayah Farhan dan Raju fasal pengaruh buruk Rancho ni konon2nya pada anak diaorang. Macam biasa Ranchor kena pergi rumah kawan-kawan dia untuk dileteri. Sampai kat rumah Raju, filem warna warni terus jadi hitam putih kononnya nak tunjuk rumah Raju ni macam rumah zaman dulu (filem hitam putih)..hehehe..paling best mak Raju bagi diaorang makan roti, tapi pada masa yang sama penggiling roti tu buat garu belakang badan ayah Raju yang tengah sakit. Kikiki…

Kenapa aku suka cerita ni?
a) Sebab cerita ni beri definisi baru pada persahabatan seperti yang terjalin antara Rancho, Farhan dan Raju. Lain dari yang lain!
b) Adegan-adegan dia memang kelakar gila. Aku susah nak ketawa kalau tengok cerita komedi bollywood mari..tapi 3 idiots berjaya buat aku ketawa. I like that!
c) Suka dengan Aamir Khan dalam cerita ni. Bayangkan dalam usia 40an..Aamir Khan nampak berusia awal 20an dengan style rambut dan fesyen pakaian yang ranggi.
d) filem Bollywood 5 stars bagi aku…highly recommended. Nak tengok? Tukar saluran Astro 952 channel box office.

Wednesday, June 9, 2010

Di Mana Picisannya Sesebuah Karya?

Pernah dengar istilah novel picisan atau novel popular? Istilah ini digunapakai oleh individu-individu yang hendak membezakan karya bercorak komersial dengan karya-karya sastera berat. Kenapa hendak dibezakan ya? Untuk apa?

Terus terang aku tidak gemar dengan istilah novel picisan. Muak mendengarnya. Peluang untuk ‘blog walking’ di beberapa blog sejak beberapa tahun yang lalu menemukan aku dengan individu-individu yang masih menggunakan perkataan picisan ini. Picisan itu aku anggap perkataan yang merendah-rendahkan karya penulisan novel yang ada sekarang ini. Dengar sahaja dah boleh terasa tahap kehinaan tu. Katakan sahaja aku paranoia, tapi aku rasa ramai penulis novel bersetuju dengan pendapat aku ni.

Kalau dalam kamus dewan, perkataan picisan itu bermaksud tidak berharga dan rendah mutunya. Jadi wajarkah kita ketawa selamba saat orang lain melabelkan novel-novel kita novel picisan? Entah sejak bila novel picisan bertukar menjadi novel popular. Mungkin untuk melembutkan sedikit istilah yang sejak bertahun-tahun lamanya digunakan dengan bebas dan tanpa sekatan.

Sedihnya setelah sekian lama tidak mendengar istilah novel picisan ini disebut, aku ditakdirkan blog walking di blog seorang penulis yang agak senior dalam bidang penulisan. Di situ aku menemukan kembali perkataan picisan ini, disebut olehnya dengan cara yang agak menjengkelkan. Kononnya penulis-penulis hari ini tidak ada ilmu, hanya pandai menulis karya-karya picisan sahaja. Ingin rasanya aku bertanya pada penulis tersebut. Apa yang membuatkan sesebuah karya itu layak digelar picisan pada pandangannya? Apakah hanya kerana novel itu berunsurkan cinta dan kasih sayang, maka ia terus dilabel sebagai picisan? Dan paling best aku teringin nak tanya, bila kali terakhir dia membaca novel-novel yang dikatakannya picisan ini? Opps tentu sahaja dia tidak pernah membacanya. Kerana novel-novel hari ini mungkin tidak setaraf dengan ilmu penulisannya yang sangat hebat. Ironikan, semua orang yang menganggap novel popular itu sebagai novel picisan, sebenarnya jarang atau tidak pernah membaca novel-novel ini.

Bagaimana seorang penulis yang berada dalam dunia penulisan yang tak berapa nak besar ni boleh berkata begini pada karya-karya orang lain? Hebat sangatkah dia sehingga dengan senang lenang menganggap karya-karya orang lain tidak ada harganya berbanding karya-karya sastera yang ditulisnya? Apakah kami yang dikatakan penulis novel picisan ini hanya menulis dengan menutup mata pada anggapannya? Tahulah dia betapa kami juga sentiasa membuat kajian dan perincian sebelum menulis untuk memberikan fakta yang tepat kepada pembaca?

Abah aku seorang lelaki biasa. Meskipun sudah bersara dari kerajaan dan kini menetap di rumah sepenuh masa. Tapi fikirannya tidak membeku meskipun sudah tidak bertugas di pejabat. Di rumah, novel-novel aku anaknya sering dibelek-beleknya. Kadangkala dia mencadangkan aku menulis tentang sesuatu yang baru. Kadangkala bila aku bingung dengan tajuk novel yang aku garap, dia akan bersama-sama memberi buah fikiran. Kadangkala sehingga aku ketawa sendiri sebab ideanya agak tidak logik dan kelakar. Paling aku ingat saat dia berkata ketika menyentuh novel-novel aku. Katanya, bukan senang hendak menjadi penulis. Bukan mudah untuk menulis sesuatu karya. Dan ia sungguh mengagumkan bila karya-karya kita dibaca oleh orang lain. Ketika dia berkata begitu, aku melihat ada perasaan bangga di wajahnya. Meskipun dia tahu aku hanya menulis karya yang diistilahkan orang sebagai picisan, tapi dia tidak pernah lupa mempromosi karya aku pada teman-temannya. Jadi mengapa tidak individu yang memanggil diri mereka penulis, tidak pandai menghormati karya-karya penulis lain? Bukankah kita semua sama sahaja? Tak ada bezanya antara penulis walau apa sahaja genre yang dibawanya. Sastera atau komersial, itu hanya label! Yang penting kita sama-sama menulis dengan tangggungjawab dan fungsi masing-masing.

Berikut adalah rentetan soalan yang pernah ditanyakan oleh seorang wartawan kepada aku beberapa minggu yang lalu berkenaan karya sastera dan karya popular. Tak tahulah jawapan aku kena atau tidak, tapi itulah jawapan sejujurnya dari persepsi aku sendiri. Tapi tak bestnya skrip jawapan aku ini tidak disiarkannya, mungkin ruang dalam kolum tu tak cukup agaknya. Hehehe..

SOALAN
Ada tanggapan novel popular (atau komersil ikut istilah cikgu), penulisannya kurang serius dan manfaat kepada pembaca tidak lebih daripada menghibur saja. Apa pandangan cikgu sebagai penulis yang juga novelis?

JAWAPAN AKU
Menurut pendapat saya, tak kira samaada ia novel popular(komersial) atau pun karya sastera, kesemuanya memberi manfaat tersendiri berdasarkan corak pemikiran seseorang pembaca. Biasanya hanya seorang pembaca sahaja yang tahu apa yang mahu disampaikan oleh si penulis. Tapi orang yang tidak pernah membaca novel-novel begini, biasanya akan melahirkan persepsi mereka secara rambang sahaja.

Mungkin kerana novel-novel komersial pada hari ini lebih banyak bertemakan cinta, maka ia dilabel sebagai kurang serius dan bermanfaat. Tapi sekali lagi orang yang melabel novel-novel ini hanya memandang dan memberi tanggapan dari sisi luaran sahaja. Cukupkah sekadar dengan hanya melihat kulit novel dan tajuknya sahaja? Kenapa tidak dibelek dan dibaca? Ada banyak novel bertemakan cinta dan kasih sayang pada hari ini yang diadun dan disuntik dengan pelbagai elemen-elemen kemanusiaan yang sarat, nilai-nilai murni, menghormati ibu bapa dan guru, menjauhi bentuk-bentuk gejala sosial yang tidak sihat dan sebagainya.

Sebagai seorang novelis, saya sendiri menulis novel dengan ilmu, dengan banyak membaca dan membuat rujukan. Ia bukan satu kerja mudah hanya sekadar menghadap laptop dan menulis berdasarkan imaginasi sendiri. Ada manuskrip-manuskrip yang saya tulis bercerita tentang ilmu kedoktoran dan forensik, undang-undang dan amalan kepolisian. Ada juga yang bercerita tentang perjalanan dalam sesebuah syarikat. Malah manuskrip terbaru yang sedang saya usahakan sekarang bercerita tentang unsur-unsur sains, sejarah dan bidang arkeologi.

Memang diakui, novel bercorak komersial lebih popular dan mempunyai bilangan pembaca yang lebih ramai berbanding novel-novel sastera. Mungkin kerana gaya bahasanya lebih mudah difahami, mempunyai klimaks dan peleraian yang ketara, mempunyai plot yang menarik dan mengujakan serta dibangunkan dengan laras-laras bahasa yang mempunyai persona tersendiri. Tapi tidak wajar jika dikatakan novel-novel komersial begini tidak bermanfaat. Malah saya berpendapat novel komersial adalah sebuah novel terapi yang amat sesuai untuk minda yang lebih terbuka dan segar.


Jadi tanya diri kita sendiri? Di manakah picisannya?

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com