Thursday, December 17, 2009

Prolog 2 : Rahsia Dari Laut..

Sambung lagi. Cerita ni sebenarnya ada unsur-unsur mistik dan supernatural yang aku nak explore dalam diri aku.

Dia yang hadir di kalangan kami....
Satu kejadian aneh berlaku di dek pagi tadi. Dua anak kapal yang mengawal di anjung kapal berhampiran dengan kabin Puteri Li Po hilang entah ke mana. Tun Perpateh Puteh sudah puas mengeledah kapal itu untuk mengesan Kamat dan Tamim. Namun semua usaha pencariannya menemui jalan buntu. Dia benar-benar terkilan. Kamat dan Tamin sudah lama mengikutinya. Malah sewaktu dia mula-mula menerima tugas dari Sultan Mansur Syah agar bertolak ke Cina dan membawa Puteri Li Po pulang ke Melaka, kedua orang itulah yang mula-mula menyatakan persetujuan untuk sanggup bersamanya ke Cina.
“Sudahkah kedua orang Tun itu ditemui?” Laksamana Cheng Ho bertanya. Tun Perpateh Puteh hanya menggelengkan kepala. Dia sudah tidak memiliki kudrat untuk menjawab dengan suaranya. Matanya masih merenung kesan titisan darah yang melekat di lantai pelantar kapal. Ada sesuatu yang mengugat perasaannya. Namun entah kenapa, dia hanya berdiam diri. Dia tidak mahu kata-katanya nanti bakal menimbulkan resah di hati anak-anak kapal itu.
Beberapa hari kemudian, seorang lagi anak kapal berketurunan Jawa Barat didapati hilang dari kabinnya. Sekali lagi mereka mengeledah, namun pencarian itu hanya sia-sia belaka. Anak-anak kapal mula merasa tidak sedap hati. Tun Perpateh Puteh sendiri berasa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di dalam kapal tersebut.
Suara ketawa dayang-dayang yang saling bergurau senda mengejutkan Tun Perpateh Puteh. Dia menoleh. Namun deretan anak-anak gadis yang menjadi pengiring Puteri Li Po sekadar dipandang sekilas lalu. Matanya lebih tertarik kepada wanita bernama Mahira yang diselamatkannya beberapa hari yang lalu. Mata wanita itu merenung jauh ke laut lepas, bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Otak Tun Perpateh Puteh mula menyulam syak wasangka. Ada sesuatu tentang wanita itu yang kini tinggal misteri. Dalam ramai-ramai penumpang kapal itu, hanya asal usul wanita itu saja yang mereka tidak tahu. Malah pengakuan wanita itu bahawa dia tidak ingat apa yang berlaku selepas ribut memukul kapal yang dinaikinya menimbulkan curiganya.
Kakinya diatur mahu menuju ke arah wanita itu, namun langkahnya dipintas Gimbang yang muncul dari arah belakang. Melihat Gimbang dan wanita itu berbual-bual, Tun Perpateh Puteh membatalkan hasratnya.
* * * *
Malam itu Tun Perpateh Puteh mengambil keputusan turut sama berjaga malam. Dia mengambil keputusan berkawal di muara kapal yang sunyi sepi. Hanya kelihatan beberapa orang pengawal masih berulang alik di atas dek. Tun Perpateh Puteh sengaja menyembunyikan dirinya di tempat yang agak tersorok.
Beberapa jam berlalu, dia semakin bosan. Tidak ada apa-apa yang aneh berlaku. Dia melihat beberapa pengawal sedang berbual-bual sesama sendiri. Awak-awak kapal yang lain pula sibuk menjalankan tugas masing-masing. Sejak berlaku kejadian kehilangan pengikut-pengikutnya, dia mengambil keputusan menambah pengawal yang berkawal di atas kapal itu.
Dalam leka menanti, Tun Perpateh Puteh terkenangkan isterinya di Melaka. Sudah hampir tiga purnama dia tinggalkan wanita itu bersama anak-anak. Kerinduannya sudah tidak tertanggung. Dia mahu cepat-cepat pulang ke Tanah Melaka. Ketika Sultan Melaka menugaskan dia dan seramai 500 orang pengikut mengiriringi puteri Dinasti Ming itu, dia tanpa banyak soal terus setuju. Baginya titah sultan adalah titah junjungan. Harus dipegang dan ditaati selagi kudratnya masih terdaya.
Namun sebagai seorang insan tuhan, dia tidak berdaya melawan rasa rindu pada isteri dan anak-anaknya. Itu sudah lumrah azali yang dibekalkan oleh tuhan dalam diri setiap hambanya. Tiba-tiba lamunan Tun Perpateh Puteh dikejutkan dengan suatu bunyi. Dia memegang keris yang tersisip kemas di pinggangnya seraya memasang telinga. Bunyi menderam dan dengusan seeperti babi hutan itu semakin kuat kedengaran, seolah-olah ada sesuatu berhampiran dengannya. Tun Perpateh Puteh sudah berdebar-debar. Nafasnya menjadi tidak keruan. Bulu romanya tiba-tiba meremang.
Perlahan-lahan dia memberanikan diri menoleh. Matanya terbeliak. Dia hampir mahu pitam melihat wajah buruk dalam kelubung kain hitam yang sedang berdiri di tepi kapal. Lembaga itu memalingkan tubuhnya lalu memandang ke arah bulan yang sedang memancarkan cahaya berkilauan di dada langit. Seorang awak-awak kapal yang lalu berhenti di belakang lembaga itu. Ternyata kehadiran kelibat itu menarik perhatian awak-awak berkulit hitam legam itu.
“Tuan hamba siapa?” Si awak-awak bertanya dengan nada kehairanan. Kepala awak-awak itu meninjau pengawal-pengawal yang tadinya berkawal di situ, kini sudah hilang entah ke mana.
Lembaga itu diam sahaja. Awak-awak mula berasa tidak puas hati.
“Tuan hamba sudah tuli barangkali. Siapa tuan hamba? Apa tuan hamba salah seorang pengiring Tun Perpateh atau orang-orang Datuk Laksamana Cheng Ho?” Soal awak-awak lagi.
Lembaga itu langsung tidak menoleh. Perilaku lembaga itu mengundang kemarahan awak-awak. Dia mengetapkan bibirnya sambil menggumam sesuatu yang tidak jelas kedengaran. Lengan lembaga berkelubung itu dicekak si awak-awak agak kuat. Tapi tiba-tiba dia terpelanting jauh.
Tun Perpateh Puteh yang mengintip dari tempat tertutup agak terkejut. Awak-awak yang jatuh itu juga tergaman. Lelaki itu segera bingkas bangun dengan pantas. Matanya memancarkan api kemarahan yang sudah tidak tertanggung.
“Celaka kamu!” Bentak awak-awak lalu segera meluru laju ke arah lembaga itu. Tiba-tiba lembaga itu berpaling membuatkan tindakan awak-awak terhenti. Mata awak-awak terbeliak melihat lembaga yang menyeringai di hadapannya menampakkan isi kulit yang sudah merekah dan mengeluarkan cecair kehijauan yang menjijikkan.
“Si…siapa kamu?” Lelaki itu bersuara tergagap-gagap. Kepala lututnya terasa kaku dan kebas. Dia tidak berdaya melarikan diri atau mahu menjerit meminta tolong. Lembaga itu terus menyeringai menampakkan gigi-gigi yang tajam bagaikan bilah pisau. Langkah lembaga itu perlahan-lahan diatur ke arah awak-awak yang semakin diulit ketakutan.
Tun Perpateh Puteh berniat mahu menolong awak-awak itu, namun anehnya kakinya seolah-olah dipaku ke lantai. Dia tidak mampu bergerak. Tiba-tiba dia tergaman apabila melihat batang leher awak-awak itu dicengkam oleh sepasang tangan yang pucat sebelum lembaga itu membenam giginya ke leher lelaki yang tak berdosa itu. Darah memancut bagaikan air paip. Awak-awak itu meronta-ronta kesakitan sebelum akhirnya tubuh itu semakin lemah dan terkulai layu. Mata awak-awak itu terbeliak dan hampir tersembul keluar. Tun Perpateh Puteh menutup mulutnya. Keberaniannya selama ini dengan sekelip mata bagai dihakis keluar apabila melihat kejadian itu. Kini baru dia mengerti mengapa ramai pengawal-pengawal yang mengiringinya hilang begitu sahaja. Pasti mereka semua sudah mati!
Dengan tenaga luar biasa, tubuh awak-awak yang sudah menjadi mayat itu diangkat lembaga itu lalu dihumban ke arah laut. Sisa-sisa darah yang melekat pada lantai kapal di jilat dengan lidahnya yang memanjang. Tun Perpateh Puteh hampir mahu muntah melihat gerak geri lembaga itu. Jika diikutkan hati, dia mahu segera melarikan diri dari situ. Namun akal warasnya menegah. Dia harus memerhatikan gerak geri lembaga berkelubung itu sebelum dia mengambil tindakan selanjutnya. Dari pemerhatiannya, lembaga itu masih belum menyedari kehadirannya di situ. Semuanya kerana berkat doanya kepada Allah supaya diberi perlindungan dari ancaman lembaga tersebut.
Selesai menjilat sisa-sisa darah itu, lembaga itu berpaling semula ke arah bulan yang menjadi saksi perbuatannya. Hampir beberapa minit dia mendongakkan wajahnya ke arah bulan terang. Kelubung yang menutup wajahnya disauk ke belakang. Lembaga itu membalikkan tubuhnya. Tun Perpateh Puteh tersentak lagi. Wajah buruk yang terperosok di dalam kelubung tadi kini sudah bertukar wajah. Wanita itu! Tun Perpateh Puteh menarik nafas panjang berulangkali. Wanita yang mereka selamatkan itu rupa-rupanya bukan manusia. Ya Allah! Makhluk apakah yang kami bawa masuk ke dalam kapal ini? Lindungilah kami semua tuhan!

8 comments:

m.k.z.e said...

nice story

ade sejarah + mistik

cuma

ade persamaan gayanya dgn RAM sikit

hati2 tau

Mazni Aznita said...

hehe silap

ada sej + mistik + thriller + love story (cerita 3 generasi dlm 1 sbnrnya)

persamaan dgn RAM?
hehe hrp2 tak sama..klu dinilai sbnr sama, nak buat mcmana..noevl2 RAM mmg antara novel2 thriler terbaik yg tak layak klu nak dibandingkan dgn novel bilis saya ni..

tp sy percaya setiap novel yg dikarang ada value dan trademark tersendiri..

Farahusain said...

mungkin orang nampak persamaannya sebab nita guna latarbelakang zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tapi kalau ditengok dari gaya cerita, Nita punya lebih santai. Sayang betul karya ni tak dibengkelkan hari tu. Tapi apa-apa pun saya harap nita tak perapkan novel ni. Ceritanya menarik. Heheheh...adakah Tun akan berubah menjadi makhluk itu juga? Wahhh...saya pulak yang teruja. Saya bukan boleh jumpa cerita2 macam ni..heheheh...

Anonymous said...

tahniah AA. Nampaknya awak ada bakat untuk menyajikan makanan minda jenis thirller lah...ternganga sekejap masa baca cerita nie...teruskan! Harap akan dijadikan sebuah novel thiller AA nanti.

Mazni Aznita said...

thnks anonymous,

thriller sy ni tahap biasa-biasa aje..klu diajukan manuskrip ni pada publisher entahlah dia org nak ke tidak..sy pun cuma nak mengasah bakat yg tak brp nk gilap ni..klu berjaya alhamdulillah..

Mazni Aznita said...

yalah farah, betul jugak..

zaman kesultanan melayu melaka yg buatkan ada yg merasakan ianya mirip ram..tp cerita ni cerita moden sbnrnya..prolog dia hanya mengimbas ttg perjalanan naskah ini secara keseluruhan..insya allah

Suhana Shahril said...

k.Nita..best arr..tak sabar nak baca full stroy.

Mazni Aznita said...

haha fully story kena tunggu buku ler jawabnya..itupun kalau diterbitkan..

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com