Monday, May 25, 2009

Stigmata

Sejak dua menjak ni, aku tak tahu kenapa aku begitu berminat dengan stigmata. Mungkin dalam kepala aku setiap sesuatu yang berkait dengan alam dan kepercayaan merupakan perkara yang sangat2 aku minati. Dan benda yang aku minat selalunya akan menyebabkan aku melekat dengan artikel-artikel dan jurnal-jurnal perubatan. Dua minggu yang lalu, aku berminat dengan teori stigmata bila aku mimpi badan aku cedera dan berdarah secara tiba-tiba. Hehehe..don't get too excited..it just a dream..bagi akulah. Apa yang aku maksudkan, kekadang benda yang kecil boleh mencetuskan kepada sedikit keinginan, minat, tumpuan, usaha dan akhirnya ilmu pengetahuan.
Lebih kurang sudah dua minggu aku berjinak-jinak dengan teori stigmata dan membaca berpuluh-puluh artikel tentang ini. Mungkin ramai yang tak pernah mendengar tentang perkataan ini, tetapi ianya merupakan salah satu istilah yang digunakan untuk satu fenomena mistikal merujuk kepada kecederaan pada anggota tubuh yang berlaku secara tiba-tiba tanpa ada penjelasan lebih lanjut. Maksudnya kecederaan pada tubuh kita selalunya ada sebab dan penyebab. Contohnya kita boleh cedera kerana pisau, atau cedera kerana accident, cedera kerana jatuh longkang dan sebagainya. tapi macamana nak explain kalau tubuh kita cedera secara tiba-tiba tanpa ada penjelasan secara logik dan rasional.
Mari kita berjinak2 dengan sejarah stigmata dahulu. Stigmata berasal dari perkataan purba Rom iaitu stigma merujuk kepada simbol atau kelaran pada tubuh banduan dan hamba abdi pada zaman dahulu sebagai satu bentuk penjajahan dan penguasaan. Dan ia digunakan sejak zaman dahulu kala lagi sewaktu peperangan. Setiap hamba abdi pula akan ditandakan dan ini telah berlaku sejak zaman Aparteid lagi di mana penghambaan menjadi satu bentuk kebanggaan oleh manusia kulit putih.
Selepas itu perkataan stigmata terus wujud dan dikaitkan dengan teori agama kristian purba dan gereja lama merujuk kepada simbol pengorbanan Jesus Christ yang disalib atau dipanggil The Crucifixion. Ia bermula bila muncul beberapa kejadian di mana berlaku kelaran atau tanda-tanda pada tubuh yang muncul secara tiba-tiba. Tanda-tanda ini berlaku dalam bentuk kecederaan, lebam, ruam dan sebagainya. Kejadian terawal yang membentuk fenomena stigmata ini berlaku pada seorang bangsawan bernama Saint Francis pada kurun ke-11 di mana terdapat kesan-kesan pada tubuhnya yang menyerupai apa yang dipanggil The Crufixition iaitu peristiwa yang menjadi kepercayaan masyarakat Kristian tentang penyaliban Jesus Christ. Dalam proses Crufixition, Jesus dikatakan disalib dan dikelar sebagai tanda pengorbanan untuk manusia. Dan stigmata yang menyerupai tanda-tanda Crufixition ini mula mendapat perhatian gereja dan dikatakan satu isyarat dari Tuhan tentang tanda-tanda kemurkaan tuhan.
Berbalik kepada Saint Francis, dua tahun selepas mendapat tanda-tanda stigmata itu beliau meninggal dunia. Beberapa tahun kemudian, kejadian yang menimpa Saint Francis berlaku lagi melibatkan pelbagai kes yang terus meningkat tahun demi tahun hingga memaksa satu penyelidikan saintifik dilakukan untuk mengesan puncanya. Dan ketika itu of course berlaku pendebatan antara dua golongan iaitu pihak gereja dan ahli-ahli sains. Ada pelbagai teori yang muncul ketika itu. Pihak gereja mengatakan individu yang memiliki tanda-tanda stigmata adalah individu yang dekat dengan tuhan dan ada yang berpendapat ia berkait dengan kultus-kultus ajaran syaitan. Beberapa teori lagi mengatakan ia berkait dengan fenomena supernatural yang tak mampu dijelaskan oleh akal.
Dan stigmata terus muncul sehingga ke hari ini dan berlaku di seluruh dunia. Ada beberapa kes yang dikesan di China apabila seorang lelaki dikatakan mengalami stigmata bila anggota tubuhnya mengalami kecederaan sebaik dia bangun dari tidur. Beberapa kes di Germany pula menyaksikan seorang lelaki yang mengalami kecederaan anggota badan sehingga anggota tubuhnya terpaksa dipotong sedikit demi sedikit untuk mengelakkan jangkitan kuman dan akhirnya lelaki ini mati begitu sahaja. Yang lain pula mengalami kecederaaan yang tidak dapat dijelaskan langsung oleh perubatan. So di mana misterinya stigmata? Dari mana asal usulnya stigmata ini?
Menariknya dalam keghairahan penduduk dunia mengaitkan stigmata dengan phenomena misteri dan keagamaan, ahli sains masih mampu mencari logic explanation tentang kes ini. Pertama, kejadian stigmata dikaitkan dengan kes mencederakan diri sendiri. Di mana individu yang mengalaminya mungkin tanpa disedari mencederakan diri sendiri. Jika tidak mustahil kita ada banyak kes split personaliti ataupun psycosis di mana seseorang itu mempunyai dua personaliti dan langsung tidak menyedarinya. Kedua, kes ini dikaitkan dengan apa yang dipanggil Pschogenic Purpura, iaitu kekusyukan seseorang individu terhadap sesuatu atau meditasi hingga boleh menyebabkan munculnya lebam-lebam di anggota badan seseorang. Ada logiknya kan..kita biasa tengok tanda lebam muncul pada dahi-dahi individu yang kuat beribadat. Jadi fikirlah, yang mana yang mahu dipercayai..bagi seseorang yang berpendidikan sains macam aku..dah tentu aku memilih untuk menerima teori ahli sains..but dalam masa yang sama aku percaya semua ini adalah tanda kekuasaan Allah dan langsung tidak ada kena mengena dengan kepercayaan mistikal, atau sihir atau juga Crufixion.

Friday, May 15, 2009

Aku Yang Suka Merepek...Takde Kerja..


Tiga situasi yg berlaku kat aku dalam beberapa hari ni..hehehe

SITUASI 1
Bebaru ni masa aku tengah drive nak balik rumah dari sekolah, aku hairan tengok semua kereta pintas aku macam sibuk nak pergi mengundi. Woi mengundi dah habis da. Lepas satu..satu pintas aku sampaikan aku dok tertanya-tanya dalam hati..Apasal semua orang hari ni pelik? Laju semacam aje bawa kereta! Ke hari ni Hari Race Sedunia? Then ada yang siap hon kat aku…tambah aku pelik! Tapi aku maintain lagi buat cool. Kemudian ada sebuah kereta lagi pintas aku. Aku pun apa lagi berpalinglah..nampak la seorang pakcik berkopiah yang dah rongak ni tersengih-sengih tengok aku (sebab dia tersengih la aku nampak tang mana pagarnya yang roboh). Hehehe…tapi sebab aku malas nak layan, aku buat dak aje..sambil renung tembus kat belakang stereng kereta aku. Meter kereta aku tu aku renung lama. Mata aku rabun ke? Apasal jarum meter kat situ asyik cecah 50km/j? Aku pandang jalan pulak. Baru aku perasan kereta aku duduk kat sebelah kanan jalan sehala. Hehehe..patut pun! Aku yang terover slow hari itu…..

SITUASI 2
Dalam tempoh aku demam ni, aku kurang semangat sikit nak bercakap banyak..nak mengajar apatah lagi. Tapi sebab tugas, aku paksa diri ke sekolah. Tapi kebanyakkannya aku siapkan awal-awal kerja sekolah dalam bentuk worksheet atau suruh my student buat kerja dari dalm buku teks…Selalunya aku agak strict dgn pelajar kalau pelajar menganggu kelancaran kelas aku. Tapi hari tu aku memang tak larat sangat. So aku masuk kelas, bagi kerja dan cakap kat budak-budak, hari ni lantak diaorang la nak buat apa pun kat kelas tu asal jangan tercabut bilik darjah tu dah ler. Budak-budak tu bukan main gembira dgr aku cakap macam tu..siap tanya betul ke ni cikgu? Aku angguk sambil duduk kat kerusi dan buka buku besar aku pura-pura membaca. Kelas yang senyap tadi dah mula riuh rendah..maklumlah bukan selalu mereka boleh ‘kasi pecah’ kelas tu kalau aku ada. Walaupun aku nampak comel (cehh perasan. hehehe) tapi mulut aku jahat dan aku selalu lancarkan peluru berpandu tiba-tiba aje. Lima minit kelas jadi riuh rendah, aku tiba-tiba hempas rotan buluh atas meja aku di hadapan budak-budak. Mata masih kat buku sambil makan coklat Hacks untuk legakan tekak. Budak-budak terkejut, terus senyap sekejap…bunyi lagi satu dua suara, aku letak pulak pen marker atas meja….then tak sampai 30 saat aku letak pulak gunting besar atas meja. Kali ini semua dah tak jadi nak bercakap. Semua tunduk senyap dan siapkan kerja yang aku bagi tadi. Tapi aku sempat dengar ada suara berbisik..”Cikgu tu, dia demam ke tak demam ke takde beza pun..serupa aje.” Hahahaa…..tiga benda ni memang aku sering guna utk kecutkan hati my student.. rotan tu aku buat havoc je, tak pernah libas pun saja bawa utk buat suara aku kuat…pen marker tu aku suka conteng kat budak2 nakal buat tahi lalat Syarifah Aini. gunting tu pulak utk kerat rambut diaorang yang tercacak macam landak…maklumlah bebudak zaman sekarang ikut peredaran zaman. Datang sekolah tapi melawa macam artis…jambul sorang2 toksah cakaplah…haru sekolah zaman sekarang ni! But I'm......
SITUASI 3
Suatu hari aku dapat tahu ada satu paper ni siar iklan tentang buku aku. Aku pun apa lagi excited la. Aku kalau bab2 novel aku ni memang jadi tak betul sikit. So aku pun sanggup la pergi kedai nak beli Akhbar Metro. Masa tu jam dah pukul 9 malam dan dua buah kedai dah aku jelajahi dgn harapan janganlah suratkhabar ni habis. Tiba-tiba masuk sebuah kedai ni nampaklah paper Metro ni tapi tinggal satu je lagi. Aku pun gumbira macam nak terbang. Tengah aku berjalan slow motion penuh confident nak grab paper tu tiba-tiba ada budak kecil umur 8 tahun lalu depan aku. Biasa aku kalau nampak budak kecil takkan trauma punya, tapi yang ni lain fasal aku baru dengar mak dia yang sibuk belek majalah wanita kat tepi tu menjerit suruh dia ambil paper yang tinggal satu atas rak tu..tiba-tiba telinga aku pun berdesing. Langkah slow motion aku dah jadi too fast too furious. Hujung paper aku pegang..hujung satu lagi dia pulak yang pegang. Dia pandang aku..aku pandang dia. Mata aku jegilkan sikit nak bagi nampak garang konon-kononnya. Selalu aku kalau karipap tinggal sebiji atas pinggan, aku akan relakan adik aku kebas. Gitu jugak kalau adik aku rasa baju raya dia tak lawa, aku relakan aje dia pakai baju raya aku. Tapi kali ni aku takkan beralah kat budak kecik umur lapan tahun tu. Nak jadi apa pun jadilah…suratkhabar tu mesti aku dapatkan walau camana sekalipun. Tengah budak tu ralit n terkedu tengok muka aku yang macam muka Stone Cold Steve Austin, aku pun dengan penuh licik terus grab paper tu..bawa ke kaunter..bayar then terus keluar tak pusing-pusing dah. But aku yakin…budak tu, mak dia dengan amoi tokey kedai tu mesti terpinga-pinga tengok aku malam tu. Maklumlah dalam sejarah cikgu yang seorang ni buat perangai dia…hehehe.. then bila sampai rumah, aku pun selak la akhbar tu..padahal iklan je apahal la excited bebenor…tapi aku mmg camgini, benda yang tak pernah berlaku kat aku mesti buat aku excited giler pada kali pertama..dah masuk kali kedua baru aku dah jadi okey balik. Tapi bila aku bukak je paper tu, abah aku dah gelakkan aku…tu la berkat buat jahat kat budak kecik, inilah balasannnya..mana taknya ..cover novel orang lain cantik aje terpampang penuh satu muka kat akhbar tu..tapi cover novel aku separuh aje..tu pun bawah sikit dari tajuk dia. Mujur sinopsis dia pun bukan separuh terpapar kat situ, kalau tak…memang aku yakin aku memang mendapat balasan dari tuhan kerana kesadisan aku kat budak kecik tu. Hehehe..nasib..nasib!

Saturday, May 9, 2009

Dia Ibuku....



Dia seorang ibu…
Yang melahirkan dan membesarkan aku..
Tapi apa yang pernah aku lakukan untuk ibuku?
Selain dari menyusahkan hatinya saban waktu

Dia seorang ibu..
Memiliki senyuman semanis madu
Kesabarannya tidak memudar dalam telus waktu
Terus menyayangiku biar apapun salahku..

Andai mampu ku undur waktu
Akan ku tanggungi sakitmu dengan sakitku
Namun apakan daya, aku hanya seorang aku’
Yang hanya mampu melihat tapi tak mampu membantu
Maafkan aku ibu….
Aku anakmu yang tak pernah berbuat apa-apa pun untukmu..

Buat ibuku..Mizi Binti Yusof...SELAMAT HARI IBU, MA...
LOVE U FOREVER
JASAMU AKAN KU BAWA SEHINGGA KE AKHIR HAYAT..DAN SEMOGA KAU AKAN SEMBUH DAN MAMPU BERJALAN SEMULA SEPERTI SEDIAKALA...KERANA KAMI ANAK-ANAKMU SENTIASA MENANTI SATU KEAJAIBAN...

Wednesday, May 6, 2009

Ketawa Itu Penawar....


Ada orang kata ketawa itu penawar sakit...hehehe..mungkin betul. Dalam keadaan begini semua benda aku malas nak buat kecuali menonton sahaja. Dan kdrama yang aku pilih ialah When Its At Night ataupun dalam versi DVD tajuknya ialah Night After Night...DVD ni aku beli masa aku di KL tempohari sewaktu PBAKL berlangsung..
Setakat ni baru tonton sehingga episod 5 dari 17 episod...sebuah cerita yang menarik, lucu dan menghiburkan. Gandingan Kim Sun Ah dengan Lee Dong Gun memang ngam dan sepadan...kisahnya ala-ala pencarian harta karun negara yang menjejak kepada pelbagai peristiwa lucu, suspen dan adakalanya sedih..
Sangat berbaloi untuk dibeli dan akan jadi salah satu kdrama kesukaan aku yang boleh diulang tonton berkali-kali...
Harap-harap juga Hanguk Theraphy ni bakal membuatkan aku sihat semula seperti sediakala... Insya Allah....bagi sesiapa yang sakit tu...dinasihatkan selain makan ubat, tirulah program terapi aku ni dalam beberapa hari...banyakkan menonton filem-filem kelakar kerana KETAWA ITU ADALAH PENAWAR yang paling mujarab.Hehehe....

Bosan Tahap Gaban...

BOSANNYERRRR...!! Ini minggu paling tak best dalam hidup aku..
demam + batuk + selsema + sakit kepala + suara sengau + bad temper....
Inilah aku sekarang ni...even kalau ada nyamuk sekor duduk bersiar-siar dekat dengan aku time ni pun, mahu KO nyamuk tu aku cari smpai ke lubang cacing.
Huwarggg..bila nak sihat balik ni??

Tuesday, April 28, 2009

Kenangan Manis KLIBF 2009

tempat penginapan aku kat Rumah Universiti Malaya..tempat singgah wajib kalau ke KL.

Ni ler buku-buku yang aku bawa balik dr KLIBF 2009. Sebahagiannya hadiah, sebahagiannya swap dengan rakan2 penulis dan yang lebihnya beli sendiri daa..huwaa bila la aku nk khatamkan semua buku2 ni.



Huhu tiga hari berkampung di KL, dua hari di PBAKL..Turun je dr kapal terbang, aku terus pulun nasi tiga pinggan. Jangan bimbang lima belas minit je aku jadi wanita aggresif ni. Selebihnya aku tetap maintain lemah lembut ala-ala wanita melayu terakhir gitu. Hahaha…

Apa perasaan pergi Pesta Buku? Mestilah seronok, dapat jumpa dengan ramai penulis-penulis hebat yang sealiran. Seronok sangat dapat jumpa dengan my bestfriend blog Jue dan Farah, my editor Fyda (Hafielda) dan Bikash yang sibuk 24 jam kat booth FP. Selain itu aku dapat juga bersua muka dengan geng-geng penulis FP seperti Sarnia, Umaira yang putih melepak bersama puteri2 dia, Rafishah, Siti Rozilah, Ezi yang pernah terserempak ngan aku di Mahkota Parade serta Suria Areesya (Ikmal Syah) bersama wife lawa dia. Tak terkecuali sempat juga aku jumpa kak Zara Aluwi yang kecik molek, Fatin Nilam Sari, Nass Alina Noah, Fatin Nabila (orang kampung den), Aleeya Aneesa, Kak Yati NB, Rose Harissa yang aku gemar sgt lukisannya dan Lily Haslina yang ayu.

Paling best aku dapat jumpa Manaf Hamzah hari akhir tu. Siap minta autograph dan ambil gambar sekali. Dekat dua jam aku tunggu dia datang. Berbaloi gak sebab aku rembat empat buah buku MH, walaupun aku kata dulu nak cari buku Aylana dia je.Satu je frust sebab tak leh jumpa dengan Ramlee Awang Mursyid. Huhuhu..nak nangis..Asal aku pergi je dia takde..asal dia takde je…aku pula menonong datang.

Tapi best la duduk kat booth FP..maklumlah ada layanan best dari Bikash, Fyda dan yang lain-lain. Walaupun diaorang sibuk, tapi still datang cakap-cakap dgn kitaorang. Encik Fakeer (yang dipanggil ‘uncle’ oleh Bikash dan Hafielda) pun best. Sporting gila! Gila pun tak sporting macam ni. Aku merepek ke ni? Anyway thanks pihak FP atas layanan baik dan belanja makan dua kali tu. Dahlah belanja makan, nak balik tu Uncle Fakeer ni bagi lak present buku-buku dan sekaki payung. Tuhan je tahu aku seronok tengok payung tu coz payung merah aku baru je dipatahkan tanpa belas kasihan oleh orang-orang tak bertanggungjawab. Aku ler salah seorangnye..hahaha..

Walaupun aku bukannya penulis glemer tapi ada jugak sorang dua yang sudi minta tandatangan aku yang entah apa-apa tu. Tapi paling terkejut dapat sergahan dari geng-geng kicap yang berpakaian macam mafia. Serba hitam. Aku pun pakai tema hitam gak..Ntah camanalah aku tak perasan dua-dua baju yang aku bawa semuanya kaler hitam. Hehehe…thanks ya Jujun sebab bagi present dari Miri. Comel benda tu.. Tak dilupakan kunjungan istimewa dari Singapura..pembaca setia aku boleh ke kata macam ni Azzie? Hehehe..Puan Azizah Jamal ni sanggup turun dari Singapura untuk memborong semua novel-novel aku. Ni yang buat aku terharu ni! Hehehe..thanks ya Azzie!

Tadi dalam perjalanan balik tadi, masa dalam perut kapal terbang..ada kejadian cemas berlaku..Aku dah siap pegang telefon ni ready nak onkan balik sebab nak calling my family. Manalah tahu apa-apa jadi kan sempat la aku pesan apa-apa.

Apasal yek? Haha..ntah macamana aku rasa kapal terbang yang aku naik tadi tak stabil la..senget sebelah. Puas aku fikir apsal ya jadi senget, selalu aku naik orait je..pikir punya fikir baru aku tahu. Opss rupanya kapal terbang yang aku naik senget sebab buku-buku yang aku bawa balik dari PBAKL hampir mencecah 30 biji tersimpan dalam beg Polo aku yang dah patah kakinya sekerat. Hehehe…ntah bila la aku boleh perabih novel-novel tu semua dengan kerja aku kt sekolah dgn nak kejar date utk manuskrip lagi yg patutnya aku dah hantar dah..huwaa..otak aku dah karat dah ni..huhuhu..

So inilah gambar2 yang aku sempat snap kt PBKL tu..bagi sesiapa yang nak tu ambik ajelah..jangan malu-malu. hehehe...
Aku dan Kak Zara yang comel...sukalah dia ni..so sporting..actually gambar ni aku ciluk dari blog dia..
Kak Mimie Afinie (kiri) dengan Umaira si mama cute (kanan). Rupa-rupanya Kak Mimie ni orang terengganu.
Aku sempat snap gambar dengan Kak Fatin Nilam Sari. Belakang tu gambar Ikmal Syah sedang termenung risaukan wife dia yang sedang shopping buku time tu. Hehehe..jangan mare Ikmal, gurau je..
Aku seronok sangat nak ambil gambar dengan Kak Yati (NB) sampai lupa lak nak ambil kamera. Mujur ada Kak Zara yang tolong snap dengan handphone dia. Asal ada cukuplah. Hahaha..
Lepas tu jumpa lak Lily Haslina (duduk sebelah aku) dengan Rose Harissa (belakang). Aku siap suruh Jue simpankan poster hasil design Rose lagi sebab aku memang suka design cover NB Kara. Cumei sangat-sangat. Paling gembira bila Rose signkan buku baru dia dengan poster tu sekali kat aku. Lani dah tertampal kat dinding bilik aku jadi hiasan.
Inilah dia..Taraaaa...
My Buddies' Blog...Farah dan Julia Esqalia (Zualiana Abuas- Viva Sakura)
Lamo dah kita plan nak jumpa..sekarang baru bersua muka...seronok tak terkata!! Hehehe...
Tiga serangkai...di PBAKL..kekeke... First impression!!
Jue yang periang dan selamba dek serta Farah yang pemalu. Hihihi...
Ni pun gambar yang aku ciluk dr blog kak Zara. Ntah masa bila la Kak Zara ni snap gambar aku ni. Sebenarnya, time tu aku nampak je serius..tapi otak aku kosong sebenarnya..'Kepebenda la aku nak tulis kat buku budak ni hah?' Gitulah lebih kurang isi hati aku time tuh..
Kunjungan dari Geng Kicap! Terkejut gak aku kena serbu serentak..ingatkan mafia mana la yang jatuh dari langit..ropa-ropanya geng-geng kicap ni. Ada Jujun, Kucc, Silence, Dyea, Acun dan yang lain-lain. Maaf kalau aku tak leh nak ingat semua...ramai lorr..but anyways thanks kerana sudi membeli buku-buku aku. Jenuh nak menyain time tu...tapi aku seronok menerima kunjungan istimewa mereka. Best2...
Hadiah dari Jujun..jauh ni diterbangkan dari Miri kalau tak silap..Thanks Jujun..ingatkan Jujun nak bawa salah satu anak kucing dia kat aku buat anak angkat. Hehehe...
Paling tak dilupakan, kunjungan istimewa dari Azie aka Azizah Jamal, salah seorang kenalan blog yang sanggup turun dari Singapura semata-mata nak jumpa aku. Thanks Azizah, saya terharu sangat-sangat. Hopefully next time kita boleh bersua lagi.

Lepas masing-masing penat melayan pembeli dan pembaca di booth masing-masing, kitaorang pun pergi makan kat Food Court kat The Mall. Seronoknya berkumpul time tu sambil berborak. Macam-macam cerita keluar. Dari kiri dan hadapan (Jue, Farah, Kak Mimie Afinie, Umaira, Rafisyah, Sarnia, Ikmal n wife, Bikash, Hafielda dan Kak Zara). Aku? Hehehe..of courselah yang ambil gambar ni..

Time nak balik tu sempat ambil gambar dengan Encik Pakeer, Sarnia Yahya dan Bikash. Best Encik Pakeer ni, sempat hadiahkan kitaorang cenderamata berupa payung dan buku-buku yang dibawa balik.

Saturday, April 18, 2009

Jom Pakat Beli Buku...

















Berikut adalah novel-novel terbaru saya yang sudah dijual dan boleh didapati di Booth Fajar Pakeer di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC. Booth Fajar Pakeer terletak di 3026, 3027, 3042 & 3043(Dewan Tun Razak 3). Temui saya juga di sana pada 25 April ini bersama-sama penulis seperti Sarnia Yahya, Nur Rafishah Md Hassan, Umaira Dzul Widad, Siti Rozilah dan Suria Areesya aka Remy Ikmal (Pewaris Senja). Datang beramai-ramai dan meriahkan pesta buku tahun ini ya!

Bagi yang mencari Sakti Cinta dan Dedalu Di Hati...anda boleh dapatkannya nanti dari saya pada 25hb ini. Ini kerana pihak ibook tidak terlibat dengan pesta buku pada tahun ini. Jadi stok buku2 ini akan diberikan terus kepada saya di situ. Siapa cepat dia dapat! Atau jika mahu..beri nama anda dan alamat contact anda pada Fyda di booth Fajar Pakeer. Dan saya sendiri akan menghubungi anda nanti! Salam semua....

Friday, April 10, 2009

Tonton lagi...

Princess Of Ja Myung Go
50 episode daa..

Sekarang inilah kegilaan aku, drama terbaru Korea yang historic tetapi mempunyai jalan cerita yang menarik bagi aku. Kisah Princess Ja Myung Go ini adalah mengenai dua puteri yang mempunyai ayah yang sama tetapi dilahirkan oleh dua wanita berbeza pada waktu yang sama (maksudnya mereka ni adik beradik la, mak aje lain2). Sewaktu kelahiran puteri ni, ada prediction mengatakan salah seorangnya akan menjadi penyelamat kepada kerajaan NangNang, manakala yang seorang lagi ditakdirkan memusnahkan kerajaan tersebut. Oleh sebab itu raja NangNang meminta ayah mereka untuk membunuh kedua2 puteri ni.

Disebabkan mak kedua ni pandai so dia berjaya selamatkan puteri dia dgn mengatakan anaknya itu lelaki. Tetapi malang bagi Puteri Ja Myung Go yang terpaksa dibunuh oleh ibunya (mak pertama) untuk selamatkan keseluruhan keluarga mereka yang akan dibunuh kalau gagal tunaikan perintah raja NangNang yang jahat ketika itu. Bunuh kali pertama, baby ni selamat juga..lepas tu bunuh lagi kali kedua..pun selamat juga. Maknanya baby ni la Puteri Ja Myung Go yang jadi heroin cerita ni.

Lepas tu bila Raja NangNang dituruntahtakan sebab rakyat tak berkenan dengan ulah raja jahat ni, maka ayah kedua puteri ni ditabal menjadi raja NangNang yang baru. Tetapi sayangnya khabar angin tentang ramalan itu menyebabkan Puteri Nak-Rang dari isteri kedua dianggap puteri pembawa tuah lalu diangkat menjadi pewaris, manakala Puteri Ja Myung Go (anak dari isteri pertama) pula dianggap puteri yg membawa bencana lalu disorokkan dari orang ramai dan menjadi penjaga kepada sebuah dram mistik. Dram ini kononnya mampu menjaga keamanan NangNang kerana dikatakan akan berbunyi memberi amaran kepada rakyat NangNang jika berlaku peperangan. Tapi bukan dram ini yang mistik sebenarnya tetapi Puteri Ja Myung Go yang membunyikan drum tersebut jika ada kecemasan. Maknanya dialah yang sentiasa memperhatikan keamanan NangNang dan membantu ayahnya.

Selepas tu datang pula serangan dari Goguryeo yang mahu menawan NangNang. Putera Hodong dari Kerajaan Gogoryeo ditugaskan untuk menawan kerajaan itu tetapi terikat dengan cinta dua orang puteri. Dan kerana cintanya juga Puteri Nak-Rang bertindak bodoh dengan memusnahkan dram mistik tersebut dan mencederakan Puteri Ja Myung Go. NangNang akhirnya berjaya ditawan, Puteri Nak-Rak mati akhirnya dan Puteri Ja Myung Go pula bersembunyi dan diam-diam menjadi pemimpin gerakan gerila yang mahu merampas kembali kerajaannya. Dalam masa yang sama Putera Hodong ditugaskan membunuh Puteri Ja Myung Go yang dikhabarkan masih hidup tetapi tidak sanggup melakukannya kerana cintanya pada Puteri Ja Myung Go. Hehehe...jalan cerita yang syok banget tetapi tetap memberi pengajaran.

Sunday, April 5, 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2009
PWTC

Berkunjunglah ke Booth FAJAR PAKEER SDN BHD..
3026, 3027, 3042 & 3043
(Dewan Tun Razak 3)

Sesi bertemu penulis FP:

18 April 2009
- Cempaka Meerniz
- Ebriza Aminnudin
- Sofieza Isqandar
- Suria Areesya
- Mahizan Husain
- Wannie Nordin

19 April 2009
- Fateen Najwa
- Dinaz Salsabila
- Qaseh Qaisara
- Ellise Gee
- Eny Ryhanna
- Romibaiduri Zahar

25 April 2009
- Sarnia Yahya
- Nor Rafishah Md. Hassan
- Anita Aruszi
- Umaira Dzul Widad
- Siti Rozilah

26 April 2009
- Rehal Nuharis
- Hafirda Afiela
- Ezi Afiza
P/S : Diciluk dari website Fajar Pakeer....

Thursday, April 2, 2009

Rembulan Yang Menangis..

AKAN DATANG APRIL 2009
Tajuk : Rembulan Berdarah
Penulis : Anita Aruszi
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM24
m/s : 786


REMBULAN BERDARAH adalah buah tangan terbaharu daripada Anita Aruszi, yang pernah bekerjasama dengan KN dalam penerbitan BUNGA SYURGA tahun lepas. Kisah Rembulan Berdarah menceritakan komplot ahli keluarga sendiri untuk membolot harta kekayaan secara mutlak. Cerita yang penuh dengan suspen, 'thriller' dan cinta.

Dia..tidak pernah meminta apa-apa. Cukuplah sekadar dia disayangi. Dan ibarat seorang puteri dalam cerita dongeng, dia bertuah kerana disayangi semua orang meskipun hakikatnya dia hanyalah anak orang gaji di rumah Zainal Ikram. Di situ juga persahabatannya dengan anak tunggal Zainal Ikram, membuahkan erti kasih yang cukup tulus.


Namun mimpi tak selalunya indah, apabila pembunuhan Zainal Ikram menjadikan ayahnya suspek utama. Dan kebencian Engku Latifah memaksa dia dan ibunya pergi meninggalkan rumah itu buat selama-lamanya.

Penganiayaan demi penganiayaan melontar dirinya jauh ke dalam dunia Zafran dan ayahnya Bustaman. Kerana mahu menyelamatkan diri, dia terpaksa menukar identiti diri dan hidup sebagai adik Zafran. Tetapi hidup bersama Zafran rupanya lebih sukar bila hati Zafran mula terpaut. Sedangkan rindunya pada Nashriq Adli ibarat air yang tidak putus mengalir. Dan setiap rindu yang dirasakannya dilakar dengan air matanya.

Apakah perlu dia meleraikan dendam demi cinta? Atau haruskah dia melupakan cinta untuk menuntut kembali apa yang telah dirampas darinya?

Tuesday, March 31, 2009

April Fool! Terkena Korang!

Hehehe..kejap je dah masuk April. So disebabkan hari ni 1 April, maka aku dengan niat jahatnya mengkantoikan 3 orang adik aku yang pelbagai perangai dan feel..lepas ni aku mesti kena maki punyalah sebab mendedahkan muka-muka depa ni kat publik sehingga ditonton oleh rakyat Malaysia.Hahaha..

Sebenarnya saja je aku rancangkan pelan ni tanpa pengetahuan mereka. Dalam diam-diam tadi aku kongkak pc adik aku dan curi gambar-gambar yang entah bila la diaorang ni ambil. My sis tanya gak tadi..buat apa tu? Hehehe..pandai-pandailah cover line..nak hidup kan. Kalau nak tahu, inilah 3 stooges yang ada dalam hidup aku. Hehehe..

Yang pakai tudung biru sebelah kanan atas tu adik aku Aiza yang kini tengah sambung master dia kat Kustem. Dialah yang aku seret ke mana aje aku pergi sampaikan baru ni buat promosi Kaki Novel kat Melaka, dia jugalah yang ikut. Orangnya very sensitif tetapi ringan tulang gak nak menolong. Bebaru ni dia busy bebenor smpi nak nampak batang hidung pun malam-malam aje, maklumlah tengah sibuk siapkan project paper..
Yang sebelah kiri ni my sis yang no 3. Zura namanya. Dia ni kecil-kecil aje orangnya. Sekarang tengah belajar kat UNIMAP tahun akhir. Baru je habis praktikal dan tak lama lagi ada la seorang jurutera dalam familiy kami ni. Tapi mulut dia lancang sikit...banyak yang dah terkena..termasuklah aku! Hehehe....

Yang paling bawah ni my sis yang paling bongsu. Wawa namanya. Dia sekarang tengah get ready nak ambil PMR. Aku selalu pening tengok dia sebab aku tak tahu apa ke benda yang dia tengah belajar sebenarnya. Tapi dia ni paling manja ngan aku ler coz sejak kecik lagi aku manjakan. Sekarang je aku plan nak rotan-rotankan dan cubit-cubitan sikit nak bagi dia rajin belajar. Hobi utama dia ialah suka curik kamera aku dan posing macam-macam gaya. In fact gambar kat sebelah tu pun sebenarnya gambar posing dia yang entah ke berapa ratus kali agaknya! Pening den dibuatnya...

So buat adik-adikku yang bertiga...APRIL FOOL!! Jangan mare kalau nampak gambar-gambar ni terpampang kat blog ni..hehehe...Tak baik marah-marah nanti lekas tua!!
P/S : Buat sesiapa yg melihat perkataan 'lancang' tu sebagai maksud yg kasar. Sebenarnya maksudnya 'laser' dan ianya just gurauan antara adik beradik. Perkataan laser tu sesiapa sahaja guna di zaman sekarang ni. Dalam Melodi pun ada guna. Just aku guna lancang menggantikan istilah ini. Dalam kamus dewan pun ada. Kalau ada yang salah faham, clearkan mind anda dan fikir secara positif ok!

Monday, March 30, 2009

PESTA BUKU TERENGGANU 2009

Semalam last day Pesta Buku Terengganu...rancang nak pergi tapi last-last aku tidur pulak malam tu. Frust jugak tapi tak apalah..lagipun awal-awal lagi aku dah beli beberapa buah bahan bacaan pada hari pertama kat situ. Semestinya novel la yang entah bila la aku akan mengkhatamnya. Tapi biasanya novel-novel ni aku ambil baca kalau ada cuti panjang ataupun kalau aku kena bertugas di luar lingkungan sekolah. Maksudnya kalau aku kena jaga my student di kem-kem dan yang sewaktu dengannya. Lagipun masa ni la kita tak payah fikir fasal kerja-kerja sekolah kan..dan masa itulah yang seronok membaca.

Mulanya nak beli Mikhail, tapi entah macamana ntah aku cancel dan beli buku Rose Harissa (Mulanya Satu Cinta), Gelora Asmara (Haryani Kamilan), Cinta Kau dan Aku (Siti Rosmizah) dan sebuah himpunan cerpen-cerpen terbaik majalah Remaja (yang ni adik aku yang sibuk gesa aku membelinya maklumlah aku kan tukang bayar). Balik rumah baru frust sebab tak beli Mikhail...hehehe...padan muka aku!
Sepanjang pemerhatian aku kat situ, aku cuma nampak gerai-gerai Alaf 21 dan Buku Prima je. Itupun sebab diaorang maybe ada link dengan satu kedai buku kat terengganu iaitu Kedai Buku Banggol yang dah lama establish kat situ. Lain dari tu aku jumpa gerai Pekan Ilmu..ada banyak buku-buku Zehann Ur Rakhee bagi yang meminati hasil penulisannya. Tapi bila aku tanya MichaelAngelo Code tu tak keluar lagi. Frustnyerr..aku memang suka cerita yang ada unsur-unsur misteri sikit. Juga of course ada gerai Creative dan PTS macam biasa. Tapi pihak publisher lain seperti Kaki Novel, NB Kara, Jemari Seni dan yang lain-lain memang tak wujud langsung di Terengganu. Bayangkan kalau aku tanya kenal tak penerbit-penerbit ni, rata-rata akan menggelengkan kepala jawab tak kenal. Syarikat apa tu? Buku apa yang keluar dengan syarikat tu? Bayangkan dalam tempoh lima bulan buku aku dengan Kaki Novel terbit, belum sekali pun aku jumpa kat kedai buku kat sini. Heheheh..ironis kan!

Lepas tu sempat pula aku singgah makan-makan di Giant dengan adik aku. Singgah kedai CD dan belek-belek CD..tapi terjumpa la akhirnya DVD Anime yang aku begitu gila-gilakan ni. Tattaraaa...Vampire Knight Volume 1 and 2. Terbang juga duit aku sebanyak RM29.90. Tapi hati aku lagi terbang sebab berjaya menyudahkan final episode untuk VN yang cukup menyentuh kalbu, memberi ending yang membahagiakan dan memberi kepuasan total. Sempat juga aku nangis dua tiga round sebelum cerita ni nak habis. Adik aku kata tengok kartun pun nangis? Hehehe..jawab aku..ni bukan kartun daa..ni anime. Sama ke? Hehehe..lantaklah...tapi kelakarnya masa nak beli anime ni, adik aku yang 15 tahun tu tolong carikan, tolong bayarkan dan tolong bawakan. Apasal? Hehehe...jatuhlah standard aku seorang guru sains yang dah cukup umur ni nak ngaku yang aku sangat-sangat menyukai anime. Even tengok Edward Al Chemist tu pun aku leh nangis. Tapi ramai student aku tahu aku ni gila anime coz aku selalu berborak fasal anime dengan depa. Kadangkala yang diaorang tak tahu pun aku tahu. Dan kekadang aku yang bagikan link-link untuk tonton anime kat diaorang. Dan kekadang diaorang pun pinjam CD2 anime aku. Hahaha..mampus aku kalau mak bapak diaorang tahu..

Tapi apa nak buat kan. Anime ni macam buku dan movie juga. Tidak ada garisan umur yang memisahkan sesuatu minat dalam diri seorang. Takkan semata-mata sebab aku ni cikgu sains jadi aku nak kena baca buku ilmiah dan tengok cerita sains fiksyen je.. tak logik pulak gitu..kan? Kannn?

Monday, March 23, 2009

The A's For Q's

Ada beza ke penulis novel dan penulis e novel? Ada orang tanya soalan ni kat aku tiga hari lepas dalam email. Maaflah baru sekarang dapat reply itupun secara terbuka. Manalah tahu ada benda yang boleh dikongsi dan ada penulis2 e-novel lain pun nak berkongsi cerita. Mula-mula baca email ni aku gelak sendiri. Dalam hati aku apasal benda mudah ni pun hang tak leh jawab. Mesti lah ada beza. Novel benda boleh sentuh, boleh hidu, boleh cium kalau nak (hehehe) dan boleh sign kalau ada orang minta (ketawa lagi dalam versi Ogre).

E-novel lak benda yang boleh sentuh, boleh hidu dan boleh cium jugak tapi depan skrin komputer je lah. Maksudnya novel sesuatu yang real dan e-novel sesuatu yang berada di alam maya. Novel ada cover tapi e-novel lagi hebat. Ada cover jugak siap ada sound appearance lagi. Novel ada ke? Hik hik hik! Sorry gurau je…

Sebenarnya aku faham maksud si penghantar email ni. Dia just nak tahu apa kebaikan menjadi penulis novel dan e-novel. Kata dia aku duduk dalam dua kategori ni. Akulah penulis novel dan aku jugalah penulis e-novel. Tapi ramai yang tak tahu aku lebih senang digelar penulis e-novel dan paling tak suka digelar novelis. Aku lebih selesa dengan gelaran penulis sebab novelis tu cam hebat sangat bunyinya kat aku. Bagi aku ibu Khadijah Hasyim kesayangan aku sahaja boleh dipanggil novelis, penulis-penulis macam Norhayati Berahim, Noorsuraya, Amaruszati dan yang keluarkan banyak garapan novel-novel yang menarik, itulah novelis.

Tak rasa rugi ke publish novel sebagai e-novel? Tanya dia lagi. Jawab aku tak rasa camtu pun. Aku kan penulis e-novel. Selagi manuskrip aku tidak menarik perhatian mana-mana publisher then aku adalah penulis alam maya dan manuskrip aku adalah e-novel yang berhak dibaca oleh sesiapa sahaja. Bagi aku pembaca hasil karya aku tak kira peringkat umur, bidang pekerjaan atau dari mana mereka datang..adalah sumber kekuatan aku untuk terus menulis dan menulis.

Bayangkan kita menulis sesuatu karya yang kita tidak jelas apakah ianya mampu menarik pembaca…bermakna kita menulis dalam keadaan blur dan kosong. Tapi dengan mempunyai pembaca dan pengkritik walaupun seorang, maka kita mampu berpindah dari level 0 ke level 1, 2, 3 dan seterusnya. Keyakinan pun makin bertambah dan daya saing kita untuk terus menulis juga akan meningkat seratus peratus. Banyak benda juga boleh dipelajari di sini. Untungnya di sini, penulis e-novel dapat kritikan awal sebelum buku mereka diversi cetak. So sempat la mana-mana kritikan membina tu digunakan untuk memperbaiki jalan cerita dan dimurnikan sebelum dihantar pada penerbit. Tak ke untung namanya tu. Ramai teman-teman aku di alam maya akhirnya berjaya menghasilkan novel dengan cara memurnikan hasil karya mereka di alam maya. Cubalah!

Tak takut ke orang plagiat novel tu? Soalan lain pulak dah dia tanya. Aku agak dia ni salah seorang penulis e-novel juga yang masih muda belia. Jawapan aku : Sejujurnya aku takut dan sedih jika hasil karya aku diciplak orang. Tapi kita bukan boleh buka dada orang dan tengok hati dia kan…apa kita buat ialah redha ajelah. Mana yang boleh tangkis kita tangkis..yang tak boleh kita usahakan untuk terus menangkis (cam bola tangkis pulak). Ada cara untuk selamatkan hasil dari diciplak secara total sebenarnya. First jangan publish cerita sampai habis jika kita berniat nak terbitkan novel dalam versi cetak. Tapi kalau anda tak mahu upgradekan title penulis e-novel tu, dan hanya mahu publish di blog sahaja…maka anda adalah target utama lanun-lanun cetak rompak. So berhati-hatilah dan kerap meninjau perkampungan alam maya kita ni. Second, gunakanlah perisian atau apa-apa protection code yang boleh mengelakkan orang copy and paste novel anda. Yang lain tu aku belum sempat belajar lagi. Hehehe…

Pengalaman aku, bila aku hantar manuskrip kat syarikat, rata-rata nak aku stop publish manuskrip tu sebagai e-novel. Yang itu aku terpaksa turuti dan hormati atas dasar marketing sesuatu publisher. Tapi ada juga syarikat yang aku bertapak galakkan aku publish sahaja tapi ada limitnya untuk tujuan promosi. Aku macam biasa tak kisah. Benda kecik bagi aku tu! Ada lagi ke soalan? Hahaha..kalau ada jangan segan-segan tanya. Sebenarnya aku tahu ada ramai penulis-penulis e-novel yang perlukan guide line untuk protect karya mereka…aku tak reti nak bantu dari segi nak protect karya seseorang coz karya aku pun kena cantas juga. Hehehe..tapi kalau ada sesiapa yang tahu atau arif cara-cara nak lindungi karya-karya penulis-penulis e-novel macam kami, sudi-sudikanlah membantu dan berkongsi pandangan ya..

Sunday, March 22, 2009

Casanova Series : Sakit Perut VS Sakit Hati

Ketika keretanya sampai di perkarangan Sekolah Menengah Padang Tebu (versi adik beradik Padang Serai), dia mengeluh panjang buat 25x. Sejak dari semalam lagi dia mengeluh tak henti-henti. Sakit hati kerana dipaksa berkejar ke sekolah itu untuk sesi menandatangani kad kemajuan adik bongsunya Juju. Tambah lagi dia tidak sedap badan sejak pagi tadi. Perutnya meragam serba tidak kena. Semuanya kerana gara-gara dia melantak dua pinggan nasi Kandar di Restoran Nasi Kandar Minah Janda berhampiran officenya.
Kedai itu baru sahaja dibuka beberapa minggu yang lalu. Dan dia adalah salah seorang dari beberapa officematenya yang begitu menggilakan nasi kandar di kedai tersebut. Apakah nasi kandar di kedai tu sedap? Dia menggelengkan kepala. Mungkin teh tarik di sana kaw-kaw? Pun dia menggelengkan kepala. Rasa nasi kandar di restoran milik mak janda itu langsung tidak sedap. Pernah rasa makan nasi kandar tapi rasa macam makan nasi ayam? Hah macam tu ler rasanya nasi kandar di kedai wanita itu. Mak Minah Janda ni memang tukang masak yang paling teruk di abad ini. Malah teh tarik di kedai tersebut cair je warnanya. Orang pantai timur sebut ‘cheroorrr’. Hahaha..betul ke bahasa ni? Ah lantak ler.
Tapi walaupun teruk macamana sekalipun rasa nasi kandar di kedai itu atau bagaimana kedekutnya Mak Minah mengadunkan bahan-bahan teh tariknya, namun dia tetap berulangalik ke kedai tersebut setiap malam. Semuanya kerana gadis manis yang bekerja di warung tersebut.
Mulanya dia ingatkan gadis itu pekerja baru Mak Minah Janda. Tapi setelah beberapa hari barulah dia terdengar bisik-bisik mengatakan si gadis adalah anak Mak Minah Janda. Fuh! Cunnya gadis itu mengalahkan cun Siti Nurhaliza. Gayanya lembut bertudung litup. Meletup siot!
Tapi untuk mendapatkan perhatian gadis itu, dia terpaksa bersaing dengan sepuluh lelaki yang telah disenaraihitamkan. Tiga darinya rakan-rakan pejabatnya, manakala tujuh lagi dia sendiri tidak kenal. Tapi dia menggagak calon-calon lain itu datangnya dari beberapa pejabat yang berdekatan. Meskipun banyak saingan, namun hatinya senang sedikit kerana antara calon-calon yang ada, dia dikategorikan yang paling hensem. Bila gadis itu tersenyum ke arahnya, hatinya seribu kali lega kerana dirinya jadi perhatian. Lama kelamaan dia mula menyimpan keyakinan diri. Bunga yang sekuntum itu pasti jadi milik hakiki. Kerana itu ketidaksedapan nasi kandar di kedai Mak Minah Janda langsung tak dikisahkan, ceroorrnya teh tarik di kedai itu pun langsung tak diambil pusing.
Hasilnya berpinggan-pinggan nasi kandar ‘beracun’ itu masuk ke perutnya. Cukup seminggu, perutnya dah mula meragam dan buat aksi corner lipat. Sebab itu dari pagi lagi wajahnya cemburut serba tidak kena. Tapi kerana paksaan berbaur ugutan oleh ibunya, maka dia terpaksa mengambil alih tugas rasmi yang sepatutnya dilakukan oleh ibu dan ayahnya. Dan berangkatlah di ke sekolah Juju dengan title abang mithali.
Melihat dia muncul di sekolah, Juju tersengih lebar. Seronok nak menayang abang hensem la tu. Belum jauh dia melangkah, isi perutnya nak terburai lagi. Juju sudah mengerling satu macam.
“Ju, bawa abang pergi cari tandas.” Dia mengerutkan dahinya. Juju mengeluh panjang seraya menunjukkan ke satu arah. Belum sempat dia menerpa, anak gadis itu memanggil.
“Juju tunggu kat kelas la. Jangan lupa datang. Kelas 5K (kebal, keramat, kental, keras dan kemut).
Dia acuh tak acuh mendengar kata si adik. Pedulikan kat 4K, 5K atau Datuk K sekalipun. Hal yang darurat perlu diutamakan dulu. Berlarilah dia ke dalam tandas dengan wajah emergency. Mujur takde traffic light!
Setelah setengah jam membuat pelaburan antarabangsa, dia tersenyum lega. Fuh! Senang hati den! Tapi belum sempat dia mahu menolak pintu tandas, tiba-tiba dia terdengar suara berbual sambil melangkah masuk ke dalam tandas tersebut. Wajahnya sudah pucat lesi. Aikk kenapa ada suara perempuan?
Alamak! Celaka Juju! Apasal aku boleh termasuk dalam tandas perempuan pulak ni? Tandas cikgi pulak tu! Macamana nak keluar?
Suara berbual itu semakin rancak. Takde langsung tanda-tanda mahu berhenti. Dia sudah terkemut-kemut. Hendak menerpa keluar dia malu. Sudahnya dia mengambil keputusan mahu berdiam diri ala-ala ‘dead silence’ sambil menanti suara-suara itu berlalu. Malulah orang tengok kasanova handalan pinjam tandas pompuan!
“Alamak, tandas dah penuh la.” Suara seorang perempuan singgah. Dia diam sahaja. Sebentar sahaja bunyi ketukan singgah di telinganya. Dadanya sudah berdebar-debar tidak keruan.
“Ada orang tu.” Suara seorang perempuan yang lain pula muncul.
“Tandas kat hujung tu rosak pulak. Tinggal yang ni je.” Keluh perempuan A.
Gulp! Dia menelan air liur. Biar betul!
“Takpe tunggu jap lagi.” Pujuk perempuan B.
Sekali lagi dia menelan liur. Mampus aku! Sudahlah dia berkira-kira mahu bertapa di dalam. Nak sembunyi sampai bila?
Sepuluh minit berlalu, dia sudah mati akal! Ketukan bertalu-talu singgah di daun pintu. Cemas dan menggegarkan!
“Apasal diam je ni? Ada orang tak ni?” Suara perempuan A singgah.
“Ahah la, dah lama kita tunggu.”
“Ke pintu dia rosak?”
“Mungkin. Cari pak guard la, kita pecahkan pintu ni.” Cadang perempuan B.
What? No..no way! Sepantas kilat dia segera membuka pintu di hadapannya lalu menerpa keluar. Dua wajah terpampang di hadapan matanya. Salah seorang perempuan itu menekup mulut hampir tidak percaya melihatnya. Yang seorang lagi…aduii...matanya terbelalak! Nafasnya berlari kencang. Bulat biji matanya memandang wajah perempuan yang seorang lagi. Alamak! Anak Mak Minah Janda tokey nasi kandar daa…
“Awak?” Jari lurus runcing itu menunjuk ke arahnya.
Dia tersengih dan tersipu-sipu malu. Mukanya bera toksah cakaplah, rasa macam nak simpan kepala dalam tempayan labu.
“Sa..saya pinjam tandas je tadi.” Sejurus menghabiskan kata dia segera meluru keluar. Dalam kepala otaknya sudah terpampang agenda untuk terus pulang tanpa ke kelas Juju. Baik balik rumah dan simpan mukanya sampai tahun depan dari menanggung malu!
Belum sempat berlalu, Juju tiba-tiba menyergah.
“Apasal lambat? Jom pi kelas Juju.” Anak gadis itu menarik tangannya tanpa memberikannya peluang bersuara. Mahu tak mahu dia terpaksa mengekori anak gadis itu ke 5K.
“Jap lagi cikgu datang. Dia keluar pergi tandas jap.” Ujar Juju.
Hah! Tandas? Mukanya tetiba jadi blurr!. Dia teringat pada dua perempuan yang dilihatnya sebentar tadi? Yang mana satu cikgu Juju? Yang muka terkejut macam kena karan ke atau muka comel anak Mak Minah Janda?
“Hah tu pun cikgu dah datang.” Juju tersengih menatap ke suatu arah. Dia pantas berpaling. Melihat wajah manis bertudung litup berdiri di hadapannya, matanya sudah berpinar-pinar. Otaknya sudah terbang di kepala lutut. Wajahnya semakin membiru bagaikan warna biji kundang.
“Awak?” Lagi sekali telunjuk gadis itu diangkat ke arahnya. Seperti tadi juga wajah si gadis tergaman melihatnya di situ. Dan dia seperti mahu terbang dari situ secepat kilat. Malunya sudah mencecah tahap impak maksima. Demi tuhan, dia takkan jejakkan lagi kakinya ke kedai Mak Minah Janda. Malah mungkin seumur hidup takkan jejakkan lagi kakinya ke sekolah Juju. Forever!

Saturday, March 21, 2009

ISU PLAGIAT

Baru-baru ni disebabkan keboringan, so aku merendek (betui ke istilah ni) la kat blog-blog orang2 yang selalu masuk blog aku. Kira ini lawatan muhibbah la ni. Syok baca novel-novel diaorang sampai tak sedar berjam-jam lamanya. Sayangnya kalau novel-novel yang sedap ini tak diversi cetakkan. Buat adik-adik penulis e-novel, berusahalah sedaya upaya anda supaya hasil karya anda dapat dikomersialkan dan dibaca di merata-rata tempat (bagi yang tak ada internet kat rumah. Hehehe…)

Lepas tu aku merendek lagi kat satu forum (bukan Forum Cari yek). Tiba-tiba mata aku menangkap satu ruangan yang mana seorang forumer di dalamnya postingkan satu novel. Aku baca dan dalam hati kata eh sedaplah cerita dia. Then aku baca lak komen pembaca-pembaca lain. Baru aku sedar, rupa-rupanya cerita yang diposting itu bukan milik si forumer ni tapi diplagiat dari karya seorang penulis e-novel yang kini adalah penulis novel (tak usah sebutlah). Aku baca lagi dan lagi dan tiba-tiba posting komen-komen yang berikutnya buat aku hampir tak percaya dan rasa macam kena tikam dengan pisau. Padahal bukan karya aku pun yang kena tu.

Nak tahu kenapa? Anda bayangkan, si forumer ni plagiat karya orang…meskipun dia tak kata itu hasil karya dia, tapi kalau dia dah asyik posting dan posting sampai separuh cerita tanpa meletakkan kredit kepada si penulis, apakah ini bukan plagiat namanya? Niat memplagiat tu mmg dah ada dalam otak dia. Tapi yang aku kesalkan kat sini bukan si pencuri tu yang mencuri hasil karya orang lain yang diperah dengan susah payah. Tapi aku cukup kesal dengan sikap beberapa pembaca yang menyokong tukang curi tu dengan mengatakan jika bukan sebab si pencuri tu posting dan letak cerita tu kat forum, ada ke penulis novel tu akan popular? Bedebah punya ayat, dalam hati aku! Yang kelakarnya mula-mula dia tak sebut pun nama penulis tu, tapi bila kerja ‘suci’ dia terbongkar baru sibuk-sibuk nak sebut nama si penulis. Tongong punya orang! Tongong juga buat tukang-tukang sokong yang menghalalkan plagiat asalkan dia boleh baca free.

Tak sedarkah mereka semua betapa penulis-penulis e-novel cam nak pecah kepala menulis, ini senang-senang aje nak ambil dan taruh dalam forum lain dengan alasan nak promotekan karya penulis tu. Logik ke? Kalau rasa nak tolong promosikan, bukankah lebih baik siarkan saja link e novel tu dalam blog-blog anda.

Aku pernah trace one of my novel yang kena plagiat. Tapi mujur tak sempat banyak, aku sempat contact si moderator tu. Dan malas nak panjangkan isu dengan tukang plagiat tu. Tapi aku harap sangat moga-moga blog aku tidak lagi dimasuki tukang plagiat dan penyokong-penyokongnya. Kasihanilah kami ni. Sebagaimanalah kami menulis dengan ikhlas untuk tatapan pembaca-pembaca, bacalah juga hasil kami ini dengan ikhlas dan tanpa ada niat mahu mencuri! Kita sama-sama melayu dan sama-sama insan yang bukan nak menongkat langit sepanjang masa. Ingat-ingatlah dan HORMATILAH KARYA ORANG LAIN.

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com