Sunday, March 22, 2009

Casanova Series : Sakit Perut VS Sakit Hati

Ketika keretanya sampai di perkarangan Sekolah Menengah Padang Tebu (versi adik beradik Padang Serai), dia mengeluh panjang buat 25x. Sejak dari semalam lagi dia mengeluh tak henti-henti. Sakit hati kerana dipaksa berkejar ke sekolah itu untuk sesi menandatangani kad kemajuan adik bongsunya Juju. Tambah lagi dia tidak sedap badan sejak pagi tadi. Perutnya meragam serba tidak kena. Semuanya kerana gara-gara dia melantak dua pinggan nasi Kandar di Restoran Nasi Kandar Minah Janda berhampiran officenya.
Kedai itu baru sahaja dibuka beberapa minggu yang lalu. Dan dia adalah salah seorang dari beberapa officematenya yang begitu menggilakan nasi kandar di kedai tersebut. Apakah nasi kandar di kedai tu sedap? Dia menggelengkan kepala. Mungkin teh tarik di sana kaw-kaw? Pun dia menggelengkan kepala. Rasa nasi kandar di restoran milik mak janda itu langsung tidak sedap. Pernah rasa makan nasi kandar tapi rasa macam makan nasi ayam? Hah macam tu ler rasanya nasi kandar di kedai wanita itu. Mak Minah Janda ni memang tukang masak yang paling teruk di abad ini. Malah teh tarik di kedai tersebut cair je warnanya. Orang pantai timur sebut ‘cheroorrr’. Hahaha..betul ke bahasa ni? Ah lantak ler.
Tapi walaupun teruk macamana sekalipun rasa nasi kandar di kedai itu atau bagaimana kedekutnya Mak Minah mengadunkan bahan-bahan teh tariknya, namun dia tetap berulangalik ke kedai tersebut setiap malam. Semuanya kerana gadis manis yang bekerja di warung tersebut.
Mulanya dia ingatkan gadis itu pekerja baru Mak Minah Janda. Tapi setelah beberapa hari barulah dia terdengar bisik-bisik mengatakan si gadis adalah anak Mak Minah Janda. Fuh! Cunnya gadis itu mengalahkan cun Siti Nurhaliza. Gayanya lembut bertudung litup. Meletup siot!
Tapi untuk mendapatkan perhatian gadis itu, dia terpaksa bersaing dengan sepuluh lelaki yang telah disenaraihitamkan. Tiga darinya rakan-rakan pejabatnya, manakala tujuh lagi dia sendiri tidak kenal. Tapi dia menggagak calon-calon lain itu datangnya dari beberapa pejabat yang berdekatan. Meskipun banyak saingan, namun hatinya senang sedikit kerana antara calon-calon yang ada, dia dikategorikan yang paling hensem. Bila gadis itu tersenyum ke arahnya, hatinya seribu kali lega kerana dirinya jadi perhatian. Lama kelamaan dia mula menyimpan keyakinan diri. Bunga yang sekuntum itu pasti jadi milik hakiki. Kerana itu ketidaksedapan nasi kandar di kedai Mak Minah Janda langsung tak dikisahkan, ceroorrnya teh tarik di kedai itu pun langsung tak diambil pusing.
Hasilnya berpinggan-pinggan nasi kandar ‘beracun’ itu masuk ke perutnya. Cukup seminggu, perutnya dah mula meragam dan buat aksi corner lipat. Sebab itu dari pagi lagi wajahnya cemburut serba tidak kena. Tapi kerana paksaan berbaur ugutan oleh ibunya, maka dia terpaksa mengambil alih tugas rasmi yang sepatutnya dilakukan oleh ibu dan ayahnya. Dan berangkatlah di ke sekolah Juju dengan title abang mithali.
Melihat dia muncul di sekolah, Juju tersengih lebar. Seronok nak menayang abang hensem la tu. Belum jauh dia melangkah, isi perutnya nak terburai lagi. Juju sudah mengerling satu macam.
“Ju, bawa abang pergi cari tandas.” Dia mengerutkan dahinya. Juju mengeluh panjang seraya menunjukkan ke satu arah. Belum sempat dia menerpa, anak gadis itu memanggil.
“Juju tunggu kat kelas la. Jangan lupa datang. Kelas 5K (kebal, keramat, kental, keras dan kemut).
Dia acuh tak acuh mendengar kata si adik. Pedulikan kat 4K, 5K atau Datuk K sekalipun. Hal yang darurat perlu diutamakan dulu. Berlarilah dia ke dalam tandas dengan wajah emergency. Mujur takde traffic light!
Setelah setengah jam membuat pelaburan antarabangsa, dia tersenyum lega. Fuh! Senang hati den! Tapi belum sempat dia mahu menolak pintu tandas, tiba-tiba dia terdengar suara berbual sambil melangkah masuk ke dalam tandas tersebut. Wajahnya sudah pucat lesi. Aikk kenapa ada suara perempuan?
Alamak! Celaka Juju! Apasal aku boleh termasuk dalam tandas perempuan pulak ni? Tandas cikgi pulak tu! Macamana nak keluar?
Suara berbual itu semakin rancak. Takde langsung tanda-tanda mahu berhenti. Dia sudah terkemut-kemut. Hendak menerpa keluar dia malu. Sudahnya dia mengambil keputusan mahu berdiam diri ala-ala ‘dead silence’ sambil menanti suara-suara itu berlalu. Malulah orang tengok kasanova handalan pinjam tandas pompuan!
“Alamak, tandas dah penuh la.” Suara seorang perempuan singgah. Dia diam sahaja. Sebentar sahaja bunyi ketukan singgah di telinganya. Dadanya sudah berdebar-debar tidak keruan.
“Ada orang tu.” Suara seorang perempuan yang lain pula muncul.
“Tandas kat hujung tu rosak pulak. Tinggal yang ni je.” Keluh perempuan A.
Gulp! Dia menelan air liur. Biar betul!
“Takpe tunggu jap lagi.” Pujuk perempuan B.
Sekali lagi dia menelan liur. Mampus aku! Sudahlah dia berkira-kira mahu bertapa di dalam. Nak sembunyi sampai bila?
Sepuluh minit berlalu, dia sudah mati akal! Ketukan bertalu-talu singgah di daun pintu. Cemas dan menggegarkan!
“Apasal diam je ni? Ada orang tak ni?” Suara perempuan A singgah.
“Ahah la, dah lama kita tunggu.”
“Ke pintu dia rosak?”
“Mungkin. Cari pak guard la, kita pecahkan pintu ni.” Cadang perempuan B.
What? No..no way! Sepantas kilat dia segera membuka pintu di hadapannya lalu menerpa keluar. Dua wajah terpampang di hadapan matanya. Salah seorang perempuan itu menekup mulut hampir tidak percaya melihatnya. Yang seorang lagi…aduii...matanya terbelalak! Nafasnya berlari kencang. Bulat biji matanya memandang wajah perempuan yang seorang lagi. Alamak! Anak Mak Minah Janda tokey nasi kandar daa…
“Awak?” Jari lurus runcing itu menunjuk ke arahnya.
Dia tersengih dan tersipu-sipu malu. Mukanya bera toksah cakaplah, rasa macam nak simpan kepala dalam tempayan labu.
“Sa..saya pinjam tandas je tadi.” Sejurus menghabiskan kata dia segera meluru keluar. Dalam kepala otaknya sudah terpampang agenda untuk terus pulang tanpa ke kelas Juju. Baik balik rumah dan simpan mukanya sampai tahun depan dari menanggung malu!
Belum sempat berlalu, Juju tiba-tiba menyergah.
“Apasal lambat? Jom pi kelas Juju.” Anak gadis itu menarik tangannya tanpa memberikannya peluang bersuara. Mahu tak mahu dia terpaksa mengekori anak gadis itu ke 5K.
“Jap lagi cikgu datang. Dia keluar pergi tandas jap.” Ujar Juju.
Hah! Tandas? Mukanya tetiba jadi blurr!. Dia teringat pada dua perempuan yang dilihatnya sebentar tadi? Yang mana satu cikgu Juju? Yang muka terkejut macam kena karan ke atau muka comel anak Mak Minah Janda?
“Hah tu pun cikgu dah datang.” Juju tersengih menatap ke suatu arah. Dia pantas berpaling. Melihat wajah manis bertudung litup berdiri di hadapannya, matanya sudah berpinar-pinar. Otaknya sudah terbang di kepala lutut. Wajahnya semakin membiru bagaikan warna biji kundang.
“Awak?” Lagi sekali telunjuk gadis itu diangkat ke arahnya. Seperti tadi juga wajah si gadis tergaman melihatnya di situ. Dan dia seperti mahu terbang dari situ secepat kilat. Malunya sudah mencecah tahap impak maksima. Demi tuhan, dia takkan jejakkan lagi kakinya ke kedai Mak Minah Janda. Malah mungkin seumur hidup takkan jejakkan lagi kakinya ke sekolah Juju. Forever!

Saturday, March 21, 2009

ISU PLAGIAT

Baru-baru ni disebabkan keboringan, so aku merendek (betui ke istilah ni) la kat blog-blog orang2 yang selalu masuk blog aku. Kira ini lawatan muhibbah la ni. Syok baca novel-novel diaorang sampai tak sedar berjam-jam lamanya. Sayangnya kalau novel-novel yang sedap ini tak diversi cetakkan. Buat adik-adik penulis e-novel, berusahalah sedaya upaya anda supaya hasil karya anda dapat dikomersialkan dan dibaca di merata-rata tempat (bagi yang tak ada internet kat rumah. Hehehe…)

Lepas tu aku merendek lagi kat satu forum (bukan Forum Cari yek). Tiba-tiba mata aku menangkap satu ruangan yang mana seorang forumer di dalamnya postingkan satu novel. Aku baca dan dalam hati kata eh sedaplah cerita dia. Then aku baca lak komen pembaca-pembaca lain. Baru aku sedar, rupa-rupanya cerita yang diposting itu bukan milik si forumer ni tapi diplagiat dari karya seorang penulis e-novel yang kini adalah penulis novel (tak usah sebutlah). Aku baca lagi dan lagi dan tiba-tiba posting komen-komen yang berikutnya buat aku hampir tak percaya dan rasa macam kena tikam dengan pisau. Padahal bukan karya aku pun yang kena tu.

Nak tahu kenapa? Anda bayangkan, si forumer ni plagiat karya orang…meskipun dia tak kata itu hasil karya dia, tapi kalau dia dah asyik posting dan posting sampai separuh cerita tanpa meletakkan kredit kepada si penulis, apakah ini bukan plagiat namanya? Niat memplagiat tu mmg dah ada dalam otak dia. Tapi yang aku kesalkan kat sini bukan si pencuri tu yang mencuri hasil karya orang lain yang diperah dengan susah payah. Tapi aku cukup kesal dengan sikap beberapa pembaca yang menyokong tukang curi tu dengan mengatakan jika bukan sebab si pencuri tu posting dan letak cerita tu kat forum, ada ke penulis novel tu akan popular? Bedebah punya ayat, dalam hati aku! Yang kelakarnya mula-mula dia tak sebut pun nama penulis tu, tapi bila kerja ‘suci’ dia terbongkar baru sibuk-sibuk nak sebut nama si penulis. Tongong punya orang! Tongong juga buat tukang-tukang sokong yang menghalalkan plagiat asalkan dia boleh baca free.

Tak sedarkah mereka semua betapa penulis-penulis e-novel cam nak pecah kepala menulis, ini senang-senang aje nak ambil dan taruh dalam forum lain dengan alasan nak promotekan karya penulis tu. Logik ke? Kalau rasa nak tolong promosikan, bukankah lebih baik siarkan saja link e novel tu dalam blog-blog anda.

Aku pernah trace one of my novel yang kena plagiat. Tapi mujur tak sempat banyak, aku sempat contact si moderator tu. Dan malas nak panjangkan isu dengan tukang plagiat tu. Tapi aku harap sangat moga-moga blog aku tidak lagi dimasuki tukang plagiat dan penyokong-penyokongnya. Kasihanilah kami ni. Sebagaimanalah kami menulis dengan ikhlas untuk tatapan pembaca-pembaca, bacalah juga hasil kami ini dengan ikhlas dan tanpa ada niat mahu mencuri! Kita sama-sama melayu dan sama-sama insan yang bukan nak menongkat langit sepanjang masa. Ingat-ingatlah dan HORMATILAH KARYA ORANG LAIN.

Friday, March 13, 2009

The Pursuit Of Happyness

Tadi aku habiskan masa menonton Astro lebih-lebih lagi saluran HBO dan Cinemamax. Bukan apa, kalau otak aku tepu..aku akan habiskan masa menonton. Tapi dalam banyak-banyak cerita yang aku tonton non-stop dari petang tadi..aku paling tertarik pada movie lakonan Will Smith, Thandie Newton dan Jaden Smith yang bertajuk The Pursuit of Happyness atau bermaksud mengejar kebahagiaan. Apa yang dikejar? Apakah definisi kebahagiaan pada sesetengah manusia. Jika tidak ada duit, apakah manusia boleh bahagia? Inilah persoalan utama dalam dalam filem ini. Dari awal hingga akhir aku tak berganjak tonton filem ini dan tak sangka movie ni boleh buat aku nangis. Touching sangat!


Sebenarnya movie ni salah satu movie box office lakonan Will Smith yang melayakkan dia dapat pencalonan untuk Best Actor dalam Academy Award. Judulnya diambil sempena kata-kata Thomas Jefferson yang terukir pada US Declaration of Dependence dan disebut di dalam filem tu beberapa kali.


Kisahnya diadaptasi dari bibliografi seorang homeless yang bernama Christ Gardner (Will Smith) yang menghabiskan semua simpanannya untuk melabur dalam jualan langsung alatan scanner (yang biasa digunakan kat hospital tu). Kerana tindakan Chris ini, kedudukan kewangannya jadi tidak stabil, dia banyak berhutang, isterinya meninggalkan dia, dia dihalau kerana tidak mampu membayar sewa rumah, malah dia langsung tidak memiliki pekerjaan. Namun dia berkeras mahu menjaga satu-satunya anak lelakinya berusia dalam 5 atau 6 tahun bernama Christpher (Jaden Smith). Kat luar cerita, Jaden ni memang anak si Smith ni. Jaden ni bagi aku comel sangat dan pandai berlakon.


Apabila Chris dapat peluang menjadi pelatih broker di Den Witter, dia berusaha bersungguh-sungguh kerana merasakan inilah peluangnya untuk mengejar kebahagiaan yang dimahukannya. Namun menjadi pelatih di Dean Witter tidak semudah yang disangka apabila terdapat banyak persaingan di situ, manakala dia pula berhadapan dengan banyak masalah untuk menjaga Christopher. Ini menyebabkan dia terpaksa mengheret Christpher ke mana sahaja sewaktu dia bekerja. Siang dia berusaha keras di Dean Witter, manakala bila malam menjelma, dia dan Christopher akan beratur untuk mendapatkan bilik kosong untuk homeless bermalam. Begitulah kehidupan di Chris Gardner ni..Babak paling sedih bila mereka berdua terpaksa bermalam di bilik menyimpan peralatan cucian di kawasan LRT dan semasa dia bergaduh semata-mata mahu berebutkan bilik kosong. Apa pun endingnya sangat menyentuh hati...dan of courselah bahagia sih! Filem ni sesuai ditonton untuk sesiapa yang merasakan hidup dia sangat malang...hehehe...

Wednesday, March 11, 2009

Result SPM 2009

Hah baru aku tahu sebab apa dah dua tiga hari aku asyik berdebar aje, makan tak lalu, tidur tak lena..mandi je yang tetap basah.

Rupa-rupanya esok dah keluar result SPM 2009. Ni apasal terbalik ni? Kenapa aku lak yang berdebar-debar macam aku yang periksa?


Sejak siang tadi, dah dua tiga student aku mesej aku. Si Nabihan awal-awal dah buat kelakar. Minta aku jangan marah kalau keputusan Sains Tambahan dia tak elok. Nak tergelak aku dengar. Macam-macam hal bebudak ni.


Lepas tu Siti Fatimah pula call aku. Rupa-rupanya dia dah ada kat Terengganu ni menumpang tidur rumah Najwa. Lagipun Fatimah ni rumah dia jauh nun kat Dungun sana. Kami sempat berborak sekejap. Dia minta aku datang awal esok kat dewan masa diaorang nak ambil keputusan exam. Aku cakap aku nak bawa kamera, sebab nak rakamkan kut-kut ada student aku yang melalak esok. Dia dengan Najwa gelak aje. Hehehe..jahat betul aku ni kan! Yang lain-lain senyap aje..mesti tengah tak lena tidur ni.


Apapun pada semua pelajar-pelajar kesayangan aku di 5D (semua sekali), aku harapkan semuanya mendapat keputusan terbaik dalam exam terutama Sains Tambahan (coz ni subjek yg aku ajar depa). Kalau boleh biarlah hendaknya semuanya lulus bukan setakat lulus tetapi lulus dengan cemerlang. Sebagai guru, inilah kebahagiaan sebenar menjadi seorang guru. Bila kita menyaksikan kejayaan anak-anak didik kita. Bukan wang ringgit atau juga pangkat seperti yang dikejar oleh sesetengah orang. Buat 5 Dinamik, wish you all the best!!! Love you all!

Teachers Lore 2

Apasal aku berdebar ya? Dari malam semalam aku tidur lambat. Pukul 4.30 baru tidur..lepas tu solat dan sambung tidur lagi. Tapi seawal pagi sekolah hubungi aku minta aku ke MidTown Hotel untuk menghadiri Bengkel Pemurnian Teachers Lore. Dalam keadaan mamai yang tidur 2 3 jam sahaja, aku paksa juga diri ni bangun bersiap. Kali ini bengkel kedua ini diadakan untuk memurnikan bahan-bahan cerpen yang kami tulis pada minggu lepas. Kak Siti Hawa pun ada sekali. Minggu lepas dia tak ada kerana sibuk ke kursus lain anjuran JPN. Kak Siti Hawa ni bekas wartawan Wanita dan Karangkraf dan juga seorang penulis skrip untuk RTM. Hebat kan!
Minggu lepas masa aku ke bengkel ni, aku duduk sebelah Tuan Faridah, penulis novel Seteguh Karang yang menjadi teks rujukan untuk pelajar-pelajar tingkatan 5. Excited sangat dapat jumpa dia. So pagi tadi masa aku bersiap-siap nak ke bengkel ke dua ni, aku plan nak bawa kamera untuk ambil gambar dengan Kak Faridah, tapi bengkak betul hati aku...adik bongsu aku dah kebas dulu bawa ke sekolah. Melepas aku nak bergambar dengan Kak Faridah. Tadi kami duduk sama-sama lagi dengan Kak Siti Hawa sekali. Macam biasa orang lain sibuk buat kerja, kitaorang pula sibuk berborak. Kak Faridah ni baik sangat orangnya dan lemah lembut.
Baru aku tahu rahsia dia yang rupanya dia tak boleh menulis direct di hadapan komputer. Dia kena tulis dulu point-point dia tu dalam kertas kosong. Lepas tu baru transfer kat komputer. Terbalik dengan aku, aku lak tak boleh tulis atas kertas kosong tapi direct terus pada komputer. Kalau orang beri aku sekeping kertas dan suruh tulis atas kertas tu, then korang datang lagi dua tiga jam..insya allah kertas tu tetap kosong macam sbelumnya. Aku blurr kalau nampak kertas..itu sebab agaknya tulisan aku buruk coz aku jarang menulis pakai tangan. Tapi kak Faridah ni dah lapan tahun tak menulis. Katanya dia sibuk dengan tugasnya sebagai seorang guru di SMK Bukit Tunggal serta kerana urusan rumahtangga. Sememangnya inilah selalunya masalah yang aku dengar dari beberapa orang penulis yang dah kahwin. Jarang sangat yang maintain kekal menulis sampai bila-bila.
Tapi tadi memang kelakar. Mana taknya macam-macam ragam cikgu cikgi ni bertungkus lumus siapkan cerpen masing-masing untuk dijadikan antalogi sempena Hari Guru peringkat kebangsaan nanti. Dan tadi mereka dah sok sek sok sek nak namakan antalogi tu dengan tajuk Nostalgia. Ada yang sibuk drafkan cover dia la, ada yang baru nak menulis, ada yang nak menulis lagi dan lagi...yang kelakar ada yang datang bawa cerpen yang takde tajuk. Yang ada tajuk pula boleh terbantai tajuk yang sama. Kak Siti Hawa punya cerpen sama dengan tajuk seorang guru lain. Last-last kami pakat fikirkan satu tajuk untuk cerpen dia. Apapun best jugak dapat terlibat dalam projek Teachers Lore ni...walaupun aku punya cerpen sendiri ntah apa-apa tajuknya.

Friday, March 6, 2009

5 Romantic Movies

Ni dah tag kedua yang si jue ni tuju kat aku..lama-lama nanti aku kena panggil dia minah tag...

Sebenarnya aku sukakan filem-filem aksi, supernatural, mistik n kena fikir-fikir sikit macam Covenant, Gabriel, 23 dn yang sewaktu dengannya. Tapi sebagai perempuan, of course la aku layan gak citer-citer romantic ni. Hehehe...so jue, inilah jawapannya beserta huraiannya sekali kenapa aku suka. Hahaha....

1) Ini salah satu citer kesukaan aku : My Mighty Princess yang aku dok sibuk-sibuk cari VCD untuk dijadikan khazanah aku yang bertimbun dalam almari tu. Sebenarnya dah banyak kali aku tengok cerita ni online, tapi tak puas hati kena cari juga VCD dia. Cerita ni cerita moden dan kelakar..mengisahkan tentang dua sahabat baik sejak kecil So-Hwi yang cantik dan Il-Young yang nakal, pemalas dan tak senonoh. Namun begitu Il-Young ni suka sangat kat So-Hwi sehinga dia sanggup berkorban apa sahaja untuk So-Hwi. Apa pengorbanannya? Ha kena tengok sendiri...Il -Young yang pakai kot hitam kat sebelah kanan tu. Comel kan? Watak So-Hwi pula dipegang oleh Shin Min Ah yang popular dalam A Love to Kill and Punch.

2) A Very Special Love ni aku suka sangat. In fact semua citer2 JLC ni aku suka tengok. Mana taknya mamat Filiphino ni cuter sesangat...and dlm movie ni dia paling romantik. Watak dia sebagai Miggy yang buka sebuah syarikat pengiklanan yang hampir nak lingkup. Then datang si Laida (the girl) yg mmg menggilai Miggy ni (coz dia dr keluarga politik yang terkenal, so gambar dia n family jadi billboard tepi jalan). Laida ni mmg in love hbs kt Miggy dan bila dia dpt kerja kat syarikat Miggy, sukanyerr dia...cuma satu je yg dia tak tahu, Miggy ni berperangai baran, sombong dan suka memecat pekerja..Kiranya siapa yg kerja ngan Miggy ni setahun pun tak habis trauma..

3) Vampire Knight. Wlpun ini anime tapi bagi aku inilah anime yang paling best, romantic and mengujakan bila aku menontonnya. Sekarang musim 1 anime ni dah habis aku tengok. Tinggal nak habiskan musim 2 : Vampire Night Guilty. Sukanya aku dengan watak-watak Yuuki Croos, Zero dan Kaname yang cool habis. Kisahnya? Dah namanya Vampire, kisah tentulah Vampire. tapi vampire yang romantic mcm Edward Cullen..lagu-lagu opening theme kat dalam ni seperti futatsu no kodou to akai tsumi nyanyian on/off dan still doll menjadi kegilaan aku smpi aku buat ringtones. Best sangat :

4) Spring Waltz ni dah lama dah aku tengok but still jadi one of my favourite. Ada 4 cerita yg menggmbarkan ttg season ni : winter sonata, autumn in my heart dan summer scent tapi spring waltz bagi aku lebih best. Mula2 bila beli cerita ni masih tak familiar sgt dengan muka Seo Do-Young lagipun aku tak nmpk muka dia kt mana-mana cerita sebelum itu. tapi bila dah tengok cerita ni, mmg mata tak boleh nak lari dari SDY ni...hahaha tak caya? Cubalah tengok dulu....


5) The last one mestilah all time favourite : Twilight yang menjadi kegilaan aku sehingga dah tak tahu nak cakap berapa kali aku ulang tayang CD cerita ni sampai dah naik rosak. Itupun aku plan nak beli DVD baru bulan 3 ni yang entah bila nak release kat pasaran. Kisah cinta Edward (the bloodsucker) dan Bella (the beauty) memang sangat2 mengujakan aku. Sehingga sekarang, aku baru sahaja habis membaca Eclipse, tinggal satu sahaja dari 4 versi Twilight Saga yang belum habis. dibaca. Bukan Edward dan Bella sahaja yang menjadi kegilaan aku, bahkan seluruh watak-watak dalam series ni memang best especially Jacob Black (The Wolf) yang buat aku suka sangat2 dengan dia dalam buku kedua - new moon. Tak sabar nak tengok movie New Moon bulan 11 ni.

Thursday, March 5, 2009

Al-Kisah Street Vendetta

Salam buat pembaca-pembaca Street Vendetta....sy ada berita buruk untuk anda tetapi berita baik untuk saya. Berita buruknya, saya terpaksa hentikan penyiaran Street Vendetta mulai hari ini dan anda semua tak dapat lagi membaca sambungan kisah Kojie dan Anabella.
Berita baiknya..naskah Street Vendetta telah menarik minat sebuah publisher yang agak gah juga namanya di Malaysia ni. Kelakarnya sebenarnya naskah ini sebelum itu masih belum siap ditulis. Namun kerana kesudian pihak penerbit ini mahu menanti naskah ini disiapkan sehingga ke titisan darah terakhir (hehehe...) maka saya pun bersetujulah untuk bersengkang mata menulisnya. Dan alhamdulillah, ianya telah siap ditulis dan berjumlah hampir 600 lebih helaian dengan ending yang...ehem-ehem....
Dan kerana memberi perhatian yang sangat drastik kepada naskah SV ini, maka saya dah mengabaikan blog2 e-novel saya yang lain. Saya tahu mesti ramai yang akan marahkan saya tapi saya pun tak sangka SV saya yang sempoi dan biasa-biasa itu layak diversi cetakkan..sekali lagi saya minta maaf banyak-banyak kerana masalah ini. Kalau boleh, saya nak publish juga sampai habis tapi nanti tak adillah pula buat syarikat tersebut. Harap-harap naskah SV boleh diterbitkan hujung tahun ini. Sama-samalah kita berdoa yer..
Sebagai tanda maaf saya pada yang menanti SV, saya akan persembahkan e-novel Arina dalam beberapa hari lagi...menggantikan SV.

Wednesday, March 4, 2009

Sakti Cinta

Akhirnya yang ditunggu dah tiba. Specialnya novel terbaru aku ni dihantar sendiri oleh Encik Rozali, malam tadi ambil dengan dia. Aku sempat berborak dengan Encik Rozali kira-kira dekat setengah jam juga. Dia beritahu aku dia sakit lebih kurang setahun yang lalu, itu sebab banyak kes penerbitan tertunda yang berlaku kat iBook Publication dan banyak buku-buku lain yang terpaksa delay. Kasihan pula aku dengar tentang kes beliau. Apapun aku harap banyak novel-novel lain yang tertangguh dapat segera diterbitkan secepat yang mungkin.

Bila renung novel ni, tetiba je rasa ada semacam kelegaan. Hanya orang-orang tertentu sahaja faham betapa susah payahnya aku memastikan novel ini dapat diterbitkan. Aku nyaris menangis, nyaris putus asa dan nyaris tarik manuskrip ni dari syarikat iBook..banyaknya benda yang aku dah buat selama setahun ini. Tapi melihat cantiknya warna kuning bertatahkan tulisan berwarna pink pada cover novel, entah kenapa yang menjadi beban dan hampa itu segera menghilang. Seronoknya aku dapat menatap cover novel baru aku yang setebal 755 mukasurat ini dengan mata kepala sendiri. Bagi seorang penulis macam aku, menatap novel sendiri lebih seronok dari sewaktu mendapat hasil royalti.

Sinopsis Sakti Cinta

Dua beradik, Dina Azura dan Diazey dalam diam-diam mempunyai perasaan terlarang di antara satu sama lain tetapi memendamkan perasaan masing-masing. Perasaan yang hadir, membuatkan Diazey melarikan diri jauh ke luar negara dengan satu tujuan. Melarikan diri dari Dina Azura serta membunuh perasaan cintanya pada adiknya sendiri. Sepuluh tahun kemudian, Diazey pulang ke tanahair dan bekerja dengan seorang wanita bernama Alma Katherine dan membawa kembali pertemuan yang cuba dielakkannya dengan Dina. Apakah dia mampu membunuh rasa cintanya pada Dina? Atau apakah cinta mereka benar-benar terlarang? Dapatkan jawapannya di dalam Sakti Cinta..

Wednesday, February 25, 2009

Harapan Yang Tak Pernah Pudar...


Just curious nak tahu, so aku hantar satu mesej pada Encik Rozali, the owner of iBook Publication nak bertanyakan fasal SC. Tak disangka-sangka beliau sendiri menghubungi aku tadi dan kami sempat bercakap-cakap selama 5 minit berkenaan novel Sakti Cinta aku yang tertangguh ke pasaran hampir setahun lamanya (kalau kira dari PBAKL 2008, hehehe..)


Dia sempat beritahu aku SC sedang dibinding, dan katanya dia mahu ke Terengganu next week or the other next week (tak jelas sangat). Teruja sangat bila dia beritahu dia akan hantar sendiri novel-novel tu kerana dia nak jumpa aku in person. Harap-harap kereta Encik Rozali tak rosak dan beliau akan sampai juga ke Terengganu. Aku berdoa dengan penuh harapan ni. Hahaha..


Memang berbanding novel2 lain, aku memang sangat2 menantikan SC. Harap-haraplah baby yang dah lama aku lahirkan ni, muncul juga di depan mata aku kali ni. Azabnya yang ini nak keluar, tuhan aje yang tahu.

Sampai sekarang pic ni tetap aku simpan sbg kenang-kenangan dan berharap one day, aku boleh bergambar dengan model cover SC, adib dan auni yang cute sangat-sangat in person.

P/S : Rina..kalau terbaca entry ni, call saya yek..saya nak tunai janji. hehehe...insya allah!

Thursday, February 12, 2009

Cover Hujan Rindu

AKAN DATANG : APRIL 2009

Hmmm belek-belek email hari ni, nampak kiriman email dari FP. Isi email adalah cover novel terbaru aku dengan Fajar Pakeer bertajuk Hujan Rindu yang akan ke pasaran pada awal April 2009 ini. Menurut staff FP, kemungkinan besar ia akan mulai dijual sebelum berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa di Kuala Lumpur nanti.

Hehehe..comel tak? Tak sabar nak tunggu buku ni keluar sebab ini hadiah aku untuk keluarga aku. Blurb dia tak dapat disertakan buat masa ini kerana aku belum menerima isi blurb. Lagipun tak seperti KN, dengan FP ni aku tak buat blurb aku sendiri. Lagi senang.. tak susah otak aku nak fikir panjang-panjang.
P/S : Ini blurb untuk HR yang baru keluar panas-panas lagi kat dalam website FP yang aku ciluk sikit. Heheheh....
BLURB HUJAN RINDU
Kerana kasih dan sayang seorang anak kepada ibunya, Anum Dahlia yang dilahirkan dan dibesarkan di luar negara sanggup menjejaki keluarga ibunya di Malaysia sehingga dia sanggup mengenepikan kepentingannya sendiri. Sanggup meredah beribu-ribu kilometer untuk menunaikan harapan dan impian ibunya yang sedang terlantar koma.Anum Dahlia, seorang cucu yang mendambakan kasih sayang daripada datuk dan neneknya yang selama ini tidak pernah ditemuinya. Sebuah kisah tentang cinta yang hilang di bumi kelahiran, tapi ditemui pula cinta seorang lelaki milik Yuzer Taufik, di sebuah negara asing.Tegas dalam keputusan dan berani menjejak kisah silam ibunya di sebuah negara yang tak pernah dijejakinya selama ini, Anum Dahlia menyamar sebagai seorang pelajar yang mahu membuat kajian tentang seni silat Melayu, membuatkan dia bertemu Tok Anjang, datuknya.

Nota : HR adalah e-novel yg pernah tersiar di blog ini akhir tahun lepas dan kini ia akan kembali dalam versi cetak. Nantikan kemunculannya. Bagi pengunjung blog yang tidak sempat mengikuti e-novel ini, aku paparkan sedikit sedutan dari versi e-novel.
HR 1
YUZER baru pulang sewaktu melihat Anum Dahlia rancak berbual dalam telefon. Dia menjeling ke arah Anum Dahlia yang pura-pura tidak melihatnya. Wajah gadis itu ceria. Sesekali deraian ketawa Anum Dahlia terdengar lunak di telinganya.
Yuzer berlalu ke arah dapur. Dia tidak berniat mahu menganggu perbualan gadis itu, meskipun hatinya teramat ingin tahu dengan siapa Anum Dahlia berbual. Sambil menuang air masak ke dalam gelas, matanya masih mengawasi tindak-tanduk Anum Dahlia.
“Baiklah, Kimi, nanti saya datang. Insya-Allah,” ujar Anum Dahlia seraya menghabiskan perbualan.
Sebaik gadis itu meletakkan gagang telefon, Anum Dahlia menoleh ke arah Yuzer.
“Awal awak balik hari ni?” tegurnya sambil tersenyum.
Hairan juga dia melihat Yuzer balik ke rumah agak awal. Selalunya pukul 5.00 atau 6.00 baru lelaki itu muncul, tapi jam di dinding rumah itu baru hendak masuk pukul 1.00 tengah hari. Hendak makan tengah hari di rumahkah? fikir Anum Dahlia.
Teguran Anum Dahlia disambut Yuzer dengan sekadar anggukan. Melihat wajah Yuzer yang serius, Anum Dahlia tidak banyak cakap, terus melangkah masuk ke biliknya. Namun belum sempat dia menghilangkan diri ke dalam bilik, talian telefon di rumah itu berbunyi lagi. Anum Dahlia berpaling, namun Yuzer terlebih dahulu mengangkatnya.
“Helo! Ya, Yuzer cakap. Itu nenek ya?”
Anum Dahlia tercengang. Siapa? Nek Jahkah? Dia tercegat memandang Yuzer. Lelaki itu masih rancak berbual namun sesekali mata Yuzer melirik ke arahnya. Dia menganguk-angguk sesuatu sebelum menghulurkan gagang ke arah Anum Dahlia.
“Nenek nak cakap dengan awak,” ujarnya bersahaja.
Anum Dahlia mengambil gagang telefon dari tangan Yuzer. Lelaki itu masih tercegat di situ, membuatkan Anum Dahlia dihimpit serba salah. Perlahan-lahan gagang telefon itu di lekatkan pada telinganya.
“Helo! Nenek ya? Anum sihat, nek. Nenek dengan datuk sihat?”
Senyuman halus mula singgah di bibir mungil itu. Yuzer yang melihat seakan terpaku.
“Tak ke mana pun, nenek. Kelmarin Anum dengan Zurin jalan-jalan kat shopping complex kat sini. Lepas tu kami pergi makan, itu aje.” Dia mencanang satu per satu aktiviti yang dilakukannya bersama Zurin.
“Yalah. Insya-Allah nek, nanti Anum balik segera. Anum pun rindu dengan nenek dan datuk. Kalau boleh Anum pun nak balik cepat,” sahut anak gadis itu pula.
Yuzer menatap gadis itu agak lama. Kenapa, tak sukakah dia tinggal di rumah aku sampai nak balik cepat? detik hati Yuzer penuh tanda tanya. Namun dibiarkan gadis itu menghabiskan perbualan. Apabila dirasakan perbualan antara Anum Dahlia dan Nek Jah hampir berakhir, tiba-tiba sahaja Yuzer merampas telefon di tangan Anum Dahlia. Gadis itu tergamam.
“Helo. Nenek, Yuz nak minta izin nenek bawa Anum dan Zurin ke Pulau Pangkor. Mereka mungkin balik lambat sedikit daripada jadual asal. Yuz harap nenek izinkan. Lepas balik dari Pulau Pangkor, Yuz sendiri akan hantar mereka berdua ke kampung. Lagipun Yuz ada kerja dengan ayah,” ujar Yuzer selamba.
Anum Dahlia tercengang mendengar kata-kata Yuzer. Dia berdoa agar Nek Jah tidak setuju dan memintanya pulang segera. Namun mendengar kata-kata Yuzer seterusnya, Anum Dahlia tahu harapannya tidak mungkin berjaya.
“Baik, terima kasih, nenek. Sampaikan salam kami pada datuk ya!” ucap Yuzer seraya menamatkan perbualan.
Dia meletakkan gagang telefon di tempatnya, seraya mengalihkan pandangan ke arah Anum Dahlia yang tercegat seperti patung. Wajah gadis itu menikam tepat ke wajahnya. Bibir Anum Dahlia bergerak-gerak bagaikan ingin mengatakan sesuatu. Tapi sebelum sempat Anum Dahlia mahu bersuara, Zurin tiba-tiba muncul sambil menjerit kegirangan.
“Betul abang nak bawa kami ke Pulau Pangkor?” soalnya inginkan kepastian.
Yuzer hanya mengangguk.
“Bila? Bila kita nak pergi?” soalnya lagi sudah tidak sabar.
“Selepas kerja abang habis. Mungkin dalam dua tiga hari lagi. Lagipun kita kena tunggu Zaza habis exam. Lepas tu kita pergi sama-sama,” usul Yuzer.
Sebenarnya sudah dua hari dia merancang percutian itu. Apatah lagi apabila Zurin sering merungut kerana mereka sudah lama tidak pergi bercuti. Sekadar meraikan Zurin yang baru menamatkan peperiksaan SPM serta Zaza yang baru habis final exam, maka dia sudah menyuruh Emir menempah apartmen yang selalu didiaminya jikalau mereka bercuti ke pulau percutian yang terkenal itu.
“Kak Anum dengar tak? Kita nak pergi Pulau Pangkor.” Zurin memeluk Anum Dahlia tanpa sedar.
Anum Dahlia tersenyum, namun senyuman yang diberi kelihatan hambar di mata Yuzer. Dia tahu gadis itu tidak bersetuju dengan rancangannya.

HR 2
BENGANG Anum Dahlia dengan sikap Yuzer yang memandai-mandai membuat rancangan tanpa bertanya kepadanya terlebih dahulu. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia hamburkan kemarahannya di hadapan lelaki itu tadi. Namun kemunculan Zurin membuatkan dia mematikan niatnya. Ditambah dengan sikap ceria Zurin kerana dapat bercuti ke Pulau Pangkor, Anum Dahlia tidak sampai hati mahu membantah. Namun sepanjang malam itu, dia tidak dapat melepaskan dirinya daripada rasa marah terhadap Yuzer.
Anum Dahlia memanjangkan lehernya, mengintai kelibat Yuzer dan Zurin yang sedang tertawa menonton rancangan komedi di televisyen. Tanpa disedari, mulutnya melepaskan keluhan berat. Dia meneruskan tugasnya membasuh pinggan mangkuk yang bertimbun, sisa daripada makan malam tadi.
Sambil membasuh, dia terkenangkan Nek Jah dan Tok Anjang di kampung. Apa khabar kedua-dua mereka? Entah mengapa dia rasa kasihan dengan Nek Jah. Mungkin tujuan Nek Jah menelefonnya kerana ingin menyuruh dia pulang awal. Tapi bila tiba-tiba Yuzer membuat permintaan sebegitu, mahu tak mahu Nek Jah terpaksa menurut.
“Nenek rindu betul pada Anum. Jaga diri kat sana ya, sayang!”
Ucapan Nek Jah petang tadi menyentuh hati kecilnya. Apalagi ungkapan kata sayang daripada wanita itu begitu kerap meniti di bibirnya sejak dua menjak ini. Jauh di sudut hati dia tahu, wanita itu mula menyayanginya. Bahkan dia juga begitu. Sebulan bersama Nek Jah dan Tok Anjang, kasih sayangnya tumbuh mekar dari hari ke sehari.
“Awak marahkan saya?” ujar suatu suara.
Anum Dahlia tergamam. Dia berpaling. Pantas matanya bertembung pandang dengan kelibat tubuh Yuzer yang tiba-tiba menjengah ke ruang dapur.
“Saya tak faham apa maksud awak,” balas Anum Dahlia acuh tak acuh. Dia kembali menghadap ke arah sinki sambil meneruskan tugasnya. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu memandang Yuzer. Bimbang Yuzer melihat air mata yang bergenang di kelopak matanya.
“Saya tahu awak tak suka tinggal di sini, lebih-lebih lagi sebab saya ada di sini.”
“Ini rumah awak, saya tak berhak nak marah!” balas Anum Dahlia pantas.
“Tapi awak tak suka bila saya buat keputusan menghalang awak balik ke kampung kan? Saya tahu awak rindukan nenek dengan datuk. Pelik juga bila saya fikirkan, hubungan awak dengan mereka lebih baik daripada hubungan mereka dengan Melina, cucu mereka sendiri. Apa rahsia awak,Anum?” soal Yuzer.
Anum Dahlia tergamam. Rahsia? Apa maksud Yuzer? Dia memberanikan diri memandang ke arah lelaki itu. Wajah lelaki itu serius menatap ke arahnya. Anum Dahlia kian resah.
“Awak tiba-tiba muncul dalam hidup kami dan dalam sekelip mata awak jadi cucu kesayangan Nek Jah dan Tok Anjang. Tapi anehnya kami langsung tak tahu apa-apa pasal awak. Siapa awak sebenarnya?” Bertalu-talu soalan itu menyapa bibir Yuzer.
Kata-kata Yuzer seperti mengandungi maksud tersirat, membuatkan Anum Dahlia rasa seperti dadanya ditolak dengan batu besar. Dia ingin bersuara, namun lidahnya bagaikan kelu untuk berkata-kata.
Perlahan-lahan Yuzer melangkah mendekati Anum Dahlia yang seperti hendak menangis. Dipandangnya wajah itu tidak mahu lepas.
“Awak orang asing dalam hidup saya, Anum. Selalunya saya tak pernah membiarkan seseorang yang asing hadir dalam hidup saya begitu sahaja. Tapi entah kenapa dengan awak, hati saya bagaikan membenarkannya dan saya tak faham kenapa ianya berlaku,” bisik Yuzer perlahan.
Anum Dahlia terdiam. Entah kenapa hatinya berdebar kuat tatkala ungkapan kata-kata itu meluncur dari bibir Yuzer. Meskipun dia tidak pasti apakah maksud sebenar lelaki itu, tapi entah kenapa hatinya terasa sejuk mendengar kata-kata Yuzer itu. Ada sekelumit ketenangan singgah di penjuru hatinya.

Tuesday, February 10, 2009

Bengkel Penulisan

Lepas satu..satu kerja yang datang. Kelam kabut aku nak membuatnya. Terkejut juga bila aku dapat surat dari Jabatan Pendidikan agar menghadiri satu bengkel pembinaan bahan penulisan bertempat di Hotel Midtown pada 16 hb ini. Asalnya aku telah dimaklumkan oleh Cikgu Wan Rosdi berkenaan hal ini, tapi seingat aku dia hanya meminta aku menulis satu kisah berkait dengan pengalaman P&P di sekolah. Tak pula disebut yang aku akan dihantar ke bengkel berkenaan dan diwajibkan membawa satu draf bahan penulisan yang telah siap. Kelam kabut aku wei. Hari ni dah 10 hb, bengkel itu diadakan pada 16hb. Aku menggaru kepala. Satu apa aku tak buat lagi. Sempat ke siap?
Sebenarnya seronok juga kalau dapat pergi ke bengkel ni yang turut dihadiri oleh ramai penulis-penulis bergelar guru di Terengganu ni. Best sebab boleh kenal mereka semua. Tapi yang tak bestnya sebab kena sediakan bahan penulisan tentang guru samaada dalam bentu garapan pengalaman sendiri atau dalam bentuk kreatif. Aku kalau bab-bab buat cerpen ni lemah sikit. Takde idea!
Dulu masa sekolah, aku selalu juga menulis cerpen. Dan banyak juga cerpen-cerpen aku ketika itu dibaca oleh teman-teman. Tapi setelah lama aku tinggalkan alam cerpen dan beralih ke alam novel, ia dah jadi terlalu susah untuk aku mengarang balik. Mesti ramai yang kata..kalau dah buat novel, takkan ada masalah untuk buat cerpen. Kat sini korang silap besar. Kalau ada orang biasa menulis novel, mesti faham dengan maksud aku ni. Kalau kita menulis novel, kita akan menulis aje dan tak perlu bimbang dengan perkembangan jalan cerita novel tu. Panjang ke pendek ke akan diedit kemudian. Tak susah. Tapi kalau menulis cerpen, kita kena hadkan jalan cerita dan panjang tulisan tu. Maksudnya jika double spacing, mesti antara 12 - 15 mukasurat sahaja. Paling-paling banyak 18 mukasurat. Fasal limit ni la yang buat aku pening, sesak nafas dan susah nak fikir apa benda yang aku nak tulis? Pengalaman aku fasal sekolah? Tak terasa pun ianya semenarik itu untuk diabadikan dalam cerpen. Huwahhh..habislah aku kali ni.

Dengar cerita projek Pengkisahan Guru (Teacher Lore) ini akan diabadikan sebagai tribute kepada Mantan Timbalan Menteri Pelajaran, arwah Dato' Razali Ismail mengenangkan jasa-jasa arwah sendiri yang pernah bergelar pendidik dan penyumbang kepada dunia pendidikan tanahair terutamanya di Terengganu sendiri.

P/S : Aku hanya ada 6 hari untuk siapkan draf cerpen ni. Tapi rasanya aku kena guna 4 hari darinya untuk refresh balik otak yang dah berkarat ni dan perah otak cari idea untuk tulis apa. Tapi rasanya dua hari dari empat hari tu, apa pun tarak....hehehe aci tak datang bengkel tu bawa badan aje?

Monday, February 9, 2009

Tuah Versus Jebat

Waktu kecil-kecil dulu, aku selalu tengok cerita Hang Tuah lakonan Allayarham P.Ramlee. Kisah pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat, dua tokoh dalam sejarah Tanah Melayu pada awal kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Beza antara keduanya hanyalah satu. Iaitu seorang dianggap pahlawan dan hero melayu. Manakala seorang lagi dianggap pengkhianat dan penderhaka bangsa. Waktu itu aku selalu bertanya pada diri sendiri. Kenapa Hang Jebat yang hanya mahu mempertahankan orang yang tidak bersalah dianggap penderhaka? Sedangkan Hang Tuah yang sanggup membunuh saudaranya sendiri yang mahu mempertahankannya hanya kerana Sultan Melaka yang membuat keputusan tanpa usul periksa dianggap pula pahlawan dan satria. Di mana keadilan untuk Hang Jebat ketika itu? Nonsense!

Ini mengingatkan aku pada salah seorang teman chatting aku berbangsa Holand, Bert yang pernah mempelajari tentang Kesultanan Melayu Melaka di universitinya. Salah satu topik yang kami bincangkan ketika itu adalah tentang sejauh mana kesetiaan Hang Tuah yang mengatasi apa yang aku istilahkan ketika itu sebagai satu tindakan yang ‘kurang berakal’ bagi seorang pahlawan melayu yang dikagumi dan terbilang di mata rakyat melayu dan orang luar sekalipun. Even Bert sendiri mempersoalkan perkara tersebut dan mengatakan Hang Jebat dikenali di tempatnya sebagai seorang wira. Rasionalnya kerana Hang Jebat mempertahankan apa yang benar dan menentang apa yang batil, di saat-saat semua orang melayu ketika itu yang pengecut dan hanya menjadi Yes Man sahaja. Malunya! Kita memandang Hang Jebat sebagai pengkhianat bangsa sedangkan Hang Jebat adalah wira bangsa bagi orang yang bukan melayu. Bagi aku sendiri Hang Jebat adalah lambang manusia yang dicatatkan sejarah sebagai orang pertama yang berani mempertahakan pendapatnya. Malangnya Melaka ketika itu bukannya sebuah tanahair yang demokrasi serta bebas menyuarakan apa sahaja. Dan apakah negara kita sekarang ini demokrasi? Jawab aku TIDAK! We are not democracy.

Tapi lupakan soal Hang Tuah dan Hang Jebat seketika. Kerana apa yang berlaku pada zaman itu telah pun berlalu. Tetapi anehnya kita mengulang kembali kesilapan lama pada alaf ini. Perkataan derhaka kini menjadi satu perkataan yang popular dalam internet, di dalam media masa, di media cetak, di sekolah-sekolah, di universiti, di kedai kopi dan di mana-mana sahaja ianya diperkatakan. Semua orang berminat memberi komen di suratkhabar dan di televisyen. Hari-hari benda yang sama dikeluarkan sehinggakan aku sendiri naik muak. Damn! They’ve talked about it very much. Derhaka sana derhaka sini. Tapi tak ada yang nak bercakap soal penderhakaan terhadap perlembagaan negara yang jelas-jelas telah diperkotak-katikkan sesuka hati. Since when kita boleh sesuka hati merampas apa yang telah dipilih oleh rakyat? Is it a democracy? To me..it is hell not a democracy. Jika kalah, kalahlah secara bermaruah. Jika menang, menanglah secara berhemah. And once again…there were Hang Tuah and Hang Jebat in this issue. Bezanya Hang Tuah tidak lagi boleh membunuh Hang Jebatnya hanya kerana permintaan Sultan. Dan aku...malas nak cakap banyak lagi!

Sunday, February 8, 2009

Best..Best!!

Tadi kawan adik aku mai rumah and tolong pasangkan wireless adapter kat rumah aku. Best..tak payah susah-susah nak cucuk sana sini dekat modem streamyx lagi dan tak payah lagi asyik nak dail. Boring! Okey jugalah, bebas sikit nak angkut laptop aku ni kat mana-mana. Even kat dapur pun aku boleh menulis sambil makan. Jangan-jangan masuk tandas pun boleh bawa sekali laptop ni. Heheheh...
Yang kelakarnya, aku dengan adik aku siap boleh berchatting pulak. Sorang kat tingkat atas..sorang kat tingkat bawah. Macam tak betul je. Duduk satu rumah tapi siap boleh chatting lagi. Hahahah...
Tapi inilah keistimewaan IT, benda yang paling aku suka selain dari buku dan televisyen. Dah lama sebenarnya kami terfikir nak masukkan WA ni, tapi baru sekarang je sempat. Maklumlah semua adik beradik aku berebut nak gunakan internet. Bila masing-masing ada laptop sendiri, macam ni la gayanya.
P/S : sambil-sambil menulis ni..sempat pulak aku dengar lagu baru Suki - Gadis Luar Biasa. Cam best pulak bila banyak-banyak kali dengar. Layanzzz...

Wednesday, February 4, 2009

10 Cara Membunuh Hati

  1. Terbaca satu artikel baru-baru ini Mengenai 10 Cara Bagaimana Mahu Membunuh Hati. Firstly aku baca…aku agak sinikal. Kalau artikel yg dipaparkan bertajuk 10 Cara Mengubati Hati atau 10 Cara Untuk Membunuh Diri, mungkin aku takkan ambil kisah. Tapi bercakap soal membunuh hati, aku rasa keliru. Kenapa perlunya hati dibunuh? Apa akan jadi dengan manusia yang hatinya sudah dibunuh? Dan susah untuk aku menyukai artikel ini..kerana sebahagian yang ada di dalamnya adalah mewakili apa yang aku rasakan sekarang ini. Benci memikirkan yang sebahagiannya mungkin adalah benar. Satu jawapan kepada hati.

    Inilah point-point yang terpapar. Terima jika sudi. Tolak jika membenci. Namun jangan sesekali biarkan hati anda mati.

    Menyukai kesunyian melebihi sebarang bunyi.
    Menyimpan perasaan seperti sebuah diari
    Memikirkan orang lain melebihi diri sendiri
    Selalu mengatakan YA sedangkan TIDAK juga mungkin lebih baik.
    Melihat dunia yang hanya ada sekelompok manusia : yang tidak digemari
    Tidak pernah berpaling walau sekali ke belakang sewaktu melangkah
    Merasakan malam lebih bermakna berbanding siang.
    Tidak pernah terasa mahu mencuba makanan yang dirasakan tidak sedap atau membeli sesuatu yang tidak diperlukan.
    Malu untuk bersuara biarpun pada diri sendiri.
    Menyukai perkataan Syurga sedangkan Neraka tidak pernah disebut.

Monday, February 2, 2009

Vampire Lover

Seronok tak terkata bila beberapa hari lalu, bungkusan dari Suhaila aka Quratul'ain sampai kat rumah aku. Apa lagi kalau bukan satu set Twilight Saga yang aku kirimkan Sue beli di MPH. Kat sini jangan harap lah dapat jumpa Stephenie Meyer punya buku. Yang aku jumpa tempohari hanya buku Twilight, itu pun tinggal satu aje. Terus aku sambar dan dah habis baca. Lepas tu bila Sue kirimkan buku ni, terus aku excited nak baca New Moon sampai ke hulu ke hilir aku bawa kat sekolah tu. Dalam sibuk-sibuk pun sempat aku baca bila ada masa terluang. Lepas ni makin penuh la buku kat dalam rak kecil aku tu. Rasanya aku dah kena tukar rak baru ler..lepas dapat gaji, aku ingat nak pergi cari rak yang boleh pasang siap pakai skru kat dinding . Tapi rak begitu, biasanya kena tempah dulu. Kalau nak cari kat Giant atau Mydin, alamat memang takkan jumpa.
Lepas ni, apalagi beraya sakan la aku dengan buku-buku SM ni. New Moon dah habis separuh...nak marathon baca boleh tapi aku ada banyak kerja nak disiapkan. Editing novel pun cam kena stop kejap sementara mood membaca aku ni masih panas!!
Buat Suhaila aka Quratul'ain, terima kasih Sue atas kiriman buku-buku ini. Ini lah untungnya kenal orang yang kerja kat MPH. Hehehe...terima kasih daun keladi, lain kali kirim lagi ya. Novel Ku Intai Cinta Di Dalam Rahsia karya Quratul'Ain ini dah aku khatam awal-awal lagi bila aku dapat senaskah dari Suhaila. Best cerita dia...and romantik also. Aku asyik sengih aje bila baca. Perasan diri sendiri ada dalam novel dan jadi Loke Yin. Yang kelakarnya novel ini dah terbang ke Bandung apabila adik kepada my adik ipar pinjam bawa ke tempat belajar dia di Bandung. For Ima bakal doktor forensik, selamat study baik-baik dan enjoylah baca novel-novel yang diangkut tu ya. Hehehehe...

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com