Thursday, December 20, 2018

Bila Jadi Ibu Bukan Mudah

Teringat masa kecil-kecil dulu, macamana kenakalan dan kedegilan kita memeningkan ibu bapa..Kadangkala kita terkasar dengan mereka tanpa disedari almaklum jiwa tengah rapuh tengah remaja. Ditegur apapun kita susah nak terima kan? Bila buat sesuatu tak pernah fikirkan perasaan mak ayah. Bila tengok mereka sedih kerana kita pun, kita tak rasa apa-apa juga. Begitulah payahnya menjadi seorang ibu bapa pada zaman sekarang.

Dan bila sekarang saya diberi peluang seketika untuk merasa naluri seorang ibu, baru saya sedari betapa rapuhnya jiwa seorang ibu bila disakiti anak yang paling disayangi.Betapa sedihnya hati bila semakin berjauhan dengan mereka. Kadangkala terfikir kenapa Allah tak beri peluang yang pertama pada saya, tetapi Allah hadirkan rasa ini untuk seseorang yang sangat saya sayangi? Naluri seorang ibu yang mahu melindungi, menyayangi dan melihat seorang anak berjaya dalam hidupnya. Naluri ini sangat kuat sehingga kita merasakan sanggup melakukan apa sahaja untuknya, sanggup berkorban apa sahaja sehinggakan kalau hendak melintas jalan pun, saya pastikan diri saya mengawasinya  dari kenderaan yang lalu lalang, Kalau dia belum makan pun saya sanggup masakkan atau belikan supaya dia tidak berlapar. Kalau tahu dia dalam kesusahan pun, saya pasti akan pastikan saya sentiasa ada untuk membantunya.

Begitu hebatnya naluri yang Allah bagi ini. Meskipun bukan lahir dari rahim saya, dia lahir dari rahim seorang wanita mulia, tapi saya tetap menyayanginya seolah-olah saya yang melahir dan membesarkannya. Malah saya sanggup berhenti menulis selama 4 tahun kerana saya asyik fokus pada anak yang satu ini. Yang tersenyum indah bak bulan pernama. Yang menyejukkan hati dan sentiasa buat saya ketawa saban waktu. Yang membuatkan dunia saya lebih indah dan lebih bererti dari sebelum. Yang sentiasa dekat dengan saya setiap masa. 

Walaupun kini saya bukan lagi orang yang paling dipentingkannya, yang paling disayanginya, yang paling diperlukannya tetapi jauh di sudut hati, dia tetap anak saya dunia dan akhirat, dia tetap kebahagiaan saya suatu ketika dulu yang sentiasa saya kenang. Mungkin sekarang dia sudah tidak memerlukan saya lagi, tapi saya berharap andai suatu ketika dia sudah tidak sibuk lagi dengan kawan-kawan dan kehidupan barunya, dia akan kembali semula mencari ibu ini yang sangat merindukannya... Terima kasih Allah untuk kebahagian singkat yang kau kirimkan untukku melaluinya,,Sungguh, jadi ibu bukan mudah! Rasa ini adakala bahagia dan ada kala sedih, tapi tidak mengapa bila suatu hari kebahagiaan itu sudah tiada lagi. Anggaplah Allah hanya pinjamkan dia untukmu, dan Dialah pemilik mutlak anak itu. Semoga kesedihan ini, saya gantikan dengan senyuman ikhlas untuk kebahagiannya walau di mana dia berada. Untuk kedua-dua anak yang saya sayangi,...Ma sayang kamu berdua. Sungguh!! 

Wednesday, December 19, 2018

Review : Aquaman 2018

Baru-baru ini saya berkesempatan menonton Aquaman. Hasil belanja dari bekas anak-anak murid saya. Mereka ambil saya kat rumah lepas maghrib dan kami berkejar untuk mengejar masa tontonan pukul 8.10 malam di LFS di Paya Bunga Square. Hehe...kalau tengok tayangan malam yang pertama memang kena macam ni la, kena rushing sikit. Kalau tak melepas


Apa yang boleh saya cakap ialah Aquaman ialah antara filem yang saya tunggu-tunggu selain Avengers End Game dan Captain Marvel. Memang saya peminat semua filem-filem dari Marvel dan DC. Permulaan filem ditunjukkan bagaimana Thomas (ayah Aquaman) bertemu dengan Queen Atlanna yang memang cantik sangat-sangat. Nicole Kidman dalam usia 50an tetapi tetapi sahaja kelihatan cantik dan seksi. Hahaha..

Hubungan antara Thomas dan Queen Atlanna akhirnya melahirkan Arthur yang comel sewaktu kecil (rambut kerinting gitu) dan bila besar lagilah ganteng. Tak tahulah kalau orang lain tak minat dengan gaya Aquaman yang selekeh, penuh tatoo kat badan tapi bagi saya...tak ada Aquaman lain dah bagi saya yang sesuai selain Jason Momoa. 

Kisah ditunjukkan dengan Queen Atlanna yang diserang di rumahnya oleh Atlantis Guardian dan dia terpaksa kembali ke dasar laut sebab tak nak suami dan anaknya menerima nasib buruk. Apabila dewasa Arthur yang mempunyai kebolehan berenang dan bernafas di dalam air hasil didikan Vulko (orang kepercayaan Queen Atlanna) diberitahu yang ibunya telah meninggal dunia kerana menjadi korban Trench sebagai hukuman kerana melahirkan Arthur. 

Suatu hari muncul Princess Mera yang memang sangat lawa dengan rambut merahnya. Amber Heard memang lawa sangat-sangat dalam movie ni. Tujuan Mera datang mencari Arthur untuk meminta bantuan menyelesaikan kemelut yang berlaku di Atlantis dan mengelakkan peperangan di antara daratan dan lautan angkara adik tiri Aquaman iaitu Ocean Master (Patrick Wilson)

Cerita seterusnya tak payahlah cerita. Nanti spoil mood orang yang nak menonton tapi apa yang menarik di dalam filem ini ialah Atlantis yang digambarkan di dalam lautan. Memang awesome sangat-sangat James Wan menggambarkan bagaimana Atlantis wujud dalam dunia Aquaman. Bukan mudah nak buat sebuah filem pertarungan yang situasinya di dalam laut. Sinematografi filem ini sangat memukau, sangat hebat dan superb. Pendek kata bagi saya Aquaman lebih hebat dan lebih power dari filem DC yang lain iaitu Justice League dan Wonder Woman. Intipati cerita pula sangat padat sesuai dengan masa 2 jam setengah yang kita dalam sedar tak sedar sudah habis walhal masih mahukan sambungannya lagi dan lagi.

Penamat filem ini sangat indah sama indah dengan kisah pembukaannya, diiringi dengan lagu tema Everything I need (Skylar Grey) yang sangat sedap didengar, Tak percaya cuba dengar. best kut lagu ni! Kesimpulannya Aquaman memang filem penutup tirai 2018 yang sangat best dan tak rugi menonton. Malah sebenarnya waktu entry ni ditulis, saya baru aje beli tiket untuk tengok kali kedua bersama anak-anak saudara pulak. Anyway thanks fatin dan alia yang belanja tengok wayang dan belanja makan. Love u girls!

Mahira Wil Be Back!

Kalau sesiapa pernah baca novel saya Venom Suria, anda akan dihidangkan dengan watak Mahira, makhluk yang disumpah di lautan dan hanya boleh kembali ke daratan melalui tubuh manusia yang dijadikan 'vessel'..bukan sebarang tubuh tetapi tubuh dari keturunan Megat Wara sahaja. Dan jika tidak dihalang, maka Mahira akan menjadi lebih berkuasa di daratan.

Tetapi apa yang teringin saya tulis selepas berehat agak lama iaitu 4 tahun dari dunia penulisan ialah kisah tentang Mahira...pendek kata macam Mahira The Beginning la..kisah sebelum ada Suria dan Izwan, kisah sebelum Mahira jadi makhluk air yang dipanggil Ragau. Of coz Mahira ni pada asalnya hanya manusia biasa yang mempunyai keluarga. Tetapi bagaimana seorang manusia boleh tersumpah dan menjadi makluk yang dasyat dan menakutkan pada zaman kesultanan melayu Melaka dahulu? 

Kalau tak ada aral, Insha Allah ini novel kedua tahun ini selepas Dia..Beautiful Lie yang akan saya kupas dan tulis..Wish me luck ok!

Baru Nak Hidup Balik

My first post selepas dah agak lama tak involve dengan sebarang blog. Dulu akulah salah seorang blogger yang sangat aktif dengan hidup dan novel. Dulu tak cukup gembira cuma masih okey sahaja.Tapi selepas aku mengenali seseorang dalam hidup, aku berhenti buat semua yang aku pandai sebab aku beri tumpuan pada insan yang sangat aku sayang. Even kehidupan sebagai novelis pun aku lupakan sejenak sebab yang paling penting bagi aku ialah menjaga seseorang sebaik mungkin dan menjadikan dia lebih baik. Tapi dalam proses itu aku lupa yang apabila kita memberi, tidak semestinya usaha kita dihargai atau disanjung.


Sekarang aku sedar satu-satunya benda yang aku paling pandai ialah menulis. Sekurang-kurangnya di sinilah tempat aku. Aku tak pandai menjadi seorang ibu, malah tidak pandai menjadi orang lain kecuali diri sendiri. Insha Allah aku kembali pada perkara yang aku paling pandai. Semoga Allah letakkan hati aku di tempat yang betul...Catatan 17 Dis 2018...2019 hanya tinggal beberapa minggu, dan aku akan kembali menjadi diri yang dahulu. Empat tahun aku lupakan bidang penulisan, now i'm back!  

Tuesday, April 17, 2012

Venom Suria 2012

Jeng-jeng..selepas menunggu dalam penantian, maka keluar juga baby ini tahun ini. Sebenarnya aku memang rasa berbaloi sangat dan puas hati dapat terbitkan buku ini. Bayangkan 4 tahun menulis then berhenti, lepas tu menulis lagi. Menulis kisah cinta memang senang, menulis kisah thriller cinta juga lebih senang walau adakalanya sukar. Tapi Venom Suria benar-benar mencabar kesabaran, membuatkan airmata aku menitis kerana hampir putus asa dan membuatkan aku buat research lebih banyak dari novel-novel lain. Dan bila ia diversicetakkan, hanya Allah sahaja yang tahu betapa aku lega. Aku happy dan yang seterusnya terserahlah kepada pembaca untuk menilai.

Sejujurnya aku tak mengharapkan Venom Suria untuk menempa kejayaan Sayangku Casper yang kini hampir mencecah ulangcetak 7 kali dalam tempoh 8 bulan di pasaran. Ini kerana aku tahu Venom Suria bukan kisah cinta ringan-ringan yang digemari remaja, bukan juga kisah kahwin paksa yang 'hot' sepanjang masa. Tapi ia sebuah kisah yang istimewa di hati aku. Kisah tiga watak yang saling berkaitan dengan masa silam.Gabungan thriller+misteri+mistik dan cinta menjadi elemen utama di dalam Venom Suria. Aku tahu ramai yang mengharapkan aku menulis sebuah kisah cinta yang sama seperti dulu, malah pihak penerbit sendiri menasihati agar aku tak mengubah genre tulisan aku kerana dikhuatiri peminat lari barangkali..haha..tapi sebenarnya aku tak berkecil hati dengan permintaan itu, malah merasa seperti ada yang sayang pada aku kerana memberi pendapat begitu..haha tapi u know me..hehe aku dah declare nak jadi penulis serba boleh. Tagline aku : Aku Boleh Menulis Apa Sahaja Genre...what do you think? hehe..

so inilah Venom Suria yang akan menjadi pembuka tirai tahun 2012

SINOPSIS

Suria seorang wartawan yang periang dan berdedikasi. Dibesarkan oleh ayah tanpa ibu di sisi menjadikan dia berani dan sentiasa yakin dengan dirinya. Sebuah kes luarbiasa yang berlaku di ibukota membuatkan dia obses mahu merungkai misteri di sebalik kes tersebut. Namun semua ini menemukan dia dengan dua lelaki berbeza watak dan takdir.


            Izwan, seorang anggota polis yang bersifat panas baran dan tegas. Kecewa dengan kematian isterinya membuatkan dia lelaki yang penuh dengan prasangka dan dendam yang membuak-buak. Namun pertemuannya dengan Suria, membuatkan lagaknya terkalahkan. Dia hilang suara setiap kali bertingkah kata dengan gadis yang sentiasa mahu menang itu.
Nazrul Aliff seorang yang sentiasa tenang, tetapi murah dengan senyuman. Tetapi tidak ada sesiapa yang menyangka hidupnya lebih rumit dari rupanya. Hidup sebagai lelaki terpilih menjadikan dia derita dalam diam. Lagi-lagi tugas yang harus dipikul memaksa dia menjadi pembunuh. Tapi mampukah dia? Lagi-lagi yang harus dibunuh kini sudah melekat di hati memarakkan cinta yang kian dalam.

Ketiga-tiganya bertemu, hanya untuk membuka sebuah lembaran kisah zaman berzaman. Kisah sumpahan dua keluarga tetapi berlainan rentak. Kisah ini harus diakhiri sebelum membuka kisah baru. Tapi apakah cinta mampu mengalahkan kejahatan? Atau jiwa akan luluh ditelan kegelapan?

Friday, March 2, 2012

Agenda AKU 2012

Yes...hari ni genap 2 bulan aku buat derk je kt blog aku. Maybe aku kena tukar layout blog kut lepas ni..haha..sian kt blog aku. Kasihan juga kat aku yang malas bebenor nak update. Kalau nampak web spider tu rasa macam dup dap dup dap dalam hati. Tadi tengok spiderman pun tiba-tiba je teringat kat blog sendiri yang bersawang dan berhabuk. Insya Allah, tahun ni aku nak buat azam aktif semula berblogging..(macam la ada banyak benda nak cerita ceriti). Hehe..

Tahun ni aku bakal keluar dengan tiga buah novel insya allah. Bulan mei ni VENOM SURIA akan menyusul. Dengar cerita bakal ada kat pesta buku antarabangsa tahun ni. Lepas tu diikuti oleh novel MENCARI KIBLAT CINTA. Penutup tirai 2012 pastinya jeng..jeng..SETANGGI DARI SYURGA..bakal menyusul untuk para pembaca..Tahun ni juga adalah tahun yang busy bagi aku kerana aku baru aje bertukar sekolah ke SMK Sultan Mansor Kuala Terengganu. Faham-faham ajelah bila kita satu-satunya yang jadi guru baru, macam-macam kerjalah kita dapat. Aku memang tak punya banyak masa untuk menulis. Tetapi pantang ada masa terluang aku akan siapkan juga sedikit demi sedikit manuskrip untuk mengisi slot 2013..hehe..doakan aku dapt maintain antara menulis dan mengajar k...

Tuesday, December 27, 2011

Boleh Ke Ucap Merry Christmas?

Aduh sebab ramai sangat yang bergaduh-gaduh dan marah-marah fasal isu ni, so aku cut and paste dari beberapa blog yang memang memberi keizinan untuk cut and paste artikel ni untuk manfaat bersama. Semoga hal ni dapat diperjelaskan dengan lebih baik. Untuk yang baru memeluk Islam, jadikan sumber ini sebagai iktibar dan jangan marah-marah..


COPY SAHAJA
Assalammualaikum...kat sini ada soal jawab pasal isu UCAP MERRY CHRISTMAS kepada non muslim yg telah dijawab oleh Ustaz Azhar. Yang ni jawapan2 yg telah dikumpulkan untuk dibuat satu status lengkap supaya semua dapat baca terus...semoga bermanfaat.

Soalan 1 : Ramai sangat ke Kristian kat Malaysia ni? setahu saya ada 9.1% je Kristian. tapi kenapa ramai yang sungguh2 tanya pasal Christmas ni? seolah2 Kristian yg ada kat Malaysia ni bukan 9.1%, tapi 91.0% pulak

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) tu la...tak sibuk nak ucap yg Nabi saw suruh ucap...doa dan zikir byk lg yg tak reti..

Soalan 2 : Betul dok ni? ..Jangan Ucap Merry christmas!! ..Christmas adalah hari untuk orang kristian. Dan menurut kristian apabila anda mengucap "Merry Christmas" anda secara tidak sengaja mengaku Allah mempuyai anak..

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) dah larang sokmo tp jenis melayu ni degil..

Soalan 3 : apa hukum kalau pergi ke rumah org yg buat jamuan sempena majlis perayaan krismas?

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) harus cuma jgn buat amalan2 berkait agama mereka..

Soalan 4 : Apa hukum seseorang mengucapkan selamat hari krismas pada rakan2 yg menyambutnya? 2) Sekiranya, rakan2 (drpd sabah sarawak) membuat majlis sambutan krismas bersama sedikiit jamuan makan, boleh ke kita turut serta dlm jamuan tersebut?

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) 1. ucap tahniah sahaja..jgn ucap merry atau selamat.. 2. bolih jika rakan kerja atau jiran sebelah..jgn ucap atau buat2 apa2 yg berkait dgn agama..sekadar hadir menjamah jamuan yg halal sahaja...

Soalan 5 : mengucapkan merry christmas kepada non muslim.. jatuh haram ke? ..org non muslim ni dah tau dah kita x leh ucapkan merry xmas.. so diaorg pun x ucapla selamat hari raya...jadi mana keharmonian kat situ? .. Nabi sendiri pun bile didatangi tetamu/raja non muslim.. baginda layan elok2..

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) bolih ucap dgn lafaz ..tahniah sahaja..jgn ucapkan dgn lafaz salam.. kalau kafir tak mau ucap selamat hari raya tak jadi msalah dan bukan tanda tak harmoni kalau kafir tak ucap selamat hari raya... zaman Rasulullah saw masih hidup pun kafir2 tak ucap selamat hari raya.. harmoni bkn dgn saling ucap selamat hari raya.. harmoni ialah dgn ditegakkan hukum dan perintah agama dimana saja kita berada..

Soalan 6 : Perayaan2 etnik trbesar diMalaysia spt krismas, deepavali, raya cino dll....Setakat mnow umat Islam dpt merayaknnya?

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) harus hadir ke rumah kafir pd hari2 raya mereka dgn tidak membuat amalan agama mereka atau ucapan agama mereka...

Soalan 7 : Ape hukum seseorang Islam menyambut perayaan orang agama lain mcm contoh Krismas or Tahun Baru Cina?

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) tak bolih sambut..yg bolih ialah ziarah rumah jiran yg kafir pd hari raya mereka sahaja..

Soalan 8 : rumah terbuka sempena christmas..

-Ustaz Azhar Idrus ( Original ) sunat orang islam tidak berpakaian cantik pd hari2 raya kafir kerana menunjukkan tidak meraikan perayaan kafir yg batil..Kitab Bahrulmmazi.

~ BOLEH SHARE ATAU COPY UNTUK MANFAAT BERSAMA ~

Wednesday, November 9, 2011

Sakit Itu Anugerah Bukan Hukuman..

Aku sendiri tidak tahu dan malas mahu mengira berapa kali aku jatuh sakit tahun lepas, tahun ini dan mungkin pada masa-masa akan datang. Tapi aku selalu jatuh sakit. Batuk, demam, selsema dan macam-macam lagi. Seolah-olah aku mesti melaluinya berpuluh-puluh kali dalam setahun untuk menempuhi tahun seterusnya.

Kondisi aku memang merosot mungkin kerana faktor usia barangkali. Kalau berbicara tentang sakit atau bertemu dengan seseorang yang kononnya arif fasal sakit, aku akan bertemu dengan seseorang yang bercakap fasal isu terkena buatan orang, terkena sihir dan sebagainya. Ya memang tak dinafikan dalam hidup manusia, kita sentiasa terdedah dengan  penyakit..dan kebanyakannya penyakit itu datangnya dari unsur-unsur jin san syaitan. Tapi sungguh aku bosan dihadapkan dengan benda yang sama begini. Entah mengapa aku lebih suka percaya bahawa ALLAH memberi sakit ini pada aku sebab dia masih mengasihi aku yang banyak berdosa padanya. Kerana sakit itu adalah cara Allah menghapuskan dosa-dosa kecil kita padaNYA. Lalu mengapa sakit itu dirintih sedangkan ia adalah anugerah sebenarnya dan bukannya hukuman. Kan?

Saturday, August 27, 2011

Nantikan Karya Terbaru Dari Saya : SAYANGKU CASPER

Klik gambar untuk besarkan

BLURB COVER :
Cinta Pertama adalah keramat di hati..
Rindu pertama adalah penamat di jiwa..
Is love supposed to last throughout all time…
 or is it like trains changing at random stops?


SINOPSIS
Andai aku Cinderella yang hidupnya dinaungi kasih Prince Charming..
Andai aku Snow White yang cintanya seputih salji di pergunungan…
Andai aku Sleeping Beauty yang membuka mata hanya untuk putera tercinta..
Tapi itu semua hanya angan-angan kosong..
Ceritaku umpama mimpi dalam mimpi..
Sehinggalah suatu hari….

Tia Adila si nerd dan clumsy
Bertemu si putera yang slow and steady..
Maka terciptalah sebuah dongeng yang indah..
Di bumi Paris…pari-pari berteriak…
Mampukah dongeng menjadi realiti?
Atau cinta akan berakhir sepantas angin..?

Tuesday, July 5, 2011

Risau + Stress

Bila orang yang paling penting dengan kita sakit, hati kita akan jadi lemah, susah, bimbang, rasa nak menangis dan pelbagai lagi. Airmata akan mudah berlinang, tapi demi kerana tak membimbangkan hati org lain, diam-diam kita menangis di mana-mana sahaja asalkan bukan di hadapan dia.

Saya fikir selama ini saya cukup kuat. Hati saya cukup teguh untuk terima apa sahaja keadaaan, susah atau senang. Tapi ternyata saya kalah, lagi-lagi kalau saya berhadapan dengan kenyataan yang memeritkan. Saya memang nak menangis sama macam adik-adik saya yang lain. Tapi saya elakkan dengan melakukan kerja-kerja lain. Tapi selepas perhatian saya beralih, airmata saya akan berlinang lagi tanpa disedari.

Saya memang susah hati sangat. Dari A hingga Z, saya memikirkan pelbagai kemungkinan. Dan tidak ada satu pun yang membuatkan saya tenang. Saya tahu saya harus redha, tapi itu juga tak mampu saya lakukan buat masa ini. Dalam saat ini, waktu ini, saya sedang berada dalam keadaan yang paling stress pernah saya rasakan dalam hidup. Ya Allah! Sembuhkan penyakit ibuku. Jika boleh digantikan sakit ini, maka saya lebih rela diri saya yang terlantar begitu di katil hospital.

Sunday, May 22, 2011

Lain Padang Lain Belalang...

            Saya selalu kata saya menulis untuk diri sendiri, sebab saya sangat suka menulis dan suka mengarang sesuatu untuk dipersembahkan. Dan saya juga mengaku bahawa saya sangat praktikal orangnya dan benci benda yang complicated. Kalau saya rasa benda tu macam menyusahkan aje, saya akan tarik diri. Itu saya. Dan saya juga suka berterus-terang, straight forward klu nak bercakap sesuatu termasuklah tentang para penerbit saya. Cuma kelakarnya, bila saya cakap berkias-kias fasal penerbit, lain yang dituju lain pulak yang terasa. Hehe…Anda kan tahu saya bekerjasama dengan ramai penerbit. Dan pasti anda juga tahu penerbit mana yang bermasalah dengan saya. Kalau tak bermasalah, tak mungkin terbitan buku saya tak dijumpai di mana-mana dan tak mungkin royalti saya macam mimpilah nak dapat. Teringat pulak pada editor BP yang pernah tanya saya, kenapa saya tak hantar manuskrip lama kt BP, saya terasa hati ke? Haha see..saya tuju kat orang lain tapi yang lain pulak tangkap. Haha..BP...thanks for calling. At least dia nak tahu masalah saya. Dan saya rasa macam dihargai.
            Itulah sebab kenapa saya terbitkan sendiri Dedalu Di Hati, tapi masih ramai yang tak faham. Dedalu di Hati adalah novel bermasalah dari penerbit yang bermasalah. Sakti Cinta adalah novel bermasalah kedua yang memberi saya masalah sebab saya tak dapat langsung royaltinya dan saya pun malas nak minta-minta. Jadi pandai-pandailah fikir sendiri siapa penerbit yang saya maksudkan tu dari ada yang membuat andaian dan tafsiran melulu.
            Saya terbitkan sendiri Dedalu Di Hati sebab nak bagi orang yang selama ini menanti untuk membacanya, agar dpt membacanya. Ia lebih mudah dari memberinya pada penerbit lain sebab banyak masalah dan proses. Lagipun ia buku lama, bukan buku baru. Tapi salah ke kalau saya terbitkan semula DDH? Tak payahlah nak pandang hina dan kata macam-macam yang tak sedap didengar. Yang penting rezeki masing-masing. Saya tak tamak periuk nasi orang, tapi janganlah kata yang bukan-bukan macamlah saya buat salah besar. Lagi satu tolonglah jangan cakap belakang-belakang, sebab telinga orang banyak..mungkin ada yang sampai kat telinga saya. Tak eloklah macam tu! Saya tak ada hutang tapi anda tiba-tiba berhutang dengan saya sebab ditangkap sedang sedap-sedap mengutuk saya. Yang lagi best, dari takde masalah terus ada masalah sbb telinga saya dengar benda tak sedap tu. Hahaha…
            Baru-baru ni di pesta buku saya jumpa dengan seorang penulis lama yang dah lama sangat saya nak jumpa. Saya memang hormat dia selama ini. Tapi dari bertanya khabar saya, sebaliknya dia tanya saya macamana bisnes saya. Saya terkedu. Bunyinya macam sinis je. Bisnes apa yang saya buat? Saya cuma terbitkan buku lama saya yang kalau tak dilakukan sesuatu akan mati begitu sahaja. Saya tahu mungkin ada yang beranggapan saya agak sensitif tapi semua penulis akan sensitif pada cara seseorang bercakap. Sebagai seorang penulis hebat, dia sepatutnya lebih faham kenapa saya terbitkan sendiri DDH. Bukan nak berlagak saya pandai atau banyak duit, tapi saya buat semuanya sebab pembaca. Saya tahu penulis ini banyak pengaruh, saya ni ikan bilis sahaja. Tapi janganlah jadikan kemajuan kecil yang saya capai dengan bersungguh-sungguh serendah tapak kaki saya. Tapi kelakarnya sebab saya tak suka ton suara dia yang nampak macam peramah tapi bunyinya macam sinis, saya terus angkat kaki tanpa bergambar dengannya. Saya memang tersinggung. Saya memang adore sgt2 dia dan saya fikir saya boleh belajar darinya tapi saya mula fikir dia jenis orang yang mungkin mudah termakan hasutan orang lain! Tapi tak apalah, lagipun saya tak rugi apa-apa pun..i'm just me..jangan dengki orang cukuplah, itu prinsip sy.

Wednesday, March 30, 2011

Bulan Gila...

Entry hari ni fasal bulan. Memandangkan dua tiga menjak ni susah sangat nak tengok bulan, so aku pun saja-saja buat research fasal bulan. Memandangkan unsur bulan ni juga ada dalam novel terbaru aku iaitu VENOM aka Mitos Cinta Suria.

Jom kita bla..bla dulu fasal bulan. Dari segi mitologi, bulan juga dikenali dengan nama Luna. Bukan Luna Maya tau..tapi ia diambil sempena nama seorang dewi dalam mitos rakyat Rom di mana Luna ni isteri kepada Raja Zeus dan beliau memiliki hampir 50 orang anak. So sebab anak-anak dia ni ramai sangat, Luna jadi tak terkawal dan akhirnya jadi GILA!!!.. Haha kelakar kan dengar cerita ni. Teringat pulak aku kat ibu-ibu yang gila meroyan..agaknya tension fasal dengar anak menangis, anak bising dan sebagainya. Ikut cerita tu pun, Luna ni macam tu jugak. Meroyan!

Selain itu Luna ni juga dikatakan berasal dari perkataan Inggeris Lunatic yang bermakna gila. Mungkin itu sebabnya bulan dikatakan berupaya mempengaruhi emosi seseorang. Kononnya kalau kita melihat pada bulan untuk tempoh masa yang lama, kita pun boleh jadi mereng. Malah ada banyak sangat cerita-cerita tentang mitos-mitos dan makhluk-makhluk tertentu yang dikaitkan dengan bulan mengambang. Entah betul atau tidak tak tahulah. Ada yang mengatakan bila bulan mengambang, semua pintu dunia ghaib terbuka..haha seeloknya jangan percaya. Ini kepercayaan sesuatu masyarakat..kita cuma harus percaya bahawa alam ghaib itu wujud, dahlah..yang lain-lain di luar pengetahuan kita sebenarnya.

Tapi cerita tentang bulan dan kegilaannya bukan lagi cerita lama. Tapi ia telah diperkatakan hampir di seluruh dunia dan wujud lebih awal dari ketamadunan manusia itu sendiri. Malah kaitannya dengan alam ghaib sudah lama diperkatakan manusia-manusia di seluruh dunia. Kisah tentang serigala jadian yang bertukar setiap kali bulan mengambang adalah antara cerita paling popular dalam mitos rakyat. Sementara itu bagi rakyat melayu sendiri, orang-orang tua dahulu kala sering berpesan, jangan keluar di kala bulan mengambang, takut terserempak dengan makhluk halus kononnya. Entahlah banyak sungguh cerita dari versi berbeza yang berkait dengan bulan.

Bagi aku, itu semua hanya mitos. Yang aku tahu, setiap kali bulan mengambang, setiap kali itulah aku pergi beli udang atau ketam di pasar sebab murah. Orang kata benda-benda laut ni byk waktu bulan mengambang. Dan serius memang ya! Murah-murah pulak tu. Hehehe..nampak sangat aku kuat makan..

Thursday, March 24, 2011

Jerawat Boleh Membunuh

Ni persoalan yang ditimbulkan dalam sebuah artikel yang aku baca dalam sebuah majalah minggu lepas. Fasal jerawat tu.haha...almaklum siapa tak ada jerawat..Even kucing dengan lembu pun ada jerawat..

Jerawat ni benda yang buat orang perempuan stress betul tak? Angguk juga walaupun korang tak setuju dan rasa tak betul. Dan lelaki juga paling trauma dengan jerawat walaupun sering tak tunjuk. Konon-konon tak kisah padahal ada teman aku yang menangis depan cermin sebab jerawat..haha malas nak bagitahu siapa...takut lagi kuat nangisnya. Kekeke..

Kata mak aku, jerawat ni pemanis wajah. Jawab aku..itu kalau sikit ma..kalau banyak melata di wajah, bukan pemanis lagi dah tapi penyeksa jiwa dan raga. Pengalaman paling buruk aku dengan jerawat ialah masa aku kat maktab dulu nak konvo diploma. Dua minggu sebelum konvo, muka aku yang licin ayu ni ditumbuhi jerawat..aku dah waaaa..noooooo...nooooo..Bayangkan kita tengok wajah kita depan cermin tapi macam tengok monster..Trauma sungguh time tu. Buat apa pun still banyak lagi..Tension betul..fikir lagi nak konvo ni. Dahlah tu boyfriend aku plak dah lama tak jumpa (haha time tu la)..bayangkan bila dia jumpa aku..soalan pertama dia fasal jerawat aku..bukannya nak tanya khabar berita..tapi tanya khabar sengsara,,,haha...seksa..

Tapi itu dulu, sekarang dah tak ada..almaklum hormon perempuan ni cepat berubah..Agaknya time tu mengorat je kut..haha tu banyak jerawat tu. Okey berbalik pada isu jerawat yang boleh membunuh, mesti ada yang tak sangka kan? Almaklum selama ini kita tahu penyakit kanser itu pembunuh utama manusia di dunia..tapi ini jerawat. Apa bahayanya? Oo jangan pandang remeh fasal jerawat tau...perlu dingatkan JERAWAT MEMANG BOLEH MEMBUNUH!!! So hati-hati.. Kenapa?

Dekat wajah manusia, kita ada apa yang dipanggil sebagai T-Shape pada wajah. Tapi para doktor memanggilnya Segitiga Maut. Ia merujuk kepada kawasan dahi dan hidung. Kat situ kalau ada jerawat tak kisahlah jerawat batu ke, pasir ke kerikil ke..hehehe tolong berhati-hati..Jangan picit melulu.. Sebabnya kawasan itu dianggap sangat sensitif dan salur pembuluh darah mudah pecah. Jadi kalau bakteria yang datangnya dari jerawat yang dipicit itu memasuki saluran darah, anda boleh mendapat apa yang dipanggil meningitis. Meningitis ni penyakit serius kerana terletak dekat otak dan tulang belakang. Bakteria yang memasuki darah boleh merebak ke cairan otak dan menyebabkan maut. Begitu lah lebih kurang,

kalau meningitis disebabkan virus biasanya tak bahaya, tapi kalau dari jerawat kita panggil bakteria bisa. Ini yang boleh menyebabkan kerosakan otak, hilang daya pendengaran dan paling teruk boleh menyebabkan KEMATIAN..Haha panjang lebar cikgu sains ni berdiskusi..so pada sesiapa yang tangan gatal asyik nak memicit jerawat..picit ajelah tapi jangan sesekali sentuh jerawat di bahagian segitiga maut..iaitu di atas dahi dan juga hidung..Sekadar berkongsi ilmu..insya allah..hehehe..

Thursday, March 17, 2011

Gay vs Novelis

Asalnya dia membeli buku-buku aku. Katanya dia peminat setia. Aku bila tahu ada lelaki suka dengan novel2 aku memang excited gila.  Tersengih sahaja memanjang. Bukan senang tau nak dpt penghargaan dari seorang lelaki. Lagi-lagi kaum lelaki ni suka perlekehkan novel-novel yang mereka anggap ‘jiwang’. Macamlah mereka tak pernah bagi bunga, coklat atau bawa awek pergi tonton wayang. Hehe mengarut je…

Lepas tu dia tunjukkan aku gambar-gambar dia. Dalam hati aku kata mak oii handsome siut budak ni. Tinggi, putih melepak..teringat plak kat adik angkat aku masa kat maktab dulu. Lida, kalau awak tengok budak ni..awak mesti ingat kat adik angkat kita kat maktab dulu. Budak ala peragawan tu..hehe.

Dia memang rajin berchatting dengan aku tiap-tiap malam sejak sebulan lebih. Seminggu sekali kira wajib, kadangkala kerap lagi. Memang aku jarang buka fb chat atau yahoo messenger tp klu ada org nak luah perasaan kat aku, mmg aku online je. Itu prinsip aku. Dengar apa sahaja. So time bersembang dengan guy ni, dia secara tak sengaja buat ayat yang membangkitkan rasa hairan aku. Dan dengan selamba aku tanya, apakah dia gay? Katanya kalau ya kenapa? Apakah aku takkan layan dia lagi lepas ni?  Kata aku, aku tak berhak nak judge orang, tak ada kelayakan pun..tapi aku ambil berat tentang saudara sesama islam. Yang salah tetap salah. Meskipun semoden mana pemikiran kita, kita tetap tak boleh menghalalkan apa yang haram di sisi Allah. Itu jawapan aku! Kata aku lagi selagi dia mahu berchatting dengan aku, it’s okay with me. Takde hal!

Tiba-tiba dia hilang. Dua malam lepas dia muncul. Dia tegur aku dan aku jawab. Katanya dia ingat aku dah tak nak layan dia. Aku kata, kenapa dia fikir begitu? Kenapa mesti fikir aku pandang hina pada dia? Seorang insan takkan fikir orang pandang rendah pada dia kalau dia mengangkat tinggi martabatnya sendiri. Dia fikir buruk tentang persepsi orang kerana jauh di sudut hati dia, dia rasa dirinya sendiri hina. Aku katakan padanya jangan ambil kisah apa org lain fikir tentangnya, tapi ambillah kisah apa yang terbaik untuknya di sisi Allah.

Katanya dia terjebak angkara kawan-kawan. Sayang! Dia seorang lelaki yang ada paras rupa, suka membaca, bererti jiwanya halus dan murni. Kesilapan memang sering terjadi dlm hidup. Sesetengah mengatakan naluri dan emosi mereka menginginkan begitu. Tapi kenapa mesti kalah pada emosi? Kenapa mesti dihalalkan apa yang telah azali haram dan dikutuk Allah?

Dear Naz, belum terlambat. Belum terlewat untuk kembali ke jalan yang lurus. Sis kagum dengan keberanianmu untuk berterus-terang. Maaf kerana catatan malam ini khas untuk kamu. Andai kamu marah selepas ini, just remember this…sis hanya mahu kamu menjadi dirimu di dalam chat room yang kelakar, baik hati, penuh perhatian dan bertanggungjawab. Itu yang postif dalam diri kamu. Itu yang novelis ini nampak dari dalam diri kamu. Kadangkala seorang penulis boleh melihat apa yang tersirat dalam jiwa seseorang hanya dari perbualan biasa. Dan kerana kamu suka membaca, maka bacalah juga bahan-bahan motivasi dan sesuatu yang boleh menenangkan jiwa yang kacau. Mulakan dari solat, bergaullah dengan kawan-kawan yang baik, tinggalkan kawan-kawan yang menyesatkan..Insya allah..kamu akan jadi lebih kuat dari sebelumnya!

P/S : Sis takkan novelkan watak kamu kalau pun itu yang kamu mahu. Kerana bagi sis, cerita ini cerita kamu. Hanya kamu yang berhak dengan kehidupan kamu. Lagipun kisah ini belum ada penamat. Hanya kamu yang boleh memilih penamatnya..bukan si penulis ini..tapi terima kasih kerana berkongsi cerita.

Wednesday, March 16, 2011

Penangan Hujan

Mendung dan lembab..begitulah keadaan cuaca kat tempat aku sekarang ni. Boleh dikatakan sejak kejadian tsunami di Jepun tempohari, hujan tak berhenti-henti turun. Dengar-dengar khabar di beberapa buah tempat di pahang dah dinaiki air dalam sehari dua ni..

Macam-macam spekulasi aku dengar orang duduk bercerita. Kononnya hujan lebat ni disebabkan tsunami di Jepun baru-baru ini. Entahlah, malas nak menokok tambah cerita yang aku tak maklum. Sama macam kiriman sms dan email yang banyak masuk dalam inbox telefon dan laptop aku, kononnya hujan yang membawa kandungan radiasi (hujan asid) dah sampai ke Malaysia. Aku perasan masa tsunami di Sumatera dulu, pun orang sibuk heboh fasal sms yang kononnya tsunami turut akan menelan Malaysia.

Pendapat aku senang aje. Jangan percaya bulat-bulat sms ni, nanti kita pun jadi panic dan bila disebarkan, orang lain pulak bertambah panic. Tapi jangan lah pulak tak percaya langsung. Maksudnya, apa salahnya kita ambil langkah-langkah yang perlu dan berhati-hati. Contohnya kalau dah tahu hujan, bawa ajelah payung. Dan kalau sesekali kita duduk rumah time-time hujan lebat ni pun kira okey apa. Jangan pulak saja-saja nak dedahkan diri sendiri pada hujan. Begitulah lebih kurang.

Kalau boleh sentiasa pantau keadaan dengan banyakkan melayari internet. Walaupun internet agak lembab dua tiga menjak ni tapi kita seharusnya sentiasa tahu tentang keadaan semasa di Jepun dan negara-negara perairan pasifik yang lain.

Hujan kali ini memang agak pelik. Tak pernah-pernah bulan 3 yang sepatutnya panas terik tapi sebaliknya seperti musim tengkujuh. Tapi aku lebih suka kaitkan perubahan cuaca ini dengan fenomena Supermoon yang akan berlaku pada 19 Mac ini. Lagipun kita sedia maklum, bulan berkait rapat dengan pasang surut air serta ada kaitan dengan kebanyakan peristiwa yang melibatkan air. Jadi tak hairanlah kalau hujan sentiasa lebat menjelang fenomena ini.

Apapun, aku sebenarnya sukakan hujan cuma kalau agak lebat dah jadi trauma pulak. Tapi sayangnya waktu hujan ni, aku yang demam tak kebah-kebah dan asyik batuk memanjang, asyik tertidur aje di depan kerja yang bertimbun-timbun. Penangan cuaca sejuk dan ubat batuk perisa oren yang aku dapat dari klinik..hehe..pernah makan ubat batuk perisa oren? Hehe…

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com