UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Monday, June 21, 2010

Bila Aku Membebel

Sebenarnya aku tak suka membebel. Aku benci dengar orang membebel kat telinga aku. Tapi entah macamana aku baru perasan aku membebel kat adik bongsu aku Wawa dari pintu pagar rumah, sampailah ke pintu pagar pusat tuisyen..hehe sebabnya baik korang jangan tahu. Tapi fikir punya fikir, kira agak lamalah jugak masa membebel aku tu sebab jarak rumah kitaorang tu ke pusat tuisyen dia boleh tahan jugaklah jauh.

Tapi aku rasa adik aku tu tak sakit telinga pun dengar aku membebel. Fasal muka dia memang muka tin sardin. Telinga dia pulak susah nak dengar orang lain bercakap kecuali dia paling peka dengan bunyi mesej telefon. Jadi bebelan aku tak beri efek besar mana pun kat dia. Cuma beri efek besar kat aku. Apasal? Aku baru sedar rupa-rupanya aku dah tua..huhuhu..

Thursday, June 17, 2010

3 Idiots Yang Bukan Bodoh

Dekat sepuluh kali tengok cerita yang sama sampai adik aku dah menggelengkan kepala dan tanya, sedap sangat ke cerita tu? Hehehe..nak tahu tengok sendirilah..jawab aku.

3 Idiots bukan cerita tentang orang bodoh. Tapi ia berkisar tentang seorang yang bijak, cerita yang bijak serta menghiburkan. Yang paling penting banyak mesej yang hendak disampaikan. Cerita ni kalau tak salah menang banyak anugerah kat India sana termasuklah filem terbaik dan filem box office. Ia bukan seperti cerita-cerita hindi yang lain yang asyik bertemakan cinta dan airmata. 3 Idiots adalah sebuah filem yang lebih bijak dari namanya.

Aku sebenarnya dah berhenti tengok cerita-cerita hindustan kecuali kalau yang diarahkan oleh Karan Johar (pengarah favourite yang kabaret..hahaha). Tapi entah kenapa satu malam aku tak boleh tidur dan terpasang secara tak sengaja sebuah cerita hindustan lakonan Aamir Khan dan Kareena Kapoor bertajuk 3 Idiots. Lepas lima minit aku tengok, aku dah ketawa sorang-sorang macam orang gila sampai kena tegur. Almaklum ketawa pukul 3 pagi, siapa tak terkejut? Hantu tengok pun boleh cabut lari. Hehehe tapi serius, scene-scene dalam cerita ni memang kelakar sangat-sangat.

Sinopsis
Ia mengisahkan tentang Rancho (Aamir Khan) yang masuk ke sebuah kolej kejuruteraan yang elit dipanggil Imperial College Engineering (ICE). Kat situ dia berkawan dengan kawan sebiliknya iaitu Farhan (R. Madhavan) dan Raju (Sharman Joshi). Rancho ni seorang pelajar yang bijak dan ada idea tersendiri tentang hidup. Sikap dia yang agak pelik dan selamba kerek buat dia dibenci oleh dekan kolej dia iaitu Profesor Viru Sahastrabudhhe atau dipanggil ViruS oleh diaorang. Merujuk kepada feel profesor diaorang ni yang memang macam virus pembawa maut. Hahaha…

Virus ni memang anti gila dengan Rancho dan sentiasa cari jalan agar Rancho dibuang. Tapi disebabkan Rancho ni cerdik dan selalu dapat tempat pertama, maka dia tak ada alasan nak buang Rancho, jadi dia tukar strategi dengan kenakan kawan-kawan Ranco iaitu Raju dan Farhan. Dan macam-macam peristiwa lucu berlaku di ICE yang boleh buat sesiapa yang menonton ketawa macam orang gila. Tak caya? Tengoklah…

Part-part lucu dalam 3 idiots
1) Masa Rancho mula-mula datang ke asrama ICE, salah seorang senior panggil untuk ragging sebab semua junior kena tanggal baju. Tapi si Rancho ni selamba badak je lari masuk dalam bilik asrama. Senior tu punyalah marah, siap ketuk pintu bilik dia macam nak roboh. Bila Rancho degil tak nak keluar, si senior ni ugut nak buang air depan bilik Rancho..hehe tapi disebabkan genius bebenor si Ranco ni, dia boleh hulurkan wayar lektrik masa senior dia buang air. Akibatnya? Hehe..mengerbanglah rambut si senior tu..

2) Rancho tegur Virus kononnya ICE kolej yang hanya mementingkan exam untuk dapatkan pekerjaan sedangkan mereka lupa pada keseronokan untuk belajar. Kerana geram dengan komen Ranco, si Virus suruh dia masuk dalam satu bilik kuliah yang dipenuhi pelajar dan ajar dia cara untuk mengajar. Hehe apa yang Rancho buat dia tulis dua perkataan kat papan tulis dan suruh pelajar-pelajar itu termasuk Virus terangkan apa maksud perkataan-perkataan itu dalam masa dua minit. Semua sibuk cari maksudnya termasuklah Virus, padahal kedua-dua perkataan tu tak ada langsung maknanya sebab ia datangnya dari gabungan nama kawan-kawan dia Farhan dan Raju. Hehe malu besar si Virus.

3) Ada seorang pelajar bernama Chatur di kelas mereka yang kerjanya hanya menghafal ilmu dan bukannya memahami. Suatu hari Chatur dapat peluang untuk bagi speech masa Teacher’s Day di kolej mereka. Punyalah si Chatur ni gembira gila. Tapi si Rancho nakal ni dia pergi tukar teks ucapan Chatur. Bila Chatur beri ucapan, satu dewan gelakkan dia. Yalah mana ada orang bagi ucapan hari guru sebut perkataan merogol..hehehe…

4) Tiga sekawan ni pergi redah masuk kenduri kahwin orang sebab nak makan free. Punyalah asyik diaorang dok sibuk mengisi pinggan sampai penuh dengan makanan, baru sedar rupa-rupanya itu majlis perkahwinan anak sulung Virus. Haha apalagi..cabut larilah. Tapi di situ juga Rancho dipertemukan dengan Pia (Kareena Kapoor), anak bongsu Virus yang merupakan student perubatan. So sweet!

5) Yang kelakar lagi, Virus tulis surat pada mak ayah Farhan dan Raju fasal pengaruh buruk Rancho ni konon2nya pada anak diaorang. Macam biasa Ranchor kena pergi rumah kawan-kawan dia untuk dileteri. Sampai kat rumah Raju, filem warna warni terus jadi hitam putih kononnya nak tunjuk rumah Raju ni macam rumah zaman dulu (filem hitam putih)..hehehe..paling best mak Raju bagi diaorang makan roti, tapi pada masa yang sama penggiling roti tu buat garu belakang badan ayah Raju yang tengah sakit. Kikiki…

Kenapa aku suka cerita ni?
a) Sebab cerita ni beri definisi baru pada persahabatan seperti yang terjalin antara Rancho, Farhan dan Raju. Lain dari yang lain!
b) Adegan-adegan dia memang kelakar gila. Aku susah nak ketawa kalau tengok cerita komedi bollywood mari..tapi 3 idiots berjaya buat aku ketawa. I like that!
c) Suka dengan Aamir Khan dalam cerita ni. Bayangkan dalam usia 40an..Aamir Khan nampak berusia awal 20an dengan style rambut dan fesyen pakaian yang ranggi.
d) filem Bollywood 5 stars bagi aku…highly recommended. Nak tengok? Tukar saluran Astro 952 channel box office.

Wednesday, June 9, 2010

Di Mana Picisannya Sesebuah Karya?

Pernah dengar istilah novel picisan atau novel popular? Istilah ini digunapakai oleh individu-individu yang hendak membezakan karya bercorak komersial dengan karya-karya sastera berat. Kenapa hendak dibezakan ya? Untuk apa?

Terus terang aku tidak gemar dengan istilah novel picisan. Muak mendengarnya. Peluang untuk ‘blog walking’ di beberapa blog sejak beberapa tahun yang lalu menemukan aku dengan individu-individu yang masih menggunakan perkataan picisan ini. Picisan itu aku anggap perkataan yang merendah-rendahkan karya penulisan novel yang ada sekarang ini. Dengar sahaja dah boleh terasa tahap kehinaan tu. Katakan sahaja aku paranoia, tapi aku rasa ramai penulis novel bersetuju dengan pendapat aku ni.

Kalau dalam kamus dewan, perkataan picisan itu bermaksud tidak berharga dan rendah mutunya. Jadi wajarkah kita ketawa selamba saat orang lain melabelkan novel-novel kita novel picisan? Entah sejak bila novel picisan bertukar menjadi novel popular. Mungkin untuk melembutkan sedikit istilah yang sejak bertahun-tahun lamanya digunakan dengan bebas dan tanpa sekatan.

Sedihnya setelah sekian lama tidak mendengar istilah novel picisan ini disebut, aku ditakdirkan blog walking di blog seorang penulis yang agak senior dalam bidang penulisan. Di situ aku menemukan kembali perkataan picisan ini, disebut olehnya dengan cara yang agak menjengkelkan. Kononnya penulis-penulis hari ini tidak ada ilmu, hanya pandai menulis karya-karya picisan sahaja. Ingin rasanya aku bertanya pada penulis tersebut. Apa yang membuatkan sesebuah karya itu layak digelar picisan pada pandangannya? Apakah hanya kerana novel itu berunsurkan cinta dan kasih sayang, maka ia terus dilabel sebagai picisan? Dan paling best aku teringin nak tanya, bila kali terakhir dia membaca novel-novel yang dikatakannya picisan ini? Opps tentu sahaja dia tidak pernah membacanya. Kerana novel-novel hari ini mungkin tidak setaraf dengan ilmu penulisannya yang sangat hebat. Ironikan, semua orang yang menganggap novel popular itu sebagai novel picisan, sebenarnya jarang atau tidak pernah membaca novel-novel ini.

Bagaimana seorang penulis yang berada dalam dunia penulisan yang tak berapa nak besar ni boleh berkata begini pada karya-karya orang lain? Hebat sangatkah dia sehingga dengan senang lenang menganggap karya-karya orang lain tidak ada harganya berbanding karya-karya sastera yang ditulisnya? Apakah kami yang dikatakan penulis novel picisan ini hanya menulis dengan menutup mata pada anggapannya? Tahulah dia betapa kami juga sentiasa membuat kajian dan perincian sebelum menulis untuk memberikan fakta yang tepat kepada pembaca?

Abah aku seorang lelaki biasa. Meskipun sudah bersara dari kerajaan dan kini menetap di rumah sepenuh masa. Tapi fikirannya tidak membeku meskipun sudah tidak bertugas di pejabat. Di rumah, novel-novel aku anaknya sering dibelek-beleknya. Kadangkala dia mencadangkan aku menulis tentang sesuatu yang baru. Kadangkala bila aku bingung dengan tajuk novel yang aku garap, dia akan bersama-sama memberi buah fikiran. Kadangkala sehingga aku ketawa sendiri sebab ideanya agak tidak logik dan kelakar. Paling aku ingat saat dia berkata ketika menyentuh novel-novel aku. Katanya, bukan senang hendak menjadi penulis. Bukan mudah untuk menulis sesuatu karya. Dan ia sungguh mengagumkan bila karya-karya kita dibaca oleh orang lain. Ketika dia berkata begitu, aku melihat ada perasaan bangga di wajahnya. Meskipun dia tahu aku hanya menulis karya yang diistilahkan orang sebagai picisan, tapi dia tidak pernah lupa mempromosi karya aku pada teman-temannya. Jadi mengapa tidak individu yang memanggil diri mereka penulis, tidak pandai menghormati karya-karya penulis lain? Bukankah kita semua sama sahaja? Tak ada bezanya antara penulis walau apa sahaja genre yang dibawanya. Sastera atau komersial, itu hanya label! Yang penting kita sama-sama menulis dengan tangggungjawab dan fungsi masing-masing.

Berikut adalah rentetan soalan yang pernah ditanyakan oleh seorang wartawan kepada aku beberapa minggu yang lalu berkenaan karya sastera dan karya popular. Tak tahulah jawapan aku kena atau tidak, tapi itulah jawapan sejujurnya dari persepsi aku sendiri. Tapi tak bestnya skrip jawapan aku ini tidak disiarkannya, mungkin ruang dalam kolum tu tak cukup agaknya. Hehehe..

SOALAN
Ada tanggapan novel popular (atau komersil ikut istilah cikgu), penulisannya kurang serius dan manfaat kepada pembaca tidak lebih daripada menghibur saja. Apa pandangan cikgu sebagai penulis yang juga novelis?

JAWAPAN AKU
Menurut pendapat saya, tak kira samaada ia novel popular(komersial) atau pun karya sastera, kesemuanya memberi manfaat tersendiri berdasarkan corak pemikiran seseorang pembaca. Biasanya hanya seorang pembaca sahaja yang tahu apa yang mahu disampaikan oleh si penulis. Tapi orang yang tidak pernah membaca novel-novel begini, biasanya akan melahirkan persepsi mereka secara rambang sahaja.

Mungkin kerana novel-novel komersial pada hari ini lebih banyak bertemakan cinta, maka ia dilabel sebagai kurang serius dan bermanfaat. Tapi sekali lagi orang yang melabel novel-novel ini hanya memandang dan memberi tanggapan dari sisi luaran sahaja. Cukupkah sekadar dengan hanya melihat kulit novel dan tajuknya sahaja? Kenapa tidak dibelek dan dibaca? Ada banyak novel bertemakan cinta dan kasih sayang pada hari ini yang diadun dan disuntik dengan pelbagai elemen-elemen kemanusiaan yang sarat, nilai-nilai murni, menghormati ibu bapa dan guru, menjauhi bentuk-bentuk gejala sosial yang tidak sihat dan sebagainya.

Sebagai seorang novelis, saya sendiri menulis novel dengan ilmu, dengan banyak membaca dan membuat rujukan. Ia bukan satu kerja mudah hanya sekadar menghadap laptop dan menulis berdasarkan imaginasi sendiri. Ada manuskrip-manuskrip yang saya tulis bercerita tentang ilmu kedoktoran dan forensik, undang-undang dan amalan kepolisian. Ada juga yang bercerita tentang perjalanan dalam sesebuah syarikat. Malah manuskrip terbaru yang sedang saya usahakan sekarang bercerita tentang unsur-unsur sains, sejarah dan bidang arkeologi.

Memang diakui, novel bercorak komersial lebih popular dan mempunyai bilangan pembaca yang lebih ramai berbanding novel-novel sastera. Mungkin kerana gaya bahasanya lebih mudah difahami, mempunyai klimaks dan peleraian yang ketara, mempunyai plot yang menarik dan mengujakan serta dibangunkan dengan laras-laras bahasa yang mempunyai persona tersendiri. Tapi tidak wajar jika dikatakan novel-novel komersial begini tidak bermanfaat. Malah saya berpendapat novel komersial adalah sebuah novel terapi yang amat sesuai untuk minda yang lebih terbuka dan segar.


Jadi tanya diri kita sendiri? Di manakah picisannya?

Tuesday, June 1, 2010

Bahasa Jiwa Bangsa


Sebenarnya aku bukanlah pejuang bahasa..jauh sekali pandai bertatasusila dalam berbahasa. Aku bukan pelajar aliran sastera pun, cuma minat dan cinta aku pada penulisan sahaja yang menyatukan aku dengan bahasa melayu secara lebih erat.

Di dalam novel, aku mengarap karya-karyaku dengan cara tersendiri. Menyedari diri masih lemah, maka aku belajar memperbanyakkan perbendaharaan kata melalui bahan bacaaan dan juga kamus dewan.Setiap kali mendengar perkataan baru disebut, aku akan pastikan aku tahu apa maksudnya sebelum menggunakannya. Pendek kata, aku tidak kisah untuk belajar sesuatu yang baru setiap hari walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Bila membaca sebuah novel yang begitu bertertib penggunaan bahasanya, aku membacanya dengan niat untuk belajar. Tapi bila aku bertanya pada diri sendiri, apakah aku akan menggunakan bahasa bertertib itu dalam dialog watak-watak imaginasiku? Jawapan yang aku boleh berikan tidak semudah itu. Menulis mesti menggunakan kosa kata yang betul, ritma yang betul, ejaan yang betul dan laras bahasa yang cantik tersusun. Itu yang aku titikberatkan selama ini. Tapi membayangkan watak-watak ciptaanku berdialog dengan apa yang disifatkan sebagai ‘skema’, maka aku mempunyai pendapat dan persepsi sendiri.

Manusia-manusia di sekeliling kita bercakap bahasa melayu yang normal. Maksud normal ialah rentak perbualan seharian yang tidak janggal di telinga. Tapi jika ada seseorang individu membahasakan dirinya gua-lu, haprak, blah la lu, tangkap cintan, tangkap leleh, jiwang karat, best gila atau sebagainya, itu dikira perkataan-perkataan tambahan yang banyak digunakan oleh orang melayu pada masa kini. Sedar tak sedar ramai yang menggunakannya ketika berbual. Bagi aku ianya tak salah digunakan dalam novel jika yang berdialog ialah watak seorang mat rempit, kaki dadah atau sekumpulan remaja, asalkan ianya tidak digunakan secara keterlaluan. Lagipun mustahillah kalau mat gian berdialog guna dialog tertib kan? Hehehe…faham maksud aku?

Tapi bila aku ‘blog walking’ dari satu blog ke satu blog yang lain dan membaca catatan-catatan para blogger, aku temui banyak gaya-gaya penulisan yang agak sakit dipandang mata dan seksa untuk dibaca. Sedih pun ada bila melihat remaja berblog menggunakan bahasa-bahasa ringkas yang agak extreme. Mungkin kalau dalam bentuk catatan ringkas tidak mengapa bagi aku (bagi pakar bahasa memang tak boleh langsung). Tapi bila mereka menulis e-novel menggunakan perkataan-perkataan ringkas yang agak keterlaluan, aku dah jadi trauma dan fobia. Bayangkan bukan dialog sahaja yang menggunakan gaya penulisan begini, tapi juga naratifnya. Aduhai…

Aku bukanlah pandai sangat menulis pun. Masih belajar. Dan aku juga bukan suka sangat ayat skema dalam novel. Aku suka bahasa yang ringkas dan kemas. Tapi aku juga tidak sukakan bahasa rojak yang dieja dengan style remaja punk bercakap. Perkataaan giler (gila), kowang (kau orang), semart (smart), watpe (buat apa), heran (hairan), xde (takde), bahye (bahaya) dan banyak lagi sampai tak terkira. Ini memang aku pangkah dalam kamus hidup aku.

Buat adik-adik yang suka menulis e-novel, menulislah dengan daya kreatifmu, tapi elakkanlah dari merosakkan bahasa melayu secara keterlaluan. Jangan mencalarkan bahasa kita yang sememangnya cantik untuk dipersembahkan pada audien. Kalau para sasterawan negara tengok ni, memang menitis airmata darah agaknya! Kalau umur belasan tahun menulis dengan gaya begini, entah bagaimana mereka tulis karangan bahasa melayu di sekolah? Hahaha nak membayangkan sahaja pun aku jadi seriau.

 

Template by Blogger Candy