UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com

Tuesday, March 31, 2009

April Fool! Terkena Korang!

Hehehe..kejap je dah masuk April. So disebabkan hari ni 1 April, maka aku dengan niat jahatnya mengkantoikan 3 orang adik aku yang pelbagai perangai dan feel..lepas ni aku mesti kena maki punyalah sebab mendedahkan muka-muka depa ni kat publik sehingga ditonton oleh rakyat Malaysia.Hahaha..

Sebenarnya saja je aku rancangkan pelan ni tanpa pengetahuan mereka. Dalam diam-diam tadi aku kongkak pc adik aku dan curi gambar-gambar yang entah bila la diaorang ni ambil. My sis tanya gak tadi..buat apa tu? Hehehe..pandai-pandailah cover line..nak hidup kan. Kalau nak tahu, inilah 3 stooges yang ada dalam hidup aku. Hehehe..

Yang pakai tudung biru sebelah kanan atas tu adik aku Aiza yang kini tengah sambung master dia kat Kustem. Dialah yang aku seret ke mana aje aku pergi sampaikan baru ni buat promosi Kaki Novel kat Melaka, dia jugalah yang ikut. Orangnya very sensitif tetapi ringan tulang gak nak menolong. Bebaru ni dia busy bebenor smpi nak nampak batang hidung pun malam-malam aje, maklumlah tengah sibuk siapkan project paper..
Yang sebelah kiri ni my sis yang no 3. Zura namanya. Dia ni kecil-kecil aje orangnya. Sekarang tengah belajar kat UNIMAP tahun akhir. Baru je habis praktikal dan tak lama lagi ada la seorang jurutera dalam familiy kami ni. Tapi mulut dia lancang sikit...banyak yang dah terkena..termasuklah aku! Hehehe....

Yang paling bawah ni my sis yang paling bongsu. Wawa namanya. Dia sekarang tengah get ready nak ambil PMR. Aku selalu pening tengok dia sebab aku tak tahu apa ke benda yang dia tengah belajar sebenarnya. Tapi dia ni paling manja ngan aku ler coz sejak kecik lagi aku manjakan. Sekarang je aku plan nak rotan-rotankan dan cubit-cubitan sikit nak bagi dia rajin belajar. Hobi utama dia ialah suka curik kamera aku dan posing macam-macam gaya. In fact gambar kat sebelah tu pun sebenarnya gambar posing dia yang entah ke berapa ratus kali agaknya! Pening den dibuatnya...

So buat adik-adikku yang bertiga...APRIL FOOL!! Jangan mare kalau nampak gambar-gambar ni terpampang kat blog ni..hehehe...Tak baik marah-marah nanti lekas tua!!
P/S : Buat sesiapa yg melihat perkataan 'lancang' tu sebagai maksud yg kasar. Sebenarnya maksudnya 'laser' dan ianya just gurauan antara adik beradik. Perkataan laser tu sesiapa sahaja guna di zaman sekarang ni. Dalam Melodi pun ada guna. Just aku guna lancang menggantikan istilah ini. Dalam kamus dewan pun ada. Kalau ada yang salah faham, clearkan mind anda dan fikir secara positif ok!

Monday, March 30, 2009

PESTA BUKU TERENGGANU 2009

Semalam last day Pesta Buku Terengganu...rancang nak pergi tapi last-last aku tidur pulak malam tu. Frust jugak tapi tak apalah..lagipun awal-awal lagi aku dah beli beberapa buah bahan bacaan pada hari pertama kat situ. Semestinya novel la yang entah bila la aku akan mengkhatamnya. Tapi biasanya novel-novel ni aku ambil baca kalau ada cuti panjang ataupun kalau aku kena bertugas di luar lingkungan sekolah. Maksudnya kalau aku kena jaga my student di kem-kem dan yang sewaktu dengannya. Lagipun masa ni la kita tak payah fikir fasal kerja-kerja sekolah kan..dan masa itulah yang seronok membaca.

Mulanya nak beli Mikhail, tapi entah macamana ntah aku cancel dan beli buku Rose Harissa (Mulanya Satu Cinta), Gelora Asmara (Haryani Kamilan), Cinta Kau dan Aku (Siti Rosmizah) dan sebuah himpunan cerpen-cerpen terbaik majalah Remaja (yang ni adik aku yang sibuk gesa aku membelinya maklumlah aku kan tukang bayar). Balik rumah baru frust sebab tak beli Mikhail...hehehe...padan muka aku!
Sepanjang pemerhatian aku kat situ, aku cuma nampak gerai-gerai Alaf 21 dan Buku Prima je. Itupun sebab diaorang maybe ada link dengan satu kedai buku kat terengganu iaitu Kedai Buku Banggol yang dah lama establish kat situ. Lain dari tu aku jumpa gerai Pekan Ilmu..ada banyak buku-buku Zehann Ur Rakhee bagi yang meminati hasil penulisannya. Tapi bila aku tanya MichaelAngelo Code tu tak keluar lagi. Frustnyerr..aku memang suka cerita yang ada unsur-unsur misteri sikit. Juga of course ada gerai Creative dan PTS macam biasa. Tapi pihak publisher lain seperti Kaki Novel, NB Kara, Jemari Seni dan yang lain-lain memang tak wujud langsung di Terengganu. Bayangkan kalau aku tanya kenal tak penerbit-penerbit ni, rata-rata akan menggelengkan kepala jawab tak kenal. Syarikat apa tu? Buku apa yang keluar dengan syarikat tu? Bayangkan dalam tempoh lima bulan buku aku dengan Kaki Novel terbit, belum sekali pun aku jumpa kat kedai buku kat sini. Heheheh..ironis kan!

Lepas tu sempat pula aku singgah makan-makan di Giant dengan adik aku. Singgah kedai CD dan belek-belek CD..tapi terjumpa la akhirnya DVD Anime yang aku begitu gila-gilakan ni. Tattaraaa...Vampire Knight Volume 1 and 2. Terbang juga duit aku sebanyak RM29.90. Tapi hati aku lagi terbang sebab berjaya menyudahkan final episode untuk VN yang cukup menyentuh kalbu, memberi ending yang membahagiakan dan memberi kepuasan total. Sempat juga aku nangis dua tiga round sebelum cerita ni nak habis. Adik aku kata tengok kartun pun nangis? Hehehe..jawab aku..ni bukan kartun daa..ni anime. Sama ke? Hehehe..lantaklah...tapi kelakarnya masa nak beli anime ni, adik aku yang 15 tahun tu tolong carikan, tolong bayarkan dan tolong bawakan. Apasal? Hehehe...jatuhlah standard aku seorang guru sains yang dah cukup umur ni nak ngaku yang aku sangat-sangat menyukai anime. Even tengok Edward Al Chemist tu pun aku leh nangis. Tapi ramai student aku tahu aku ni gila anime coz aku selalu berborak fasal anime dengan depa. Kadangkala yang diaorang tak tahu pun aku tahu. Dan kekadang aku yang bagikan link-link untuk tonton anime kat diaorang. Dan kekadang diaorang pun pinjam CD2 anime aku. Hahaha..mampus aku kalau mak bapak diaorang tahu..

Tapi apa nak buat kan. Anime ni macam buku dan movie juga. Tidak ada garisan umur yang memisahkan sesuatu minat dalam diri seorang. Takkan semata-mata sebab aku ni cikgu sains jadi aku nak kena baca buku ilmiah dan tengok cerita sains fiksyen je.. tak logik pulak gitu..kan? Kannn?

Monday, March 23, 2009

The A's For Q's

Ada beza ke penulis novel dan penulis e novel? Ada orang tanya soalan ni kat aku tiga hari lepas dalam email. Maaflah baru sekarang dapat reply itupun secara terbuka. Manalah tahu ada benda yang boleh dikongsi dan ada penulis2 e-novel lain pun nak berkongsi cerita. Mula-mula baca email ni aku gelak sendiri. Dalam hati aku apasal benda mudah ni pun hang tak leh jawab. Mesti lah ada beza. Novel benda boleh sentuh, boleh hidu, boleh cium kalau nak (hehehe) dan boleh sign kalau ada orang minta (ketawa lagi dalam versi Ogre).

E-novel lak benda yang boleh sentuh, boleh hidu dan boleh cium jugak tapi depan skrin komputer je lah. Maksudnya novel sesuatu yang real dan e-novel sesuatu yang berada di alam maya. Novel ada cover tapi e-novel lagi hebat. Ada cover jugak siap ada sound appearance lagi. Novel ada ke? Hik hik hik! Sorry gurau je…

Sebenarnya aku faham maksud si penghantar email ni. Dia just nak tahu apa kebaikan menjadi penulis novel dan e-novel. Kata dia aku duduk dalam dua kategori ni. Akulah penulis novel dan aku jugalah penulis e-novel. Tapi ramai yang tak tahu aku lebih senang digelar penulis e-novel dan paling tak suka digelar novelis. Aku lebih selesa dengan gelaran penulis sebab novelis tu cam hebat sangat bunyinya kat aku. Bagi aku ibu Khadijah Hasyim kesayangan aku sahaja boleh dipanggil novelis, penulis-penulis macam Norhayati Berahim, Noorsuraya, Amaruszati dan yang keluarkan banyak garapan novel-novel yang menarik, itulah novelis.

Tak rasa rugi ke publish novel sebagai e-novel? Tanya dia lagi. Jawab aku tak rasa camtu pun. Aku kan penulis e-novel. Selagi manuskrip aku tidak menarik perhatian mana-mana publisher then aku adalah penulis alam maya dan manuskrip aku adalah e-novel yang berhak dibaca oleh sesiapa sahaja. Bagi aku pembaca hasil karya aku tak kira peringkat umur, bidang pekerjaan atau dari mana mereka datang..adalah sumber kekuatan aku untuk terus menulis dan menulis.

Bayangkan kita menulis sesuatu karya yang kita tidak jelas apakah ianya mampu menarik pembaca…bermakna kita menulis dalam keadaan blur dan kosong. Tapi dengan mempunyai pembaca dan pengkritik walaupun seorang, maka kita mampu berpindah dari level 0 ke level 1, 2, 3 dan seterusnya. Keyakinan pun makin bertambah dan daya saing kita untuk terus menulis juga akan meningkat seratus peratus. Banyak benda juga boleh dipelajari di sini. Untungnya di sini, penulis e-novel dapat kritikan awal sebelum buku mereka diversi cetak. So sempat la mana-mana kritikan membina tu digunakan untuk memperbaiki jalan cerita dan dimurnikan sebelum dihantar pada penerbit. Tak ke untung namanya tu. Ramai teman-teman aku di alam maya akhirnya berjaya menghasilkan novel dengan cara memurnikan hasil karya mereka di alam maya. Cubalah!

Tak takut ke orang plagiat novel tu? Soalan lain pulak dah dia tanya. Aku agak dia ni salah seorang penulis e-novel juga yang masih muda belia. Jawapan aku : Sejujurnya aku takut dan sedih jika hasil karya aku diciplak orang. Tapi kita bukan boleh buka dada orang dan tengok hati dia kan…apa kita buat ialah redha ajelah. Mana yang boleh tangkis kita tangkis..yang tak boleh kita usahakan untuk terus menangkis (cam bola tangkis pulak). Ada cara untuk selamatkan hasil dari diciplak secara total sebenarnya. First jangan publish cerita sampai habis jika kita berniat nak terbitkan novel dalam versi cetak. Tapi kalau anda tak mahu upgradekan title penulis e-novel tu, dan hanya mahu publish di blog sahaja…maka anda adalah target utama lanun-lanun cetak rompak. So berhati-hatilah dan kerap meninjau perkampungan alam maya kita ni. Second, gunakanlah perisian atau apa-apa protection code yang boleh mengelakkan orang copy and paste novel anda. Yang lain tu aku belum sempat belajar lagi. Hehehe…

Pengalaman aku, bila aku hantar manuskrip kat syarikat, rata-rata nak aku stop publish manuskrip tu sebagai e-novel. Yang itu aku terpaksa turuti dan hormati atas dasar marketing sesuatu publisher. Tapi ada juga syarikat yang aku bertapak galakkan aku publish sahaja tapi ada limitnya untuk tujuan promosi. Aku macam biasa tak kisah. Benda kecik bagi aku tu! Ada lagi ke soalan? Hahaha..kalau ada jangan segan-segan tanya. Sebenarnya aku tahu ada ramai penulis-penulis e-novel yang perlukan guide line untuk protect karya mereka…aku tak reti nak bantu dari segi nak protect karya seseorang coz karya aku pun kena cantas juga. Hehehe..tapi kalau ada sesiapa yang tahu atau arif cara-cara nak lindungi karya-karya penulis-penulis e-novel macam kami, sudi-sudikanlah membantu dan berkongsi pandangan ya..

Sunday, March 22, 2009

Casanova Series : Sakit Perut VS Sakit Hati

Ketika keretanya sampai di perkarangan Sekolah Menengah Padang Tebu (versi adik beradik Padang Serai), dia mengeluh panjang buat 25x. Sejak dari semalam lagi dia mengeluh tak henti-henti. Sakit hati kerana dipaksa berkejar ke sekolah itu untuk sesi menandatangani kad kemajuan adik bongsunya Juju. Tambah lagi dia tidak sedap badan sejak pagi tadi. Perutnya meragam serba tidak kena. Semuanya kerana gara-gara dia melantak dua pinggan nasi Kandar di Restoran Nasi Kandar Minah Janda berhampiran officenya.
Kedai itu baru sahaja dibuka beberapa minggu yang lalu. Dan dia adalah salah seorang dari beberapa officematenya yang begitu menggilakan nasi kandar di kedai tersebut. Apakah nasi kandar di kedai tu sedap? Dia menggelengkan kepala. Mungkin teh tarik di sana kaw-kaw? Pun dia menggelengkan kepala. Rasa nasi kandar di restoran milik mak janda itu langsung tidak sedap. Pernah rasa makan nasi kandar tapi rasa macam makan nasi ayam? Hah macam tu ler rasanya nasi kandar di kedai wanita itu. Mak Minah Janda ni memang tukang masak yang paling teruk di abad ini. Malah teh tarik di kedai tersebut cair je warnanya. Orang pantai timur sebut ‘cheroorrr’. Hahaha..betul ke bahasa ni? Ah lantak ler.
Tapi walaupun teruk macamana sekalipun rasa nasi kandar di kedai itu atau bagaimana kedekutnya Mak Minah mengadunkan bahan-bahan teh tariknya, namun dia tetap berulangalik ke kedai tersebut setiap malam. Semuanya kerana gadis manis yang bekerja di warung tersebut.
Mulanya dia ingatkan gadis itu pekerja baru Mak Minah Janda. Tapi setelah beberapa hari barulah dia terdengar bisik-bisik mengatakan si gadis adalah anak Mak Minah Janda. Fuh! Cunnya gadis itu mengalahkan cun Siti Nurhaliza. Gayanya lembut bertudung litup. Meletup siot!
Tapi untuk mendapatkan perhatian gadis itu, dia terpaksa bersaing dengan sepuluh lelaki yang telah disenaraihitamkan. Tiga darinya rakan-rakan pejabatnya, manakala tujuh lagi dia sendiri tidak kenal. Tapi dia menggagak calon-calon lain itu datangnya dari beberapa pejabat yang berdekatan. Meskipun banyak saingan, namun hatinya senang sedikit kerana antara calon-calon yang ada, dia dikategorikan yang paling hensem. Bila gadis itu tersenyum ke arahnya, hatinya seribu kali lega kerana dirinya jadi perhatian. Lama kelamaan dia mula menyimpan keyakinan diri. Bunga yang sekuntum itu pasti jadi milik hakiki. Kerana itu ketidaksedapan nasi kandar di kedai Mak Minah Janda langsung tak dikisahkan, ceroorrnya teh tarik di kedai itu pun langsung tak diambil pusing.
Hasilnya berpinggan-pinggan nasi kandar ‘beracun’ itu masuk ke perutnya. Cukup seminggu, perutnya dah mula meragam dan buat aksi corner lipat. Sebab itu dari pagi lagi wajahnya cemburut serba tidak kena. Tapi kerana paksaan berbaur ugutan oleh ibunya, maka dia terpaksa mengambil alih tugas rasmi yang sepatutnya dilakukan oleh ibu dan ayahnya. Dan berangkatlah di ke sekolah Juju dengan title abang mithali.
Melihat dia muncul di sekolah, Juju tersengih lebar. Seronok nak menayang abang hensem la tu. Belum jauh dia melangkah, isi perutnya nak terburai lagi. Juju sudah mengerling satu macam.
“Ju, bawa abang pergi cari tandas.” Dia mengerutkan dahinya. Juju mengeluh panjang seraya menunjukkan ke satu arah. Belum sempat dia menerpa, anak gadis itu memanggil.
“Juju tunggu kat kelas la. Jangan lupa datang. Kelas 5K (kebal, keramat, kental, keras dan kemut).
Dia acuh tak acuh mendengar kata si adik. Pedulikan kat 4K, 5K atau Datuk K sekalipun. Hal yang darurat perlu diutamakan dulu. Berlarilah dia ke dalam tandas dengan wajah emergency. Mujur takde traffic light!
Setelah setengah jam membuat pelaburan antarabangsa, dia tersenyum lega. Fuh! Senang hati den! Tapi belum sempat dia mahu menolak pintu tandas, tiba-tiba dia terdengar suara berbual sambil melangkah masuk ke dalam tandas tersebut. Wajahnya sudah pucat lesi. Aikk kenapa ada suara perempuan?
Alamak! Celaka Juju! Apasal aku boleh termasuk dalam tandas perempuan pulak ni? Tandas cikgi pulak tu! Macamana nak keluar?
Suara berbual itu semakin rancak. Takde langsung tanda-tanda mahu berhenti. Dia sudah terkemut-kemut. Hendak menerpa keluar dia malu. Sudahnya dia mengambil keputusan mahu berdiam diri ala-ala ‘dead silence’ sambil menanti suara-suara itu berlalu. Malulah orang tengok kasanova handalan pinjam tandas pompuan!
“Alamak, tandas dah penuh la.” Suara seorang perempuan singgah. Dia diam sahaja. Sebentar sahaja bunyi ketukan singgah di telinganya. Dadanya sudah berdebar-debar tidak keruan.
“Ada orang tu.” Suara seorang perempuan yang lain pula muncul.
“Tandas kat hujung tu rosak pulak. Tinggal yang ni je.” Keluh perempuan A.
Gulp! Dia menelan air liur. Biar betul!
“Takpe tunggu jap lagi.” Pujuk perempuan B.
Sekali lagi dia menelan liur. Mampus aku! Sudahlah dia berkira-kira mahu bertapa di dalam. Nak sembunyi sampai bila?
Sepuluh minit berlalu, dia sudah mati akal! Ketukan bertalu-talu singgah di daun pintu. Cemas dan menggegarkan!
“Apasal diam je ni? Ada orang tak ni?” Suara perempuan A singgah.
“Ahah la, dah lama kita tunggu.”
“Ke pintu dia rosak?”
“Mungkin. Cari pak guard la, kita pecahkan pintu ni.” Cadang perempuan B.
What? No..no way! Sepantas kilat dia segera membuka pintu di hadapannya lalu menerpa keluar. Dua wajah terpampang di hadapan matanya. Salah seorang perempuan itu menekup mulut hampir tidak percaya melihatnya. Yang seorang lagi…aduii...matanya terbelalak! Nafasnya berlari kencang. Bulat biji matanya memandang wajah perempuan yang seorang lagi. Alamak! Anak Mak Minah Janda tokey nasi kandar daa…
“Awak?” Jari lurus runcing itu menunjuk ke arahnya.
Dia tersengih dan tersipu-sipu malu. Mukanya bera toksah cakaplah, rasa macam nak simpan kepala dalam tempayan labu.
“Sa..saya pinjam tandas je tadi.” Sejurus menghabiskan kata dia segera meluru keluar. Dalam kepala otaknya sudah terpampang agenda untuk terus pulang tanpa ke kelas Juju. Baik balik rumah dan simpan mukanya sampai tahun depan dari menanggung malu!
Belum sempat berlalu, Juju tiba-tiba menyergah.
“Apasal lambat? Jom pi kelas Juju.” Anak gadis itu menarik tangannya tanpa memberikannya peluang bersuara. Mahu tak mahu dia terpaksa mengekori anak gadis itu ke 5K.
“Jap lagi cikgu datang. Dia keluar pergi tandas jap.” Ujar Juju.
Hah! Tandas? Mukanya tetiba jadi blurr!. Dia teringat pada dua perempuan yang dilihatnya sebentar tadi? Yang mana satu cikgu Juju? Yang muka terkejut macam kena karan ke atau muka comel anak Mak Minah Janda?
“Hah tu pun cikgu dah datang.” Juju tersengih menatap ke suatu arah. Dia pantas berpaling. Melihat wajah manis bertudung litup berdiri di hadapannya, matanya sudah berpinar-pinar. Otaknya sudah terbang di kepala lutut. Wajahnya semakin membiru bagaikan warna biji kundang.
“Awak?” Lagi sekali telunjuk gadis itu diangkat ke arahnya. Seperti tadi juga wajah si gadis tergaman melihatnya di situ. Dan dia seperti mahu terbang dari situ secepat kilat. Malunya sudah mencecah tahap impak maksima. Demi tuhan, dia takkan jejakkan lagi kakinya ke kedai Mak Minah Janda. Malah mungkin seumur hidup takkan jejakkan lagi kakinya ke sekolah Juju. Forever!

Saturday, March 21, 2009

ISU PLAGIAT

Baru-baru ni disebabkan keboringan, so aku merendek (betui ke istilah ni) la kat blog-blog orang2 yang selalu masuk blog aku. Kira ini lawatan muhibbah la ni. Syok baca novel-novel diaorang sampai tak sedar berjam-jam lamanya. Sayangnya kalau novel-novel yang sedap ini tak diversi cetakkan. Buat adik-adik penulis e-novel, berusahalah sedaya upaya anda supaya hasil karya anda dapat dikomersialkan dan dibaca di merata-rata tempat (bagi yang tak ada internet kat rumah. Hehehe…)

Lepas tu aku merendek lagi kat satu forum (bukan Forum Cari yek). Tiba-tiba mata aku menangkap satu ruangan yang mana seorang forumer di dalamnya postingkan satu novel. Aku baca dan dalam hati kata eh sedaplah cerita dia. Then aku baca lak komen pembaca-pembaca lain. Baru aku sedar, rupa-rupanya cerita yang diposting itu bukan milik si forumer ni tapi diplagiat dari karya seorang penulis e-novel yang kini adalah penulis novel (tak usah sebutlah). Aku baca lagi dan lagi dan tiba-tiba posting komen-komen yang berikutnya buat aku hampir tak percaya dan rasa macam kena tikam dengan pisau. Padahal bukan karya aku pun yang kena tu.

Nak tahu kenapa? Anda bayangkan, si forumer ni plagiat karya orang…meskipun dia tak kata itu hasil karya dia, tapi kalau dia dah asyik posting dan posting sampai separuh cerita tanpa meletakkan kredit kepada si penulis, apakah ini bukan plagiat namanya? Niat memplagiat tu mmg dah ada dalam otak dia. Tapi yang aku kesalkan kat sini bukan si pencuri tu yang mencuri hasil karya orang lain yang diperah dengan susah payah. Tapi aku cukup kesal dengan sikap beberapa pembaca yang menyokong tukang curi tu dengan mengatakan jika bukan sebab si pencuri tu posting dan letak cerita tu kat forum, ada ke penulis novel tu akan popular? Bedebah punya ayat, dalam hati aku! Yang kelakarnya mula-mula dia tak sebut pun nama penulis tu, tapi bila kerja ‘suci’ dia terbongkar baru sibuk-sibuk nak sebut nama si penulis. Tongong punya orang! Tongong juga buat tukang-tukang sokong yang menghalalkan plagiat asalkan dia boleh baca free.

Tak sedarkah mereka semua betapa penulis-penulis e-novel cam nak pecah kepala menulis, ini senang-senang aje nak ambil dan taruh dalam forum lain dengan alasan nak promotekan karya penulis tu. Logik ke? Kalau rasa nak tolong promosikan, bukankah lebih baik siarkan saja link e novel tu dalam blog-blog anda.

Aku pernah trace one of my novel yang kena plagiat. Tapi mujur tak sempat banyak, aku sempat contact si moderator tu. Dan malas nak panjangkan isu dengan tukang plagiat tu. Tapi aku harap sangat moga-moga blog aku tidak lagi dimasuki tukang plagiat dan penyokong-penyokongnya. Kasihanilah kami ni. Sebagaimanalah kami menulis dengan ikhlas untuk tatapan pembaca-pembaca, bacalah juga hasil kami ini dengan ikhlas dan tanpa ada niat mahu mencuri! Kita sama-sama melayu dan sama-sama insan yang bukan nak menongkat langit sepanjang masa. Ingat-ingatlah dan HORMATILAH KARYA ORANG LAIN.

Friday, March 13, 2009

The Pursuit Of Happyness

Tadi aku habiskan masa menonton Astro lebih-lebih lagi saluran HBO dan Cinemamax. Bukan apa, kalau otak aku tepu..aku akan habiskan masa menonton. Tapi dalam banyak-banyak cerita yang aku tonton non-stop dari petang tadi..aku paling tertarik pada movie lakonan Will Smith, Thandie Newton dan Jaden Smith yang bertajuk The Pursuit of Happyness atau bermaksud mengejar kebahagiaan. Apa yang dikejar? Apakah definisi kebahagiaan pada sesetengah manusia. Jika tidak ada duit, apakah manusia boleh bahagia? Inilah persoalan utama dalam dalam filem ini. Dari awal hingga akhir aku tak berganjak tonton filem ini dan tak sangka movie ni boleh buat aku nangis. Touching sangat!


Sebenarnya movie ni salah satu movie box office lakonan Will Smith yang melayakkan dia dapat pencalonan untuk Best Actor dalam Academy Award. Judulnya diambil sempena kata-kata Thomas Jefferson yang terukir pada US Declaration of Dependence dan disebut di dalam filem tu beberapa kali.


Kisahnya diadaptasi dari bibliografi seorang homeless yang bernama Christ Gardner (Will Smith) yang menghabiskan semua simpanannya untuk melabur dalam jualan langsung alatan scanner (yang biasa digunakan kat hospital tu). Kerana tindakan Chris ini, kedudukan kewangannya jadi tidak stabil, dia banyak berhutang, isterinya meninggalkan dia, dia dihalau kerana tidak mampu membayar sewa rumah, malah dia langsung tidak memiliki pekerjaan. Namun dia berkeras mahu menjaga satu-satunya anak lelakinya berusia dalam 5 atau 6 tahun bernama Christpher (Jaden Smith). Kat luar cerita, Jaden ni memang anak si Smith ni. Jaden ni bagi aku comel sangat dan pandai berlakon.


Apabila Chris dapat peluang menjadi pelatih broker di Den Witter, dia berusaha bersungguh-sungguh kerana merasakan inilah peluangnya untuk mengejar kebahagiaan yang dimahukannya. Namun menjadi pelatih di Dean Witter tidak semudah yang disangka apabila terdapat banyak persaingan di situ, manakala dia pula berhadapan dengan banyak masalah untuk menjaga Christopher. Ini menyebabkan dia terpaksa mengheret Christpher ke mana sahaja sewaktu dia bekerja. Siang dia berusaha keras di Dean Witter, manakala bila malam menjelma, dia dan Christopher akan beratur untuk mendapatkan bilik kosong untuk homeless bermalam. Begitulah kehidupan di Chris Gardner ni..Babak paling sedih bila mereka berdua terpaksa bermalam di bilik menyimpan peralatan cucian di kawasan LRT dan semasa dia bergaduh semata-mata mahu berebutkan bilik kosong. Apa pun endingnya sangat menyentuh hati...dan of courselah bahagia sih! Filem ni sesuai ditonton untuk sesiapa yang merasakan hidup dia sangat malang...hehehe...

Wednesday, March 11, 2009

Result SPM 2009

Hah baru aku tahu sebab apa dah dua tiga hari aku asyik berdebar aje, makan tak lalu, tidur tak lena..mandi je yang tetap basah.

Rupa-rupanya esok dah keluar result SPM 2009. Ni apasal terbalik ni? Kenapa aku lak yang berdebar-debar macam aku yang periksa?


Sejak siang tadi, dah dua tiga student aku mesej aku. Si Nabihan awal-awal dah buat kelakar. Minta aku jangan marah kalau keputusan Sains Tambahan dia tak elok. Nak tergelak aku dengar. Macam-macam hal bebudak ni.


Lepas tu Siti Fatimah pula call aku. Rupa-rupanya dia dah ada kat Terengganu ni menumpang tidur rumah Najwa. Lagipun Fatimah ni rumah dia jauh nun kat Dungun sana. Kami sempat berborak sekejap. Dia minta aku datang awal esok kat dewan masa diaorang nak ambil keputusan exam. Aku cakap aku nak bawa kamera, sebab nak rakamkan kut-kut ada student aku yang melalak esok. Dia dengan Najwa gelak aje. Hehehe..jahat betul aku ni kan! Yang lain-lain senyap aje..mesti tengah tak lena tidur ni.


Apapun pada semua pelajar-pelajar kesayangan aku di 5D (semua sekali), aku harapkan semuanya mendapat keputusan terbaik dalam exam terutama Sains Tambahan (coz ni subjek yg aku ajar depa). Kalau boleh biarlah hendaknya semuanya lulus bukan setakat lulus tetapi lulus dengan cemerlang. Sebagai guru, inilah kebahagiaan sebenar menjadi seorang guru. Bila kita menyaksikan kejayaan anak-anak didik kita. Bukan wang ringgit atau juga pangkat seperti yang dikejar oleh sesetengah orang. Buat 5 Dinamik, wish you all the best!!! Love you all!

Teachers Lore 2

Apasal aku berdebar ya? Dari malam semalam aku tidur lambat. Pukul 4.30 baru tidur..lepas tu solat dan sambung tidur lagi. Tapi seawal pagi sekolah hubungi aku minta aku ke MidTown Hotel untuk menghadiri Bengkel Pemurnian Teachers Lore. Dalam keadaan mamai yang tidur 2 3 jam sahaja, aku paksa juga diri ni bangun bersiap. Kali ini bengkel kedua ini diadakan untuk memurnikan bahan-bahan cerpen yang kami tulis pada minggu lepas. Kak Siti Hawa pun ada sekali. Minggu lepas dia tak ada kerana sibuk ke kursus lain anjuran JPN. Kak Siti Hawa ni bekas wartawan Wanita dan Karangkraf dan juga seorang penulis skrip untuk RTM. Hebat kan!
Minggu lepas masa aku ke bengkel ni, aku duduk sebelah Tuan Faridah, penulis novel Seteguh Karang yang menjadi teks rujukan untuk pelajar-pelajar tingkatan 5. Excited sangat dapat jumpa dia. So pagi tadi masa aku bersiap-siap nak ke bengkel ke dua ni, aku plan nak bawa kamera untuk ambil gambar dengan Kak Faridah, tapi bengkak betul hati aku...adik bongsu aku dah kebas dulu bawa ke sekolah. Melepas aku nak bergambar dengan Kak Faridah. Tadi kami duduk sama-sama lagi dengan Kak Siti Hawa sekali. Macam biasa orang lain sibuk buat kerja, kitaorang pula sibuk berborak. Kak Faridah ni baik sangat orangnya dan lemah lembut.
Baru aku tahu rahsia dia yang rupanya dia tak boleh menulis direct di hadapan komputer. Dia kena tulis dulu point-point dia tu dalam kertas kosong. Lepas tu baru transfer kat komputer. Terbalik dengan aku, aku lak tak boleh tulis atas kertas kosong tapi direct terus pada komputer. Kalau orang beri aku sekeping kertas dan suruh tulis atas kertas tu, then korang datang lagi dua tiga jam..insya allah kertas tu tetap kosong macam sbelumnya. Aku blurr kalau nampak kertas..itu sebab agaknya tulisan aku buruk coz aku jarang menulis pakai tangan. Tapi kak Faridah ni dah lapan tahun tak menulis. Katanya dia sibuk dengan tugasnya sebagai seorang guru di SMK Bukit Tunggal serta kerana urusan rumahtangga. Sememangnya inilah selalunya masalah yang aku dengar dari beberapa orang penulis yang dah kahwin. Jarang sangat yang maintain kekal menulis sampai bila-bila.
Tapi tadi memang kelakar. Mana taknya macam-macam ragam cikgu cikgi ni bertungkus lumus siapkan cerpen masing-masing untuk dijadikan antalogi sempena Hari Guru peringkat kebangsaan nanti. Dan tadi mereka dah sok sek sok sek nak namakan antalogi tu dengan tajuk Nostalgia. Ada yang sibuk drafkan cover dia la, ada yang baru nak menulis, ada yang nak menulis lagi dan lagi...yang kelakar ada yang datang bawa cerpen yang takde tajuk. Yang ada tajuk pula boleh terbantai tajuk yang sama. Kak Siti Hawa punya cerpen sama dengan tajuk seorang guru lain. Last-last kami pakat fikirkan satu tajuk untuk cerpen dia. Apapun best jugak dapat terlibat dalam projek Teachers Lore ni...walaupun aku punya cerpen sendiri ntah apa-apa tajuknya.

Friday, March 6, 2009

5 Romantic Movies

Ni dah tag kedua yang si jue ni tuju kat aku..lama-lama nanti aku kena panggil dia minah tag...

Sebenarnya aku sukakan filem-filem aksi, supernatural, mistik n kena fikir-fikir sikit macam Covenant, Gabriel, 23 dn yang sewaktu dengannya. Tapi sebagai perempuan, of course la aku layan gak citer-citer romantic ni. Hehehe...so jue, inilah jawapannya beserta huraiannya sekali kenapa aku suka. Hahaha....

1) Ini salah satu citer kesukaan aku : My Mighty Princess yang aku dok sibuk-sibuk cari VCD untuk dijadikan khazanah aku yang bertimbun dalam almari tu. Sebenarnya dah banyak kali aku tengok cerita ni online, tapi tak puas hati kena cari juga VCD dia. Cerita ni cerita moden dan kelakar..mengisahkan tentang dua sahabat baik sejak kecil So-Hwi yang cantik dan Il-Young yang nakal, pemalas dan tak senonoh. Namun begitu Il-Young ni suka sangat kat So-Hwi sehinga dia sanggup berkorban apa sahaja untuk So-Hwi. Apa pengorbanannya? Ha kena tengok sendiri...Il -Young yang pakai kot hitam kat sebelah kanan tu. Comel kan? Watak So-Hwi pula dipegang oleh Shin Min Ah yang popular dalam A Love to Kill and Punch.

2) A Very Special Love ni aku suka sangat. In fact semua citer2 JLC ni aku suka tengok. Mana taknya mamat Filiphino ni cuter sesangat...and dlm movie ni dia paling romantik. Watak dia sebagai Miggy yang buka sebuah syarikat pengiklanan yang hampir nak lingkup. Then datang si Laida (the girl) yg mmg menggilai Miggy ni (coz dia dr keluarga politik yang terkenal, so gambar dia n family jadi billboard tepi jalan). Laida ni mmg in love hbs kt Miggy dan bila dia dpt kerja kat syarikat Miggy, sukanyerr dia...cuma satu je yg dia tak tahu, Miggy ni berperangai baran, sombong dan suka memecat pekerja..Kiranya siapa yg kerja ngan Miggy ni setahun pun tak habis trauma..

3) Vampire Knight. Wlpun ini anime tapi bagi aku inilah anime yang paling best, romantic and mengujakan bila aku menontonnya. Sekarang musim 1 anime ni dah habis aku tengok. Tinggal nak habiskan musim 2 : Vampire Night Guilty. Sukanya aku dengan watak-watak Yuuki Croos, Zero dan Kaname yang cool habis. Kisahnya? Dah namanya Vampire, kisah tentulah Vampire. tapi vampire yang romantic mcm Edward Cullen..lagu-lagu opening theme kat dalam ni seperti futatsu no kodou to akai tsumi nyanyian on/off dan still doll menjadi kegilaan aku smpi aku buat ringtones. Best sangat :

4) Spring Waltz ni dah lama dah aku tengok but still jadi one of my favourite. Ada 4 cerita yg menggmbarkan ttg season ni : winter sonata, autumn in my heart dan summer scent tapi spring waltz bagi aku lebih best. Mula2 bila beli cerita ni masih tak familiar sgt dengan muka Seo Do-Young lagipun aku tak nmpk muka dia kt mana-mana cerita sebelum itu. tapi bila dah tengok cerita ni, mmg mata tak boleh nak lari dari SDY ni...hahaha tak caya? Cubalah tengok dulu....


5) The last one mestilah all time favourite : Twilight yang menjadi kegilaan aku sehingga dah tak tahu nak cakap berapa kali aku ulang tayang CD cerita ni sampai dah naik rosak. Itupun aku plan nak beli DVD baru bulan 3 ni yang entah bila nak release kat pasaran. Kisah cinta Edward (the bloodsucker) dan Bella (the beauty) memang sangat2 mengujakan aku. Sehingga sekarang, aku baru sahaja habis membaca Eclipse, tinggal satu sahaja dari 4 versi Twilight Saga yang belum habis. dibaca. Bukan Edward dan Bella sahaja yang menjadi kegilaan aku, bahkan seluruh watak-watak dalam series ni memang best especially Jacob Black (The Wolf) yang buat aku suka sangat2 dengan dia dalam buku kedua - new moon. Tak sabar nak tengok movie New Moon bulan 11 ni.

Thursday, March 5, 2009

Al-Kisah Street Vendetta

Salam buat pembaca-pembaca Street Vendetta....sy ada berita buruk untuk anda tetapi berita baik untuk saya. Berita buruknya, saya terpaksa hentikan penyiaran Street Vendetta mulai hari ini dan anda semua tak dapat lagi membaca sambungan kisah Kojie dan Anabella.
Berita baiknya..naskah Street Vendetta telah menarik minat sebuah publisher yang agak gah juga namanya di Malaysia ni. Kelakarnya sebenarnya naskah ini sebelum itu masih belum siap ditulis. Namun kerana kesudian pihak penerbit ini mahu menanti naskah ini disiapkan sehingga ke titisan darah terakhir (hehehe...) maka saya pun bersetujulah untuk bersengkang mata menulisnya. Dan alhamdulillah, ianya telah siap ditulis dan berjumlah hampir 600 lebih helaian dengan ending yang...ehem-ehem....
Dan kerana memberi perhatian yang sangat drastik kepada naskah SV ini, maka saya dah mengabaikan blog2 e-novel saya yang lain. Saya tahu mesti ramai yang akan marahkan saya tapi saya pun tak sangka SV saya yang sempoi dan biasa-biasa itu layak diversi cetakkan..sekali lagi saya minta maaf banyak-banyak kerana masalah ini. Kalau boleh, saya nak publish juga sampai habis tapi nanti tak adillah pula buat syarikat tersebut. Harap-harap naskah SV boleh diterbitkan hujung tahun ini. Sama-samalah kita berdoa yer..
Sebagai tanda maaf saya pada yang menanti SV, saya akan persembahkan e-novel Arina dalam beberapa hari lagi...menggantikan SV.

Wednesday, March 4, 2009

Sakti Cinta

Akhirnya yang ditunggu dah tiba. Specialnya novel terbaru aku ni dihantar sendiri oleh Encik Rozali, malam tadi ambil dengan dia. Aku sempat berborak dengan Encik Rozali kira-kira dekat setengah jam juga. Dia beritahu aku dia sakit lebih kurang setahun yang lalu, itu sebab banyak kes penerbitan tertunda yang berlaku kat iBook Publication dan banyak buku-buku lain yang terpaksa delay. Kasihan pula aku dengar tentang kes beliau. Apapun aku harap banyak novel-novel lain yang tertangguh dapat segera diterbitkan secepat yang mungkin.

Bila renung novel ni, tetiba je rasa ada semacam kelegaan. Hanya orang-orang tertentu sahaja faham betapa susah payahnya aku memastikan novel ini dapat diterbitkan. Aku nyaris menangis, nyaris putus asa dan nyaris tarik manuskrip ni dari syarikat iBook..banyaknya benda yang aku dah buat selama setahun ini. Tapi melihat cantiknya warna kuning bertatahkan tulisan berwarna pink pada cover novel, entah kenapa yang menjadi beban dan hampa itu segera menghilang. Seronoknya aku dapat menatap cover novel baru aku yang setebal 755 mukasurat ini dengan mata kepala sendiri. Bagi seorang penulis macam aku, menatap novel sendiri lebih seronok dari sewaktu mendapat hasil royalti.

Sinopsis Sakti Cinta

Dua beradik, Dina Azura dan Diazey dalam diam-diam mempunyai perasaan terlarang di antara satu sama lain tetapi memendamkan perasaan masing-masing. Perasaan yang hadir, membuatkan Diazey melarikan diri jauh ke luar negara dengan satu tujuan. Melarikan diri dari Dina Azura serta membunuh perasaan cintanya pada adiknya sendiri. Sepuluh tahun kemudian, Diazey pulang ke tanahair dan bekerja dengan seorang wanita bernama Alma Katherine dan membawa kembali pertemuan yang cuba dielakkannya dengan Dina. Apakah dia mampu membunuh rasa cintanya pada Dina? Atau apakah cinta mereka benar-benar terlarang? Dapatkan jawapannya di dalam Sakti Cinta..

 

Template by Blogger Candy