Monday, December 28, 2009

Part 2 : Misteri Di Sebalik Perigi

Nota : dah dapat dah tajuk untuk novel thriller ni..tapi tak tahu sesuai ke tidak. Mybe kalau blog baru siap nanti, kisah ini akan dipindahkan ke blog tersebut..

1974 - Lembah Lenggong, Perak.Dia sibuk mengerahkan pekerja-pekerjanya melakukan ekskavasi di kawasan yang telah ditandakan sejak dua jam yang lalu. Dari tanah lapang seluas suku hektar, dia mengecilkan jarak lingkungan sehingga 120 meter persegi untuk memudahkan galian.
Pekerja-pekerjanya mula berhempas pulas membanting cangkul dan penyodok lalu mula menggali tanah satu kaki untuk setiap setengah jam. Dia hanya mengawasi dari jauh. Sesekali panas terik mentari mengundang keresahan. Tubuhnya mula bermandi peluh. Beberapa pelajarnya Hamdan dan Farid turut sama mengawasi kerja-kerja penggalian itu dari khemah kecil di tepi radius galian. Yang lain-lain, Sarah, Riana dan Amri pula ditugaskan menyemak data yang mereka kumpul sejak di Kota Tampan lagi.
Seorang anak muda memakai topi lebar menghampirinya lalu menghulurkan sebotol air masak ke arahnya. Dia menyambut tanpa banyak soal. Air itu diteguk rakus menyusuri anak tekaknya terus ke esophagus dan turun ke perut.
“Thanks Zack.” Dia tersenyum. Zakaria hanya mengangguk lalu berpaling ke arah pekerja-pekerja tempatan yang mereka upah.
“Agak-agak berapa lama lagi Prof?” Soal Zakaria sudah tidak sabar.
“Dah tak lama, Insya Allah.” Jawabnya tenang. Dia mengerti sifat terburu-buru anak muda itu. Dia dulu begitu juga semasa hendak menimba ilmu. Tapi bidang arkeologi memerlukan ketelitian dan kesabaran yang cukup tinggi, Jika tidak sabar, mahu angin satu badan. Jika tidak teliti pula, silap-silap data yang terkumpul akan bercelaru dan mereka semua terpaksa bermula semula di tapak permulaan.
Dia sudah berkecimpung dalam bidang arkeologi sudah lebih sepuluh tahun. Minatnya mengembara dan mengkaji sesuatu membawanya memilih arkeologi sebagai satu cabang ilmu yang paling dicintai.
Dan hari ini dia dan seramai 6 orang pelajarnya telah berada di bumi Lenggong itu sejak sebulan yang lalu, membuat survey serta mengumpul data. Kali ini tugas mereka adalah untuk menjejak tinggalan sejarah serta bukti kewujudan artifak-artifak tinggalan zaman hoabinhian.
Pada asalnya mereka telah memasang khemah di sekitar Kota Tampan. Malah pencarian jejak golongan haobinhian membawa kepada penemuan alat batu, gendang gangsa dan tembikar hasil peninggalan era zaman lampau. Dari Kota Tampan, mereka bergerak pula ke laluan berhampiran Bukit Jawa. Dan sepanjang ke Bukit Jawa, mereka banyak menemukan jejak-jejak haobinhian. Kerana itu dia mengarahkan khemah mereka dibina di situ.
“Prof, ada percanggahan data. Radius ekskavasi yang kita collect ni mempunyai anomali .” Riana, salah seorang pelajarnya tiba-tiba muncul sambil memegang helaian kertas data. Dia mengerutkan dahinya. Salah?
“Sepatutnya kita kena bergerak 30 langkah lagi ke bahagian utara.” Beritahu Riana.
Dia meneliti helaian kertas-kertas yang dibawa oleh Riana. Serentak matanya mendadak berpaling ke arah pekerja-pekerja yang sibuk menggali. “Hentikan kerja-kerja tu. Pindah tempat.” Arah Profesor Umar separuh menjerit.
Pekerja-pekerja itu saling berpandangan sesama sendiri. Lubang yang ditanda itu sudah digali hampir lima kaki, tiba-tiba sahaja mereka diminta berhenti. Ini menimbulkan rasa hairan sebilangan pekerja-pekerja itu. Namun mereka tidak banyak soal, lagipun gaji mereka dibayar lelaki itu.
Namun sebaik pekerja-pekerja itu keluar dari dalam lubang, suara teriakan seorang lelaki kedengaran. Profesor Umar berpaling. Seorang lelaki yang masih tertinggal dalam lubang menjerit-jerit.
“Ada apa Said?”
“Ada sesuatu kat sini Profesor.” Ujar lelaki itu termengah-mengah. Profesor Umar dan Zakaria segera menerpa ke dalam lubang. Farid, Amri dan Hamdan turut meluru ke arah lubang besar di hadapan mereka. Manakala yang lain-lain lebih senang berdiri di belakang. Dari atas, mereka melihat satu lingkaran bulat tertanam di dalam lubang itu.
“Apa tu Prof?” Tanya Zakaria hairan. Namun Profesor Umar tidak terus menjawab. Matanya asyik merenung lingkaran tersebut.
“Saya tak perasan benda ni tadi sebab saya berdiri di atasnya. Tapi tiba-tiba sahaja pasir di bawah kaki saya mendap ke bawah. Saya ingatkan pasir jerlus tadi. Lepas tu saya nampak benda ni.” Cerita Said panjang lebar.
“Apa benda sebenarnya tu?” Soal Farid pula tidak puas hati. Dia melompat ke dalam lubang. Hamdan turut ikut serta. Pekerja-pekerja yang baru keluar tadi juga berkerumun. Masing-masing kelihatan berminat dengan benda yang baru ditemui.
“Bentuknya macam perigi.” Tiba-tiba Profesor Umar bersuara. Kesemua pasang mata tertumpu ke arah lelaki berusia 40 tahun itu. Masing-masing tercengang mendengar kata-kata lelaki itu. Perigi?

No comments:

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com