Thursday, February 12, 2009

Cover Hujan Rindu

AKAN DATANG : APRIL 2009

Hmmm belek-belek email hari ni, nampak kiriman email dari FP. Isi email adalah cover novel terbaru aku dengan Fajar Pakeer bertajuk Hujan Rindu yang akan ke pasaran pada awal April 2009 ini. Menurut staff FP, kemungkinan besar ia akan mulai dijual sebelum berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa di Kuala Lumpur nanti.

Hehehe..comel tak? Tak sabar nak tunggu buku ni keluar sebab ini hadiah aku untuk keluarga aku. Blurb dia tak dapat disertakan buat masa ini kerana aku belum menerima isi blurb. Lagipun tak seperti KN, dengan FP ni aku tak buat blurb aku sendiri. Lagi senang.. tak susah otak aku nak fikir panjang-panjang.
P/S : Ini blurb untuk HR yang baru keluar panas-panas lagi kat dalam website FP yang aku ciluk sikit. Heheheh....
BLURB HUJAN RINDU
Kerana kasih dan sayang seorang anak kepada ibunya, Anum Dahlia yang dilahirkan dan dibesarkan di luar negara sanggup menjejaki keluarga ibunya di Malaysia sehingga dia sanggup mengenepikan kepentingannya sendiri. Sanggup meredah beribu-ribu kilometer untuk menunaikan harapan dan impian ibunya yang sedang terlantar koma.Anum Dahlia, seorang cucu yang mendambakan kasih sayang daripada datuk dan neneknya yang selama ini tidak pernah ditemuinya. Sebuah kisah tentang cinta yang hilang di bumi kelahiran, tapi ditemui pula cinta seorang lelaki milik Yuzer Taufik, di sebuah negara asing.Tegas dalam keputusan dan berani menjejak kisah silam ibunya di sebuah negara yang tak pernah dijejakinya selama ini, Anum Dahlia menyamar sebagai seorang pelajar yang mahu membuat kajian tentang seni silat Melayu, membuatkan dia bertemu Tok Anjang, datuknya.

Nota : HR adalah e-novel yg pernah tersiar di blog ini akhir tahun lepas dan kini ia akan kembali dalam versi cetak. Nantikan kemunculannya. Bagi pengunjung blog yang tidak sempat mengikuti e-novel ini, aku paparkan sedikit sedutan dari versi e-novel.
HR 1
YUZER baru pulang sewaktu melihat Anum Dahlia rancak berbual dalam telefon. Dia menjeling ke arah Anum Dahlia yang pura-pura tidak melihatnya. Wajah gadis itu ceria. Sesekali deraian ketawa Anum Dahlia terdengar lunak di telinganya.
Yuzer berlalu ke arah dapur. Dia tidak berniat mahu menganggu perbualan gadis itu, meskipun hatinya teramat ingin tahu dengan siapa Anum Dahlia berbual. Sambil menuang air masak ke dalam gelas, matanya masih mengawasi tindak-tanduk Anum Dahlia.
“Baiklah, Kimi, nanti saya datang. Insya-Allah,” ujar Anum Dahlia seraya menghabiskan perbualan.
Sebaik gadis itu meletakkan gagang telefon, Anum Dahlia menoleh ke arah Yuzer.
“Awal awak balik hari ni?” tegurnya sambil tersenyum.
Hairan juga dia melihat Yuzer balik ke rumah agak awal. Selalunya pukul 5.00 atau 6.00 baru lelaki itu muncul, tapi jam di dinding rumah itu baru hendak masuk pukul 1.00 tengah hari. Hendak makan tengah hari di rumahkah? fikir Anum Dahlia.
Teguran Anum Dahlia disambut Yuzer dengan sekadar anggukan. Melihat wajah Yuzer yang serius, Anum Dahlia tidak banyak cakap, terus melangkah masuk ke biliknya. Namun belum sempat dia menghilangkan diri ke dalam bilik, talian telefon di rumah itu berbunyi lagi. Anum Dahlia berpaling, namun Yuzer terlebih dahulu mengangkatnya.
“Helo! Ya, Yuzer cakap. Itu nenek ya?”
Anum Dahlia tercengang. Siapa? Nek Jahkah? Dia tercegat memandang Yuzer. Lelaki itu masih rancak berbual namun sesekali mata Yuzer melirik ke arahnya. Dia menganguk-angguk sesuatu sebelum menghulurkan gagang ke arah Anum Dahlia.
“Nenek nak cakap dengan awak,” ujarnya bersahaja.
Anum Dahlia mengambil gagang telefon dari tangan Yuzer. Lelaki itu masih tercegat di situ, membuatkan Anum Dahlia dihimpit serba salah. Perlahan-lahan gagang telefon itu di lekatkan pada telinganya.
“Helo! Nenek ya? Anum sihat, nek. Nenek dengan datuk sihat?”
Senyuman halus mula singgah di bibir mungil itu. Yuzer yang melihat seakan terpaku.
“Tak ke mana pun, nenek. Kelmarin Anum dengan Zurin jalan-jalan kat shopping complex kat sini. Lepas tu kami pergi makan, itu aje.” Dia mencanang satu per satu aktiviti yang dilakukannya bersama Zurin.
“Yalah. Insya-Allah nek, nanti Anum balik segera. Anum pun rindu dengan nenek dan datuk. Kalau boleh Anum pun nak balik cepat,” sahut anak gadis itu pula.
Yuzer menatap gadis itu agak lama. Kenapa, tak sukakah dia tinggal di rumah aku sampai nak balik cepat? detik hati Yuzer penuh tanda tanya. Namun dibiarkan gadis itu menghabiskan perbualan. Apabila dirasakan perbualan antara Anum Dahlia dan Nek Jah hampir berakhir, tiba-tiba sahaja Yuzer merampas telefon di tangan Anum Dahlia. Gadis itu tergamam.
“Helo. Nenek, Yuz nak minta izin nenek bawa Anum dan Zurin ke Pulau Pangkor. Mereka mungkin balik lambat sedikit daripada jadual asal. Yuz harap nenek izinkan. Lepas balik dari Pulau Pangkor, Yuz sendiri akan hantar mereka berdua ke kampung. Lagipun Yuz ada kerja dengan ayah,” ujar Yuzer selamba.
Anum Dahlia tercengang mendengar kata-kata Yuzer. Dia berdoa agar Nek Jah tidak setuju dan memintanya pulang segera. Namun mendengar kata-kata Yuzer seterusnya, Anum Dahlia tahu harapannya tidak mungkin berjaya.
“Baik, terima kasih, nenek. Sampaikan salam kami pada datuk ya!” ucap Yuzer seraya menamatkan perbualan.
Dia meletakkan gagang telefon di tempatnya, seraya mengalihkan pandangan ke arah Anum Dahlia yang tercegat seperti patung. Wajah gadis itu menikam tepat ke wajahnya. Bibir Anum Dahlia bergerak-gerak bagaikan ingin mengatakan sesuatu. Tapi sebelum sempat Anum Dahlia mahu bersuara, Zurin tiba-tiba muncul sambil menjerit kegirangan.
“Betul abang nak bawa kami ke Pulau Pangkor?” soalnya inginkan kepastian.
Yuzer hanya mengangguk.
“Bila? Bila kita nak pergi?” soalnya lagi sudah tidak sabar.
“Selepas kerja abang habis. Mungkin dalam dua tiga hari lagi. Lagipun kita kena tunggu Zaza habis exam. Lepas tu kita pergi sama-sama,” usul Yuzer.
Sebenarnya sudah dua hari dia merancang percutian itu. Apatah lagi apabila Zurin sering merungut kerana mereka sudah lama tidak pergi bercuti. Sekadar meraikan Zurin yang baru menamatkan peperiksaan SPM serta Zaza yang baru habis final exam, maka dia sudah menyuruh Emir menempah apartmen yang selalu didiaminya jikalau mereka bercuti ke pulau percutian yang terkenal itu.
“Kak Anum dengar tak? Kita nak pergi Pulau Pangkor.” Zurin memeluk Anum Dahlia tanpa sedar.
Anum Dahlia tersenyum, namun senyuman yang diberi kelihatan hambar di mata Yuzer. Dia tahu gadis itu tidak bersetuju dengan rancangannya.

HR 2
BENGANG Anum Dahlia dengan sikap Yuzer yang memandai-mandai membuat rancangan tanpa bertanya kepadanya terlebih dahulu. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia hamburkan kemarahannya di hadapan lelaki itu tadi. Namun kemunculan Zurin membuatkan dia mematikan niatnya. Ditambah dengan sikap ceria Zurin kerana dapat bercuti ke Pulau Pangkor, Anum Dahlia tidak sampai hati mahu membantah. Namun sepanjang malam itu, dia tidak dapat melepaskan dirinya daripada rasa marah terhadap Yuzer.
Anum Dahlia memanjangkan lehernya, mengintai kelibat Yuzer dan Zurin yang sedang tertawa menonton rancangan komedi di televisyen. Tanpa disedari, mulutnya melepaskan keluhan berat. Dia meneruskan tugasnya membasuh pinggan mangkuk yang bertimbun, sisa daripada makan malam tadi.
Sambil membasuh, dia terkenangkan Nek Jah dan Tok Anjang di kampung. Apa khabar kedua-dua mereka? Entah mengapa dia rasa kasihan dengan Nek Jah. Mungkin tujuan Nek Jah menelefonnya kerana ingin menyuruh dia pulang awal. Tapi bila tiba-tiba Yuzer membuat permintaan sebegitu, mahu tak mahu Nek Jah terpaksa menurut.
“Nenek rindu betul pada Anum. Jaga diri kat sana ya, sayang!”
Ucapan Nek Jah petang tadi menyentuh hati kecilnya. Apalagi ungkapan kata sayang daripada wanita itu begitu kerap meniti di bibirnya sejak dua menjak ini. Jauh di sudut hati dia tahu, wanita itu mula menyayanginya. Bahkan dia juga begitu. Sebulan bersama Nek Jah dan Tok Anjang, kasih sayangnya tumbuh mekar dari hari ke sehari.
“Awak marahkan saya?” ujar suatu suara.
Anum Dahlia tergamam. Dia berpaling. Pantas matanya bertembung pandang dengan kelibat tubuh Yuzer yang tiba-tiba menjengah ke ruang dapur.
“Saya tak faham apa maksud awak,” balas Anum Dahlia acuh tak acuh. Dia kembali menghadap ke arah sinki sambil meneruskan tugasnya. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu memandang Yuzer. Bimbang Yuzer melihat air mata yang bergenang di kelopak matanya.
“Saya tahu awak tak suka tinggal di sini, lebih-lebih lagi sebab saya ada di sini.”
“Ini rumah awak, saya tak berhak nak marah!” balas Anum Dahlia pantas.
“Tapi awak tak suka bila saya buat keputusan menghalang awak balik ke kampung kan? Saya tahu awak rindukan nenek dengan datuk. Pelik juga bila saya fikirkan, hubungan awak dengan mereka lebih baik daripada hubungan mereka dengan Melina, cucu mereka sendiri. Apa rahsia awak,Anum?” soal Yuzer.
Anum Dahlia tergamam. Rahsia? Apa maksud Yuzer? Dia memberanikan diri memandang ke arah lelaki itu. Wajah lelaki itu serius menatap ke arahnya. Anum Dahlia kian resah.
“Awak tiba-tiba muncul dalam hidup kami dan dalam sekelip mata awak jadi cucu kesayangan Nek Jah dan Tok Anjang. Tapi anehnya kami langsung tak tahu apa-apa pasal awak. Siapa awak sebenarnya?” Bertalu-talu soalan itu menyapa bibir Yuzer.
Kata-kata Yuzer seperti mengandungi maksud tersirat, membuatkan Anum Dahlia rasa seperti dadanya ditolak dengan batu besar. Dia ingin bersuara, namun lidahnya bagaikan kelu untuk berkata-kata.
Perlahan-lahan Yuzer melangkah mendekati Anum Dahlia yang seperti hendak menangis. Dipandangnya wajah itu tidak mahu lepas.
“Awak orang asing dalam hidup saya, Anum. Selalunya saya tak pernah membiarkan seseorang yang asing hadir dalam hidup saya begitu sahaja. Tapi entah kenapa dengan awak, hati saya bagaikan membenarkannya dan saya tak faham kenapa ianya berlaku,” bisik Yuzer perlahan.
Anum Dahlia terdiam. Entah kenapa hatinya berdebar kuat tatkala ungkapan kata-kata itu meluncur dari bibir Yuzer. Meskipun dia tidak pasti apakah maksud sebenar lelaki itu, tapi entah kenapa hatinya terasa sejuk mendengar kata-kata Yuzer itu. Ada sekelumit ketenangan singgah di penjuru hatinya.

5 comments:

Anonymous said...

kak nita, HR ni terbitan siapa dan boleh beli di mana ya??

Mazni Aznita said...

yvone,

Hujan Rindu ni terbitan Fajar Pakeer, klu Yvone nak tahu detail fsl publisher ni, klik aje kat blog FP okay bahagian Publisher.. HR akan terbit insya allah pada April 2009.

miza said...

nita,
Dedalu di hati mmg dah tak keluar lagi ker? Cari kat book store dah habis. You tak de simpan copy ker? Bole I beli dari u jer

Mazni Aznita said...

dah tak ada la miza,

hr tu saya ada 5 naskah dengan saya tapi dah dijual kepada bbrp pengunjung blog ini.

lgpun buku ni dh lama terbit la miza, 2007..dh dekat setahun. klu miza nak, sya suggest contact sendiri ibook publication kut2 ada lagi naskah ni. klu tak, miza boleh tunggu ms pesta buku nanti..sy rasa mrk akan cetak lg untuk PB nanti.

klu ms pesta buku x dpt juga, bgtahu semula kt sy. nnti bila sy ke KL, sy akan cuba dptkan nskh yang masih ada.

miza said...

ok, Thanks

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com