Thursday, January 8, 2009

Casanova : Bus Stop

Mata melilau. Pandang jam tangan. Pandang lurus ke depan. Pandang cermin belakang. Pendek kata bebola matanya asyik bergerak 24 jam mengawasi persekitaran tempat menunggu bas itu. Dah lima hari berturut-turut. Kesabarannya masih belum menipis. Dia sememangnya lelaki yang tidak pernah kenal erti putus asa. Kadang-kala sehingga tiga jam dia masih sanggup menanti setengah mati. Dan setiap kali keretanya akan diparkir di tepi gerai menjual ais cendol berhampiran bus stop itu. Hampir jenuh dia tolong mengira berapa pelanggan makcik penjual cendol itu. Cukup pelanggan ke 39, barulah orang yang dinanti-nantikan muncul.
Dia tersenyum sumbing. Tubuhnya yang lembik longlai yang tadinya bersandar pada kusyen kereta segera mengeras. Postur tubuhnya dibetulkan. Tegap dan gagah seperti lelaki gentleman. Matanya mengintai cermin hadapan kereta. Sport check ringkas dilakukan. Gigi? Lulus. Rambut? Jari-jemarinya pantas meraup rambut dengan telapak tangan. Sisa-sisa Brylcream masih melekat di tapak tangannya. Pipinya dikembung kempiskan sebelum tersenyum lebar. Gossh..akulah lelaki terhensem di abad ini! Dengan pakej lengkap yang didatangkan khas dari Datuk Keramat : Tubuh yang tinggi persis model, mata yang memukau dan berwarna coklat jernih, bibir yang merah tanda tidak merokok serta senyuman menawan dihiasi lekuk di kedua belah pipi. Opps lupa, juga ada extra rumah dua tingkat di Garden Height, kereta sport berwarna merah hati serta kerjaya yang cukup bagus untuk menjadi suami mithali.
Sudah bersedia? Dia melangkah turun. Kakinya dihela ke arah perhentian bas yang hanya beberapa langkah sahaja dari muncung keretanya. Matanya ditatap tidak mahu lepas pada wajah gadis manis memakai baju kurung berbunga putih dan bertanah biru. Cantik sekali orangnya. Rambut panjang mengurai sehingga ke pinggang, kulit putih melepak dengan bibir dioles lipstick berwarna pink muda. Senyuman si gadis cukup menawan. Tinggi si gadis kemungkinan besar kurang sedikit dari tingginya sendiri. Tapi itu semua hanya luaran sahaja, fizikal pertama yang menarik matanya untuk terus mencari siapa si gadis manis tersebut.
Di hatinya dia yakin, gadis yang suka tersenyum itu pasti akan sering tersenyum di hadapan keluarganya nanti. Wajah manis itu akan cepat disukai oleh ibunya yang cerewet dan ayahnya yang kaki perempuan. Tapi dia sudah berkira, ayahnya akan menjadi orang terakhir yang akan bertemu dengan gadis pujaan hatinya itu. Itupun dengan kehadiran ibunya sebagai pengawas. Dia segera mengucap bismillah di dalam hati. Harap-harap tegurannya menjadi. Punyalah banyak experience yang dia ada, kenapa pula yang ini dia terasa berdebar-debar? Ini mesti satu petanda. Satu isyarat bahawa hati si gadis itu mesti ditakluki. Yess! Chaiyok! Tunggu apa lagi?
Belum dua langkah. Bedebuk! Dia tergolek macam ayam golek di hadapan bus stop. Mamat India yang duduk di tepi bus stop sambil membaca akhbar entah sejak bila menjulurkan kakinya di situ. Dia mendongakkan wajah. Berpuluh pasang mata memandang ke arahnya. Hatinya membekam. Malu dan sebal! Dia menghalakan sportlightnya pada si gadis manis itu. Aiyak! Gadis itu tersenyum ke arahnya. Hatinya mula mencair. Tak sia-sia dihanduk lelaki India itu. Marahnya terus bertukar menjadi syukur pula.
Dengan penuh keyakinan diri, dia mengatur langkah baru. Jeratnya pasti mengena kali ini. Seorang pakcik berkopiah bulat memintas di hadapannya.
“Nak..tumpang tanya. Bas yang kome duk tunggu-tunggu kat sini nak ke mana sebenarnya?” Dia mendengar pakcik berkopiah bulat itu bertanya.
“haaa uhuuuu haaaa hhehe kaakkkk uhuuuuu.”
Bedebuk! Sekali lagi dia jatuh terduduk. Kali ini jatuhnya lebih cepat dari tadi. Tapi bukan sebab lelaki India itu menjulurkan kakinya yang sebelah lagi, atau sebab kopiah bulat pakcik itu masih ada tanda harga yang lupa dibuang, atau makcik penjual cendol itu baru sahaja menggoreskan badan keretanya semasa hendak mengalihkan kereta tolaknya. Tapi dia jatuh kerana terkejut melihat si gadis itu. Padanlah asyik senyum memanjang sehingga ke perut. Rupa-rupanya si gadis manis bukan seperti yang diduga. Isyarat hatinya sengaja mahu mempersenda, bila si gadis yang disangka comel rupa-rupanya bergigi rongak dan bisu pula. Nasib..nasib..!

1 comment:

aien's life with love said...

hehehe...klakar btol...cover macho gler mamat tu..skali hampeh..huhu

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN

UNTUK MEMESAN SILA HUBUNGI EMAIL DI BAWAH UNTUK TEMPAHAN
Email : arr_nita@yahoo.com